Thursday, February 06, 2014

Sweden melabur dalam pembangunan kanak-kanak






Masyarakat Malaysia digemparkan dengan penahanan tanpa had masa ke atas ibu bapa kepada empat orang anak di Sweden. Kesalahan ibu dan bapa ini ialah memukul atau istilah lebih tepat ialah merotan tangan anak lelaki kerana enggan menunaikan solat. Walaupun tindakan tersebut dibenarkan dalam agama Islam namun menjadi kesalahan dalam perundangan Sweden.

Lebih baik kita mengenali negara itu supaya kita dapat memahami bagaimana masyarakat di sana menguruskan kehidupan mereka khususnya kanak-kanak.

Apabila membuat pengukuran tentang kemajuan sosial atau pembangunan kemanusiaan, biasanya kita sentiasa mendapati Sweden sentiasa berada di atas bersama negara-negara jiran seperti Dernmark, Finland, Iceland dan Norway. Negara-negara ini juga mendominasi kedudukan teratas dalam United Nations Development Programme’s Human Development Index 2013 dengan Sweden di kedudukan kelapan.

Negara itu juga dinilai kedudukan pertama Economist Intelligence Unit’s Democracy Index 2008 dan kedudukan ketiga daripada 177 negara dalam Transparency International’s Corruption Perceptions Index pada 2013.

Pembangunan sosial yang tinggi di Sweden adalah refleksi sistem politik yang stabil dan tahap pendapatan tinggi. Sistem kesihatan menunjukkan kadar kematian bayi ketika lahir antara paling rendah di dunia dan jangka hayat meningkat kepada 81.4 tahun.

Kesungguhan Sweden ke atas hak kanak-kanak ditunjukkan melalui komitmen yang mengiktiraf keperluan dan hak kanak-kanak sejak awal 1970-an dengan menyediakan penjagaan dan sokongan khususnya dalam kesihatan dan pendidikan yang diperuntukkan melalui dasar dan program kerajaan. Di luar negara, Swedish International Development Cooperation Agency dibentuk untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia untuk memberi perhatian kepada memberi perhatian dan tumpuan yang lebih banyak ke atas hak kanak-kanak. 

Dalam kalangan 30 ahli Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), Sweden adalah negara paling aktif memberi tumpuan kepada perkembangan kanak-kanak prasekolah dan menjadi satu-satunya negara yang menepati sepuluh penanda aras dalam penjagaan dan pendidikan kanak-kanak pada 2008. Kajian oleh UNICEF’s Innocenti Research Centre ini membuktikan bahawa kerajaan Sweden memberi keutamaan kepada pendidikan awal kanak-kanak dan program penjagaan dalam membentuk polisi keluarga negara itu.

Formula ini memberi hasil yang menakjubkan kerana dapat menyumbang kepada pendidikan yang lebih baik di peringkat sekolah rendah, menengah dan pendidikan tinggi melalui pemilikan pendapatan yang lebih tinggi dan aras hidup yang lebih baik. Bagi menggalakkan pembangunan awal kanak-kanak, setiap ibu bapa di Sweden diberi kebenaran mengambil cuti lebih daripada dua tahun untuk membesarkan anak-anak yang baru lahir. Pada masa yang sama program penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak membantu ibu bapa yang bekerja menyeimbangkan kerja dan belajar.

Program seperti ini dan program-program lain yang mesra kanak-kanak merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan dan Hal Ehwal Sosial yang memastikan hak kanak-kanak dipatuhi. Bagi melindungi hak kanak-kanak dengan lebih terperinci, kerajaan melantik pegawai kerajaan yang bertanggungjawab mewakili kepentingan kanak-kanak dan orang muda supaya menepati konvensyen hak kanak-kanak pada setiap peringkat dalam masyarakat. Setiap tahun mereka perlu melaporkan perkembangan khususnya peluang dan halangan dalam memenuhi hak mereka.

Kerangka pembangunan ini tidak terlepas daripada menerima cabaran seperti terdapat peningkatan dalam bilangan kes kanak-kanak dan orang muda yang mengalami tekanan psikologi dan obesiti. Begitu juga dengan kemasukan pekerja asing yang tidak memahami undang-undang Sweden berkaitan hak kanak-kanak ini.

Dalam hal ini, pasangan suami isteri dari Malaysia yang terlibat sekarang merupakan sebahagian daripada cabaran dalam memenuhi hak kanak-kanak kerana Sweden tidak mengambil kira peranan agama kerana negara itu mengamalkan sekularisme sepenuhnya dalam pentadbiran negara. Justeru mereka akan pastikan sesiapa yang melanggar hak kanak-kanak akan dikenakan tindakan undang-undang kerana sejarah Sweden berkaitan kanak-kanak sangat jelas.


Ternyata Sweden sebagai sebuah bukan Islam memahami kepentingan membentuk sebuah generasi masa depan bergantung kepada generasi muda lalu mereka memastikan setiap kanak-kanak dididik, dijaga dan dibentuk sebagai kelompok masyarakat yang dapat mengubah dunia. Konsep seperti ini belum benar-benar wujud dalam masyarakat Islam di negara kita apabila kita mendapat laporan setiap hari terdapat kes jenayah ke atas kanak-kanak.

Oleh kerana undang-undang berkaitan kanak-kanak di negara kita tidak seketat di Sweden, akhirnya pelaku jenayah ke atas kanak-kanak ini terlepas atau mendapat hukuman yang ringan berbanding kesan trauma yang akan terus kekal dalam jiwa kanak-kanak.

Pejuang hak asas manusia wajar juga melihat hak kanak-kanak di Malaysia yang seringkali dicabuli melalui tindakan kekerasan, eksploitasi dan ugutan jenayah yang menghalang perkembangan mental, fizikal dan spiritual mereka. Dasar-dasar kerajaan juga harus cenderung melindungi kanak-kanak dalam semua keadaan. Jika perlu, Akta Kanak-Kanak boleh ditambah baik supaya masyarakat memberi hormat kepada kanak-kanak Malaysia.
 
 

No comments:

Post a Comment