Wednesday, December 29, 2010

Piala Suzuki AFF 2010, Malaysia 1 Indonesia 2

Indonesia kalah dengan agregat 4-2 untuk terus kekal sebagai pasukan yang kempunan untuk menjadi juara. Biar pun menang di gelanggang sendiri 2-1, keupayaan pasukan Garuda untuk terus membolosi gawang Malaysia dipatahkan dengan mudah oleh pertahanan Harimau Malaya.

Malaysia meraih kejuaraan pertama apabila membawa tiga gol yang dimenangi di Kuala Lumpur dan mempamerkan permainan bertahan dan menyerang balas yang mantap untuk mendapatkan gol pertama. Di sebalik serangan demi serangan dari Indonesia, tidak ada satu gol pun yang boleh dijaringkan pada 60 minit permaian berlangsung. Malah, sebaiknya pasukan Malaysia yang lebih awal mendapatkan gol melalui rembatan kencang penyerang berbisa, Safee pada minit ke 53.

Baki perlawanan menyaksikan dua gol yang disumbat oleh Indonesia yang dilihat menaikkan semangat pemain-pemain pasukan itu namun ia sudah terlewat untuk bangkit daripada kekalahan kerana pasukan Malaysia sudah membuat benteng dan membina sistem pertahanan yang ampuh bagi mengekang asakan penyerang-penyerang Indonesia.

Kekalahan Indonesia adalah takdir yang harus diterima dengan lapang dada kerana Tuhan belum memberi izin untuk pasukan negara itu meraih kejayaan. Mereka perlu belajar untuk menerima kelemahan diri dan sentiasa berusaha membaiki teknik dan strategi permainan, membina pasukan yang mantap di jentera serangan dan tidak leka dengan kemenangan di peringat kumpulan.

Tidak ada erti lagi apabila Indonesia dengan mudah mengalahkan Malaysia 5-1, Laos 6-0, Thailand 2-1 dan Filipina 2-0. Indonesia harus mengakui bahawa pemain-pemain muda Malaysia malah seawal 19 tahun memiliki stamina dan tenaga yang cukup banyak untuk bergerak ke seluruh padang, bingkas berlari, lasak dan sentiasa mengikut arahan jurulatih.

Tuesday, December 28, 2010

Tekun, insya Allah akan berjaya

Tekun adalah kuat bekerja, gigih bekerja. Dalam apa juga kerja yang dilakukan, nampak jelas ciri-ciri tekun itu. Menjadi tekun tidak bermakna melakukan kerja-kerja yang mencabar atau sukar. Ia bermaksud meletakkan sasaran berdasarkan tempoh tertentu.

Latihan ketekunan boleh dibuat dengan memulakan langkah-langkah awal bagi sesuatu kerja. Contohnya ibu atau bapa yang mempunyai anak kecil. Berapa lama yang diperlukan untuk menukar lampin anak mereka? Kerja ini bukannya susah, ia cuma kerja yang berulang-ulang setiap hari. Kerja yang biasa dilakukan secara berulang-ulang, lama-kelamaan akan menjadi kelaziman dan memudahkan.

Contoh lain ialah kemahiran memuat naik atau ‘up load’ video, artikel atau gambar di internet. Bagi mereka yang kurang mahir IT, kerja-kerja ini memang sukar. Namun apabila selalu melakukannya, semua itu sudah menjadi biasa.

Monday, December 27, 2010

Piala Suzuki AFF, Malaysia 3 Indonesia 0

The Jakarta Post memetik ramalan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 24 Disember 2010 lalu yang menyatakan pasukan Harimau Malaya akan menang 3 – 0 ke atas Indonesia dalam pusingan pertama Piala Suzuki AFF 2010.

‘Saya meramalkan kami akan menang 3-0 di Kuala Lumpur,’ seperti yang dinyatakan oleh tempointeraktif.com.

Beliau menambah kemenangan 3-0 akan meningkatkan peluang Malaysia untuk menang dalam pusingan kedua di Jakarta pada 29 Disember ini. Kemenangan ini boleh dicapai kerana pasukan Malaysia sedang berada di puncak semangat yang tinggi untuk menang dan akan ‘menjadi titik peralihan dalam peningkatan kualiti bolasepak di negara itu.’

Dalam ruangan komen di akhbar atas talian, pembaca memberi respons yang sangat menarik. Antaranya ialah,

Paul, Bali Sat, 25/12/2010 - 08:12am
Hey Malaysia - why not predict 5-1? Or maybe 8-0? Does that make you feel better? NOT in your dreams, guys!!! Go go go Indonesia

Iggy, Irvine, USA Sun, 26/12/2010 - 09:12am
3-0 really? c'mon Malaysia at least show a little humility after we pounded u 5-1 like less than a month ago... jus saying.

Memang ramai yang melihat perlawanan malam tadi sukar ditentukan milik siapa kerana kedua-dua pasukan menunjukkan kekuatan yang seimbang. Namun kelebihan menjadi tuan rumah memberi ruang kepada Malaysia untuk mencari mata awal.

Sebaik-baiknya, ramalan 5-0 wajar diletakkan kerana sesetengah orang mempunyai tuah atau disebut ‘mulut masin.’

Friday, December 24, 2010

Rawat batuk dengan madu

Setiap kali batuk, kita merasai suasana yang menyeksakan hidup. Kita terpaksa menjauhkan diri daripada rakan-rakan, pantang makanan berminyak dan menjauhi apa-apa makanan yang bergoreng.

