Friday, April 29, 2011

Pelbagaikan program halaqah




 

Halaqah, usrah atau circle merupakan pengukuh kepada sesebuah organisasi dakwah. Gerakan dakwah yang berjaya dan mampu berkembang menjadikan halaqah sebagai elemen paling penting dalam pembinaan kader atau pelapis organisasi. 

Salah sebuah organisasi dakwah yang menjadikan halaqah sebagai sumber kekuatan mereka adalah Ikhwan Muslimin di Mesir. Organisasi ini masih terus wujud sehingga kini dan memiliki sumber kekuatan yang menggerakkan reformasi di Mesir dan di seluruh dunia.

Halaqah amat dititikberatkan oleh pendakwah kerana di sinilah asas kepada pembinaan watak seorang pemuda Islam. Melalui aktiviti yang dirancang, pemuda dan pemudi Islam dapat memiliki peribadi Islam yang sahih, kejelasan fikiran dan kebulatan hati untuk memahami dan melaksanakan cara hidup Islam. 

Di sini juga perlakuan dan fikiran yang bercanggah dengan kefahaman Islam dibaiki supaya kehidupannya dijernihkan dalam semua aspek kehidupan.

Umumnya, aktiviti halaqah masih didominasi oleh perbincangan yang meliputi pelbagai topik seperti tafsir al-quran dan hadis, sirah para sahabat dan isu-isu semasa. Ahli halaqah terdiri daripada pelbagai lapisan pekerjaan dan latar belakang serta memiliki kemahiran khusus. Biar pun ada yang profesional, namun tahap pengetahuan dan kefahaman Islam lebih kurang sama dengan rakan-rakan yang bukan profesional dan mereka masih boleh berbincang dengan baik dan bernas.

Biasanya, kalau aktiviti halaqah yang bersifat tradisional ini dibuat, lebih ramai ahli yang boleh datang, namun jika riadah dijadikan sebagai salah satu aktiviti halaqah, tidak ramai yang dapat datang. Banyak sebab kenapa program intervensi seperti riadah kurang mendapat sambutan dalam halaqah.

Pertama, aktiviti rutin dalam halaqah telah digantikan dengan suatu yang baru dan di luar kebiasaan. Keadaan ini menjadikan ahli halaqah yang sudah biasa berbincang berasa kelainan apabila diadakan aktiviti di luar bangunan. Wujud sedikit ketidakselesaan di sini.

Kedua, bagi ahli yang telah lama tidak memanaskan badan melalui aktiviti berlari, bermain badminton dan sebagainya, riadah dirasakan agak membebankan kerana keletihan dan penat. Mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan riadah. 

Ketiga, jika ahli halaqah sudah berumur, banyak pula alasannya kerana orang yang berumur ini agak jarang melakukan aktiviti menyihatkan badan kerana ia tidak menjadi rutin harian mereka.

Pemimpin halaqah atau mas’ul wajar memikirkan kaedah yang kreatif dan dapat menerapkan unsur-unsur dakwah dalam kalangan ahli supaya perjalanan halaqah tidak statik.

 

Thursday, April 28, 2011

Jalan-jalan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011






Saya mengambil cuti untuk ‘membeli-belah’ di pesta buku yang sedang berlangsung ketika ini. Kuala Lumpur menjadi riuh-rendah dengan kelaku pelajar sekolah yang menjadi pengunjung utama. Mereka datang secara rombongan dari seluruh negara. Pesta buku tahun ini dirasakan lebih besar daripada tahun lepas kerana lebih banyak ruang pameran dibuka.

Di bahagian buku akademik, syarikat-syarikat buku yang terlibat semakin bertambah, lebih banyak buku baru ditampilkan dan saya boleh buat pilihan. Pembelian kali ini adalah untuk memenuhi kajian saya dalam bidang sains sosial iaitu dasar sosial. Isu ini lebih banyak didapati dalam bahasa Melayu berbanding Inggeris. Topik lain yang agak menonjol ialah ‘terrorist’ yang dipamerkan di bahagian ‘security’.

Ketika lalu di hadapan sebuah syarikat buku antarabangsa, saya bertanyakan katalog buku yang diterbitkan kepada seorang petugas. Selepas sahaja ditanya, salah seorang petugas memberikan saya sebuah beg kecil beserta dua katalog buku yang cantik dan padat. Nama syarikat ini ialah Thomson Reuters yang diwakili oleh Sweet & Maxwell Asia. Ejen syarikat ini ada di banyak negara.

Selepas itu saya berpindah pula ke sebuah gerai buku syarikat tempatan dan bertanyakan katalog kepada seorang petugas yang sedang menulis rekod buku-buku yang dipamerkan. Mungkin sibuk agaknya, pertanyaan saya tidak dilayan, lalu saya pun beredar. Gerai-gerai buku yang seterusnya tidak lokek dengan layanan dan sedia menghulurkan katalog buku masing-masing.

Saya bertanyakan katalog kerana hendak memilih buku yang sesuai dan dimajukan kepada perpustakaan supaya dapat dibuat pemilihan. Ada buku-buku ini yang sesuai dijadikan rujukan pelajar dalam bidang sains sosial.

Harga buku yang dijual amat menarik kerana kadar diskaun yang agak besar. Ada yang memberi diskaun sehingga 50 peratus. Diskaun 10, 15 dan 20 peratus adalah biasa. Ada juga buku yang berharga 50 sen, tapi untuk kanak-kanak. Jarang kita dapat beli buku bacaan dengan harga 50 sen sekarang ini.

Di aras bawah, berhadapan pintu masuk PWTC, gerai menjual buku kanak-kanak, buku agama dan kaedah pengajaran kepada kanak-kanak dikumpulkan. Saya terserempak dengan rakan lama yang menjual buku di Puduraya. Syarikatnya ialah Sarjana Media. Rupa-rupanya syarikat ini semakin besar dan ada karisma. Di Puduraya, gerainya menjual kaset dan cakera padat al-quran dan ceramah agama, kini dibesarkan lagi dengan dua cawangan. Satu di Carrefour Wangsa Maju, satu lagi di Carrefour Kota Damansara. Konsep perniagaan syarikat ini ialah sebagai penerbit, pengedar dan pemborong (3P). Bisnes mereka adalah buku, poster, CD, MP3 dan kaset.

Sehari di pesta buku pada tahun ini terasa lebih seronok dan meriah kerana dua perkara. Pertama, banyak buku bahasa Melayu yang telah diterbitkan dan menjadi pilihan ramai. Kedua, kesedaran terhadap ilmu semakin tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia, justeru banyak syarikat buku yang muncul setiap kali pesta buku diadakan.

Insya Allah, tahun hadapan saya akan datang lagi.


 

Wednesday, April 27, 2011

Bermula dengan RM10,000 dan pencen sebagai jutawan

Jutawan yang seterusnya mungkin anda!

Semuanya perlukan wang dan masa; selalunya berhasil. Maksudnya ialah anda perlu menyimpan wang yang menyebabkan sebahagian besar daripada kita berhempas-puas untuk melaksanakannya.

Mencapai umur 65 tahun dengan RM1 juta perlukan disiplin diri dan usaha yang berterusan. Anda mesti mengakui bahawa permulaan umur yang awal sangat penting untuk menyimpan wang. Ia boleh dilakukan jika anda memulakannya dengan RM10,000.

Di mana anda bermula, 25, 45 atau 55 tahun, anda mesti memulakannya. Bagi memahami bagaimana anda menyimpan, anda perlu memahami bagaimana caranya anda membelanjakan wang. Bina sedikit kesedaran tentang kedudukan anda sekarang, ke mana anda hendak pergi dan bagaimana anda boleh pergi ke situ.

Katakan anda berumur 25 tahun dan telah memiliki pekerjaan yang stabil. Dengan RM10,000 anda melabur RM320 sebulan sehingga berumur 65 tahun. Kemungkinan anda akan mendapati wang anda menjadi RM1 juta jika keuntungannya 7 peratus setahun. Pada kadar tersebut, wang anda berganda setiap 10 tahun.

Bagaimana jika anda sedang berumur 35 atau 45 tahun, masih adakah peluang untuk menjadi jutawan atau sekurang-kurangnya orang kaya? Peluang masih ada tetapi anda perlu bekerja dengan gigih. Caranya, beli emas sebanyak mana yang anda mampu dan mahu. Beli emas pada hari ini kerana harga emas semakin meningkat. Jangan bertangguh-tangguh. Melabur dalam emas lebih baik daripada wang kerana emas bertambah nilainya semakin disimpan tetapi tidak dengan wang. Hari ini wang naik, esok boleh merudum.

Sekiranya anda berusia 25 tahun, peluang anda menjadi orang kaya sangat besar tetapi jika berumur 60 tahun, lebih baik anda memberi perhatian kepada amalan berkebajikan.

