Tuesday, November 19, 2013

Penyatupaduan kaum perkasa ketahanan nasional





Perkukuh kefahaman agama elak perpecahan
 


Minggu lalu berlangsung Kongres Profesor Negara yang Kedua yang mana tema utamanya ialah gagasan penyatupaduan nasional. Wujud kebimbangan cerdik pandai tanah air bahawa isu perpaduan nasional khususnya selepas tamatnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 
 

Pada sebelum dan selepas PRU-13 lalu, kita dapati banyak isu sensitif perkauman dan agama dibangkitkan secara terbuka di ruang awam khususnya media massa. Rakyat Malaysia pelbagai kaum memperdebatkan isu itu secara terbuka juga melalui media baru seperti Facebook dan Twitter yang dilihat boleh menjejaskan hubungan antara dan sesama kaum itu sendiri.


Perdebatan, misalnya berkenaan isu mempergunakan kalimah Allah, Syiah, rumah ibadat dan hak asasi manusia sekiranya tidak ditangani secara rasional boleh menjejaskan hubungan keharmonian dalam negara.

Akibat perbalahan politik

Malah, perbalahan politik negara antara kerajaan dan pembangkang masih tidak kunjung padam pada pasca PRU-13 ini. Tidak salah perdebatan ini membawa kepada bentuk dasar negara yang konstruktif demi kebaikan umum kepada negara. Namun, sekiranya perdebatan ini membawa kepada kelemahan kepada daya ketahanan negara, ini sudah pasti akan menjejaskan kewibawaan negara nanti.

Isu luar negara seperti pengintipan Amerika Syarikat dan Australia terhadap Malaysia perlu ditangani semua pihak kerana ia membabitkan kedaulatan negara yang dicabuli oleh pihak luar.

Kepentingan kepada perpaduan nasional digarap dengan menarik sekali oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah ketika menyampaikan titah ucapan pada Kongres Profesor Negara Kedua, Ahad lalu. Baginda menyatakan bahawa dinamik politik yang sedang berlaku hendaklah dijadikan cerminan kepada usia negara yang menjangkau umur 56 tahun sejak merdeka pada 1957. Maka, masyarakat majmuk yang wujud memerlukan kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi dalam menentukan kelangsungan negara pada masa hadapan.

Raja Nazrin dengan indah sekali berhujah bahawa ‘subjek penyatupaduan nasional, kini begitu terapung di laut fikir, menggerak lidah ke tasik kata. Penyatupaduan nasional ketika ini bagaikan rangkai kata yang kalut berlegar di minda warga, semakin diperkatakan, semakin dijadikan subjek perbualan, semakin dijadikan tema seminar - tema diskusi.

“Penyatupaduan nasional pada hakikatnya adalah satu kemestian bagi sesebuah negara demi memastikan kelangsungan hayat sesebuah negara, seperti perlunya kehadiran oksigen di atmosfera untuk meneruskan talian hayat, kehadirannya diambil secara lewa, tetapi ketiadaannya akan menyemputkan nafas.”

Pelbagai cabaran menunggu

Kita tahu bahawa cabaran besar sedang menghadapi negara pada masa hadapan. Di dalam Kongres Profesor Negara Kedua itu menggariskan lima cabaran atau gagasan yang perlu diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan dalam usaha ke arah penyatuan nasional iaitu mewujudkan konsep penyatupaduan nasional yang sebenar dan terkini, penekanan kepada keadilan sosioekonomi, pemantapan sains dan pendidikan, pengukuhan jati diri dan patriotisme serta keteguhan menghadapi globalisasi melalui ketahanan nasional.

Cabaran yang terakhir iaitu globalisasi dan ketahanan nasional dilihat amat penting masa kini.

Kita tahu bahawa kemenangan Vietnam di dalam perangnya dengan Perancis dan Amerika Syarikat pada abad ke-20 lalu bukan disebabkan kekuatan ketenteraan Vietnam, tetapi kekuatan ketahanan nasional rakyatnya yang kukuh mempertahankan maruah dan jati diri negara daripada dicabuli oleh bangsa asing.

Adakah rakyat Malaysia sudah bersedia mempertahankan negara sekiranya negara dicabuli atau diceroboh oleh pihak luar? Kekukuhan dan ketahanan negara menghadapi anasir luar adalah bergantung kepada perpaduan yang wujud di kalangan rakyat Malaysia untuk sama-sama menentang anasir luar itu.

Kejutan melalui pencerobohan Sulu pada awal tahun ini sudah membuatkan rakyat Malaysia tersentak kerana tidak menyangkakan yang kedaulatan Malaysia akan dicabuli pada masa itu. Isu jenayah antarabangsa melangkaui sempadan dan pemerdagangan manusia, selain jenayah bersenjata di dalam negara menjadikan unsur ketahanan negara sebagai keperluan mendesak untuk diterapkan di dalam minda rakyat Malaysia.

Malah, proses globalisasi yang datang bersamanya pengaruh ekonomi dan perdagangan dominasi kapitalisme, penyebaran ideologi khususnya liberalisme dan extremisme melalui media baru internet dan penyebaran budaya luar yang kuat dari Hollywood, Bollywood dan K-Pop menjadikan kita bimbang identiti dan ketahanan jati diri dalam negara.

Apa yang pasti, Malaysia sudah membuktikan melalui sejarah bahawa perpaduan nasional boleh wujud. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui ucapan beliau di kongres yang sama juga menegaskan bahawa konsep ‘1Malaysia’ sebenarnya merujuk kepada matlamat penyatupaduan nasional yang juga agenda kesinambungan pemimpin terdahulu. Meskipun agenda kepelbagaian budaya dalam negara masih tidak sempurna, perbalahan dan peperangan antara kaum seperti yang berlaku di Sri Lanka, Rwanda dan Bosnia Herzegovina dapat dihindari.

Maka, jaminan kepada perpaduan nasional ialah ketahanan nasional pemimpin dan rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran dan dugaan dalam memastikan kemakmuran negara terpelihara.

Penulis ialah Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia 

 
(Berita Harian, 19 November 2013)


No comments:

Post a Comment