Thursday, June 14, 2012

Implikasi sosial peningkatan umur bersara







Hasrat kerajaan untuk menaikkan umur persaraan pekerja sektor swasta kepada 60 tahun dilihat memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Langkah ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang semakin panjang jangka hayat untuk hidup dengan lebih bahagia ketika umur memasuki takat 60-an hingga 70-an.

Trend memanjangkan umur persaraan telah menjadi polisi di Eropah kerana perkhidmatan kesihatan yang lebih baik telah memberi peluang kepada ramai penduduk di benua itu untuk bekerja. Secara tidak langsung mengurangkan beban ahli keluarga yang lain. Namun, memanjangkan umur persaraan seharusnya tidak dilihat pada aspek pertumbuhan ekonomi semata-mata kerana banyak perkara lain yang perlu diambil kira.

Pertama, struktur dan reka bentuk bangunan perlu disesuaikan dengan keadaan fizikal, emosi dan spiritual pekerja. Usia 50 tahun ialah usia yang perlukan perhatian lebih istimewa khususnya kesihatan pekerja supaya mereka dapat memberikan produktiviti yang setara dengan pekerja yang masih muda. Ruang pejabat perlu mengambil kira keperluan pekerja seperti kemudahan lif, ruang meletak kenderaan, keadaan pintu yang mesra pengguna dan peralatan pejabat yang selamat. Susunan ruang pejabat juga perlu mesra pekerja.

Kedua, kefahaman terhadap kaedah komunikasi. Bentuk hubungan pekerja menentukan kejayaan dalam organisasi. Jika orang muda sentiasa menggunakan media sosial dan gajet moden untuk mempercepatkan komunikasi, pekerja warga emas mungkin tidak berminat dengan kaedah ini. Mereka lebih cenderung menggunakan telefon atau kaedah lain yang lebih konvensional seperti emel untuk menyampaikan maklumat. Begitu juga dengan teknik berkomunikasi secara lisan, pekerja muda wajar mengambil tahu bagaimana teknik yang paling berkesan kerana warga emas ini mudah tersinggung atau kecil hati apabila tersalah bahasa atau ayat. Kursus-kursus komunikasi yang bersesuaian boleh dirangka supaya dapat menyelesaikan halangan-halangan ketika komunikasi berlaku.

Ketiga, keperluan makan dan minum. Organisasi mungkin perlu berbelanja lebih kerana kesihatan pekerja mereka sentiasa dipantau. Ada sebilangan mereka yang mengidap penyakit zaman moden seperti kencing manis, masalah jantung atau menghadapi tekanan darah tinggi akibat stres bekerja. Sebarang pengambilan makanan yang memudaratkan kesihatan akan memberi kesan kepada produktiviti dan semangat bekerja mereka. Justeru, organisasi perlu mendapatkan maklumat tentang tahap kesihatan pekerja melalui pemantauan berterusan.

Keempat, kesan sosial ke atas masyarakat. Pertambahan pekerja warga emas memberi implikasi besar ke atas bisnes, aktiviti masyarakat dan pengurusan pengangkutan negara. Sebarang perubahan bentuk bangunan, penyusunan jalan raya dan kemudahan awam mesti mengambil kira keperluan golongan ini supaya mereka turut mendapat peluang untuk merasai aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial setempat. Contohnya, kawasan riadah yang hendak dibina wajar melihat pekerja warga emas sebagai sebahagian daripada pengguna kerana mereka juga mempunyai hak untuk mencergaskan diri di kawasan berkenaan.

Menaikkan had umur pekerja kepada 60 tahun menunjukkan jangka hayat masyarakat Malaysia semakin panjang. Pada masa yang sama, golongan muda terpaksa bersaing untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Golongan ini perlu diberi kerja supaya mereka boleh menyumbang kepada kegiatan ekonomi dan mengelakkan pengangguran. Kerajaan sendiri perlu berusaha lebih giat untuk membuka pasaran kerja supaya Malaysia kekal bersaing.



No comments:

Post a Comment