Tuesday, April 26, 2011

Komuniti sebagai jaringan dan sistem sosial





Konsep komuniti yang jelas bermula pada tahun 1915 selepas ahli sosiologi memberi definisi yang lebih mendalam dan difahami. Seterusnya lebih banyak definsi yang muncul kerana para penyelidik memberi definisi berdasarkan kawasan geografi, kehidupan berkelompok dan keadaan hidup masyarakat sedia ada.

Komuniti boleh dibincangkan dalam dua persekitaran yang berbeza. Pertama, tempat. Sempadan atau kawasan tempat tinggal adalah unsur yang dikongsi bersama. Justeru timbul istilah ‘lokaliti’. Pendekatan ini menarik minat ramai penyelidik untuk memberi definisi umum komuniti. Kedua, minat. Sekumpulan orang yang berkongsi minat yang sama seperti kepercayaan agama, orientasi jantina, pekerjaan atau etnik. Contohnya seperti komuniti Melayu, orang bukit ataupun pengikut Ayah Pin.

Walaupun banyak persoalan dan definisi yang diberi, soalan utama dalam komuniti ialah di manakah komuniti bermula dan di mana pula komuniti berakhir?

Komuniti melibatkan kaitan dalam kalangan ahlinya yang memiliki unsur-unsur yang sama. Bagaimanapun, komuniti memiliki persamaan dan perbezaan supaya dapat membina hubungan yang saling bergantungan sesama sendiri. Bagi membezakan komuniti, sempadan yang berbentuk fizikal adalah petunjuk jelas. Umpamanya penggunaan sungai, jalan ataupun simbol tertentu memberi erti kepada ahli komuniti. Sebaik sahaja simbol ini muncul, selain daripada ahli komuniti tersebut tidak memiliki keistimewaan yang ada pada ahli.

Di bandar, walaupun nampak kehidupan yang teratur, di kebanyakan tempat tidak wujud interaksi yang aktif sesama jiran. Ia adalah biasa kerana hubungan di antara seseorang dengan jaringan sosial yang dianggotai lebih akrab berbanding jiran sebelah rumah. Andai seseorang ditanya maksud komuniti dan peranan komuniti kepada mereka, berbagai-bagai jawapan yang kita terima.Putnam (2000) merekodkan jawapan berikut,

Pada kami, rasa kepunyaan yang tebal adalah terhadap jaringan sosial yang intim khususnya rakan dan keluarga. Lebih daripada itu, ia termasuk rakan sekerja, gereja, jiran tetangga, kehidupan awam dan lain-lain kehidupan dalam kategori ‘ikatan yang lemah’.

Allan (1996) pula mendapat jawapan berikut,

Ia membantu kami membina kesedaran diri dan individu seperti hubungan tidak formal, juga membolehkan kami mengatur hidup terhadap keperluan harian.

Dalam satu kajian yang berpengaruh, Bott (1957) mengutarakan betapa kehidupan keluarga bandar dalam suasana sosial pertengahan adalah yang terbaik kerana keupayaan mengekalkan hubungan tanpa mengira sama ada mereka menyimpan rahsia komuniti atau tidak. Bagi sesetangah sainti
s, idea jaringan adalah sangat menarik kerana ia boleh dibuat pemetaan dan diukur.
 

Sunday, April 24, 2011

Mencerna peranan akademik dalam pembangunan sosial






Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan, Majlis Profesor Negara baru-baru ini menganjurkan ‘Wacana Kepemimpinan Perdana Pembangunan Sosial’ di Melaka dengan tujuan mencetuskan diskusi dinamik betapa pentingnya peranan kepemimpinan akademik terhadap pembangunan komuniti. Tokoh yang dijemput untuk mengupas isu ini ialah Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang telah menghuraikan beberapa isu pokok dalam pembangunan sosial di Malaysia. Para peserta terdiri dari ahli akademik institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam pelbagai bidang yang ada sangkut –paut dengan peranan mereka. Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof. Emeritus Dato’ Dr Zakri Abdul Hamid turut hadir dan memberi ucapan.

Wacana ini adalah program pertama yang bersifat ilmiah bagi MPN di samping pertemuan-pertemuan lain. Dalam kata alu-aluan Pengerusi MPN, beliau menekankan peranan ahli akademik sangat penting kerana mereka memiliki pengetahuan, kepakaran dan profesional dalam pelbagai bidang yang tidak dimiliki oleh orang lain. Beliau juga yakin idea dan buah fikiran intelektual mampu menyumbang kepada pembentukan sebuah negara Malaysia yang sejahtera dan makmur.

Kecemerlangan masyarakat adalah tanggungjawab semua pihak. Melalui wacana ini, kefahaman terhadap peranan ahli akademik dalam pembangunan masyarakat dapat diperjelaskan. Cetusan idea dan pembentukan paradigma pemikiran baru telah dilontarkan oleh Saifuddin kususnya terhadap pembangunan komuniti.

Dalam konteks kepemimpinan akademik, kelebihan yang paling besar dalam usaha membujuk khalayak yang dipimpin wujud dalam bentuk ilmu dan kepakaran yang dimiliki. Kelebihan ini memberikan kredibiliti kepada seseorang pemimpin akademik untuk sentiasa kehadapan bagi mengeluarkan pandangan dan buah fikiran yang mampu memberi idea-idea baru. Namun begitu, hakikat yang harus disedari ialah dunia akademik merupakan rakan akrab kepada dunia realiti. Akademik sangat berkait rapat dengan kehidupan realiti kerana segala ilmu yang digali adalah berpandukan kepada pemerhatian dan kajian terhadap fenomena yang berlaku dalam dunia realiti. Jadi, seharusnya semua dapatan yang diperoleh dapat dikongsi bersama dengan khalayak yang lebih luas, bukannya hanya terhad kepada khalayak akademik semata-mata.

Usaha untuk merentaskan kepemimpinan akademik ini ke dunia realiti menjadi satu kewajipan yang dilakukan secara serius kerana ia mampu mencetuskan pembaharuan bahkan terkadang sebagai pemangkin kepada satu revolusi besar yang menyebabkan perubahan dalam masyarakat. Dengan pendekatan sinergi yang bersifat teori dan praktikal, kemajuan masyarakat yang diidamkan, insya Alah akan tercapai. Ia juga dapat menyumbang ke arah transformasi negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang didokong oleh ilmu.

Justeru, wacana seperti ini amat wajar direncana dan dilaksanakan dengan mengenal pasti bagaimana perentasan pemikiran akademik ke dunia realiti dapat dilakuan dengan jayanya. Usaha ini perlu bermula dari sekarang kerana perubahan di peringkat global ketika ini tidak menunggu kita.


 

Friday, April 22, 2011

Sumbangan Media Terhadap Kematangan Etnik di Malaysia






Selepas merdeka pada tahun 1957, rakyat Malaysia masih mengekalkan identiti mereka dengan pengenalan diri berdasarkan etnik. Kaum Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban menghiasi sebahagian besar borang di sektor awam dan swasta. Istilah bumiputera dan bukan bumiputera menjadi perdebatan umum khususnya dalam kelompok media alternatif bagi menentukan siapa yang lebih dominan. Pemerhatian Ong Puay Liu (2009) ke atas ruangan ‘Letter to Editor’ berkenaan topik hak istimewa Melayu/bumiputera dari Mei 2001 hingga Julai 2004 mendapati sebanyak 152 ulasan dikemukakan dalam topik ini. Ulasan berkenaan dibahagikan kepada tiga iaitu bersetuju, tidak bersetuju dan tidak kisah. Di akhir perdebatan, tidak ada apa-apa yang berlaku kerana rasa tidak puas hati yang diluahkan tidak dapat mengubah apa-apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan bagi Perkara 153.

Tidak adanya tindakan yang mengancam keselamatan masyarakat pelbagai kaum apabila membincangkan isu-isu sensitif seperti ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin matang dalam mengetengahkan idea mereka. Shamsul Amri (2008) menyifatkan keganasan bukannya pilihan rakyat Malaysia untuk menyelesaikan masalah hubungan etnik sebaliknya memilih pendekatan berbincang dan berunding untuk mencapai persetujuan bersama. Justeru beliau menyifatkan situasi ini sebagai ‘ketegangan yang stabil’.

Mengurus hubungan etnik merupakan satu cabaran besar kepada pemimpin Malaysia kerana terdapat proses yang dinamik dalam hubungan berkenaan yang amat berkait rapat dengan corak dan aliran tertentu khususnya hubungan antara etnik. Dengan penduduk yang berjumlah 28,274,729 (Julai 2010) yang merangkumi Melayu 50.4%, Cina 23.7%, bumiputera 11%, India 7.1% dan lain-lain 7.8%, pengurusan etnik perlukan satu mekanisme khusus supaya keamanan dan kesejahteraan mereka dijaga sepenuhnya. Justeru, menguruskan hubungan etnik merupakan satu cabaran besar kepada pemimpin Malaysia supaya kestabilan politik akan berterusan.

