Saturday, November 16, 2013

Pulihkan imej imigresen




Lambang disiplin dan tegas


Jabatan Imigresen Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan korupsi dan rasuah. Pendedahan sebuah akhbar mengenai kejelikan segelintir anggota jabatan tersebut mencemarkan imej dan reputasi sebagai sebuah organisasi di barisan hadapan pintu masuk negara. Kejadian di lapangan terbang antarabangsa yang menerima kemasukan pelancong tentulah meresahkan promosi Tahun melawat Malaysia 2014 nanti.

Bukan sekali jabatan itu merosakkan imej organisasi sebaliknya ini kali ketiga. Kali pertama berlaku apabila ketua mereka didapati bersalah kerana rasuah yang melibatkan pekerja asing, kali kedua pula melibatkan sepasukan anggota yang ditukarkan dan sebahagiannya dihadapkan ke mahkamah kerana rasuah dengan cara membenarkan pekerja asing tanpa dokumen keluar dari negara ini.

Jabatan Imigresen sentiasa dilihat bermasalah kerana mereka kuang peka dengan usaha kerajaan untuk menghapuskan rasuah dan korupsi. Bagaimana persepsi orang ramai terhadap setiap orang staf jabatan itu ketika ini? Kita tentu boleh agak bahawa mereka kurang bermotivasi akibat tindakan segelintir anggota yang bermasalah ini.

Tidak semua staf jabatan terlibat dalam kegiatan tidak berintegriti ini namun ia sudah cukup untuk merosakkan imej dan reputasi sebagai sebuah jabatan yang tegas dan berdisiplin. Kakitangan yang lain begitu bersemangat dan memberi sepenuh komitmen untuk membantu meningkatkan tahap kecekapan kerja berbanding segelintir ini yang dahagakan wang ringgit dan kemewahan hidup.

Banyak usaha yang perlu dilakukan oleh ketua jabatan sedia ada di samping peranan persatuan jabatan supaya imej dan kemegahan uniform imigresen sentiasa dipelihara. Mereka tidak perlu membiarkan segelintir anggota yang rakus tadi merosakkan keseluruhan organisasi dan mengulangi sejarah lama.

 

No comments:

Post a Comment