Kemahiran bahasa boleh dipupuk sejak kecil |
oleh Sidek Baba
Bahasa adalah medium pengajaran dan pembelajaran. Kurikulum tidak boleh disampaikan tanpa kemahiran berbahasa dan kefahaman tidak akan berlaku tanpa murid-murid menguasai bahasa dengan baik.
Anjakan kedua memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan.
Pendekatan memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah strategi yang dirancang dengan baik supaya kedua-dua bahasa itu menjadi medium menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran.
Bahasa mempunyai kaitan dengan ilmu supaya sifat bahasa itu memiliki kebakuan dalam istilah dan sebutan tetapi terkandung isi yang mampu mengangkat martabat insan.
Bahasa dalam status tinggi mengungkapkan nilai-nilai falsafah, kemanusiaan dan saintifik supaya ia terus hidup dan berfungsi untuk menyuburkan pemikiran dan amalan.
Sebab itu bahasa yang mati dan terpinggir sebagai bahasa basahan dan sukuan tidak mampu mengungkap ide-ide besar yang sifatnya sezaman, melainkan bahasa itu diaplikasi dalam sistem pendidikan di setiap tahap dan sentiasa terbuka untuk menerima pengaruh dari sumber-sumber lain.
Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan bahasa Inggeris adalah bahasa kedua yang penting untuk memanfaatkan perkembangan global terutama dalam bidang sains dan teknologi.
Telah terbukti pendekatan memartabatkan bahasa Melayu di setiap tahap pendidikan negara menghasilkan ribuan graduan yang berkualiti dan mampu ke luar negara mempelajari ilmu yang bersifat kepakaran.
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu harus dimartabatkan penggunaannya di setiap peringkat supaya asas fundamental bagi Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan (Perkara 152) tidak sahaja menjadi bahasa komunikasi untuk hubungan sosial yang lebih baik tetapi menjadi bahasa ilmu dan rujukan untuk kemajuan negara.
Menjelang 2016, Kementerian Pelajaran akan menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Tambahan penyediaan mata pelajaran bahasa lain di semua sekolah rendah dan menengah akan diperkukuh supaya setiap murid berpeluang mempelajari bahasa tambahan menjelang 2025.
Dalam tradisi Islam tidak ada apa yang dikatakan linguistic chauvinisme atau kefanatikan berbahasa. Lebih banyak bahasa yang dikuasai secara jangka panjang adalah lebih baik kerana ruang untuk ilmu pengetahuan berkembang adalah bertambah baik.
Ilmuwan Islam seperti Ibn Sina, Al Biruni, Al Khawarizmi, Abu Qasim az Zahrawi dan ramai lagi menguasai berpuluh-puluh bahasa dan menjadikan mereka ilmuwan tersohor dalam bidang masing-masing.
Literasi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diperkasa dan murid yang ketinggalan akan mengikuti kelas pemulihan sehingga mereka dapat mengikuti kurikulum aliran perdana. Guru yang mengajar murid lemah ini akan menerima bimbingan khusus daripada pembimbing guru peringkat daerah.
(Sinar Harian, 21 November 2013)
No comments:
Post a Comment