Selama beberapa tahun, model pengurusan multietnik yang dilaksanakan Malaysia telah membuktikan bahawa masyarakat yang berbeza budaya dan asal-usul oleh hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni (Asma Abdullah dan Pederson, 2003). Melainkan 13 Mei 1969, kehidupan masyarakat Malaysia tidak pernah diselubungi pertembungan etnik berdarah kerana kerajaan bersama pihak swasta telah mengambil pendekatan berkesan ke arah mencapai integrasi nasional di semua peringkat. Nazaruddin Hj Mohd Jali et al., (2003) menyatakan tujuh cara yang diambil sebagai pendekatan untuk integrasi nasional tersebut iaitu pendidikan formal, aktiviti kokurikulum, pendidikan berterusan, kumpulan sosial, aktiviti-aktiviti sosial, pelancongan dalam negara dan media massa.

Kejayaan Malaysia menguruskan hubungan etnik telah mengundang perhatian orang luar untuk mengetahui formula pengurusan etnik ini. Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie berkata beliau kagum dengan konsep rumah terbuka yang diamalkan oleh masyarakat Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak ketika musim perayaan. Beliau membandingkan keadaan masyarakat Jepun dan Malaysia yang jauh berbeza. Masyarakat Jepun yang bersifat homogen disifatkannya kurang kaya dengan budaya, tradisi dan bahasa berbanding masyarakat Malaysia.

‘Unlike Japan which too homogeneous, where its people share the same culture, tradition and language, Malaysia is unique in many ways’.

Kewujudan masyarakat multietnik telah mula mendapat pengiktirafan masyarakat Eropah melalui pemberian definisi baru ke atas maksud ‘masyarakat moden’. Pada awal abad ke-21 ini, kepelbagaian masyarakat dan budaya telah menjadi takrifan standard tentang masyarakat moden yang dirujuk dengan nada yang lebih positif dan memasukkan elemen kepelbagaian sosial dan budaya bagi menjelaskan inti pati masyarakat moden itu (Widestedt, 2005).


Sejarah Perkembangan Media di Malaysia

Penjajahan menjadikan Malaysia lebih cepat membangun dan berkembang dalam semua sektor. Penglibatan British dalam penerbitan surat khabar bermula dengan memperkenalkan The Government Gazatte di Pulau Pinang pada tahun 1806. Seterusnya Singapore Free Press pada 1825 dan Malacca Observer pada 1826. Penerbitan ketiga-tiga akhbar ini di Negeri-Negeri Selat menunjukkan pengaruh dan dominasi British yang menjangkaui penyebaran maklumat dan keinginan British untuk menguatkan pengaruh mereka di Semenanjung Tanah Melayu.

Akhbar berbahasa Melayu diterbitkan selepas 70 tahun akhbar berbahasa Inggeris, itupun dalam tulisan Jawi yang diberi nama Jawi Peranakan dan diterbitkan di Singapura pada tahun 1876. Jangka hayat akhbar ini tidak lama kerana 19 tahun selepas itu, ia dihentikan. Bagi akhbar Cina, penerbitan awalnya adalah dalam bentuk majalah bercorak agama iaitu The Chinese Monthly Magazine. Akhbar-akhbar bahasa Cina yang lain ialah The Universal Gazette, Lat Pau dan The Penang Sin Poe. Didapati isu-isu yang diberi perhatian oleh akhbar Cina ialah perkembangan politik yang berlaku di Tanah Besar China berbanding isu-isu tempatan (Tang Eng Tek, 1988). Akhbar-akhbar berbahasa Tamil telah diterbitkan sejak 1875 yang menyentuh isu-isu kebajikan masyarakat India di samping isu-isu di negara India. Antara akhbar ini ialah Singai Warthamani, Ulaga Nesan, Singai Nesan dan Hindu Nesan (Krishnan Maniam, 1988).

Penerbitan akhbar di peringkat awal hingga selepas merdeka menyaksikan pelbagai sebab kenapa ia diterbitkan. Antaranya ialah memberi fokus kepada perkembangan masyarakat etnik masing-masing, isu nasionalisme dan keagamaan. Bagaimanapun perkembangan semasa khususnya dalam era globalisasi telah memberi perubahan besar kepada corak laporan dan fungsi akhbar dan media. Pengenalan Internet telah menyusun semula corak penyampaian maklumat kepada masyarakat yang menyaksikan kemunculan media alternatif yang pantas mendapat sambutan. Selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah pencegahan supaya punca kepada rusuhan berkenaan tidak akan berulang pada masa depan. Di samping memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang berperanan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, polisi pendidikan dan peranan media massa dilihat kembali dengan teliti bagi membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu. Kepesatan perkembangan akhbar di Malaysia dapat dilihat dengan kehadiran empat aliran bahasa yang diterbitkan seluruh negara.

Isu-Isu Media dan Hubungan Etnik

Media di Malaysia berhadapan dengan kepelbagaian etnik yang setiap satunya mempunyai keperluan dan aspirasi sendiri. Ia tiak dapat dielakkan kerana media massa akan mempengarui bagaimana orang ramai membuat persepsi mereka, memahami dan membuat pandangan terhadap realiti dan dunia tempat mereka hidup (Baran, 2004). Cabaran ini semakin besar apabila penduduk bandar meningkat kepada 70 peratus dan pengguna Internet meningkat pada 15.355 juta (2009).

Masa hadapan Malaysia sedang bergerak ke arah modenisasi yang perlahan-lahan mengubah lanskap kehidupan masyarakat berbilang etnik. Proses modenisasi telah memandu kehidupan dan gaya hidup masyarakat untuk mengenali cara hidup etnik yang berbeza-beza ini. Kelompok miskin di luar bandar secara beransur-ansur mula keluar daripada lingkaran kemunduran dan kemiskinan ke arah persaingan yang lebih terbuka apabila pembangunan mulai mendekatkan diri dengan kawasan tanah terbiar, kawasan kebun dan ladang.

Kesedaran terhadap keperluan memahami dan mengambil kira kehadiran etnik-etnik lain telah memberi idea kepada kerajaan Malaysia untuk mengadakan program yang dapat mengeratkan perpaduan etnik ini. Justeru setiap kali musim perayaan, berita di muka hadapan akhbar dan televisyen akan memaparkan wajah-wajah pelbagai etnik sedang meraikan perayaan masing-masing. Beberapa tahun yang lepas, kerajaan mula menjadikan sambutan perayaan sebagai acara penting peringkat kebangsaan. Ketika ini, perdana menteri atau menteri besar bergilir-gilir menghadiri majlis makan dan persembahan sebagai sebahagian daripada usaha-usaha perpaduan. Walaupun di peringkat awal program seperti ini kurang mendapat sambutan di samping larangan daripada tokoh-tokoh agama, konsep penganjuran telah diubah suai dan menepati kehendak syarak. Kini, sambutan perayaan hanya dihadkan kepada elemen perpaduan tanpa ada lagi unsur-unsur pemujaan sesuatu agama. Sambutan perayaan setiap etnik di Malaysia diberi liputan meluas sebagai strategi untuk merapatkan hubungan etnik. Biasanya berita majlis sambutan dan pertemuan pemimpin disertakan gambar di muka hadapan akhbar dan berita utama bagi mempengaruhi pembaca dan penonton untuk menilai keakraban hubungan pemimpin pelbagai etnik ini.

Kesungguhan kerajaan Malaysia untuk membina kefahaman dipanjangkan lagi apabila menyambut Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia pada 14 Februari 2011 (The Star, 14 Februari 2011). Perdana Menteri, Najib Tun Razak berkata perbezaan agama di Malaysia tidak dapat menghalang rakyat daripada kenal-mengenal di antara satu sama lain. Beliau mencadangkan Pergerakan Kesederhanaan Sedunia dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2010 sebagai refleksi kepada kejayaan Malaysia menguruskan hubungan etnik. Berita ini menjadi tajuk muka depan yang dilaporkan dalam surat khabar dan media elektronik.

