Kawasan kawah di Tangkuban Parahu |
Perjalanan ke Bandung, Indonesia mengambil masa selama dua jam. Pesawat Air Asia Indonesia sangat lancar. Ini merupakan kali pertama saya ke kota Bandung walaupun pernah diajak oleh rakan-rakan sebelum ini.
Lapangan Terbang Husein Sastranegara agak kecil. Perjalanan dari KLIA pukul 9.50 malam dan tiba di Bandung hampir jam 11.30 malam waktu setempat. Pesawat sangat lancar dan pendaratan dilakukan dengan sempurna. Pilihan makanan yang disediakan kurang menepati citarasa saya namun dijamah juga.
Kaunter imigresen ada tiga sahaja tetapi pelepasan pelancong agak pantas. Masalah utama ialah menunggu bagasi. Tempat mengambil bagasi sangat sempit dan setiap orang perlu sabar menunggu beg masing-masing.
Selepas mendapatkan beg, saya masih perlu mengimbas beg yang dibawa. Sekali lagi terpaksa beratur panjang. Keramahan petugas meredakan sedikit gelisah menunggu bagasi dan barisan penumpang yang panjang.
Saya memilih teksi di lapangan terbang ke hotel penginapan. Teksi warna biru adalah teksi rasmi di sini. Bayarannya Rp50,000 atau RM18. Masa yang diambil ke hotel lebih kurang 15 minit kerana jalan raya yang lengang. Nama pemandu teksi ialah Osama, punya tiga orang anak dan sembilan cucu, tinggal di Pasteur. Dia juga ada buat kereta sewa dengan bayaran Rp600,000 sehari. Bayaran ini sangat mahal kerana saya boleh dapat kereta sewa dengan pemandu hanya Rp400,000 sehari.
Sebenarnya di hadapan kaunter pintu keluar lapangan terbang terdapat beberapa orang pemandu teksi persendirian yang bertanya sama ada hendak teksi atau tidak. Dari kaunter tadi hingga hampir ke parkir teksi, ada yang mengekor termasuk yang menjual kad sim simPATI. Lebih baik kita membeli kad ini kerana murah dan jimatkan kos.
Saya tiba di Hotel Citarum, Jalan Citarum No. 16 untuk bermalam. Hotel ini agak kecil tetapi selesa. Satu malam ialah Rp450,000 bagi bilik keluarga. Paling bagus hotel ini ada arah kiblat. Naik tingkat tiga tanpa lif adalah pengalaman menarik. Kafe di tingkat empat. Di sebelahnya ada bangunan tambahan hotel.
Oleh kerana waktu subuh masuk lebih awal, loceng jam juga dikunci awal. Awalnya ialah 15 minit, jadi jam perlu dikunci 15 minit awal supaya tidak terlepas waktu subuh kerana doa orang yang bermusafir sangat mustajab. Peluang melancong dan berjalan-jalan adalah baik untuk banyakkan doa.
Selepas di Hotel Citarum, saya ke Hotel Amaris, lebih kurang 5 minit berkereta kerana memang hotel itu yang ditempah. Bilik hotel agak kecil tetapi bolehlah dikatakan selesa. Dalam bilik tidak ada arah kiblat, jadi kenalah rujuk pada kompas telefon bimbit. Kain sejadah boleh diminta di kaunter. Kelebihan bilik ialah sinki air di luar kerana mudah untuk mencuci tangan atau muka. Walaupun tidak ada cerek, di hadapan pintu bilik terdapat "water cooler" yang sentiasa diisi air sejuk dan panas.
Bandung penuh dengan kedai menjual pakaian dan barangan kulit seperti Rumah Mode, One World. dan Rumah Tas. Reka bentuk penempatan di Bandung adalah bertompok-tompok iaitu satu tompok kawasan dipenuhi dengan rumah dan tempat perniagaan menjadikan bandar ini terlalu banyak jalan pintas dan simpang. Cuma di bahagian yang berkaitan dengan perusahaan dan tumpuan, kawasannya padat dengan rumah kedai, bangunan dan tempat tinggal. tidak banyak bangunan tinggi dan moden di sini. Persekitaran yang sentiasa ditanam pokok menjadikannya teduh.
