'Terima Kasih’ adalah pemberitahuan kepada orang lain bahawa kita menghargai sumbangan yang dilakukan atau yang akan dilakukan. Terdapat banyak peluang untuk mengucapkan terima kasih bagi sesuatu perkara. Sebagai contoh, jika seseorang mengirim e-mel dengan satu soalan, kita boleh membalas dengan memulakan ayat, ‘Terima kasih di atas kiriman soalan berkenaan.’ Kita mengucapkan terima kasih kerana soalan tersebut memberi peluang untuk kita berkongsi pengetahuan dan maklumat unik. Mungkin berterima kasih kerana kita sebenarnya menyukai soalan berkenaan. Dengan menjawab soalan itu, kita berasa puas, ceria dan itulah yang ingin dinyatakan sebagai tanda terima kasih.
Ramai dalam kalangan kita yang diajar untuk berkata ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ kerana ia adalah perkataan yang sopan. Kita kerap kali melakukannya secara automatik. Bagaimanapun terima kasih boleh dibahagikan kepada tulen dan palsu. Ucapan terima kasih yang tulen adalah:
-meningkatkan harga diri kedua-dua pihak iaitu pengucap dan penerima
-memberitahu penerima (khusus) rasa hati kita
-mencipta hubungan kemanusiaan yang mesra dan penuh kepercayaan
-menjadikan suasana ceria di antara pengucap dan penerima
-meningkatkan kolaborasi dalam pasukan kerja
Selepas bermula dengan ‘terima kasih’, lebih baik juga diakhiri dengan ‘terima kasih’. Banyak ertinya jika berbuat demikian seperti kita menghargai peluang yang diberikan, ingatkan kita setiap kali ingin melakukan tugas yang ada kaitan dengan kita dan percaya di atas keikhlasan dan semangat setiakawan. Ingat, akhiri perbualan dengan ucapan ‘ terima kasih’.
No comments:
Post a Comment