Walaupun media memaparkan ‘senyum dan tawa’ pemimpin-pemimpin ini, keadaan mesra tersebut tidak menghalang rakyat daripada memikirkan isu-isu hubungan etnik yang kadangkala tegang kerana melibatkan masalah-masalah besar yang berkait dengan agama dan politik. Dalam pengamatan Sankar (2010) berkenaan kaitan di antara etnik dan media, beliau mengelompokkan empat masalah yang dikenal pasti iaitu agama, hak istimewa Melayu, sengketa politik dan peluang-peluang persamaan. Kajian ini mendapati isu-isu yang dibincangkan adalah sensitif dan terbuka, namun ia bebas disiarkan oleh media. Contohnya, isu agama yang melibatkan mahkamah syariah, perkahwinan, murtad dan tuntutan jenazah mualaf yang disiarkan secara telus. Salah satu isu yang menjadi perdebatan ialah tuntutan jenazah mualaf yang meninggal dunia tanpa mengisytiharkan keislamannya secara rasmi. Dalam tajuk ‘Syariah court declares deceased a Muslim’ oleh New Straits Times pada 5 Julai 2008, Mahkamah Syariah Parit Buntar telah mengisytiharkan Elangesvaran Benedict adalah seorang muslim biarpun isu berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Tinggi. Elangesvaran, 34, mati kerana membunuh diri pada 22 Jun 2008 dan jenazahnya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat. Bagaimanapun keluarganya dimaklumkan tuntutan jenazah tidak boleh dilakukan kerana Elangesvaran adalah seorang muslim.

Kes lain ialah laporan media ke atas tuntutan jenazah Mohan Singh, 41 yang dikatakan telah menjadi muslim sejak 17 tahun lalu. Beliau meninggal dunia pada 25 Mei 2009 kerana serangan jantung. Keluarga Mohan Singh dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) masing-masing menuntut jenazah berkenaan menyebabkan isu tersebut dibawa ke Mahkamah Tinggi. Keputusan mahkamah berkenaan telah memihak kepada MAIS selepas menerima kesahihan butir-butir pengislaman Mohan Singh. Begitu juga kes berkaitan Maniam ‘Everest’ Moorthy yang meninggal dunia pada 2005. Beliau diisytiharkan Islam dan dikebumikan sebagai muslim. Banyak lagi kes tertunggak yang melibatkan isu agama dilaporkan secara terbuka oleh media tanpa ada konflik yang serius. Bagaimanapun riak-riak tidak puas hati sentiasa wujud namun dapat dihadapi dengan bijak oleh pihak kerajaan sendiri melalui pelbagai mekanisme yang dapat meredakan kegelisahan etnik. Antaranya ialah pengumuman perdana menteri yang menyatakan kanak-kanak di bawah umur tidak boleh lagi ditukar agama sebelum mendapat kebenaran ibu bapa.

Selain daripada isu agama, kedudukan etnik dalam sektor pekerjaan, hak istimewa dan peluang-peluang pekerjaan, berita berkenaan pencapaian ekonomi, masalah sosial dan pendidikan dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dapat diurus dengan baik oleh media. Satu sebab yang kuat kenapa media tidak dapat membangkitkan sentimen etnik adalah kerana kawalan media oleh kerajaan melalui akta dan undang-undang yang ketat. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana masyarakat pelbagai etnik mudah terdedah kepada hasutan dan menimbulkan kekacauan. Oleh kerana keadaan masyarakat yang pelbagai etnik, teknik pelaporan yang digunakan oleh media massa adalah lebih khusus kerana mengambil kira sensitiviti etnik (Lent, 1990). Malah, kajian yang dilakukan oleh Junaidi (2009) ke atas media massa di Malaysia mendapati surat khabar negara ini cenderung mengiktiraf pentingnya penerapan multikulturisme dalam pemberitaan. Cenderung menyampaikan mesej bersifat neutral dan ada citra positif. Akhbar juga didapati menunjukkan kecenderungan menyokong multikulturisme melalui informasi dan pandangan yang disiarkan. Justeru keganasan yang bersifat politik dan agama sangat kurang walaupun media memberi keutamaan dalam beberapa isu berkenaan. Keadaannya berbeza dengan negara yang memiliki masyarakat multietnik seperti Sri Lanka, Fiji atau Pakistan.

Peranan Media Memupuk Perpaduan

Jumlah penduduk Malaysia dijangka bertambah sehingga 43 juta orang pada tahun 2050. Bilangan ini diunjurkan sebagai persediaan kerajaan merancang dan melaksanakan dasar yang memberi faedah kepada semua kaum yang bersama-sama hidup dalam negara merdeka. Dijangkakan jumlah pekerja asing sangat tinggi ketika itu dan bakal mengubah sosioekonomi dan sosiobudaya masyarakat. Bilangan kaum Cina dan India akan menurun pada tahun 2025 dan memberi implikasi besar kepada kuasa politik dan ekonomi golongan itu (Tey Nai Peng, 2007).

Pertambahan penduduk yang tidak seimbang ini mengundang tanggungjawab media untuk mempastikan kelompok minoriti mendapat hak dan akses hidup yang lebih baik kerana senario hubungan etnik di Malaysia pada masa hadapan sentiasa menjadi isu dan perhatian. Bagi negara yang berhadapan dengan hubungan etnik yang tegang seperti Palestin-Israel, Bosnia-Herzegovina dan Rwanda, peperangan adalah jalan keluar kepada rasa benci dan meluat di antara etnik. Selepas berperang, perjanjian yang dipersetujui telah mengubah keadaan hidup dan corak berfikir masyarakat. Kaedah konvensional maklumat melalui akhbar akan bertukar secara perlahan-lahan ke bentuk atas talian (online) kerana jumlah pengguna Internet di Malaysia lebih 15 juta dan kadar penembusan hampir 60 peratus.

Pengaruh media baru sebagai sumber maklumat di Malaysia semakin berkembang dan mula menunjukkan perubahan yang ketara ke atas cara gaya berfikir masyarakat. Internet dan media digital memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk membina jaringan komunikasi antara satu sama lain, merentas kelas sosial, agama dan budaya. Teknologi maklumat dan komunikasi mempunyai potensi yang kuat untuk mengubah dan memperkasakan pendidikan, perdagangan, bisnes, kerajaan elektronik dan wanita, justeru implikasinya ke atas institusi asas seperti keluarga, gender, ekonomi dan masyarakat awam adalah serius (Ramli dan Adnan, 2006).

Media harus sentiasa bersandarkan kepada spirit Perlembagaan Persekutuan sebagai pembimbing kepada laporan berita mereka supaya konsep asas perpaduan iaitu kontrak sosial terus dipelihara. Salah seorang pakar dalam hal ehwal Asia, Corrado Letta berkata, banyak perkara yang boleh dipelajari negara-negara Eropah tentang kontrak sosial yang sedang dilaksanakan oleh Malaysia. Beliau menjelaskan beberapa perkara penting yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik berbanding 50 tahun yang lalu. Dalam ‘Malaysia-Europe: Strategic Partnerships for the Pacific Century’, Corrado melihat kontrak sosial merujuk pada quid pro quo iaitu timbal balas yang dimuatkan pada Perkara 14 hingga 18 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi taraf kewarganegaraan kepada bukan Melayu dan Perkara 153 yang mempastikan hak-hak istimewa Melayu diwujud dan dilaksanakan. Selepas 50 tahun, Perlembagaan yang berasaskan kontrak sosial telah menjanjikan persamaan hak kepada semua warganegara tanpa mengira etnik dan agama.

Pada April 2005, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Media Asia telah berkata;

‘Malaysia adalah contoh terbaik bagaimana kontrak sosial mempastikan keamanan dan kestabilan selama 50 tahun. Perkara paling penting dalam kontrak ini ialah persetujuan penduduk bumiputera menerima kewarganegaraan imigran China dan India. Kedua-dua kelompok ini boleh berada dalam jemaah menteri dan majlis mesyuarat negeri. Sebagai imbalan, komuniti imigran berkenaan bersedia dengan keistimewaan ekonomi kepada
golongan bumiputera.’
Kedua-dua media elektronik dan cetak memainkan peranan penting di negara ini bagi membina kesedaran dan galakan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum. Maklumat yang disebarkan melalui media massa boleh memberi mesej perpaduan kerana nilai-nilai perpaduan ini boleh dibentuk dalam rancangan terbitan televisyen atau radio di samping paparan artikel di akhbar.

Kajian yang dilakukan oleh Md Salleh Hj Hassan et al., (2009) ke atas keberkesanan media massa dalam memupuk dan memperkukuh perpaduan negara dan integrasi nasional memperlihatkan pengaruh media massa ke atas nilai dan sikap masyarakat terhadap perpaduan telah merumuskan bahawa media massa di Malaysia menjadi elemen yang berkesan bagi memupuk dan memperkukuh perpaduan negara dan integrasi nasional. Dapatan kajian dari Jadual 4 hingga 6 turut memperlihatkan televisyen sebagai sumber utama mesej berbanding radio dan akhbar. TV3 adalah saluran utama yang ditonton dan TV1 adalah saluran yang paling kurang ditonton. Stesen radio Era.fm adalah pilihan utama dan akhbar Utusan Malaysia pula menjadi akhbar pilihan ramai (21.1%), diikuti Berita Harian (16.0%) dan The Star (15.2%). Secara umum dapat diketahui bahawa lebih ramai penduduk Malaysia membaca akhbar berbahasa Melayu dan mesej perpaduan negara telah membawa kesan positif kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.

