Tuesday, June 26, 2012

Rohingya




Derita dan sengsara
(Sumber: Google Images)

Memahami Rohingya perlukan perbincangan dan penjelasan yang berfakta. Tidak seperti Palestin, maklumat berkaitan Rohingya tidak banyak diperoleh melalui media bebas ataupun media yang bersimpati dengan nasib mereka. Ketandusan maklumat begini menyebabkan umat Islam kurang melihat dan merasai penderitaan anak-anak Rohingya, tempat tinggal malah aspek yang lebih besar seperti pendidikan, pekerjaan atau kehidupan sosial yang lain.

Rohingya adalah komuniti Islam di negeri Arakan, Mynmar. Bagi kerajaan Mynmar, negeri ini dipanggil Rakhine. Pada 1982, kerajaan Mynmar meluluskan undang-undang penarikan taraf kewarganegaraan Rohingya yang menyebabkan kebebasan pergerakan semakin terhad, hak untuk mengamalkan agama semakin disekat, rampasan tanah dan paksaan buruh berleluasa serta ditahan tanpa bicara. Kini, masyarakat Rohingya tidak dimasukkan dalam program penyusunan masyarakat bersama kelompok minoriti lain. Pengusiran dan ancaman diusir dari kawasan tempat tinggal semakin meningkat dalam bulan Jun 20112 akibat sengketa antara Rohingya dan masyarakat buddha Rakhine. Sebahagian besar Rohingya mula melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh dan Thailand.

Terdapat juga masyarakat Rohingya yang telah lama melarikan diri ke negara-negara lain sehingga ke Timur Tengah. Di Malaysia, terdapat sepuluh ribu pelarian Rohingya yang tinggal di Lembah Kelang, Johor, Kedah, Kelantan, Terenggau dan Pulau Pinang di bawah perlindungan UNHCR.

Istilah Rohingya dikatakan mempunyai beberapa versi. Pertama, dari perkataan Arab iaitu "Raham" yang bererti simpati. Ia berlaku ketika sekelompok pedagang laut Arab yang terkandas di Pulau Ramree telah diperintahkan dihukum oleh raja Arakan. Selepas mengetahui hukuman berkenaan, pedagang-pedagang Arab ini meraung dan berteriak dalam bahasa Arab, "Raham". Dari semasa ke semasa, istilah ini berubah dari Raham ke Rhohang dan akhirnya kekal sebagai Rohingya. Kedua, Rohingya dikatakan berasal dari sebuah tempat di Afghanistan, Ruha. Ketiga, dalam kalangan penganut Islam, terma "Mrohaung" dikaitkan dengan Rohang. Lalu seluruh penempatan tersebut digelar Rohingya.   

Walau bagaimanapun sejarah Mynmar tidak pernah menyebut perkataan Rohingya sebelum tahun 1950-an, namun tidak dapat dinafikan terdapat masyarakat muslim yang wujud di Arakan sebelum tahun 1824.

Watak orang-orang Rohingya secara umumnya seperti orang Bangladesh, Benggali. Bancian pihak British pada 1891 menyatakan terdapat 58,255 muslim di Arakan, meningkat kepada 178,647 pada 1911 kerana kemasukan beramai-ramai bagi memenuhi sektor pekerjaan pertanian di Mynmar. Pertambahan bilangan Rohingya ini menyebabkan penduduk di Arakan menjadi berbilang etnik dan menimbulkan ketegangan dengan penduduk setempat. Pada 1942, dianggarkan lima ribu orang muslim telah dibunuh oleh puak nasionalis Rakhine dan Karen.

Semasa Perang Dunia Kedua, pasukan British disingkirkan dari Mynmar menyebabkan wujud lompang kuasa di negara itu. Sengketa juga meletus antara muslim Rohingya dan nasionalis Rakhine, ditambah pula pihak Jepun sendiri yang memang anti kepada Rohingya yang telah menyokong pasukan perikatan pelbagai negara ketika perang berlangsung.

Selepas merdeka, junta tentera menjadikan kumpulan nasionalis dan orientasi agama buddha sebagai alat untuk meneruskan cengkaman ke atas negara. Untuk mengukuhkan kuasa, pakar strategi dari Amerika Syarikat dilantik sebagai penasihat. Sebagai kesan jangka panjang, selama setengah abad, peminggiran Rohingya terus berlaku dan amat ketara di samping keadaan yang sama turut dialami oleh masyarakat Cina dan Panthay (Cina muslim).

Dalam konflik etnik 2012 di Rakhine, sehingga 13 Jun, angka kematian rasmi ialah 21 orang namun jumlah ini dijangka lebih besar kerana pada 10 Jun, kerajaan junta telah melaksanakan perintah berkurung dan menguruskan pentadbiran negeri berkenaan.

Namun, dalam laporan media bebas yang bersimpati dan memperjuangkan nasib Rohingya, ada kisah lain yang lebih dahsyat. Pada 19 Jun, dilaporkan 12,000 penduduk Rohingya diusir dan empat lelaki tua telah meninggal dunia kerana kekurangan makanan dan ubat-ubatan.

Kerajaan junta mengisytiharkan bahawa Rohingya tidak dibenarkan tinggal di bandar Siitwe, dan kerajaan turut menyatakan rumah-rumah penduduk Rohingya yang dibakar akan dijadikan tempat tinggal penduduk etnik Rakhine yang datang dari luar. Kaedah pengusiran yang dilakukan ialah melalui pembakaran rumah dan kampung menyebabkan beribu-ribu penduduk Rohingya ketakutan dan bertindak melarikan diri.

Banyak lagi maklumat yang menunjukkan wujud ketegangan etnik dan rusuhan antara Rohingya dan Rakhine berlaku tetapi tidak dipancarkan ke seluruh dunia. Maklumat yang diperolehi oleh kita biasanya digerakkan oleh masyarakat Rohingya yang prihatin dan menubuhkan kesatuan di Malaysia seperti "kumpulan Rohingya in Malaysia (RIM)".

Sukar untuk memberi bantuan kepada masyarakat di sana jika maklumat tepat tidak diperolehi kerana sebarang tindakan bantuan hanya akan memberi mudarat kepada petugas dan sukarelawan. Bagi jangka masa panjang, peranan pertubuhan kerajaan ialah membaiki keadaan sosial, pendidikan dan ekonomi masyarakat Rohingya di negara-negara yang telah menerima mereka sebagai pelarian.

Melalui tekanan masyarakat antarabangsa, diharap junta tentera yang berkuasa dapat mewujudkan satu bentuk mekanisme kawalan konflik etnik yang lebih baik supaya keadilan dan kesaksamaan wujud di Mynmar. Langkah awal yang mereka boleh lakukan ialah menilai dan mengiktiraf Rohingya sebagai sebahagian daripada warganegara biarpun keputusan ini akan menambah lagi kepada kerencaman entik di negara itu. Peranan negara-negara Islam ialah mewujudkan badan pemerhati di Mynmar untuk memantau layanan ke atas Rohingya di samping menjemput wakil Mynmar ke dalam pertubuhan OIC supaya bantuan dan penyelarasan dapat dilakukan.

Sudah sampai masanya masyarakat Islam di Malaysia menjadikan Rohingya sebagai agenda kita.

   

No comments:

Post a Comment