Tuesday, November 12, 2013

Cabaran politik berkoalisi







oleh Karim Raslan

Koalisi politik boleh diibaratkan seperti satu ikatan perkahwinan. Sebuah koalisi akan harmonis (sama seperti ikatan perkahwinan yang baik) apabila setiap pihak dapat bekerjasama tanpa terlalu banyak mengkompromikan agenda perjuangan mereka.

Apabila pasangan lebih banyak bertengkar, hubungan akan menjadi keruh dan boleh bawa kepada keruntuhan rumah tangga. Hal sama boleh berlaku dalam sebuah koalisi politik.

Tidak dapat dinafikan, pembentukan sebuah koalisi adalah suatu proses yang rumit di mana setiap pihak akan melalui proses rundingan panjang bagi mendapatkan hasil terbaik.

Di Jerman, Parti Demokrat Kristian pimpinan Angela Merkel masih dalam proses rundingan membentuk kerajaan walaupun telah memenangi pilihan raya umum pada September lalu.

Di Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) pada tahun 2009, berjaya membentuk sebuah koalisi kerajaan yang diberi nama “Sekretariat Gabungan” (Setgab). Terdapat enam parti tergolong dalam Setgab tersebut di mana gabungan mereka menguasai lebih kurang 75.5% dari jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.

Perlu diketahui koalisi politik adalah suatu perkara yang biasa di Indonesia memandangkan negara ini mempunyai jumlah populasi yang cukup besar dan masing-masing mewakili kepentingan dan agenda politik berbeza-beza.

Namun, menjelang pilihan raya umum 2014 tidak lama lagi, hubungan antara parti dalam Setgab menjadi semakin tegang. Antara sebab utama, faktor SBY yang semakin hampir menamatkan penggal kedua dan terakhir beliau sebagai presiden.

Untuk itu, kita harus bertanya adakah koalisi yang dibina SBY itu mampu bertahan apabila dia turun dari tampuk kuasa? Dengan berakhirnya era pemerintahan SBY, adakah koalisi Setgab akan mengalami suatu krisis genting yang kemudiannya dapat dipulihkan atau adakah ia akan mencetuskan sebuah kemelut yang boleh menjurus kepada perpecahan dan kehancuran?

Sebenarnya, masalah dalam Setgab bukanlah perkara baru. Misalnya pada Februari 2011, dua ahli Setgab iaitu parti Golkar dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) ambil pendirian untuk tidak menyebelahi kerajaan dalam usaha menyokong cadangan menubuhkan sebuah jawatankuasa dalam siasatan kes rasuah cukai. Namun tiada sebarang tindakan dikenakan kepada kedua parti ini. Selain itu, PKS baru-baru ini turut menentang keputusan bersama Setgab untuk naik harga minyak.

Malah, ketegangan dalam Setgab menjadi semakin ketara apabila Parti Demokrat dan Golkar, dua parti terbesar dalam Setgab, mengumumkan secara terbuka mereka membuka pintu bagi membentuk sebuah koalisi bersama Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) pimpinan Ibu Megawati selepas pilihan raya legislatif pada 2014. PDI-P kini parti pembangkang utama di Indonesia.

Tambahan pula, hubungan antara Parti Demokrat dan Golkar bertambah parah dengan kontroversi penangkapan Akil Mochtar, Ketua Mahkamah Konstitusi Indonesia. Masing masing saling menuduh akan punca wujudnya dinasti politik yang berleluasa di Indonesia.

Di Malaysia, politik berkoalisi mempunyai masalah berbeza.Contohnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah sebagai koalisi sejak Merdeka lagi, perlu mengimbangi pengaruh dominan Umno memandangkan MCA dan MIC, dua parti komponen utama BN, mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Sebagai tunjang BN, Umno  berada dalam kedudukan selesa untuk menentukan hala tuju sesuai bagi parti komponen walaupun ini tidak semestinya perkara terbaik bagi sebuah koalisi. Dominasi Umno menggugat kestabilan koalisi BN.

Buat masa ini, koalisi pembangkang Pakatan Rakyat tampak lebih seimbang tanpa satu parti mendominasi yang lain. Setelah berjaya menafikan kemenangan 2/3 majoriti kerusi
Parlimen bagi BN buat dua pilihan raya umum berturut-turut, PR dilihat mampu bertahan untuk suatu jangka panjang.

Walau bagaimanapun, perbezaan ideologi yang ketara antara Pas dan DAP tidak boleh diketepikan. Biarpun Pas sudah mengurangkan tekanan terhadap agenda Islam mereka, golongan konservatif dalam parti masih tidak selesa dengan kedudukan Pas “bersekongkol” dengan parti komponen PR lain.

Kembali kepada perbincangan tentang Indonesia, dalam beberapa bulan ke depan menjelang pilihan raya umum 2014, kita bakal menyaksikan pelbagai aktiviti pra-gabungan koalisi berlaku antara parti-parti politik di mana masing-masing akan mencuba mencari ‘rakan politik’ baharu. Jika ini berlaku di Malaysia, semestinya pihak penguat kuasa agama akan memantau keseluruhan aktiviti dengan penuh teliti.


(Sinar Harian, 12 November 2013)

 

No comments:

Post a Comment