Wednesday, November 27, 2013

Media sosial jana pendapatan




Lebih mudah promosi dengan internet


Penggunaan internet sebagai penjana pendapatan mula mendapat perhatian di peringkat negara. Usahawan yang menjual rumpai laut di Sabah mampu menarik pelanggan dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun melalui Youtube, Facebook, Twitter dan Instagram kerana konsep berniaga dan mencari pasaran telah berubah.

Perubahan ini disebabkan minda masyarakat peniaga dan pembeli telah berubah dan menolak pendekatan tradisional secara beransur-ansur. Tokoh Anugerah Nobel, Muhammad Yunus pernah berkata iaitu corak pemikiran seseorang menentukan tindak-tanduknya dan jika dia bersedia menerima pembaharuan dan pembangunan, ia pasti boleh dilaksanakan. Seseorang juga tidak boleh statik atau beku dengan pemikiran tradisional kerana tentu sukar menerima kemajuan.

Dalam konteks negara, Malaysia memberi peluang yang banyak kepada generasi muda khususnya untuk membuka minda meneroka bidang-bidang baru yang dapat menjana pendapatan dan mengurangkan pengangguran. Justeru dari semasa ke semasa ita dapat melihat anak-anak muda yang baru menamatkan pengajian di universiti telah menunjukkan ciptaan yang kreatif dan inovatif bagi melahirkan produk baru atau pasaran baru.

Media sosial telah menggerakkan banyak perubahan positif dalam masyarakat. Generasi muda hari ini tidak kekok menggunakan telefon pintar atau tablet sesentuh malahan kanak-kanak dua atau tiga tahun sudah dibiasakan dengan gajet ini. Terdapat kajian yang merumuskan bahawa generasi baru era ini lebih dinamik dan berfikiran positif serta berani membuat perubahan supaya beredar daripada takuk lama.

Masalah pengangguran yang menjadi perencat kepada ekonomi negara boleh diatasi melalui galakan perniagaan melalui media sosial. Galakan ini merangkumi bantuan kewangan, kepakaran teknikal dan bimbingan keusahawanan supaya mereka yang terlibat dalam industri ini dapat mengembangkan perniagaan walaupun dengan modal kecil. Kerajaan boleh menggerakkan bantuan dana supaya penerokaan bidang baru dapat dilakukan. Institusi pengajian tinggi boleh menyediakan tenaga pakar dalam pelbagai bidang di samping sebagai sebahagian daripada khidmat kepada komuniti.

Kepentingan media sosial sebagai sumber pendapatan masih boleh ditingkatkan di negara ini. Promosi dan bantuan yang bersesuaian khususnya kepada pelajar di insitusi pengajian tinggi perlu dilakukan secara tersusun supaya mereka berminat menjadi usahawan dan membantu mengurangkan pengangguran di samping meningkatkan aktiviti ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment