Perang Badar
Perang Badar berlaku pada bulan ramadhan. Rasulullah saw telah meletakkan Islam sebagai ganjaran paling besar dalam peperangan yang penting ini. Jika pasukan tentera Islam kalah peperangan ini, kemungkinan besar tidak ada orang yang akan menyebut kalimah-kalimah Allah swt lagi. Ertinya pertaruhan di situ adalah pertaruhan Islam. Andainya tewas, Islam akan lenyap selama-lamanya.
Perang Badar adalah tidak seimbang kerana kekuatan tentera Islam amat jauh bezanya dengan pasukan musuh seperti bilangan yang sedikit, peralatan yang tidak mencukupi dan jauh lebih daif. Namun, tentera Islam bergerak dengan penuh disiplin, patuh pada arahan ketua dan mengikut peraturan. Akhirnya tentera Islam telah menang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa orang sahabat Nabi saw yang gugur syahid iaitu seramai 14 orang.
Perang Uhud
Dalam Perang Uhud, pasukan Islam lebih bersedia kerana bilangan orang Islam ketika itu lebih ramai. Penduduk Madinah juga turut lebih bersedia. Dalam perjalanan perang ini, cabaran paling besar ialah tindakan golongan munafik yang menarik diri, lalu mereka digelar sebagai ‘talam dua muka.’ Persediaan tentera musuh juga hebat. Mereka memiliki pelbagai jenis peralatan perang seperti pasukan pancaragam dan persediaan bahan makanan (kerana mereka yakin peperangan akan berlanjutan).
Strategi tentera Islam ialah meletakkan pasukan pemanah di lereng bukit. Rasulullah saw sentiasa mengingatkan mereka agar jangan meninggalkan kedudukan mereka biar apa pun yang terjadi.
Dalam peperangan ini, pasukan musuh telah kalah dengan teruk dan mereka bertindak mengundurkan diri. Ketika ini pasukan tentera Islam mula mendapat keghairahan untuk merebut harta rampasan perang yang ditinggalkan musuh. Mereka berebut-rebut mengambil harta rampasan yang ada sehingga pasukan pemanah yang berada di lereng bukit turut bertindak meninggalkan kedudukan mereka semata-mata untuk mengambil harta yang sedang dibahagi-bahagikan. Dalam keadaan sedemikian, pasukan pemanah ini telah mengingkari arahan Rasulullah saw untuk tetap berada di kedudukan mereka.
Sebaik sahaja pasukan pemanah bergerak turun, tentera berkuda musuh mengambil kedudukan di bukit tersebut dan menguasai lokasi strategik berkenaan. Serangan pantas dilancarkan sehingga mereka dapat membunuh bapa saudara Nabi saw, Saidina Hamzah. Beliau dibunuh oleh pelontar lembing dari Habsyah yang telah diupah oleh Hindun, isteri Abu Suffian. Tentera Islam yang lain lari bertempiaran dan Nabi saw terpaksa dilindungi serta mencari tempat persembunyian.
Pengajaran Perang Uhud ialah apabila tidak patuh kepada arahan ketua kerana hendak berebut harta rampasan, dalam sekelip mata sahaja kawasan atau lokasi strategik akan ditawan musuh.
Perang Hunain
Perang Hunain melibatkan ramai orang Islam kerana ketika itu masyarakat Arab telah ramai memeluk Islam. Di peringkat awal perang, pasukan Islam lari bertempiran. Nabi Muhammad saw terpaksa menyusun kembali pasukan tentera Islam. Baginda saw meletakkan pahlawan-pahlawan yang gagah berani seperti Saidina Ali di barisan hadapan bagi menggempur pasukan musuh. Akhirnya musuh ditumpaskan meninggalkan harta rampasan yang sangat banyak sehingga dikatakan mengambil masa selama tiga hari. Ia mengambil masa kerana tentera-tentera Islam berebut-rebut untuk mengagihkan harta rampasan yang mereka baru dapat.
Rasulullah saw sendiri menyelesaikan sendiri agihan ini dengan memberi keutamaan kepada mereka yang baru memeluk Islam dan menyertai perang. Tindakan ini menyebabkan golongan Ansar berkecil hati kerana tidak banyak mendapat harta. Namun mereka menjadi gembira apabila Rasulullah saw mengumumkan akan pulang bersama-sama orang Ansar ini. Lalu, tercatatlah ungkapan, ‘Allah dan Rasul adalah segala-galanya.’
Banyak perkara yang kita boleh pelajari melalui tiga peperangan ini. Dalam Perang Badar, umat Islam berperang dengan penuh disiplin. Perubahan yang ketara dapat dilihat dalam Perang Uhud iaitu tentera Islam ada kekuatan tetapi tidak patuh kepada arahan ketua lalu tewas di tengah jalan. Manakala Perang Hunain, tentera Islam memiliki kelebihan dari segi bilangan tetapi mereka berperang tanpa keikhlasan kerana masing-masing berebut harta rampasan berbanding berjuang pada jalan Allah swt.
No comments:
Post a Comment