Wednesday, February 12, 2014

Hudud: Jangan tergesa-gesa






oleh Maisarah Sheikh Rahim

Pelaksanaan hukum hudud perlu mengambil pertimbangan segala aspek penguatkuasaannya agar undang-undang Islam itu tidak mendapat kejian dan tohmahan daripada masyarakat.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, ini termasuk perkara-perkara teknikal yang perlu diambil kira selain pindaan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana wujud pertindihan bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri.

"Banyak perkara perlu dikemas kini seperti mana disebut oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad itu kerana kita tidak mahu pelaksanaannya nanti mendapat kejian pula sehingga orang tidak lagi hormat undang-undang Islam itu.

"Mungkin perlu ada pindaan undang-undang dalam Perlembagaan yang perlu disemak semula termasuk pengamal hukum hudud ini perlu diberi latihan sewajarnya untuk membantu memberi keadilan di mahkamah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pandangan Abdul Hamid semalam berhubung cadangan melaksanakan hukum hudud di negara ini yang perlu mengambil kira pelbagai faktor khususnya membabitkan soal penguatkuasaan antara orang Islam dan bukan Islam.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, kewujudan halangan-halangan bagi memungkinkan pelaksanaan hukum itu tidak bererti kerajaan menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Walau bagaimanapun, katanya, usaha ke arah pelaksanaannya perlu ada kerana hukum hudud merupakan hukum Allah dan sebaik-baik hukum.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang pula berkata, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan terburu-buru kerana boleh mengundang implikasi lebih buruk kepada Islam dan hukum itu sendiri.

Menurut beliau, perkara utama yang perlu diselesaikan adalah menyelesaikan terlebih dahulu halangan-halangan yang ada terutama meminda dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

"Pindaan ini memerlukan persetujuan daripada dua pertiga Ahli-Ahli Parlimen tetapi apa yang penting sekarang ini kena beri kefahaman undang-undang hudud itu kepada masyarakat dengan mengambil contoh negara-negara yang melaksanakannya sekali gus berjaya mengurangkan jenayah," katanya.

Pendapat itu turut disokong oleh Penasihat Agama, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot yang berpandangan, pertimbangan kepada pelaksanaan hukum hudud tidak boleh dirujuk hanya semata-mata kepentingan politik dan peribadi tetapi perlu menyeluruh dan diberi keutamaan demi agama, bangsa dan negara.

Katanya, persiapan berhubung pendidikan dan dakwah termasuk penyediaan prasarana dari sudut mahkamah harus mencukupi bagi memastikan pelaksanaannya berjalan baik dan tidak terbantut di tengah jalan.

"Sebelum pelaksanaannya, ia perlu kepada perbincangan secara profesional yang mengambil kira pandangan pakar-pakar undang-undang sivil dan syariah yang boleh membantu untuk mendapatkan input-input yang berguna demi keadilan sejagat.

"Pertimbangan juga perlu dirujuk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung pembahagian bidang kuasa di antara persekutuan dan negeri, sekiranya perlu penggubalan undang-undang wajar juga diberi perhatian demi pelaksanaannya," jelas beliau.

(Utusan Malaysia, 12 Februari 2014)

No comments:

Post a Comment