Pasar Baru adalah kawasan jualan tekstil yang menjadi pilihn kerana kainnya yang murah dan pelbagai jenis. Kemahiran menawar sangat penting di sini kerana harganya berbeza jika pelancong yang membelinya. Di tingkat atas pasar adalah masjid manakala tujuh tingkat lainnya adalah kedai, medan selera dan kawasan parkir. Oleh kerana Pasar Baru menjadi tumpuan, keselamatan dompet dan beg duit sangat penting. Sebaiknya di poket seluar depan diletakkan dompet manakala bagi wanita, lebih baik beg duit dialihkan ke hadapan kerana penyeluk saku di sini menggunakan pisau kecil untuk menebuk beg dan mengambil wang.
Bangunan di sekitar Pasar Baru masih mengekalkan bangunan lama yang berselerak dan kurang terurus. Kebersihannya juga jauh daripada standard kerana pelbagai ragam manusia yang ada di sini. Menariknya ialah terdapat syarikat teksi yang menggunakan Proton Waja sebagai teksi utama.
Kereta bersimpang-siur dengan beca dan motosikal. Di kiri dan kanan jalan terdapat puluhan motosikal yang menjadi nadi pengangkutan penduduk Bandung.
Di perhentian lampu isyarat, kedapatan penjual surat khabar dan pelbagai jenis peralatan berjalan dari kereta ke kereta mengharapkan barang mereka dibeli. Penjual ini pula masih muda dan tidak ada rasa malu menghulurkan barang untuk dibeli.
Antara nama-nama menarik yang sempat saya tulis ialah Malacca Trust Insurance, Bebek Setan, 5aSec, Dapur Iga, Ayam Goreng Suharti, Toko Tiga dan Pasar. Pasaraya Giant juga ada di sini tetapi agak kecil.
Berhampiran hotel, terdapat sebuah rumah makan Sunda yang bernama Ampera. Hidangan Sunda sangat sedap itu pun sekali-sekala makan. Kalau selalu makan, pasti rasa jemu kerana tidak banyak pilihan.
Sekitar Bandung, reka bentuk rumah dan bangunan masih mengekalkan ciri-ciri kebelandaan. Parabola juga besar dan ada di setiap rumah.
Keunikan jalan raya di Bandung ialah di setiap simpang yang sibuk akan terdapat seorang "traffic man" yang menguruskan lalu-lintas. Biasanya pengguna jalan raya akan meghulurkan duit kerana menghargai usahanya melancarkan perjalanan. Siapa-siapa sahaja boleh menjadi "traffic man" ini.
Tempat paling menarik di Bandung ialah Tangkuban Parahu iaitu kawasan kawah gunung berapi. Nasib saya agak baik kerana ketika menjejakkan kaki di kawasan berkenaan, ia baru empat hari dibuka selepas ditutup hampir sebulan kerana kawahnya mengeluarkan gas beracun dan tidak selamat.
Sepanjang perjalanan ke kawah berkenaan, saya melalui Universitas Pendidikan Indonesia, Kampung Daun dan beberapa buah hotel. Perjalanannya umpama ke Ranau, Sabah kerana di kiri dan kanan banyak dijadikan pusat perniagaan dan resort. Aktiviti lain ialah menjual arnab, buah-buahan khususnya strawberry, rumah urut, Rumah Kasih dan jualan tepi jalan.
Di sekitar kawah ini didirikan pagar supaya orang ramai tidak turun ke dasar kawah. Bau belerang agak kuat ketika ini walaupun suhu di kawasan gunung tidaklah terlalu panas. Deretan kedai cendera mata menjual pelbagai jenis barangan termasuklah rantai dan gelang yang dibuat daripada batu kawah gunung. Penjual kecil-kecilan turut berkeliaran mencari pelanggan dan pelancong yang rata-ratanya teruja dengan suasana sekitar.
Gerai menjual makanan dan minuman menjual menu yang sama iaitu jagung bakar dengan harga Rp10,000 setongkol. Menu lain ialah nasi rames, bandrek susu, teh susu dan bajigur.
Bandung sesuai untuk membeli-belah khususnya pakaian kerana banyak pilihan dan menarik. Perjalanan dua jam dari KLIA tidaklah lama. Jika dua atau tiga kali di Bandung, kita sudah biasa dengan keadaan masyarakat di sini dan boleh menyesuaikan diri dengan baik asalkan ada wangnya.
No comments:
Post a Comment