Batuk juga menyebabkan kos hidup meningkat kerana terpaksa membeli ubat batuk malah kalau keadaan semakin kritikal, kita perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Ada banyak cara untuk mengurangkan seksa kerana batuk ini. Salah satu daripadanya ialah merawat batuk dengan madu. Ramai yang tahu madu ini sangat baik tetapi macam mana madu boleh menghilangkan kegatalan pada tekak? Adakah hanya menghirup sesudu madu tekak sudah baik?

Petua ini sudah lama diamalkan oleh orang-orang tua kita. Ambil satu sudu madu dan campurkan dengan sebiji limau kasturi, Insya Allah, radang tekak akan berkurangan, hidup kembali normal dan lebih ceria.

Thursday, December 23, 2010

Berjaya denga dorongan kendiri

Dalam dunia hari ini, sesiapa sahaja boleh mencapai impian mereka. Pelajar ingin menjadi doktor, jurutera dan guru, kontraktor ingin menjadi jutawan, pemimpin masyarakat ingin menjadi jaguh dengan sentiasa memastikan kebajikan anak-anak buah terjaga, dan ahli sukan sentiasa memburu kilauan emas dalam setiap kejohanan.

Sesiapa sahaja pasti memiliki impian sendiri. Sama ada pelajar, kontraktor, usahawan, pemimpin atau ahli sukan, mereka boleh mencapai impian dengan memiliki satu sifat iaitu dorongan diri sendiri.

Dorongan diri sendiri atau lebih dikenali dengan nama dorongan kendiri adalah satu gerakan untuk menggerakkan seluruh pemikiran dan tindakan untuk mencapai impian hidup.Terpulang kepada bentuk strategi yang dirancang. Lagi canggih lagi baik, lebih singkat dan berkualiti. Dorongan kendiri atau self-driven mesti dirangsang, diberi galakan dan disuburkan.

Tanamkan pemikiran dengan kecemerlangan dan kejayaan, Insya Allah, seluruh kehidupan akan menjadi cemerlang dan berjaya.

Wednesday, December 22, 2010

Nilai pelanggan

Para peniaga, usahawan, peniaga kuih dan pengusaha restoran perlukan pelanggan untuk membuat keuntungan. Tanpa pelanggan, bisnes mereka tidak dapat maju dan mungkin ditutup.

Jadi, bagaimana ahli perniagaan kita meletakkan nilai kepada pelanggan mereka? Adakah mereka sanggup bertekak semata-mata tidak mahu mengurangkan diskaun 30 sen sebungkus nasi lemak? Biasanya, selepas bertekak, pelanggan akan berlalu pergi dan jualan nasi lemak hari itu mungkin tidak berapa baik.

Cuba bayangkan jika kita dapat bertolak ansur dan memberi diskaun 30 sen, barangkali pelanggan itu akan membeli 50 bungkus nasi lemak, malah mungkin akan membuat pembelian mega jika ada majlis di rumahnya.

Meletakkan nilai yang rendah kepada pelanggan akan menyebabkan mereka lari. Sebaliknya, meletakkan nilai yang tinggi kepada setiap pelanggan akan menjadikan mereka pembeli yang setia.

Tuesday, December 21, 2010

Seorang pakar lebih baik

Bruce Lee adalah seorang pelakon kung fu yang hebat. Daam salah satu babak lakonan dari filem The Way of The Dragon, dia bersama beberapa orang pekerja restoran berhadapan dengan empat orang samseng yang berbadan besar, tinggi dan ganas. Lima orang tukang masak yag belajar kung fu akan cuba melawan empat orang samseng.

Tukang masak pertama cuba untuk bertarung dengan seorang samseng yang berbadan gempal dan berjambang. Dia pun menunjukkan bunga-bunga kung fu di hadapan semua orang: seolah-olah dia seorang sahaja yang hebat.

Samseng berbadan gempal ini hanya tersenyum dan tidak ada aksi hebat, cuma bersedia hendak bertumbuk. Sebaik sahaja satu langkah di hadapan, tukang masak pertama tadi terus kena tumbuk dan jatuh lalu pengsan.

Kawan-kawannya yang lain ingin membalas dendam tetapi dihalang oleh Bruce Lee kerana musuh di hadapan mereka bukan calang-calang orang. Kini giliran Bruce Lee berhadapan dengan empat samseng berkenaan. Melalui kepantasan berkung fu, dia berjaya menewaskan lawannya seorang demi seorang.

Pengajarannya ialah, jika kita mempunyai kepakaran, sesuatu kerja boleh dilakukan seorang diri. Penglibatan ramai orang hanya membuang masa dan tenaga di samping mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan.

Berfikiran besar dan bersungguh-sungguh

Semasa rakan saya mendaftarkan diri di sebuah institusi pengajian tinggi sebagai seorang pensyarah, perkara pertama yang dilakukannya ialah mencari rakan-rakan yang boleh memberi inspirasi untuk berjaya dalam akademik. Sememangnya pensyarah mesti memiliki beberapa sikap yang terpilih supaya dapat capai matlamat dan sasarannya.

Lalu dia berkenalan dengan seorang pensyarah yang telah lama menjadi ahli akademik dan sedang berusaha mendapatkan gelaran profesor.

Susah payah di universiti telah membuatkan pensyarah itu menjadi seorang pemikir yang hebat dan bersedia dengan cabaran. Semasa melengkapkan pengajian PhD, beliau sering kekurangan wang kerana urusan belajar ini menggunakan wang yang banyak lebih-lebih lagi apabila terpaksa membayar sendiri semua bentuk pendaftaran dan tutorial. Bagi menyara hidup, beliau membawa teksi dan menggunakan setiap masa terluang untuk mencari maklumat dan menganalisis data bagi melengkapkan pengajiannya.

