Pembunuhan yang menakutkan (Sumber: Harian Metro) |
Kematian seorang kerani bank yang dibunuh secara kejam amat menakutkan.
Pembunuh dan perancang pembunuhan ini berasa puas selepas mereka membakar mayat wanita itu di hadapan rumahnya dan jiran-jiran lain. Tidak ada kata-kata yang boleh dikeluarkan untuk menggambarkan kekejaman ini melainkan sedih dan kecewa dengan perlakuan sebahagian daripada masyarakat.
Kecewa kerana tidak dapat memiliki gadis idaman adalah lumrah hidup kerana jodoh telah pun ditentukan. Tentu ada hikmah kenapa tuhan tidak menemukan seseorang. Ramai orang yang telah melalui pengalaman hidup seperti ini dan di hujung kehidupan barulah mereka tahu bahawa apa yang dijodohkan itulah yang terbaik.
Pembunuhan di Ampang ini mengingatkan kita kepada kematian yang menyayat hati jutawan kosmetik di Banting yang berlaku pada bulan puasa. Mahkamah telah pun menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada pembunuh wanita berkenaan.
Namun kekejaman dan kezaliman pembunuh membuka mata kita bahawa mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan harta dan kekayaan, mengenepikan sekali hukum-hakam agama dan nilai-nilai kehidupan. Ketika ini pembunuh yang menghuni sel penjara sebagai Banduan Akhir pasti menyesal seumur hidup.
Media melaporkan kematian wanita yang baru dua minggu bertunang disebabkan pukulan dan dibakar hingga hangus. Sebelum kejadian ini, wanita itu pernah mengadu dirinya diganggu oleh lelaki yang telah ditolak pinangannya kerana dia sendiri tidak berkenan.
Kes ini adalah kes cemburu dan balas dendam. Amat mudah bagi polis untuk mengesan perancang dan pelaku pembunuhan ini kerana mereka boleh dikenal pasti berdasarkan motif pembunuhan. Esok lusa kita tentu dapat berita suspek telah ditahan.
No comments:
Post a Comment