Thursday, February 20, 2014

Minta hujan dengan solat istisqa'

 
 
 
 



Musim kering ketika ini menyukarkan penduduk di beberapa buah negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Media melaporkan paras air di empangan utama semakin turun dan menjangkakan akan berlaku krisis air jika paras air tidak naik dalam tempoh dua minggu.


Satu soalan kita boleh tanyakan ialah adalah krisis air ini berpunca dari alam atau kelemahan perancangan kita?

Malaysia dan negara sekitar Asia Tenggara jarang berhadapan dengan masalah kekurangan air, malah ada masanya berlebih-lebihan. Ketika air banyak kita dengan mudah membuat pembaziran dan membiarkan nyamuk membiak. Ketika air kurang pun kita masih membiarkan nyamuk membiak sehingga kes demam denggi naik mendadak.

Beberapa kaedah konvensional dan moden digunakan oleh penduduk negara ini untuk mengatasi kekurangan air. Bagi peniaga, ketika inilah masa untuk membentangkan cadangan pembinaan empangan yang lebih besar dengan matlamat menambah bilangan air. Bagi saintis, masalah kekurangan hujan dapat diatasi melalui pembenihan awan yang melibatkan kos agak besar, biasanya tidak banyak hujan yang turun.

Bagi masyarakat biasa, mereka beralih pada kaedah konvensional. Orang Islam khususnya menggunakan pendekatan solat istisqa’ dan doa. Solat ini khusus untuk meminta hujan turun ketika musim kering atau ketika hujan tidak pernah turun. Sebaik-baiknya dilakukan oleh ramai orang di satu-satu kawasan atau dilakukan di masjid.

Saya teringat ketika musim jerebu tahun 1998 lalu ketika berada di Brunei, kerajaan negara itu mengumumkan pagi hari khamis akan diadakan solat istisqa’ yang akan dihadiri oleh Sultan Brunei. Solat ini disempurnakan di Masjid Jamek Asri, Kg Kiulap.
Semua penjawat awam dan orang ramai diminta hadir. Solat yang sama turut diadakan di masjid dan surau seluruh negara.

Pada hari tersebut, ramai yang datang dan diimamkan oleh Mufti Kerajaan. Perkara paling menarik ialah ketika menyampaikan peringatan kepada makmum, mufti membalikkan selendang yang diletakkan di atas bahu. Ketegasan beliau ketika itu sangat jelas.

Selesai berdoa, makmum pulang ke tempat kerja masing-masing. Setengah jam selepas solat istisqa’ dilaksanakan, hujan turun membasahi Bandar Seri Begawan dan kawasan sekitar.

Fenomena ini jelas menunjukkan bahawa menunaikan solat istisqa’ melibatkan pemimpin dan rakyat memang ada kesannya. Doa yang dipohon bersama-sama ini dimakbulkan Allah swt.

Di negara kita, solat istisqa’ juga dilakukan di banyak tempat. Namun adalah lebih baik jika pemimpin negeri atau negara turut hadir bersama-sama rakyat menadah tangan berdoa.

Ketika musim kering ini, wajarlah bagi kita untuk berusaha dengan pelbagai cara yang bersesuaian supaya keadaan kering ini tidak berpanjangan. 

 

No comments:

Post a Comment