Sikapnya terhadap ilmu menjadikan semua aktiviti hidup ke arah kejayaan akademik. Kini, cita-citanya ialah mendapat gelaran profesor sebagai simbol fikiran besar dan bersungguh-sungguh dalam merealisasikan impian.

Monday, December 20, 2010

Saiz pemikiran penentu kejayaan

Di institusi pengajian tinggi, saban tahun pelajar akan mendaftarkan diri untuk membuat latihan industri di tempat-tempat yang sesuai dengan kursus masing-masing. Ada syarikat ini yang bertaraf global, multi nasional dan tempatan.

Biasanya latihan industri mengambil masa selama empat bulan dan selepas itu pelajar akan menyiapkan laporan masing-masing supaya dapat bergraduat. Matlamat selepas itu ialah mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Bagi mendapatkan pekerja yang cekap, mahir dan menguntungkan syarikat, terdapat agensi yang menawarkan khidmat mencari pekerja. Agensi ini akan melawat universiti dan institusi pengajian tinggi untuk merekrut bakal-bakal graduan bagi jawatan eksekutif perintis.

Selain melihat keputusan peperiksaan, agensi ini melihat objektif peribadi pelajar iaitu motivasi peribadi pelajar. Kebanyakan agensi mengulas nada yang sama – kenapa orang muda hari ini terlalu konservatif dan berfikiran sempit terhadap masa depan?

Kejayaan bukan dikukur dari ketinggian, berat badan, segulung ijazah atau latar belakang keluarga sebaliknya berdasarkan saiz pemikiran. Saiz pemikiran akan menentukan saiz pencapaian kita pada masa depan. Justeru, ada sesetengah kejayaan dapat diraih oleh orang yang rendah dan kurus kerana saiz pemikiran mereka adalah tinggi dan besar.

Saturday, December 18, 2010

Kuasa bahasa

Hubungan di antara budaya dan bahasa sentiasa menjadi bahan kajian ahli akademik di universiti tetapi mereka tidak dapat bersepakat untuk menentukan sejauh mana budaya dan bahasa berkait antara satu sama lain.

Pendapat pertama ialah bahasa menentukan budaya. Pendekatan ini datang dari hipotesis ‘Sapir-Whorp’ yang menyatakan bahasa bukan sahaja memindahkan malah membentuk pemikiran, kepercayaan dan sikap. Maksudnya, bahasa menjadi petunjuk kepada pembentukan budaya.

Contohnya banyak. Perkataan ‘bahagia’, ‘seronok’ dan ‘terima kasih’ memiliki tenaga tersendiri yang menentukan sejauh mana seseorang membentuk kehidupannya. Jika dia yakin ucapan ‘terima kasih’ akan membantunya menjadi bahagia, persekitaran hidupnya sentiasa dipenuhi dengan senyuman, ketenangan dan lapang dada.

Pendapat kedua menyatakan bahasa cuma memberi imbasan atau refleksi terhadap budaya, ia tidak membentuk atau berperanan besar dalam pemikiran, kepercayaan atau sikap seseorang.

Bagaimanapun mereka setuju bahasa dan budaya wujud satu hubungan yang rapat.

Friday, December 17, 2010

Kisah tiga perang

Perang Badar

Perang Badar berlaku pada bulan ramadhan. Rasulullah saw telah meletakkan Islam sebagai ganjaran paling besar dalam peperangan yang penting ini. Jika pasukan tentera Islam kalah peperangan ini, kemungkinan besar tidak ada orang yang akan menyebut kalimah-kalimah Allah swt lagi. Ertinya pertaruhan di situ adalah pertaruhan Islam. Andainya tewas, Islam akan lenyap selama-lamanya.

Perang Badar adalah tidak seimbang kerana kekuatan tentera Islam amat jauh bezanya dengan pasukan musuh seperti bilangan yang sedikit, peralatan yang tidak mencukupi dan jauh lebih daif. Namun, tentera Islam bergerak dengan penuh disiplin, patuh pada arahan ketua dan mengikut peraturan. Akhirnya tentera Islam telah menang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa orang sahabat Nabi saw yang gugur syahid iaitu seramai 14 orang.

Perang Uhud

Dalam Perang Uhud, pasukan Islam lebih bersedia kerana bilangan orang Islam ketika itu lebih ramai. Penduduk Madinah juga turut lebih bersedia. Dalam perjalanan perang ini, cabaran paling besar ialah tindakan golongan munafik yang menarik diri, lalu mereka digelar sebagai ‘talam dua muka.’ Persediaan tentera musuh juga hebat. Mereka memiliki pelbagai jenis peralatan perang seperti pasukan pancaragam dan persediaan bahan makanan (kerana mereka yakin peperangan akan berlanjutan).

Strategi tentera Islam ialah meletakkan pasukan pemanah di lereng bukit. Rasulullah saw sentiasa mengingatkan mereka agar jangan meninggalkan kedudukan mereka biar apa pun yang terjadi.

