Kemalangan jalan raya menjadi sebahagian daripada mimpi ngeri pengguna lebuh raya dan jalan-jalan utama di seluruh Malaysia. Kajian-kajian yang dilakukan dari semasa ke semasa menunjukkan faktor manusia adalah penyebab kepada kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya ini.
Dalam gambar di sebelah, sebuah kereta terperosok di belakang sebuah lori di tepi kawasan rehat dan rawat Tapah arah selatan. Bahagian depan kereta berkenaan hancur sama sekali, cermin hadapannya juga pecah namun tidak ada kematian. Kemalangan ini berlaku pada 3 Jun 2012 di antara pukul 2 hingga 3.15 petang. Punca insiden ini tidak diketahui dan tidak ada kereta polis atau peronda lebuh raya yang tiba. Kesesakan meleret-leret ke belakang.
Kemalangan jalan raya mengakibatkan kerugian yang sangat besar kepada kerajaan dan negara. Seorang mangsa yang masih sihat dan bekerja tetapi meninggal dunia kerana kemalangan maut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos melatih pekerja baru yang mengambil masa untuk mahir. Kos untuk menguruskan bantuan dan hal ehwal kebajikan kepada keluarga mangsa juga bertambah.
Satu cara yang dapat mengubah senario ini dalam jangka masa panjang ialah melalui pendidikan dan naik taraf infrastruktur jalan raya. Kurikulum pendidikan jalan raya wajar diperkemaskan dari peringkat tadika supaya kanak-kanak memahami peranan mereka sebagai pengguna jalan raya yang berhemah.
Manakala infrastruktur pula perlu mengambil kira ciri-ciri kesedaran menjaga keselamatan ketika berada di atas jalan raya, Contohnya keadaan jalan yang rata tanpa lopak, papan tanda arah yang jelas, ruang untuk penunggang motosikal dan garisan yang sentiasa wujud (kadangkala garisan di atas jalan hilang dan pudar).
Kita boleh mengelakkan kemalangan jalan raya dan kematian dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang menyeru kepada perubahan dan mengiktiraf perubahan tersebut. Cara ini dapat memberi galakan kepada pengguna untuk terus-menerus melakukan tindakan yang memenuhi ciri-ciri pemandu yang berhemah.
No comments:
Post a Comment