Thursday, November 28, 2013

Rakyat yang menghayati nilai





Pupuk nilai mulia melalui hubungan formal dan tidak formal


 
oleh Sidek Baba

Nilai adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Ia adalah ukurtara memandu manusia membuat pilihan. Nilai yang diambil daripada sumber agama, tamadun, budaya dan etika adalah penting kerana manusia memerlukan pedoman terbaik dalam kehidupan.

Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) memerlukan setiap murid sekolah rendah dan menengah melibatkan diri dalam khidmat komuniti.

Bagi murid sekolah menengah, elemen khidmat komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan sekolah menengah. Kurikulum Pendidikan Agama Islam bagi murid Islam dan Kurikulum Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam akan diperkukuhkan supaya akan merangkumi tumpuan yang lebih kepada pemahaman tentang nilai-nilai perpaduan dan hubungan baik sesama insan.

Pada asasnya nilai bagi Pendidikan Islam merujuk kepada nilai paling utama (supreme values) yang sifatnya tauhidik. Nilai tauhid ini merentasi asas ibadah dan syariah supaya terbangun pekerti teladan yang baik. Pelajar yang insaf-ketuhanan (God-conciousness) akan sentiasa terpedoman dan tidak terkeluar dalam landasan yang bercanggah dengan aqidah, ibadah dan syariah.

Bagi pelajar bukan Islam nilai-nilai interaktif (interactive values) yang diambil daripada sumber agama, budaya, falsafah dan tradisi yang sifatnya sejagat perlu dipupuk supaya ia memberikan pedoman terhadap amalan moral dan etika yang baik.

Nilai yang telah dipelajari akan diamalkan dalam kehidupan harian yang sepatutnya menghasilkan tingkah laku sivik, seperti peningkatan dalam aktiviti sukarela, penerimaan individu berlainan bangsa, agama dan etnik, menghindari perbuatan rasuah dan jenayah serta menunjukkan tingkah laku amanah dan berintegriti.

Selain itu, setiap murid yang tamat persekolahan bersedia menjadi pemimpin bagi diri dan keluarga mereka atau sebagai sebahagian daripada komuniti yang lebih besar serta negara.

Isu nilai ini mempunyai kaitan rapat dengan contoh teladan yang dimiliki oleh penjaga dan pendidik. Di rumah ibu bapa menjadi sumber teladan yang menghasilkan nilai kepada anak-anak dan di sekolah guru menjadi sumber ikutan bila melakukan
pengajaran dan pendidikan.

Satu hal yang penting dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran ialah kesan penghayatan. Pendidikan bukan sekadar suatu proses memindahkan maklumat, ilmu dan kemahiran tetapi ianya adalah suatu proses transformasi insan.

Justeru ilmu yang benar dan bermanfaat dan terkandung nilai dan etika yang tinggi bakal menyuburkan akal budi insan. Maklumat yang sifatnya mekanistik dan bebas nilai (value free) mungkin berguna untuk keperluan tertentu tetapi tidak menjadi pedoman untuk membentuk watak manusia yang mendukung nilai-nilai luhur.

Sebab itu corak kehidupan yang pragmatik tanpa nilai boleh menyebabkan anarki terjadi. Meraikan realiti tanpa idealisme tinggi boleh menyebabkan kehidupan hilang arah dan celaru. Nilai agama dan moral menjadi batasan menentukan sesuatu tindakan atau sebaliknya.

Bagi masyarakat Islam nilai tauhidik menjadi nilai paling utama (supreme values) kerana ada asas kesatuan di dalamnya. Keyakinan terhadap Pencipta dan hubungannya dengan alam dan kehidupan sifatnya saling berhubung dan tidak boleh dipisahkan.

Bila hal ini difahami manusia memiliki jiwa ruku dan sujud yang membawa kepada sifat kehambaan yang tinggi dan menyebabkan manusia memiliki sifat taat, patuh, akur dan tunduk. Inilah juga gambaran sunnatullah di mana semua faktor alamiah tunduk atas ketentuan Pencipta.

Hal yang sama nilai-nilai interaktif menjadi landasan hubungan manusia sesama manusia atas pertimbangan nilai dan etika supaya ada keserasian nilai-nilai sejagat dengan nilai-nilai yang lain dan sifatnya tidak bercanggah tetapi melengkapi.

Inilah asas litaarrafu iaitu kekenalan dan kesalingan yang terungkap dalam al-Quran (al Hujurat:13) dalam erti kata yang luas supaya wujud manfaat berbanding antara agama, falsafah, budaya dan tradisi yang sifatnya saling mengukuhkan pegangan diri yang coraknya tidak indoktrinatif atau bercanggah.

Nilai amanah, adil, telus dan telus umpamanya adalah nilai-nilai agama, falsafah dan budaya. Ianya bersifat sejagat. Sekiranya nilai ini menjadi sumber amalan ia bakal menghasilkan persefahaman yang tinggi dan manusia dididik untuk mengamalkan persamaan dan bertolak ansur mengenai perbezaan dan menghormati orang lain.

(Sinar Harian, 28 November 2013)

No comments:

Post a Comment