Dalam peperangan ini, pasukan musuh telah kalah dengan teruk dan mereka bertindak mengundurkan diri. Ketika ini pasukan tentera Islam mula mendapat keghairahan untuk merebut harta rampasan perang yang ditinggalkan musuh. Mereka berebut-rebut mengambil harta rampasan yang ada sehingga pasukan pemanah yang berada di lereng bukit turut bertindak meninggalkan kedudukan mereka semata-mata untuk mengambil harta yang sedang dibahagi-bahagikan. Dalam keadaan sedemikian, pasukan pemanah ini telah mengingkari arahan Rasulullah saw untuk tetap berada di kedudukan mereka.

Sebaik sahaja pasukan pemanah bergerak turun, tentera berkuda musuh mengambil kedudukan di bukit tersebut dan menguasai lokasi strategik berkenaan. Serangan pantas dilancarkan sehingga mereka dapat membunuh bapa saudara Nabi saw, Saidina Hamzah. Beliau dibunuh oleh pelontar lembing dari Habsyah yang telah diupah oleh Hindun, isteri Abu Suffian. Tentera Islam yang lain lari bertempiaran dan Nabi saw terpaksa dilindungi serta mencari tempat persembunyian.

Pengajaran Perang Uhud ialah apabila tidak patuh kepada arahan ketua kerana hendak berebut harta rampasan, dalam sekelip mata sahaja kawasan atau lokasi strategik akan ditawan musuh.


Perang Hunain

Perang Hunain melibatkan ramai orang Islam kerana ketika itu masyarakat Arab telah ramai memeluk Islam. Di peringkat awal perang, pasukan Islam lari bertempiran. Nabi Muhammad saw terpaksa menyusun kembali pasukan tentera Islam. Baginda saw meletakkan pahlawan-pahlawan yang gagah berani seperti Saidina Ali di barisan hadapan bagi menggempur pasukan musuh. Akhirnya musuh ditumpaskan meninggalkan harta rampasan yang sangat banyak sehingga dikatakan mengambil masa selama tiga hari. Ia mengambil masa kerana tentera-tentera Islam berebut-rebut untuk mengagihkan harta rampasan yang mereka baru dapat.

Rasulullah saw sendiri menyelesaikan sendiri agihan ini dengan memberi keutamaan kepada mereka yang baru memeluk Islam dan menyertai perang. Tindakan ini menyebabkan golongan Ansar berkecil hati kerana tidak banyak mendapat harta. Namun mereka menjadi gembira apabila Rasulullah saw mengumumkan akan pulang bersama-sama orang Ansar ini. Lalu, tercatatlah ungkapan, ‘Allah dan Rasul adalah segala-galanya.’

Banyak perkara yang kita boleh pelajari melalui tiga peperangan ini. Dalam Perang Badar, umat Islam berperang dengan penuh disiplin. Perubahan yang ketara dapat dilihat dalam Perang Uhud iaitu tentera Islam ada kekuatan tetapi tidak patuh kepada arahan ketua lalu tewas di tengah jalan. Manakala Perang Hunain, tentera Islam memiliki kelebihan dari segi bilangan tetapi mereka berperang tanpa keikhlasan kerana masing-masing berebut harta rampasan berbanding berjuang pada jalan Allah swt.

Thursday, December 16, 2010

Salahuddin Al-Ayubi pemimpin pembebasan Palestin

Seorang panglima perang Islam yang handal, Tariq bin Ziyad diabadikan namanya pada bukit Jabal Tariq yang dipanggil Gibraltar. Namun ada seorang lagi panglima perang Islam yang dikagumi oleh masyarakat Islam iaitu Salahuddin Al-Ayubi. Beliau terkenal kerana telah membebaskan Palestin dalam tiga perang Salib dan mengembalikan kekuatan dan maruah umat Islam.

Sallahuddin Al-Ayubi merupakan anak kepada seorang gabenor yang asal-usulnya berbangsa Kurdis. Sejak berusia 17 tahun, dia telah mula membabitkan diri dalam peperangan di Mesir, Syria dan Palestin. Kekuatan peribadi Salahuddin terletak pada akhlak yang mulia dan sangat mencintai jihad. Kehidupannya lebih berdisiplin dan memiliki semangat jihad yang meluap-luap untuk mengembalikan maruah umat Islam dan membebaskan Palestin.

Dalam kerja berpasukan, Salahuddin sentiasa mempastikan tenteranya dalam keadaan mantap, bersemangat tinggi dan mengingatkan mereka tentang jihad serta kemenangan Islam. Kesungguhan Salahuddin dalam mendidik bala tenteranya membolehkan mereka menang pertempuran kerana keupayaannya menyatukan hati dan fikiran tenteranya dari pelbagai bangsa dan negara seperti Mesir, Iraq, Syria, Kurdis dan Arab. Syura juga dijadikan instrumen penting untuk menentukan keputusan yang berkait dengan ketenteraan. Syura yang dibentuk bersifat telus kerana terdapat keputusan-keputusan Salahuddin yang dibatalkan.

Pembinaan peribadi setiap tenteranya amat dititikberatkan melalui contoh dan teladan. Dia suka solat berjemaah dan bangun tengah malam untuk bertahajjud, bertemu dengan pegawai-pegawai bawahannya untuk mendengar bacaan al-quran di samping membacakan hadis-hadis yang merangsang jiwa dan akal. Dia juga bertanya khabar dan mengambil tahu keadaan tentera-tentera Islam. Hubungan dengan pembantu-pembantunya juga diberi perhatian. Salahuddin mengutamakan keadilan dan mengabaikan kesilapan-ksilapan kecil yang dilakukan oleh mereka. Tetamu yang datang berjumpa pula akan dilayan dengan hormat dan pulang dengan membawa hadiah kesukaan mereka.

