Friday, June 29, 2012

eKasih


  
Memahami isu-isu kemiskinan menjadikan
kerajaan lebih kreatif mencari penyelesaian

Kejayaan projek eKasih dipilih sebagai pemenang kategori "Advancing Knowledge Management in Government" untuk Asia dan Pasifik menunjukkan bahawa usaha Malaysia memberi fokus kepada usaha-usaha pengurangan dan pembasmian kadar kemiskinan secara terancang telah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Hadiah tempat pertama ini yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengalahkan projek kerajaan Korea Selatan iaitu "National Science and Technology Information Service" yang sebelum ini menjadi pesaing kepada banyak projek dan inisiatif negara-negara lain.

Projek eKasih yang dilancarkan pada 2007 merupakan satu sistem pengkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan. Ia menjadi rujukan kepada pelbagai agensi berkaitan untuk mengagihkan bantuan dan sumbangan kepada pemohon yang layak dan inisiatif ini telah mengelakkan pertindihan nama, program dan jenis bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Data dan maklumat yang dimasukkan ke dalam eKasih adalah berasaskan kepada Banci Isi Rumah Miskin (BIRM). BIRM adalah program banci dengan pendekatan isi rumah dan bukan individu. Ia dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) dengan hasil banci diserahkan kepada ICU JPM sebagai input utama kepada eKasih.

Selain mereka yang memenuhi kriteria status kemiskinan berdasarkan pendapatan per kapita isi rumah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2007, mereka yang layak mendaftar dan dimasukkan ke dalam eKasih adalah isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan di kawasan luar bandar dan RM1,500 di kawasan bandar.

Kejayaan ini dilihat sebagai pengiktirafan PBB terhadap usaha-usaha pembasmian kemiskinan yang telah dilakukan oleh kerajaan sejak merdeka sehinggalah iltizam untuk mengurangkan kadar kemiskinan negara di bawah dua peratus. Sasaran ini tidak mustahil untuk dicapai kerana kerajaan terlibat sepenuhnya dalam program pembasmian kemiskinan melalui pelbagai dasar dan perancangan dalam aspek penempatan, peningkatan aktiviti ekonomi dan bantuan keusahawanan untuk membolehkan golongan miskin berdikari dan keluar dari lingkaran hidup yang tidak produktif.

Usaha mengumpulkan maklumat kemiskinan adalah sangat rumit kerana kakitangan agensi-agensi yang terlibat perlu keluar mencari golongan sasar di bandar dan luar bandar, meredah jalan raya dan lembah yang lecak di samping meninggalkan pejabat dan rumah semata-mata mempastikan maklumat yang didapati adalah sahih dan tepat. Pendaftaran terperinci dilakukan oleh pembanci bagi tujuan pengesahan dan seterusnya mendaftarkan mereka ke dalam sistem eKasih dengan disahkan oleh pihak Focus Group yang dianggotai oleh Pejabat Daerah dan ICU di peringkat negeri.

Malaysia memiliki satu lagi produk yang boleh dikongsi dengan negara-negra membangun lain di seluruh dunia untuk menguruskan program pembasmian secara berpusat. eKasih memberi peluang kepada pengumpulan dan perkongsian maklumat secara sistematik sebagai kaedah yang mudah dan berkesan untuk membantu sebarang projek pembangunan kepada golongan miskin. Kerajaan wajar memikirkan bagaimana eKasih boleh dipakejkan untuk dilaksanakan di negara-negara yang dikategorikan sebagai negara-negara dunia ketiga ini.


No comments:

Post a Comment