Kejayaan pelaksanaan kontrak sosial telah mengukuhkan perpaduan rakyat sehingga ke hari ini. Ia juga memberi isyarat kepada hubungan etnik yang lebih stabil untuk memajukan ekonomi negara. Pencapaian Malaysia dalam bidang ekonomi ini memberi gambaran bahawa masyarakat pelbagai kaum boleh bersama-sama membina negara asalkan mereka bersepakat ke arah itu. Kejayaan Malaysia menjadi antara 30 negara utama perdagangan dunia juga adalah bukti kekukuhan politik sejak 50 tahun lalu.

Masyarakat Melayu dan bukan Melayu telah mengalami perubahan yang sangat ketara sejak merdeka. Dalam masyarakat Melayu, era 50-an hingga 90-an berubah kerana pendidikan yang diterima telah menjadikan mereka lebih bersedia dengan cabaran dan menerima keadaan bersaing dalam masyarakat pelbagai etnik. Keadaan yang sama turut berlaku dalam masyarakat bukan Melayu yang semakin sebati dalam masyarakat Malaysia. Aspirasi dan pengharapan masa hadapan kedua-dua masyarakat ini lebih menjurus kepada berkongsi nilai-nilai sejagat demi kemajuan negara. Berdasarkan kepada perkembangan ini, media harus melihat bahawa skop kewartawanan sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran kepelbagaian. Tahap pendidikan dan latar belakang seseorang wartawan harus berkembang dan melihat hubungan etnik ada kaitan dengan budaya. Dalam laporan hari ini, terdapat berita yang berkaitan dengan kehebatan hubungan etnik yang kurang diberi pendedahan kepada umum. Contohnya ialah keluarga pelatih India yang datang memohon maaf kepada keluarga pelatih Melayu yang terbunuh dalam pergaduhan di salah sebuah pusat Program Latihan Khidmat Negara. Berita ini dilaporkan tetapi tidak mendapat perhatian penting dan tidak menjadi tajuk utama. Oleh itu, institusi media wajar membina kekuatan baru untuk mengetengahkan isu-isu hubungan etnik melalui penyelidikan, pendidikan dan pemerhatian ke atas kepelbagaian budaya dan agama.

Dari semasa ke semasa, kisah hubungan etnik akan terus dilaporkan oleh media. Walaupun isu ini tidak menjadi topik utama akhbar, masih terdapat berita-berita yang dimuatkan untuk bacaan. Di samping berita-berita yang mengaitkan secara langsung hubungan etnik, namun terdapat laporan yang disiarkan tidak menggambarkan kecurigaan sesuatu etnik melebihi etnik yang lain seperti projek pembangunan bernilai jutaan ringgit ataupun kejayaan pasukan bolasepak menjadi juara biarpun dalam kedua-dua keadaan didominasi oleh satu etnik sahaja.

Kesimpulan

Masalah, konflik dan cabaran dalam hubungan etnik akan sentiasa wujud tanpa mengira sempadan. Andainya muncul satu lagi ‘13 Mei’, ia bukannya kesilapan yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, kontrak sosial ataupun pelbagai dasar, sebaliknya keupayaan menangani perbezaan yang hadir ketika membuat keputusan tentang hala tuju negara. Peranan akhbar semakin jeas untuk mengurangkan penolakan ke atas perbezaan yang ada, membantu mengukuhkan kepentingan politik dan ekonomi melalui kesedaran moral serta menyedari bahawa laporan media yang bersifat berat sebelah boleh mengundang konflik dan polemik etnik yang berpanjangan.

Media juga perlu jelas menunaikan peranan dan tanggungjawab terhadap negara dengan meletakkan kepentingan nasional melebihi kepentingan politik atau etnik. Kemunculan media alternatif dapat mengimbangi media arus perdana namun mesti dalam konteks yang membina keharmonian dan kematangan berfikir rakyat Malaysia. Dalam erti kata lain, media perlu mengambil tanggungjawab ke atas kesan-kesan sosial sebagai sebahagian daripada polisinya.

[Hubungi editor untuk artikel lengkap]
 

Friday, April 15, 2011

Siapa akan menang di Sarawak?

Pilihanraya Umum Kesepuluh di Sarawak bakal menentukan kerajaan baru di negeri itu. Demam pilihan raya ada di mana-mana, dari Limbang ke Kuching, rakyat Sarawak dihidangkan dengan peluang untuk membuat perubahan demi masa depan. Pilihannya hanya ada dua sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Walaupun BN mempunyai peluang yang lebih baik, kesedaran pengundi muda tidak dapat dinafikan semakin meningkat. Kesedaran politik golongan ini menjadi garis pemisah di antara BN dan PR. Dalam pilihan raya kali ini, mereka yang baru kali pertama mengundi akan menjelaskan hala tuju pentadbiran selepas ini. Manakala golongan veteran sudah sebati dengan kecenderungan memilih BN, politik Sarawak dua tiga dekad yang akan datang tentu menjanjikan persaingan sengit.

Politik Sarawak adalah politik pembangunan. Kawasan tanah yang luas disertai kawasan hutan yang tebal, petanda negeri itu perlukan pengurusan ekonomi dan aset negeri yang lebih baik, tersusun dan kemas. Ketika pembangunan dan kemudahan infrastruktur ditumpukan di kawasan bandar, masyarakat luar bandar masih jauh ketinggalam dalam pelbagai aspek. Bangunan sekolah yang uzur, jalan tanah liat yang berlumpur, barangan keperluan yang mahal, nasib tanah adat yang belum selesai dan kemudahan air bersih yang terhad, semuanya perlu diberi perhatian. Kanak-kanak ke sekolah berjalan kaki tiga hingga empat jam sehari merentas bukit dan belukar, peluang pekerjaan yang tidak banyak dan kualiti hidup yang belum meningkat di luar bandar adalah simptom kepada peminggiran pembangunan di Sarawak.

Justeru, kehadiran pemimpin politik dari BN yang sangat kerap sambil menjanjikan pelbagai projek pembangunan amat menggiurkan. Manakan tidak. Dulunya tidak ada hospital, kini dijanjikan hospital yang moden. Dulunya terpaksa naik feri untuk seberang sungai, kini dijanjikan jambatan merentasi dua negara. Dulunya ada pasar yang uzur, kini dijanjikan dengan sebuah pasar basah yang moden. Anehnya, semua ini dibuat ketika musim kempen pilihan raya. Barangkali rakyat mudah lupa janji-janji mereka ketika pilihan raya lepas, jadi perlu diingatkan ketika musim kempen kali ini.

Istilah jembalang, penipu dan jani-janji kosong menjadi mainan di bibiran pemimpin-pemimpin BN ketika kempen dan disiarkan di akhbar dan media. Semua orang boleh lihat dan dengar sendiri sindiran demi sindiran. Baik di waktu subuh, tengah hari atau malam. Katanya pembangkang tidak buat apa-apa di Kedah, pembangkang tidak tahu mengurus Pulau Pinang, pembangkang tidak reti hendak majukan Kelantan, dan di Selangor, pembangkang tidak cukup wang untuk bangunkan negeri, maka penasihat ekonominya perlu letak jawatan. Dalam berita, disiarkan juga kepayahan dan kesukaran rakyat di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan kerana kemajuan tidak kelihatan langsung. Anehnya, kita tidak pernah mendengar ada orang yang mati kelaparan di negeri-negeri ini.

Pakatan Rakyat pula, di sebalik serangan ganas ke atas pemimpin utama mereka, sambutan rakyat Sarawak amat menggalakkan. Tidak ada media kerajaan yang menyiarkan kempen Nik Aziz, Hadi Awang, Lim Guan Eng atau Anwar Ibrahim melainkan disiarkan keberangan Anwar Ibrahim dalam sidang media. Setiap hari rakyat Sarawak khasnya dan Malaysia amnya disogokkan dengan kenyataan bahawa pembangkang tidak mampu mentadbir negara, pembangkang tidak boleh membentuk kerajaan dan pembangkang adalah jembalang sehinggakan naik muak orang yang mendengar. Ia dirancang supaya pengundi menolak pembangkang. Anehnya, rakyat Kelantan tetap sayangkan Tok Guru, jambatan Pulau Pinang masih sesak macam dulu, rakyat Kedah sejahtera selalu dan Khalid Ibrahim masih menjadi menteri besar Selangor dengan sokongan padu.

