Sunday, November 10, 2013

Jejak penjenayah asing






Kejayaan pasukan polis menjejak, menahan dan menangkap penjenayah paling kejam tahun ini amat membanggakan. Penjenayah yang tidak rasa bersalah menembak sehingga mati pegawai operasi sebuah bank pada bulan lepas dikesan berada di Kota Tinggi dan disyaki cuba meloloskan diri ke negara jiran.

Penangkapan ini menjadi amaran kepada mana-mana penjenayah, penyamun dan perompak asing yang cuba menjadikan rakyat Malaysia sebagai mangsa kerakusan mereka. Selagi mereka berada di dalam negara ini, pasukan polis akan mencari sehingga dapat.

Umum mengetahui bahawa penjenayah yang ditangkap ini menggunakan kad pengenalan palsu, suatu tanda yang menunjukkan dengan jelas betapa penguatkuasaan undang-undang amat lemah di agensi kerajaan. Bagaimana kad pengenalan boleh dipalsukan? Kita tidak pula mendengar kad pengenalan rakyat asing menjadi palsu.

Di Malaysia, kita biasa dengar wang palsu, mata palsu atau geran tanah palsu namun orang palsu adalah fenomena baru kerana wujudnya kad pengenalan palsu. Akibat kad pengenalan palsu ini, imej agensi kerajaan dan negara mudah tercemar.

Kerjasama orang ramai dan polis untuk menangkap penjenayah palsu itu walaupun hampir tiga minggu tetap membanggakan kerana penyaluran maklumat sentiasa dikemaskini. Apatah lagi anggota keluarga penjenayah sudah pun ditahan dan mereka menjadi pemberi maklumat yang sangat berkesan.

Polis masih ada dua kes yang perlu diselesaikan iaitu perancang pembunuhan sebuah bank di Kuala Lumpur dan penculikan 19 jam kanak-kanak Britain.

Kita ingin melihat pihak polis segera menyelesaikan pemburuan mereka supaya keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis sentiasa meningkat dan boleh diberi kepercayaan.
  

No comments:

Post a Comment