Thursday, June 21, 2012

Keselamatan kawasan sekolah




Pelajar berjaya yang gembira di universiti


Kementerian Dalam Negeri dan polis akan bersama-sama mengambil langkah membuat rondaan bagi mengawal keselamatan kawasan sekolah di seluruh negara khususnya di waktu puncak iaitu pagi, tengah hari dan petang.

Kejadian penculikan seorang pelajar di sekolah antarabangsa baru-baru ini membuka mata sebahagian besar masyarakat dan agensi kerajaan untuk melihat dengan lebih serius keselamatan kawasan sekolah ini supaya pelajar dapat pergi dan pulang dengan selamat. Kebimbangan ibu bapa dalam perkara ini memang wajar ditangani kerana anak-anak adalah harapan keluarga. Ibu bapa melalui persatuan masing-masing ada yang melantik syarikat kawalan keselamatan swasta untuk mengawal pintu masuk sekolah dan mengawal kawasan sekolah bagi tempoh 24 jam seminggu.

Selain penculikan, kawasan sekolah juga menjadi tempat pergaduhan sesama samseng yang anggotanya ialah pelajar sendiri. Penyerapan samseng ini amat memberi kekhuatiran kepada semua pihak kerana ia merosakkan masa depan pelajar dan pada masa yang sama mencetuskan tanda tanya sejauhmana akhlak pelajar-pelajar kita pada hari ini.

Ada pelajar perempuan yang melahirkan anak dalam tandas, jenayah rogol, mencuri dan memukul guru di sekolah kita pada hari ini, suatu fenomena biasa dilaporkan dalam media.

Masa depan negara kita bergantung kepada pelajar-pelajar pada hari ini. Walaupun kita maklum permasalahan yang melibatkan jenayah dan moral pelajar yang rendah ini berlaku di beberapa buah sekolah sahaja, namun imej dan berita yang dipaparkan seolah-olah memberi gambaran bahawa sekolah tidak lagi menjadi kawasan selamat. Sesuatu tindakan perlu dilakukan segera supaya institusi pendidikan negara kembali ke landasan yang betul iaitu membentuk insan yang seimbang, menghayati ilmu dan dapat menyumbang kepada kemajuan negara.

Selain peranan agensi kerajaan, ibu bapa dan guru, para penyelidik wajar melakukan kajian yang lebih komprehensif dalam pembinaan akhlak pelajar ini supaya kita dapat membuat rumusan yang jelas punca kepada semua masalah pelajar hari ini. Skop kajian boleh dilakukan secara perbandingan, eksperimen atau tinjauan untuk mengenal pasti remedi terbaik kepada pelajar.

Begitu juga dengan institusi sekolah sendiri. Di Amerika Syarikat, datuk-datuk bandar bersetuju agar ibu bapa mengambil alih pentadbiran sekolah, mengemas kini sistem pelajaran dan disiplin pelajar dan merancang masa depan anak-anak. Barangkali strategi seperti ini masih jauh dilaksanakan di negara kita namun ideanya telah ada iaitu ibu bapa wajar menentukan perjalanan sekolah anak-anak, bukannya kerajaan.

Keselamatan kawasan sekolah perlukan perhatian yang semakin mendalam. Suatu hari nanti kita perlukan akta atau dasar yang berkaitan dengan isu ini supaya semua pihak mendapat faedah khususnya pelajar sendiri. 


No comments:

Post a Comment