Friday, February 14, 2014

Inisiatif kebajikan sosial MyHome






Kerajaan memperkenal program MyHome iaitu bantuan kewangan sehingga RM30,000 kepada kumpulan pendapatan isi rumah kurang RM3,000 untuk membeli rumah pertama pada harga rumah kos rendah. Program ini bermula 1 April depan.

Menerusi skim ini, mereka yang layak hanya perlu membayar harga rumah kos rendah yang ditetapkan di setiap negeri manakala bakinya akan dibayar oleh kerajaan terus kepada pemaju. Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan menyediakan dana RM300 juta dalam Bajet 2014 yang memanfaatkan 10,000 orang yang layak.

Antara ciri skim ini ialah pembeli yang layak tidak perlu menyediakan wang pendahuluan dan lebih mudah mendapat pinjaman bank kerana telah layak dipertimbangkan untuk skim ini. Selain itu tidak ada kouta yang tetap untuk siapa yang layak.

Kesan jangka masa panjang ialah industri perumahan semakin berkembang kerana permintaan terhadap bahan binaan akan meningkat dan aktiviti berkaitan reka bentuk rumah turut rancak. Mungkin terjadi lebih banyak syarikat pemaju akan muncul kerana peluang bisnes lebih besar.

MyHome merupakan sebahagian daripada kebajikan sosial yang menjadi teras kepada pembangunan negara. Rumah menjadi komponen penting untuk kesejahteraan masyarakat lebih-lebih lagi golongan yang tidak berpendapatan tinggi.

Di kawasan bandar, menyediakan kawasan perumahan kos rendah seperti ini dapat mengurangkan setinggan dan membentuk suasana kehidupan yang lebih teratur, bersistem dan selamat. Semua kemudahan asas akan disediakan seperti sekolah, klinik kesihatan dan ruang perniagaan. Setiap kali kawasan perumahan baru muncul, peluang pekerjaan turut bertambah.

Peniaga dapat meluaskan jaringan pelanggan kerana permintaan pasti meningkat. Justeru keperluan untuk keluarga bertambah seiring dengan pertambahan isi rumah.

Inisiatif MyHome juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha pembasmian kemiskinan yang jelas. Program ini boleh juga dikatakan sebagai intervensi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Dari segi politik, pertambahan kawasan perumahan mampu milik menguatkan kedudukan Melayu di bandar dan pinggir bandar. Hal ini dapat mengekalkan kuasa dan membaiki kedudukan politik, ekonomi dan sosial masyarakat Melayu pada masa hadapan.

Merancang pembangunan perumahan menjadikan setiap rakyat di negara ini mendapat peluang hidup yang lebih baik. Jaminan keselamatan sosial seperti ini boleh menggerakkan setiap orang untuk berusaha dengan lebih gigih dan menentukan masa hadapan yang lebih baik.

Kerajaan-kerajaan negeri juga wajar menyediakan skim seperti ini kepada rakyat negeri masing-masing supaya tekad setiap orang memiliki rumah menajdi kenyataan.

 

No comments:

Post a Comment