Tuesday, December 14, 2010

Tiga cara bina keyakinan diri

Kita sering mendengar ceramah perubahan diri atau membaca buku-buku yang ditulis oleh pakar-pakar psikologi. Mereka memberitahu kita bahawa sikap berubah dengan perubahan fizikal. Contohnya, kita senyum setiap kali berjumpa rakan-rakan, Insya Allah hidup sentiasa ceria.

Bagaimana pula membina keyakinan diri? Formulanya sama. Ia bermula dengan mengubah penampilan fizikal kita.

1. Duduk di barisan hadapan

Dalam banyak majlis dan perjumpaan, orang ramai lebih selesa duduk di kerusi bahagian belakang. Dalam bilik kuliah, pelajar berebut-rebut duduk di belakang supaya ‘tidak malu’. Jika kita berusaha sedikit untuk bergerak ke hadapan, secara automatik keyakinan diri akan bertambah kerana barisan hadapan memiliki aura tersendiri untuk membuat perubahan.

2. Lihat pada mata

Keadaan ini adalah magik dalam membina hubungan dengan orang lain. Lihat pada mata bererti memberitahu orang lain bahawa kita yakin dengannya dan tidak takut untuk bersama-sama membina persahabatan.

3. Jalan lebih pantas

Berjalan perlahan dikatakan ada watak selekeh, tidak disenangi dan kerjaya yang bermasalah. Berjalan sederhana cepat memberi erti kurang rasa bangga kepada diri namun masih lagi okey. Perubahan ketara ialah berjalan pantas atau laju kerana watak begini melambangkan keyakinan diri yang tinggi dan merasakan dirinya amat penting.

Monday, December 13, 2010

Merawat rasa takut

Takut mencuba akan ketinggalan. Tertinggal dalam bisnes, pengajian dan dalam kehidupan. Rasa takut adalah normal bagi sesiapa sahaja. Kanak-kanak kecil takut apabila mendengar bunyi guruh di langit, seorang remaja takut makan makanan laut kerana risau akan timbul jerawat di muka, orang dewasa takut membuat pelaburan kerana kurang pasti dengan pulangannya dan seorang pemimpin muda kerap kali takut bercakap di hadapan ketua-ketua negara asing.

Rasa takut menjadi punca ramai orang yang tidak mencapai kejayaan yang sempurna.

Takut umpama ombak di lautan, ia boleh berjangkit. Bermula dengan takut perkara-perkara kecil yang dianggap remeh, ia berjangkit kepada keadaan-keadaan lain yang lebih besar dan berisiko tinggi.

Seperti penyakit psikologi lain, takut juga boleh dirawat. Contohnya kalau malu dengan penampilan diri, perbaikinya dengan mengubah imej diri. Gunting rambut, kilatkan kasut, pakai baju yang bergosok, mengenakan pewangi dan menjaga kebersihan gigi. Secara tidak langsung, kita telah bertukar dari takut kepada yakin diri.

Sunday, December 12, 2010

Serlahkan potensi diri

Orang berjaya menukar peluang kepada kejayaan atau ganjaran. Mereka ini merupakan orang yang belajar bagaimana untuk menempa kejayaan. Contohnya, hari ini ramai orang muda yang bersaing untuk mencari pekerjaan. Dalam persaingan ini, yang bernasib baik, mempunyai tahap pendidikan yang lebih baik, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kokurikulum, tentulah pencari kerja jenis ini mendapat tawaran kerja yang baik. Mereka yang gagal mendapat pekerjaan tentu berasa kecewa dan ‘frust’, mungkin juga merajuk dan memasukkan dirinya dalam kategori ‘penganggur.’

Hakikatnya, orang yang gagal seperti itu boleh menempa kejayaan melalui kerja-kerja lain. Bekerja di sektor swasta adalah pilihan mudah tetapi bekerja sendiri adalah pilihan paling tepat. Kita sering mendengar ceramah tentang hasil rezeki adalah sembilan per sepuluh datang daripada perniagaan.

Saya mengenali seorang usahawan berjaya baru-baru ini yang ada bau-bau bacang dengan keluarga saya. Saya masih ingat, ketika kecil dahulu dia belajar di sekolah kampung dan bersusah-payah mencari pekerjaan. Selepas puas bekerja makan gaji, dia mula meneroka dunia usahawan. Saya agak terlopong apabila melihat dia datang ke rumah dengan Nissan Murano. Saya panggilnya Pakcik Ismail saja. Kini dia memiliki tenaga kerja seramai 40 orang dan memberi fokus pada bisnes senggaraan tanaman dan pembinaan. Pakcik Ismail bukannya pandai sangat semasa di sekolah namun semangat dan kegigihannya untuk berjaya sebagai usahawan telah mencetuskan revolusi baru dalam hidupnya.

Jadi, apabila ada orang berkata ‘mengaji tidak pandai, tidak akan jadi kaya’ tidak boleh lagi dijadikan alasan untuk menganggur kerana ramai yang membuktikan bahawa keinginan dan semangat hendak berjaya dalam bisnes telah menyerlahkan potensi diri mereka walaupun pada masa silamnya mereka ini tidak pernah mendapat nombor satu dalam peperiksaan di sekolah.

Saturday, December 11, 2010

Cara menggunakan maklumat

Kita selalu mendengar orang berkata ‘information is power.’ Ada yang bersetuju 100 peratus dan da yang tidak bersetuju. Pada saya, kenyataan ini sebahagiannya boleh diterima.

