oleh Nizam Yatim
Sejak 26 tahun lalu, boleh dikatakan saban tahun
akan ada individu berjasa yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat
Kebangsaan.
Individu berkenaan yang diiktiraf sebagai ikon umat
Islam akan menerima hadiah wang tunai yang kini berjumlah RM100,000, pingat,
plak dan sijil penghargaan.
Tetapi yang menjadi persoalan kepada kita, setakat
itu sahajakah penghargaan yang diberikan kepada tokoh berkenaan? Adakah
terdapat langkah lain yang dibuat supaya jasa mereka terus dikenang generasi
akan datang.
Walaupun telah ada usaha Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) untuk mendokumenkan biografi sebahagian daripada tokoh
berkenaan dalam buku khas yang diterbitkan pada 2006, tetapi ia tidak memadai
kerana apa yang diceritakan hanya sebahagian kecil sumbangan tokoh terbabit.
Sebuah buku dengan 559 halaman untuk menceritakan
segala jasa tokoh yang telah memberikan sumbangan bakti yang begitu besar
kepada umat Islam adalah tidak memadai.
Sehingga tahun ini, jumlah tokoh berkenaan
bertambah lagi menjadi 26 orang dan sepatutnya pihak berkenaan menerbitkan 26
buku yang masing-masing memuatkan biografi setiap tokoh terbabit.
Bagi menguji pembaca, berikut disenaraikan enam
tokoh terawal yang menerima anugerah tersebut dan tanyalah diri sendiri adakah
anda mengenali mereka sebelum ini.
AL-SYEIKH MUHAMMAD IDRIS ABDUL RAUF AL-MARBAWI
Individu pertama yang menerima anugerah berkenaan
pada 1408 Hijrah atau tahun 1987 amat berjasa kepada pelajar-pelajar di alam
Melayu terutamanya mereka yang mengikuti pengajian di negara-negara Arab.
Kamus Arab-Melayu karangan beliau yang dikenali
sebagai Qamus al-Marbawi adalah rujukan tetap pelajar-pelajar terbabit
sehinggalah mereka dapat menguasai bahasa Arab dengan baik.
Ulama yang berasal dari Kampung Merbau yang
terletak tidak jauh dari Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak dilahirkan pada
1893 di Mekah.
Allahyarham yang meninggal dunia pada 1989 ketika
berusia 96 tahun turut meninggalkan banyak karya-karya lain termasuk Bahrul
Mazi yang merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi yang pertama dalam bahasa
Melayu.
PROF. EMERITUS TAN SRI AHMAD MOHAMED IBRAHIM
Beliau adalah penerima anugerah yang kedua pada
1409 Hijrah atau tahun 1988. Sumbangan Allahyarham adalah dalam memperkemaskan
sistem pentadbiran undang-undang Islam Malaysia selaras dengan usaha kerajaan
menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya.
Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Penyelarasan Penggubalan Undang-undang Islam
dan Sivil, Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah
Bank Islam Malaysia Bhd.
Beliau yang meninggal dunia pada 1999 ketika
berusia 83 tahun telah menghasilkan puluhan judul buku yang kebanyakannya
berhubung dengan undang-undang keluarga dan pentadbiran Islam.
Allahyarham yang dilahirkan pada 1916 di Singapura
adalah berkelulusan undang-undang dari Kolej St. John's, Universiti Cambridge.
Sekembalinya ke Singapura, beliau menjadi peguam
bela pertama dilantik di republik itu dan kemudiannya sebagai Peguam Negara
Singapura yang pertama.
Antara jasa beliau ketika di republik itu adalah
menggubal Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam (AMLA) 1966 yang meliputi
penubuhan Majlis Agama Islam, mahkamah syariah, peruntukan kewangan untuk
masjid dan sekolah agama, undang-undang mengenai perkahwinan dan perceraian,
harta serta penukaran agama.
Pada 1968, Allahyarham bersara daripada
perkhidmatan awam Singapura dan berhijrah ke Malaysia.
Beliau kemudiannya berperanan menubuhkan pengajian
undang-undang di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM).
TAN SRI S.O.K. UBAIDULLA KADIR BASHA
Beliau yang meninggal dunia ketika berusia 90 tahun
pada 2009 adalah tokoh politik veteran dan ahli perniagaan terkemuka.
Allahyarham yang dikenali sebagai seorang pemimpin
dan dermawan yang sentiasa merendah diri telah memegang pelbagai jawatan semasa
hayatnya termasuk sebagai pengasas Yayasan Ubaidi, menjadi senator pada 1975
dan pengarah Bank Bumiputra Commerce Bhd.
Beliau merupakan ahli MIC yang terawal sejak
ditubuhkan pada 1946 dan kesetiaan beliau membolehkannya memegang beberapa
jawatan penting di dalam parti itu termasuk sebagai Pengerusi Tetap.
Allahyarham juga merupakan antara pengasas dan
Presiden kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Pengerusi
Persatuan India Muslim Malaysia (Permim).
Semasa hayatnya, Allahyarham banyak membantu
mempromosikan kesusasteraan Tamil dan menyertai aktiviti berunsur keagamaan
sehingga melayakkan beliau menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah pada 1989.
PROF. TAN SRI DR. MUHAMMAD ABDUL RAUF
Beliau lahir pada 1917 di
bandar Abu Sir Gharbieh, Mesir dan mendapat pendidikan tinggi berkaitan
pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Universiti Cambridge dan University of
London.
Beliau dihantar ke Malaya
oleh Universiti Al-Azhar pada 1955 untuk membuka Kolej Islam di Klang dan
kemudian, mengetuai Jabatan Pengajian Islam di Universiti Malaya.
Allahyarham juga dikenali
sebagai arkitek yang membentuk sukatan pelajaran Pengetahuan Agama
Islam sekolah rendah dan menengah dan sukatan pelajaran Bahasa Arab bagi
sekolah menengah.
Dari 1970 hingga 1980,
beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Islam di Washington, Amerika Syarikat
(AS).
Beliau kemudian dijemput
kembali ke Malaysia untuk menjadi Rektor pertama UIAM dari 1983 hingga 1988 dan
kemudian berpindah ke Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) di Terengganu
sebagai Penasihat Akademik sebelum bersara pada 1992.
TAN SRI MOHD. ASRI MUDA
Beliau yang meninggal
dunia pada 1992 ketika berusia 69 tahun adalah Presiden Pas dari 1969 hingga
1982 sebelum digantikan oleh Yusof Rawa.
Beliau yang dilahirkan di
Kampung Masjid, Kota Bharu, Kelantan mendapat pendidikan awal di Sekolah Majlis
Ugama Islam, Kota Bharu dan Pondok Masjid Muhammadi.
Allahyarham pernah
menjadi guru agama di Madrasah Al-Ihya Asy-Syariff, Gunung Semanggol, Perak.
Antara jawatan tinggi yang pernah disandangnya adalah Menteri Besar Kelantan dari
1964 hingga 1974.
Beliau adalah tokoh yang
membawa Pas menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang menyaksikannya
dilantik sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah sehingga 1977.
RAJA TUN MOHAR RAJA
BADIOZAMAN
Beliau meninggal dunia pada
2003 ketika berusia 81 tahun. Dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak dan
berkelulusan dalam bidang ekonomi dari Universiti Cambridge.
Allahyarham pernah
menjadi Penasihat Khas Ekonomi kepada tiga Perdana Menteri iaitu Tun Abdul
Razak Hussain, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau dikenali sebagai
seorang yang berintegriti tinggi bertanggungjawab menubuhkan Permodalan
Nasional Berhad (PNB) dan turut terbabit sebagai perunding bagi membolehkan
Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Soviet.
Antara jasa beliau ketika
menerajui Petronas pula adalah untuk mendapatkan kawalan semula hasil minyak
mentah negara yang pada masa itu dikuasai oleh Shell dan Exxon.
(Utusan Malaysia, 9 November 2013)
No comments:
Post a Comment