Friday, November 08, 2013

Majulah Universiti Malaya






Hari ini Universiti Malaya menerima Naib Canselor yang baharu, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin menggantikan Tan Sri Dr Ghauth Jasmon. Perlantikan Mohd Amin berdasarkan kepada kriteria ditetapkan kementerian, di samping pengalaman beliau dalam aspek pembangunan akademik UM.

Pemergian Gauth Jasmon dan kehadiran Mohd Amin diraikan oleh sebilangan warga universiti itu melalui majlis kesyukuran seperti yang diumumkan oleh sebuah blog “taknakghauth”. Blog ini dipenuhi dengan artikel berkaitan gaya kepimpinan Ghauth Jasmon sepanjang berkerjaya sebagai naib canselor, tindakan dan kecenderungan pensyarah dan staf Universiti Malaya terhadap keputusan-keputusan yang dilakukannya.

Gauth Jasmon telah diberi peluang untuk menaikkan kedudukan universiti tersebut selama dua penggal namun amat mengecewakan. Ranking UM belum mencapai 100 terbaik dan prestasinya juga tidak sehebat mana. Kenapa perancangan dan tindakan oleh Gauth Jasmon tidak menjadi sedangkan beliau didatangkan khusus untuk menjadikan UM sebuah universiti bertaraf dunia?

Menilai kandungan blog “taknakghauth” barulah kita sedar bahawa pemimpin yang tegas dengan keputusan sendiri tidak akan mendapat sokongan bulat daripada pengikut. Mengguna kaedah “aku betul, kau salah” hanya mengundang rasa meluat dan memberontak dalam kalangan pengikut di semua peringkat.

Gauth Jasmon telah berlalu dan semoga kejayaan mengiringinya. Kini staf dan pelajar UM menantikan tindakan yang lebih mesra dan pro kepada kerja berkumpulan daripada Mohd Amin supaya Universiti Malaya dapat berada dalam kelompok 50 terbaik dunia.

No comments:

Post a Comment