Pengetahuan merupakan potensi kuasa. Pengetahuan bertukar menjadi kuasa apabila digunakan. Jika disimpan dan terperap, ia tidak dapat memberi sebarang makna. Ada juga tokoh-tokoh dalam sains dan pendidikan yang memberi pengajaran kepada kita apa yang dikatakan ‘pengetahuan adalah kuasa.’

Einstein pernah ditanya berapa kaki ada dalam satu batu. Dia menjawab tidak tahu, ‘Kenapa saya harus memenuhi akal saya dengan fakta yang boleh saya dapati dalam mana-mana buku rujukan dalam masa dua minit?’

Henry Ford juga pernah ditanya oleh akhbar Chicago Tribune tentang tarikh berlaku Perang Revolusi, siapakah Benedit Arnold dan soalan-soalan lain sehingga dia naik berang. Lalu akhbar berkenaan memanggilnya sebagai jahil. Henry Ford menjawab, ‘Saya tidak tahu jawapannya kepada soalan-soalan tersebut tetapi saya boleh mencari orang yang tahu jawapannya dalam masa lima minit.’

Einstein dan Henry Ford mengajar tentang lebih baik menggunakan minda untuk berfikir daripada menggunakan sebahagian gudang menyimpan maklumat.

Friday, December 10, 2010

Encik menang vs encik kalah

Minda kita ibarat ‘kilang pemikiran.’ Kilang minda ini sangat sibuk kerana menghasilkan beribu-ribu buah fikiran atau idea setiap hari. Pelajar dengan caranya, guru dengan caranya, pegawai bank dengan caranya dan usahawan juga dengan caranya tersendiri.

Setiap kali mengeluarkan hasil, kilang fikiran itu dikawal oleh dua ‘penyelia’ yang sangat taat dan setia dengan kerja masing-masing. Seorang bernama encik menang, seorang lagi encik kalah. Tugas encik menang ialah mengilangkan minda yang positif sahaja iaitu menghasilkan alasan-alasan kenapa boleh, kenapa layak dan kenapa hebat.

Manakala tugas encik kalah ialah bertentangan dengan encik menang. Dia menghasilkan minda yang negatif, fikiran lemah, mencipta alasan kenapa tidak boleh, memikirkan masalah dan ‘kenapa gagal.’

Cara bekerja mereka berdua amat mudah.

Kenyataan ‘hari ini yang baik, ada ong...’ adalah untuk encik menang. Lalu dia memberi alasan dan membuktikan hari ini adalah hari yang indah. Semakin banyak kita memberi ruang kepada encik menang untuk mencipta alasan ke arah hari yang baik, encik kalah tidak mampu lagi memenuhi sebahagian besar ruang minda kita.

Gunakan encik menang 100 peratus. Dia akan menunjukkan kepada kita bagaimana caranya untuk berjaya.

Thursday, December 09, 2010

Fikiran kemenangan

Berfikiran ragu-ragu akan gagal. Fikirkan kemenangan akan berjaya. Adakah dua ayat ini boleh mengubah hidup kita?

Mungkin ada dalam kalangan orang-orang muda hari ini tidak mengetahui dengan tepat bagaimana pasar malam Gadong berhampiran Pasar Gadong bermula. Seingat saya, individu yang mencadangkan kewujudan pasar malam Gadong memiliki fikiran kemenangan kerana ideanya telah membantu memperkenalkan Brunei kepada orang luar yang mahu berkunjung ke negara itu.

Sekitar tahun 1997 hingga 1998 yang lalu, terdapat tiga hingga empat buah gerai yang menjual buah-buahan, sayur, jagung bakar, mee goreng dan nasi katok berhampiran kawasan letak kereta di bawah jejambat utama Gadong-Menglait. Setiap petang ramai orang yang memberhentikan kereta untuk membeli juadah bagi dibawa pulang. Usahawan-usahawan yang sentiasa mencari peluang berniaga mula melihat potensi kawasan berkenaan dan lama-kelamaan ia menjadi besar dan tidak lagi dapat menampung pertambahan usahawan yang hendak berniaga di situ.

Lalu keputusan diambil untuk memindahkan peniaga-peniaga ini ke kawasan lebih luas di Pasar Gadong. Peringkat awal hanya dua tiga baris peniaga yang berani mencuba. Kemudiannya ia berkembang sehinggalah menarik ramai orang datang mencari makanan di situ. Ia juga menarik perhatian kerajaan Brunei untuk memperkemaskan kawasan pasar malam, memasang khemah yang lebih berkualiti, mengawal kebersihan dan menggalakkan minat peniaga kecil-kecilan untuk mengasah bakat dan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang berkaitan keusahawanan.

Jika dulu saya hanya mengambil masa 20 minit untuk meninjau barang-barang perniagaan yang ada, kini saya terpaksa memperlahan perjalanan kerana ramai yang datang ke situ dan ia mengambil masa hampir dua jam untuk melihat semua gerai yang ada.

Wednesday, December 08, 2010

Percaya saja tidak cukup

Selepas percaya boleh melakukan, kaedah atau cara bagaimana melakukannya akan muncul selepas itu.

Ketika saya tinggal di Brunei, sepuluh tahun yang lalu, saya mengenali seorang usahawan muda yang baru berjinak-jinak dengan bisnes perkhidmatan. Namanya Shahrul, orangnya peramah dan sering senyum apabila menerangkan produk kepada bakal pembeli.