Di sebalik kepayahan untuk menyampaikan maklumat kepada pengundi, PR terpaksa juga bekerja keras. Pengangkutan ke Sarawak dan berkempen di pedalaman negeri itu bukannya menggunakan wang kerajaan kerana PR bukannya parti komponen yang kaya-raya. Mereka bergerak menggunakan wang parti dan sumbangan orang ramai. Berbeza dengan pemimpin BN. Mereka bergerak menggunakan jentera kerajaan kerana tujuan ke seluruh Sarawak adalah atas tugasan rasmi penjawat awam. Tindakan ini diumpamakan sebagai ‘menyelam sambil minum air’ atau dua dalam satu. Kelebihan terletak pada BN ketika ini. Inilah mainannya. Pihak yang berkuasa akan menggunakan apa cara untuk meraih peluang asalkan memberi kemenangan.

Di antara BN dan PR, hanya rakyat Sarawak yang dapat menentukan siapa pilihan mereka. Isu-isu yang dimainkan ketika ini berbagai-bagai. Jika BN membawa isu video, PR juga membawa isu yang sama. Namun isu Semenanjung tidak begitu dipeduli oleh rakyat Sarawak kerana isu-isu tempatan lebih dominan dan perlu diberi perhatian. Antara isu ini ialah tanah adat, kekayaan luar biasa ketua menteri, pembangunan kawasan luar bandar dan pemodenan. Kedua-dua pihak saling memberi hujah untuk menarik pengundi.

Barisan Nasional boleh menang lagi di Sarawak tetapi mood pilihan raya 2008 masih kuat. Apatah lagi lagi pemimpin kerajaan BN kurang berprinsip dalam membuat keputusan. Adakah pula hendak diperkenalkan semula pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris selepas mereka sendiri membuat keputusan akan menghentikannya? Adakah kita sudah lupa?

Thursday, April 14, 2011

Surat khabar menjana wang





Surat khabar memberi banyak idea untuk menjana wang sendiri dengan cara yang mudah. Caranya sangat mudah. Setiap hari ada-ada saja berita, isu atau laporan berkaitan ucapan pemimpin-pemimpin negara. Ucapan-ucapan ini boleh dikumpulkan dan diterbitkan dalam bentuk bahan bercetak, cakera padat, coffee table atau dibuat dokumentasi.

Menyediakan sebuah buku yang menarik perlukan sedikit kreativiti khususnya kulit luar dan lay out. Kepadatan buku juga akan mempengaruhi minat bakal pembeli untuk melaburkan wang mereka kerana buku jenis ini dianggap eksklusif. Sumber dari surat khabar adalah lebih mudah, murah dan boleh disimpan berbanding pergi sendiri ke majlis perasmian pemimpin negara semata-mata untuk mendapatkan ucapan mereka.

Cara mengumpul ucapan pemimpin adalah mudah. Setiap hari kita boleh dapatkan daripada surat khabar edisi dalam talian atau jika ada wang, kita boleh beli surat khabar lama secara pukal untuk mendapatkan petikan kata-kata yang lebih segar, kuat dan mempunyai pengaruh kepada pembaca. Kumpulkan petikan kata-kata ini bersama gambar. Apabila sudah banyak, koleksi ini boleh dikumpulkan, diedit dan dibuat buku. Di samping dapat menambah koleksi bacaan, ia juga boleh menjadi katalis kepada minat membaca dan menambahkan lagi jenis bacaan seperti itu. Semakin banyak ucapan dan petikan dijadikan koleksi, secara tidak langsung kita membina pendapatan pasif untuk masa depan.

Wednesday, April 13, 2011

Keinginan yang mendalam





Satu ciri yang sangat penting untuk meraih kejayaan dalam hidup ialah keinginan yang mendalam (curiosity). Saintis dan pencipta seperti Thomas Edison telah menemui objektif penyelidikan mereka kerana terlalu berminat dengan bidang mereka. Jika Edison tidak berminat dengan elektrik atau Alexander Graham Bell tidak peduli tentang pemindahan suara, seluruh dunia tidak pernah mendapat faedah reka cipta mereka.

Keinginan menjadi teras kepada minat. Orang yang tidak ada minat dan keinginan akan hidup dengan suasana bosan. Lama-kelamaan seperti kata pendidik Amerika Syarikat, Nicholas Murray Butler: batu nisan sepatutnya dibaca ‘meninggal dunia pada umur 30 tahun, dikebumikan pada umur 60 tahun’.

Budaya inovasi sentiasa menjadi jurupandu kepada orang yang memiliki keinginan yang mendalam dan tahu apa yang dikehendaki. Hidup mereka tidak tentu arah jika tidak melakukan sesuatu yang baru kerana inovasi, kajian dan eksplorasi telah mjadi tabiat yang mendorong ke arah penciptaan baru pelbagai alat, produk atau mekanisme yang membantu menyelesaikan keperluan hidup. Saintis zaman moden tentu lebih agresif kerana mereka mendapat banyak kemudahan dalam penyelidikan khususnya bantuan kewangan. Selepas berjaya dengan produk inovasi, tentulah diberi ganjaran.

Tuesday, April 12, 2011

Video dan kastam


Video seks

Peranan ‘Datuk T’ ketika mendedahkan video seks yang dikatakan ada kaitan dengan pemimpin Parti Keadilan Rakyat menarik minat ramai pihak. Pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, kakitangan awam dan swasta, ibu bapa, makcik-makcik dan sesiapa saja kini boeh melihat sendiri apa yang dimaksudkan dengan video lucah. Peranan penjual video haram di Petaling Street kini diambil alih oleh akhbar harian yang tanpa segan silu memaparkan aksi-aksi lucah dan terlampau. Ada akhbar yang menunjukkan adegan tidak sepatutnya diketahui sebahagian masyarakat khususnya pelajar sekolah dan kanak-kanak. Di mana hendak simpan muka depan akhbar ini di dalam rumah, di perpustakaan sekolah atau di pusat jagaan kanak-kanak?

Dalam kes Datuk T, mereka bertiga ini yang didedahkan identitinya bertindak menayang video seks kepada wartawan, seterusnya sebahagian klip video berkenaan dimuat naik ke laman YouTube dan telah tersebar dalam kalangan orang awam. Pihak berkuasa dilihat berlepas tangan apabila tidak mengambil sebarang tindakan yang dapat mencegah penyebaran video ini. Orang yang diugut pula ialah orang awam yang hanya mendapat salinan video berkenaan daripada Internet. Manakala Datuk T bebas dan bersenang-lenang tanpa sebarang dakwaan. 

Masyarakat ingin melihat adanya keadilan dalam isu ini dan keadilan tersebut dilaksanakan tanpa memilih bulu. Penyebar video berkenaan mesti didakwa supaya masyarakat berpuas hati dengan peranan pihak berkuasa. Lembutnya pihak berkuasa menangani Datuk T adalah sama dengan lembutnya tindakan mereka ke atas orang-orang yang ada pengaruh dalam politik. Hari demi hari kita memerhati situasi ini tanpa dapat membuat apa-apa kerana perasaan takut telah menyelubungi hati masyarakat.

Datuk T dan media pro kerajaan Barisan Nasional berterusan menyiarkan isu ini sehingga naik muak untuk masyarakat awam mendengarnya. Ada sesetengahnya sudah mula menyampah dan membuat analisis sendiri. Sebaik sahaj video seks itu didedahkan kepada wartawan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat penafian, diikuti rakannya Datuk Johari dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah menafikan penglibatan ketua pembangkang itu. Pendedahan ini sangat bertepatan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak. Kira-kira mudah ialah video seks berkenaan adalah untuk pilihan raya di Sarawak.

Apakah orang di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah terpengaruh dengan bahan politik tidak bermoral ini?

Bagi yang masak dan faham dengan politik, mereka dapat membuat congakan yang cepat. Bagi yag bergantung kepada Utusan Malaysia, blog pro kerajaan atau media Barisan Nasional, video berkenaan adalah benar dan tidak boleh disangkal lagi. Kita perlu lihat juga laman web lain yang menyiarkan maklumat lebih neutral dan merangsang minda berfikir. Antaranya Malaysiakini, Harakahdaily ataupun Sinar Harian. Kajian awal ke atas pandangan pelajar IPT ke atas politik semasa menunjukkan golongan itu ada tahap kesedaran yang baik. Tidak ramai yang setuju dengan dasar kerajaan Barisan Nasional sebaliknya mereka mahukan perubahan yang lebih baik khususnya berkaitan pembelajaran. Bayangkan lebih separuh responden cenderung pada Pakatan Rakyat, sepuluh tahun yang akan datang Barisan Nasional akan menjadi pembangkang.


