Thursday, February 13, 2014

Idealisme perjuangan aktivis

 
 


Aktivis Hindraf, P. Waythamoorthy selesai meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri dalam kabinet kerajaan Malaysia. Beliau dikatakan kecewa kerana kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak gagal melaksanakan penambahbaikan ke atas masyarakat etnik India di negara ini.

Sehari selepas itu, beliau mula bersuara menzahirkan rasa tidak puas hati dengan menuduh kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk meningkatkan taraf hidup etnik minoriti itu.

“Kami mencabar Subramaniam dan Saravanan menyatakan secara terbuka kepada Najib jika tidak memenuhi janji”, kenyataan Hindraf dalam nada kecewa.

Waythamoorthy turut menggesa Malaysian Indian Congress (MIC) untuk mengikut jejak langkahnya atas alasan kerajaan tidak menepati janji.

Hindaf dikatakan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Barisan Nasional sebelum pilihan raya 2013 dengan usaha sendiri tanpa melibatkan MIC.

“Dia sendiri yang menandatangani MoU. Dia tidak pun menjemput ahli MIC untuk bersamanya”, jelas Saravanan.

“Tiba-tiba hari ini dia meletakkan jawatan daripada pos kerajaan dan Hindraf mahu kami mengikut langkah yang sama?” katanya dalam nada tanda tanya.

Peranan Waythamoorthy dalam kabinet hampir langsung tidak ada kesan. Suaranya agak lantang beberapa bulan lalu tetapi selepas itu langsung tidak kedengaran lagi. Beliau gagal menempatkan idea dan kepakaran selepas diberi peluang dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau juga kurang bijak kerana tidak melihat peruntukan RM500 juta untuk pinjaman perniagaan dan peruntukan pendidikan khusus kepada etnik minoriti India untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Oleh kerana kurang bijak, peranan melobi bagi masyarakat India diambil alih oleh pemimpin MIC yang tentunya lebih berkesan menyampaikan hasrat dan keperluan sebenar etnik itu.

Perletakan jawatan Waythamoorthy menjadi contoh bagaimana kelantangan bersuara tidak semestinya dapat bekerja dengan cekap dan berkesan. Tidak semua pemimpin yang lantang ini boleh melakukan kerja. Sebaliknya pemimpin yang tidak banyak bercakap lebih baik dan cekap kerjanya.

Waythamoorthy boleh bersuara mengikut kehendak hatinya dengan membawa isu ini dalam arus perdana pembangunan Malaysia tetapi imejnya sudah berubah kerana gagal membawa perubahan. Kegagalan ini mungkin menjadikan kredibilitinya terhadap kerajaan semakin kritikal dan mengambil sikap bermusuhan.

  

No comments:

Post a Comment