Saya fikir bisnes Shahrul dikategorikan dalam bentuk ‘apa-apa yang boleh jual, jual saja.’ Jadi, produk bisnes Shahrul boleh dikatakan ‘macam-macam ada.’ Kalau hendak buat kad bisnes, dia boleh buat. Kalau hendak minta bayarkan bil elektrik dan air, dia boleh buatkan dengan sedikit komisyen.

Masalah bisnes Shahrul ialah ‘tidak ada emas’ dalam produknya. Maksudnya ialah, Shahrul tidak memiliki perniagaan teras yang boleh menarik hati pelanggan. Walaupun dia percaya boleh menjual dan percaya boleh menjadi usahawan, kaedah dan cara untuk menggerakkan strategi menjayakan cita-citanya tidak membantunya untuk mendapatkan untung yang besar.

Dalam erti kata lain, Shahrul perlu merancang untuk memberi fokus kepada prosuk ‘emas’ nya itu.

Saturday, December 04, 2010

Mula dan akhir dengan 'Terima Kasih'

'Terima Kasih’ adalah pemberitahuan kepada orang lain bahawa kita menghargai sumbangan yang dilakukan atau yang akan dilakukan. Terdapat banyak peluang untuk mengucapkan terima kasih bagi sesuatu perkara. Sebagai contoh, jika seseorang mengirim e-mel dengan satu soalan, kita boleh membalas dengan memulakan ayat, ‘Terima kasih di atas kiriman soalan berkenaan.’ Kita mengucapkan terima kasih kerana soalan tersebut memberi peluang untuk kita berkongsi pengetahuan dan maklumat unik. Mungkin berterima kasih kerana kita sebenarnya menyukai soalan berkenaan. Dengan menjawab soalan itu, kita berasa puas, ceria dan itulah yang ingin dinyatakan sebagai tanda terima kasih.

Ramai dalam kalangan kita yang diajar untuk berkata ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ kerana ia adalah perkataan yang sopan. Kita kerap kali melakukannya secara automatik. Bagaimanapun terima kasih boleh dibahagikan kepada tulen dan palsu. Ucapan terima kasih yang tulen adalah:

-meningkatkan harga diri kedua-dua pihak iaitu pengucap dan penerima
-memberitahu penerima (khusus) rasa hati kita
-mencipta hubungan kemanusiaan yang mesra dan penuh kepercayaan
-menjadikan suasana ceria di antara pengucap dan penerima
-meningkatkan kolaborasi dalam pasukan kerja

Selepas bermula dengan ‘terima kasih’, lebih baik juga diakhiri dengan ‘terima kasih’. Banyak ertinya jika berbuat demikian seperti kita menghargai peluang yang diberikan, ingatkan kita setiap kali ingin melakukan tugas yang ada kaitan dengan kita dan percaya di atas keikhlasan dan semangat setiakawan. Ingat, akhiri perbualan dengan ucapan ‘ terima kasih’.

Friday, December 03, 2010

Sekolah pondok, Melayu dan Sikh, SKT

Sekolah pondok

Haji Azmani, seorang jurujual kereta melambai tangan ke arah saya sebaik sahaja ternampak saya berjalan keluar dari bilik pameran kereta. Saya baru sahaja keluar dari kaunter untuk mendaftarkan kereta bagi disenggarakan. Sambil bertanya khabar, kami memulakan perbualan dengan bercerita mengenai beberapa jenis kereta baru yang dilancarkan. Kia, Hyundai, Honda, Toyota, Proton dan Perodua, semuanya jadi bahan cerita.

Kami melompat dari satu topik ke topik lain dan akhirnya topik berkaitan cuti sekolah anak-anak. Saya mengenali Haji Azmani apabila membeli kereta baru melalui khidmatnya. Beliau mempunyai empat orang anak dan seorang sahaja lagi yang masih bersekolah. Saya tanya masa cuti sekolah ini, apa yang anaknya buat? Dia kata sudah dihantar ke sekolah pondok di Muar. Bayarannya RM200 sebulan. Haji Azmani sudah agak berumur dan anak-anaknya semua sudah besar. Anak sulung bekerja dan menetap di Nilai, Seremban. Anak kedua telah bekerja dan duduk bersamanya. Anak ketiga baru tamat belajar bidang kejururawatan dan masih menunggu panggilan untuk bekerja. Anak keempatlah yang dihantar ke sekolah pondok.

Agak menarik apabila mengetahui ibu bapa mengisi masa lapang cuti anak-anak dengan menghantar mereka ke sekolah pondok. Biasanya kita hanya dengar anak-anak dihantar ke program ‘Summer Camp’ bagi dua tiga hari dengan bayaran lebih RM200. Haji Azmani berkata dia menghantar anak bongsunya supaya boleh mendalami agama, membetulkan bacaan al-quran dan belajar adab dan akhlak yang mulia. Insya Allah, sekolah pondok akan kembali mendapat tempat di hati ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mandapat ilmu agama yang terbaik.

Melayu dan Sikh

Selepas selesai servis kereta, saya menuju ke arah pasar raya besar terkenal untuk membeli barang. Sebaik sahaja melangkah masuk ke pasar raya ini, saya mencapai sebiji raga untuk isi barangan yang akan dibeli. Beberapa langkah berjalan, saya mendengar suara orang lelaki memekik dan mula melihat di sekitar. Pengunjung pasar raya memandang ke penghadang masuk dan saya mula bergerak ke arah suara berkenaan. Sebaik sahaja menjenguk apa yang berlaku, saya lihat seorang lelaki Melayu sedang mencekak kolar baju biru pekerja pasar raya itu yang berbangsa Sikh. Antara ayat yang jelas saya dengar ialah ‘Orang lain you boleh buat, dengan saya jangan main-main.’ Saya lihat muka lelaki Melayu ini sangat beremosi, marah dan geram. Saya memandang lelaki Sikh dan dia nampak gugup namun masih dapat menahan emosi. Dia juga dalam keadaan pasif dan tidak melawan. Kelihatan sedikit senyum. Lelaki Melayu tadi masih mendukung anak ketika melepaskan kata-kata marahnya, nasib baik anaknya tidak menangis.