Kastam

Kematian Ahmad Sarbini Mohamed, Penolong Pengarah Kastam Selangor di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat mengejutkan kerana inilah kali kedua kes kematian berlaku di SPRM. Mangsa memiliki sebuah keluarga yang tidak bermasalah, anak yang sedang meningkat umur dan kerja yang selesa. Namun, kenapa beliau mati di SPRM? 

Seorang rakan yang menghampiri usia 70-an tiba-tibamuncul di pintu pejabat dan menyatakan kekesalan ke atas kematian Ahmad Sarbini. Baginya, tidak mungkin dia membunuh diri kerana latar belakang kerjaya dan keluarga yang baik. Tidak perlu baginya untuk mati dengan cara begitu. Lalu saya katakan mangsa telah mengalami tekanan dan panik apabila dipanggil ke SPRM. Namun, apa gunanya mangsa datang secara sukarela ke SPRM pada awal pagi untuk membuat perubahan pada kenyataan awalnya sebelum itu? Tentulah tahap mentalnya ketika itu berada dalam keadaan baik, waras dan boleh berhadapan dengan tekanan.

Walaupun rakan saya ini kurang setuju dengan anggapan mangsa membunuh diri, kita biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana kehilangan RM108 juta adalah serius. Tanpa penyelewengan, kerajaan dapat menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik dan rakyat akan mendapat manfaatnya. Agensi penguatkuasa seperti kastam perlu memastikan anggotanya bebas daripada rasuah kerana 62 orang kakitangannya yang ditahan akibat rasuah amat memalukan. Bagaimanapun kita serahkan kepada kebijaksanaan pengurusan kastam untuk mengembalikan keyakinan orang ramai kepada jabatan itu.


 

Kecewa adalah baik



Adakah kita bersedia dengan kekecewaan? Impak kecewa sangat menyakitkan. Bergantung kepada keupayaan diri, kecewa boleh mengundang masalah mental yang dahsyat. Katakan kecewa kerana putus cinta ataupun kecewa kerana orang yang dicintai meninggal dunia. Orang yang menghadapi saat-saat ini merasakan seolah-olah dunia telah berakhir dan sudah tidak ada harapan lagi.

Rasa kecewa tidak semuanya memberi konotasi negatif. Tanpa merasai kecewa, kita tidak akan belajar untuk menerima keputusan atau takdir. Tanpa melakukan kesilapan, kita kurang peluang untuk membaiki diri dan maju setapak ke hadapan. Kita belajar apabila menyedari kesilapan tetapi kita terpedaya apabila melakukan kesilapan yang sama berulang kali.

Para penyelidik bersetuju setiap orang boleh belajar cuma berbeza dari segi kapasiti belajar. Selagi kepala tidak cedera dan dalam keadaan normal, kecekapan minda kita lebih daripada 50 peratus. Jadi, tidak ada alasan untuk mengisi minda kita dengan pelbagai maklumat dan kemahiran berfikir.

Monday, April 11, 2011

Cara kuasai kemahiran baru



Tarikan terhadap sesuatu perkara yang baru kadang kala membuatkan kita beriya-iya hendak memenuhi keinginan tersebut. Katakan tarikan tersebut ialah belajar ke peringkat lebih tinggi ataupun belajar sesuatu yang baru. Apakah kita patut berfikir panjang atau terus daftarkan diri? Sebaik-baiknya ialah tidak bertangguh-tangguh kerana hasrat tersebut belum tentu akan datang lagi.

Belajar pada usia yang semakin meningkat memang banyak cabaran. Bagaimanapun kita wajar melihat secara keseluruhan bidang ini. Dapatkan gambaran keseluruhan supaya kita benar-benar faham. Kemudian, langkah demi langkah menguasai kemahiran-kemahiran asas, seterusnya menetapkan matlamat.

Sentiasa berikhtiar membaiki diri dan strategi belajar supaya kita lebih cepat mahir. Letakkan cabaran tertentu kepada diri dan bandingkan dengan orang lain yang lebih hebat.

Inilah cara mudah untuk cepat menguasai sesuatu ilmu yang baru. Jika kita hendak menjadi seorang jurujual yang lebih baik, lihat cara kerja jurujual yang membuat jualan paling banyak, jika ingin belajar pengucapan awam, lihat dan dengar perucap yang berkesan menyampaikan ucapannya.

Jika mereka boleh buat, kita juga boleh buat seperti mereka.

Sunday, April 10, 2011

2 cara dapatkan kepercayaan ibu bapa

Ibu bapa sangat bimbang jika akan-anak mula meminta izin untuk keluar rumah kerana dalam fikiran mereka, bermacam-macam tanggapan yang ada. Antaranya ialah ‘Adakah anak aku ini betul-betul nak jumpa kawan?’ ‘Adakah anak aku ni betul-betul nak ke kelas tuisyen?’ dan sebagainya.

Bagaimana anak-anak khususnya yang sedang meningkat remaja boleh mendapatkan kepercayaan ibu bapa supaya hati ibu dan ayah tidak risau? Ada dua tips yang boleh menjadi panduan.

Pertama, bercakap benar. Beritahu apa yang kita hendak buat, keluar dengan siapa, pergi ke mana, bila hendak pulang dan sebagainya. Menyatakan dengan jujur dan tidak bohong adalah pancaran didikan daripada kedua ibu bapa yang prihatin dengan penerapan nilai-nilai yang baik dan akhlak yang mulia.

Kedua, beritahu aktiviti. Sentiasa memberitahu apa yang dibuat kepada ibu bapa membantu meredakan kerisauan mereka berdua. Banyak cara yang kita boleh lakukan seperti menggunakan telefon bimbit. Kita boeh bercakap dengan mereka atau menghantar pesanan ringkas. Memaklumkan apa yang kita buat dan di mana kita berada menunjukkan ikatan keluarga yang kuat di antara anak dan ibu bapa.

Kepercayaan ibu bapa sangat penting kerana mereka adalah tempat kita mendapat kasih sayang, tunjuk ajar dan bimbingan. Perkara yang paling penting ialah ibu bapa yang memberi kepercayaan ini akan terus berdoa untuk kesejahteraan hidup kita di dunia dan akhirat.

Saturday, April 09, 2011

Terima hakikat diri

Menerima keadaan diri sangat penting untuk memulakan perubahan hidup. Tanpa adanya penerimaan, kita berhadapan dengan kejahilan atau penafian. Berada di bawah payung kejahilan menyebabkan kita tidak tahu tahap disiplin diri- mungkin juga tidak pernah terfikir langsung kemajuan diri sendiri.

Seorang penulis di Barat gigih berusaha mengubah hidup. Ketika berusia 20 tahun, dia tinggal dalam sebuah apartment kecil dan masa tidurnya dari pukul 4 pagi hingga 1 tengah hari. Makanannya pula ialah mee segera atau apa-apa yang boleh segera dimakan. Dia tidak pernah bersenam kecuali berjalan-jalan di sekitar taman perumahan. Aktiviti hariannya ialah melepak.

Dia memang sedar yang gaya hidupnya akan menyumbang kepada kemerosotan kesihatan. Sedikit demi sedikit dia mencari kaedah untuk melakukan perubahan. Perkara pertama ialah membuat senarai matlamat dan perancangan untuk merealisasikan matlamat-matlamat berkenaan. Akhirnya dia dapat berubah selepas berhempas-pulas melenyapkan tabiat-tabiat yang tidak produktif.

Sama ada suka ataupun tidak, kita mesti menerima hakikat diri kita sendiri. Jika lemah, cari bantuan dan perkuatkan. Ramai orang yang bersedia memberi pertolongan jika kita menunjukkan kesungguhan untuk berubah.

Friday, April 08, 2011

Khusyuk bekerja

Kenalan saya, seorang profesor dari Italy adalah seorang yang khusyuk bekerja. Beliau merupakan pakar dalam hubungan Asia-Eropah. Di universiti, kerjanya ialah mencari bahan untuk menulis buku seterusnya menerbitkan buku berkenaan. Dalam setahun dia berjaya menerbitkan tiga buah buku.

Bagaimana dia melakukannya?

Setiap hari, dari pukul dua hingga enam pagi, dia akan ke pejabat seorang diri dengan menaiki teksi. Di pejabat tingkat dua, dia mula melayari internet, membuat rujukan dan berhubung dengan rakan-rakan di seluruh dunia untuk membantunya menyiapkan buku. Kegigihannya sungguh mengagumkan kerana dalam tempoh tiga bulan, sebuah buku setebal 685 muka surat berjaya disiapkan.

