Wednesday, November 13, 2013

Bisnes musim cuti sekolah




Tempat melancong di Melaka
 

Cuti sekolah yang akan tiba pada minggu hadapan membuka peluang kepada usahawan-usahawan baru untuk mencari wang. Musim cuti sekolah tidak patut dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa memberikan sebarang keuntungan kepada usahawan khususnya "usahawan segera".

Ada beberapa jenis bisnes yang boleh diusahakan. Pertama, menyediakan perkhidmatan sewa kereta dan pemandu. Bisnes jenis ini perlukan komitmen yang tinggi di samping pengetahuan yang mendalam tentang jalan raya dan tempat-tempat pelancongan tumpuan. Caj yang dikenakan bergantung kepada jenis kereta dan tempat yang hendak dituju. Biasanya RM120 hingga RM200 adalah caj yang boleh diterima.

Kedua, pemandu pelancong sampingan. Walaupun pemandu pelancong perlukan lesen khusus, menjadi pemandu pelancongan sampingan ini dapat menambah pendapatan, cuma perlu tingkatkan pengetahuan tentang sejarah dan kemahiran komunikasi. Usahawann jenis ini boleh dapatkan pelancong yang mahukan perkhidmatan dengan harga yang murah dan cepat. Bagaimanapun bisnes ini perlukan beberapa kemahiran yang lebih baik. 

Ketiga, bisnes inap desa atau homestay. Bisnes ini sangat menguntungkan waktu cuti sekolah kerana biasanya satu keluarga yang bergerak serentak. Mereka inginkan tempat tinggal yang besar, mudah meletakkan kenderaan dan boleh bersantai bersama. Inap desa adalah pilihan terbaik kerana biasanya rumah yang disediakan terdapat tiga hingga lima bilik dengan kemudahan asas yang sempurna. Harganya bergantung kepada keadaan rumah, jarak dari bandar dan akses jalan raya.

Keempat, bisnes jual barangan mainan kanak-kanak. Bisnes jenis ini sangat popular di kawasan tumpuan pelancong, contohnya di kawasan bulatan Masjid Putra, Putrajaya. Sebelah malam akan ramai dengan pelancong yang membawa anak-anak bersiar-siar dan di sinilah kesempatan kepada usahawan untuk menjual pelbagai jenis mainan. Harga serendah lima ringgit masih menguntungkan kerana pelanggan akan ada pada setiap malam. Jika dijual di Bandar Hilir, Melaka, tentulah lebih banyak keuntungannya kerana musim cuti sekolah menjadikan laluan dari Tol Ayer Keroh hingga ke Bandar Hilir sentiasa sesak dengan pelancong.  


Cari wang dengan menghiburkan pengunjung


Kelima, menjadi badut. Bisnes ini sangat mudah tetapi lebih baik berkumpulan supaya tidak bosan. Usahawan boleh tawarkan diri untuk menjadi maskot kepada mana-mana organsasi untuk promosi atau perkenalkan produk syarikat. Di samping badut, boleh juga dibuat persembahan silap mata.

 

No comments:

Post a Comment