Di belakangnya pula menyampuk seorang lelaki Melayu yang agak berumur (mungkin ayah lelaki tadi), juga sedang mendukung seorang kanak-kanak (barangkali cucunya). Dia juga mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan telinga. Antaranya ‘Panggil orang oi..oi..oi, macam kita tidak ada nama.’ Marah sungguh dua beranak ini terhadap pekerja Sikh. Pada masa yang sama dua orang petugas wanita cuba meredakan keadaan dengan mententeramkan dua lelaki Melayu berkenaan. Seorang petugas wanita yang berbadan besar meminta kedua-dua lelaki Melayu itu beredar manakala seorang lagi yang lebih kurus cuba menenangkan lelaki Sikh yang masih terkejut dan gugup. Dia bercakap dengan sopan mengharapkan pekerjanya itu faham dan dapat menggunakan bahasa dengan lebih berhemah pada masa depan apabila berhadapan dengan pengunjung.

Saya fikir kedua-dua lelaki Melayu ini tidak patut bertindak keterlaluan sambil mendukung anak dan cucu masing-masing. Jika tersinggung pun, adalah lebih baik menggunakan pendekatan yang sesuai. Jika ada kecederaan ke atas pekerja Sikh itu, pihak pengurusan pasar raya wajar membuat laporan polis untuk mendidik pengunjung Melayu berkenaan supaya tidak mengambil tindakan sendiri. Banyak saluran yang boleh dibuat seperti memaklumkan kejadian kepada pengurusan pasar raya, menegur dengan baik perlakuan pekerja itu ataupun lupakan saja kerana wujud perbezaan budaya dan cara komunikasi di sini.

Kisah ini mengingatkan saya kepada satu slot dalam filem Seniman Bujang Lapok apabila Sudin memanggil pengawal keselamatan berbangsa Sikh dengan panggilan ‘Oi’. Lalu ditegur oleh pengawal keselamatan itu dan diiyakan oleh Ramli dengan rumusan: bahasa menunjukkan bangsa.

Dalam kes di pasar raya ini, adakah kedua-dua Melayu dan Sikh itu berbahasa?

SKT

SKT adalah singkatan bagi Sasaran Kerja Tahunan. Selepas beredar dari pasar raya besar, saya menuju ke pejabat dengan harapan dapat menyelesaikan beberapa kerja. Apabila membaca e-mel, salah satu maklumat yang saya dapat ialah keperluan untuk mengisi SKT bagi tahun 2011. Saya pun mencongak-congak apa yang perlu dibuat pada tahun depan.

Itu SKT di pejabat, bagaimana pula SKT di rumah? Apa sasaran kerja untuk rumah tangga kita? Berapa banyak belanja hendak diperuntukkan, berapa banyak pula tempat yang hendak pergi, peruntukan untuk adik-beradik yang hendak berkahwin, buat kenduri-kendara dan macam-macam lagi. Makna kata, SKT dalam rumah tangga sama penting dengan SKT di pejabat. Bezanya di pejabat, bos akan melihat SKT kita tetapi dalam rumah tangga, pak mentua dan mak mentualah yang akan menilai SKT ini. Kalau rumah tidak ada kerusi sofa, meja makan, bilik tidak ada katil, berapa mereka akan bagi markah: 40, 70 atau 80 peratus? Kalau cucu mereka tidak cemerlang dalam peperiksaan, berapa pula mereka hendak bagi?

Kalau macam itu, tak payahlah SKT dalam rumah tangga!

Thursday, December 02, 2010

Percaya boleh berjaya

Kepercayaan mengerakkan kuasa untuk bertindak. Kepercayaan memberi tenaga optimis kepada minda dan fizikal untuk bergerak kepada matlamat dan sasaran. Kepercayaan akan mencetuskan ‘Saya boleh melakukannya’, berhadapan dengan semua cabaran untuk meraih kejayaan.

Saya mengenali seorang usahawan yang memiliki dua buah kilang besar. Bisnesnya berkaitan pembinaan, menyediakan taman permainan dan membuat gelanggang sukan seperti tenis, sepak takraw dan badminton. Semua bisnes ini dikembangkan selepas dia berkecimpung dalam bisnes pertama iaitu membaiki kebocoran kubah masjid.

Peringkat awal, dia dan seorang pekerja yang melakukan semua kerja pembaikan. Latar belakang usahawan ini bukannya dari pembinaan tetapi dalam pengurusan dan perakaunan. Bermula dari panjat bumbung hinggalah memasang plaster dan membuat kerja-kerja akhir, semuanya dibuat sendiri.

Rumah tangganya juga ada pahit dan manis kerana selepas empat tahun berkahwin, barulah mereka memiliki katil untuk tidur kerana wang daripada pendapatan bisnesnya disimpan sebagai modal untuk bisnes.

Hari ini syarikat pembinaan beliau memiliki 160 orang pekerja dan menerima tempahan dari Arab Saudi dan negara-negara Asean. Cawangan syarikat ada di semua negeri di Malaysia.