Sebagai orang muda, saya sangat teruja untuk mengikut jejak langkah dan caranya bekerja iaitu bangun pukul dua pagi, mentelaah sehingga pukul enam pagi seterusnya mencari bahan di perpustakaan. Agak sukar bagi saya melakukannya kerana bangun pukul dua pagi semata-mata mencari bahan penulisan belum lagi menjadi budaya hidup. Walau bagaimanapun selepas dua tahun berkawan dengannya, saya menganggap beliau sebagai model untuk berjaya dalam bidang penulisan buku sama ada buku popular atau buku akademik.

Thursday, April 07, 2011

Kembang bisnes ke luar sempadan negara

Memiliki bisnes yang serasi dengan jiwa membuatkan kita leka dan asyik dengan setiap detik yang dilalui sebagai usahawan. Kita leka dengan urus niaga jual-beli kerana memikirkan untung yang bertambah-tambah setiap kali ada jualan. Keasyikan ini memberi tenaga yang luar biasa. Bekerja siang dan malam sepanjang minggu, bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan berjumpa dengan prospek membuatkan kita berasa puas dan bebas melakukan perkara yang menyeronokkan hati.

Dalam dunia usahawan, adalah sangat penting kita memiliki satu bisnes teras yang betul-betul serasi dengan jiwa. Walaupun serasi dan minat, selok-belok bisnes mesti dicari supaya kita lebih mahir dalam pengurusan, perjalanan kewangan, strategi pemasaran dan sebagainya. Serasi sahaja belum mencukupi kerana teknologi moden sentiasa memberi ruang kepada perubahan.

Usahawan moden hari ini wajar mengambil kira perkembangan pengetahuan dan kemahiran pengurusan organisasi supaya ia berkembang maju. Selepas maju, barulah bergerak secara kumpulan dengan melebarkan bisnes ke luar negara pula.

Wednesday, April 06, 2011

Kesungguhan hati

Perbezaan di antara orang yang berjaya dan gagal ialah bukannya kekurangan kekuatan dan pengetahuan tetapi kekurangan kesungguhan hati.

Kesungguhan hati adalah keupayaan diri untuk menyelesaikan satu arah tindakan dan berkata, ‘lakukan.’ Kesungguhan hati menyediakan satu peningkatan yang sangat berkuasa tetapi sama seperti satu tembakan, ia meletup dengan sangat pantas.

Kesungguhan hati adalah peledak disiplin. Kesungguhan hati juga menjadi pusat daya yang mengumpulkan seluruh kekuatan, tenaga dan menonjolkan perubahan yang ketara. Ramai orang yang telah berjaya mengubah keadaan hidup dari meminta-minta kepada memberi, dari menadah tangan kepada menghulurkan sumbangan dan dari merungut dan membebel kepada syukur dan istiqamah.

Memberi tumpuan pada kesungguhan hati dapat meningkatkan stamina, memfokuskan sasaran dan iltizam untuk berjaya dalam hidup.

Tuesday, April 05, 2011

Empat jenis bisnes buat wang

Ada empat jenis bisnes yang sentiasa mengalirkan wang iaitu bisnes makanan, ubat-ubatan dan kesihatan, pakaian dan pendidikan. Keempat-empat bisnes ini boleh dikatakan stabil kerana ramai orang bersedia (dengan sebab yang sangat kuat) membayar untuk keperluan hidup dan kepentingan masa depan.

Kita ambil yang pertama iaitu bisnes makanan. Semua orang hendak makan sama ada kanak-kanak, wanita atau jurutera. Macam-macam jenis makanan yang dimakan. Susu, buah-buahan, nasi ayam dan satay, semuanya ada pasaran.

Saya dapati satu daripada bisnes yang kecil tetapi sangat menguntungkan ialah menjual buah-buahan yang dipotong. Harga sepotong buah ialah seringgit. Bayangkan jika dapat menjual seratus hingga dua ratus potong sehari, berapa banyak kita boleh buat untung? Premis perniagaan mesti strategik dan ramai pengunjung wanita kerana kaum lelaki agak kurang gemar makan buah potong ini.

Monday, April 04, 2011

Simpan wang sebelum belanja

Wang simpanan setiap bulan akan bertambah apabila kita berbelanja secara berhemah. Wang bertambah bermaksud: sebaik sahaja mendapat gaji, cepat-cepat menyimpan sejumlah wang yang sepatutnya, kemudian barulah belanja. Bukannya selepas habis belanja beli itu dan ini, baru hendak menyimpan.

Membuat simpanan bulanan perlukan disiplin diri, jadikannya sebagai rutin diri dan sebaik-baiknya jadikan sebagai rutin keluarga. Jangan dilihat sangat berapa banyak yang kita boleh simpan tetapi bagaimana kita boeh membuat simpanan secara berterusan untuk jangka masa panjang.

Masih belum terlambat untuk merancang simpanan masa depan. Mulai dengan RM100 sebulan. Dalam masa lima tahun atau 10 tahun, kita tentu dapat melihat hasilnya. Namun, awas kerana banyak dorongan yang menggoda kita untuk berbelanja. Iklan di televisyen, surat khabar atau majalah sentiasa merayu supaya wang kita mengalir keluar tanpa dapat dikawal.

Sunday, April 03, 2011

Buat wang dengan bisnes sendiri

Apakah erti kekayaan adalah dengan memiliki rumah yang besar, kereta yang mewah, harta yang melimpah atau bisnes yang untung juta-juta? Jika inilah gambaran kita tentang kekayaan, ia sama seperti yang difahami oleh orang-orang Barat hari ini iaitu ‘mengumpulkan kekayaan (the accumulation of wealth)’ – siapa yang berjaya menghimpunkan harta yang banyak, jadilah dia orang kaya.

Kita ambil definisi Barat ini dan cuba bertanya kepada diri sendiri, ‘kenapa kita tidak kaya-kaya lagi?’ Jawabnya ialah kerana kita tidak berusaha memperkayakan diri sendiri. Sebaliknya memperkayakan orang lain.

Perkara pertama dan utama untuk menjadi kaya dan mempunyai wang setiap masa ialah memiliki sekurang-kurangnya satu perusahaan sendiri yang menjana wang. Kekayaan harta benda adalah hasil pekerjaan sendiri, suatu yang praktikal dan boleh dirasa. Menganggap kekayaan umpama terjumpa harta karun sudah tidak relevan masa kini.

Di Amerika Syarikat, jutawan-jutawan muda hari ini berusia di bawah 30 tahun kerana mereka menguasai mesin menjana wang iaitu kepintaran dan kebijaksanaan mengeksploitasi internet. Kita juga boleh menjadi kaya jika memiliki dua sifat ini dan berusaha dengan tenaga dan fikiran sendiri.

Saturday, April 02, 2011

Berani hadapi masalah

Masalah hidup mesti dihadapi dengan berani. Adat bagi orang yang menghadapi masalah, fikiran menjadi kusut dan buntu. Ada yang berhadapan dengan masalah hutang kad kredit, hutang bank, tunggakan bayaran kereta, elektrik dan air. Malah keadaan semakin teruk jika rumah sendiri disita dan bersedia untuk dilelong.

Ketika menghadapi masalah, tidak ada sesiapa yang boleh diharap untuk membantu. Jangan kata hendak mendengar, hendak bertanya khabar pun tidak mahu. Jadi, kepada siapa lagi hendak minta bantuan?

Jawapan yang paling tepat dan sempurna ialah memohon bantuan Allah swt kerana dialah yang memberi masalah sebagai ujian kepada hidup kita. Masalah akan selesai selepas mendapat redha Allah swt. Kalau masih lagi mengharapkan ihsan orang lain, barangkali kita hanya menanti harapan, bukannya penyelesaian.

Friday, April 01, 2011

Dapat balik apa yang diberi

Perkara yang penting dan menjadi prinsip motivasi ialah: kita dapat balik apa yang kita beri kepada orang lain.

Keadaan ini sangat jelas dalam setiap hubungan kemanusiaan, lebih-lebih lagi dalam kerja berpasukan. Peneguhan positif pada tingkah laku atau tindakan yang kita hendak adalah lebih cepat perubahannya daripada memberi kritikan kepada tingkah laku negatif atau buruk.

Alasan kenapa ramai orang kurang memberi perhatian kepada konsep ganjaran adalah kerana mereka berpendapat ia mengambil masa untuk dilihat hasilnya. Sebaik sahaja kita mula memberi ganjaran, ia sudah terlewat dan timbul masalah lain pula.

Berikan masa kita setiap hari untuk memberi sesuatu yang terbaik kepada orang lain. Ia boleh jadi kata-kata nasihat, hadiah hari jadi atau apa sahaja yang memberi manfaat. Tanya khabar, hantar mesej tahniah melalui e-mel dan sebagainya.

Apabila kita memberi, ganjarannya akan datang balik kepada kita. Contohnya, apabila kita senyum kepada seseorang, dia akan membalas senyuman. Jarang ada orang yang senyum seorang diri melainkan dia ada masalah.