Saturday, November 30, 2013

Kasih tidak pernah pudar




Kasih sayang sentiasa mekar


Pelarian selama 30 tahun aktivis politik, Siti Aishah Abdul Wahab berakhir apabila doa dan harapan keluarganya dimakbulkan Allah swt. Dikatakan menjadi hamba kepada pasangan suami isteri berketuruan India di Britain, Siti Aishah sudah pun berusia 69 tahun dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Malah pihak polis tidak berminat untuk menghalangnya kembali ke kampung halaman di Jelebu, Negeri Sembilan. Masyarakat Malaysia juga tidak menunjukkan minat yang sungguh untuk menyambut kepulangan beliau kerana ideologi komunis tidak lagi menjadi ikutan.

Peristiwa lepas telah berlalu dan Siti Aishah wajar melihat masa depan beliau masih ada sinar di negara sendiri khususnya dapat berjumpa dengan adik-beradik dan sanak-saudara yang merindui kehadirannya.

Pengajaran paling istimewa dalam kes ini ialah kasih sayang keluarga tidak pernah putus walaupun 30 tahun berpisah. Kisah hilang dan jumpa ini akan menjadi iktibar kepada masyarakat khususnya berkaitan perjuangan untuk mencari ahli keluarga tidak pernah padam. Usaha dan ikhtiar tetap dilakukan dengan harapan akan bertemu suatu hari nanti.

Kasih sayang adalah anugerah Allah swt yang sangat unik kepada manusia lebih-lebih yang ada hubungan saudara. Kasih sayang mengikat dua hati malah jutaan hati untuk bersatu dan hormat-menghormati. Beruntunglah orang yang memiliki kasih sayang ini yang disandarkan dengan iman dan taqwa kepada Allah swt.

Siti Aishah dikatakan seorang pelajar pintar namun kepintaran itu telah melorongnya memilih pendekatan yang salah. Kehidupannya tidak ke mana berbanding rakan-rakan yang sederhana pencapaiannya, menikmati kehidupan berkeluarga dan tahu matlamat hidup. Tindakan Siti Aishah sukar dicari jawapannya kecualilah beliau sendiri yang mahu berkongsi inspirasi dan sebab-musababnya.

Kelompok yang memperjuang fahaman komunis dan sosialis tidak lagi mendapat tempat dalam masyarakat dunia hari ini. Selepas menolak komunis pada tahun 1989, negara-negara terlibat mula menukar rejim dan mengambil pendekatan baru dalam mengurus masyarakat dan negara. Sedikit demi sedikit kebebasan beragama mula muncul dan seiring dengan masa, fahaman komunis berkubur.

Golongan pejuang komunis hilang ruang untuk mengembangkan ideologi mereka. Di Malaysia, abu mayat pemimpin komunis yang telah mati tidak dibenarkan berada di tanah air kerana kezaliman dan kekejaman yang dilakukan ketika era 40-an hingga 60-an dahulu.

Dalam kes Siti Aishah, menjadi hamba kepada ideologi yang berlawanan dengan fitrah manusia bukanlah satu pengalaman yang hebat untuk dikenang seumur hidup.

No comments:

Post a Comment