Indonesia kalah dengan agregat 4-2 untuk terus kekal sebagai pasukan yang kempunan untuk menjadi juara. Biar pun menang di gelanggang sendiri 2-1, keupayaan pasukan Garuda untuk terus membolosi gawang Malaysia dipatahkan dengan mudah oleh pertahanan Harimau Malaya.
Malaysia meraih kejuaraan pertama apabila membawa tiga gol yang dimenangi di Kuala Lumpur dan mempamerkan permainan bertahan dan menyerang balas yang mantap untuk mendapatkan gol pertama. Di sebalik serangan demi serangan dari Indonesia, tidak ada satu gol pun yang boleh dijaringkan pada 60 minit permaian berlangsung. Malah, sebaiknya pasukan Malaysia yang lebih awal mendapatkan gol melalui rembatan kencang penyerang berbisa, Safee pada minit ke 53.
Baki perlawanan menyaksikan dua gol yang disumbat oleh Indonesia yang dilihat menaikkan semangat pemain-pemain pasukan itu namun ia sudah terlewat untuk bangkit daripada kekalahan kerana pasukan Malaysia sudah membuat benteng dan membina sistem pertahanan yang ampuh bagi mengekang asakan penyerang-penyerang Indonesia.
Kekalahan Indonesia adalah takdir yang harus diterima dengan lapang dada kerana Tuhan belum memberi izin untuk pasukan negara itu meraih kejayaan. Mereka perlu belajar untuk menerima kelemahan diri dan sentiasa berusaha membaiki teknik dan strategi permainan, membina pasukan yang mantap di jentera serangan dan tidak leka dengan kemenangan di peringat kumpulan.
Tidak ada erti lagi apabila Indonesia dengan mudah mengalahkan Malaysia 5-1, Laos 6-0, Thailand 2-1 dan Filipina 2-0. Indonesia harus mengakui bahawa pemain-pemain muda Malaysia malah seawal 19 tahun memiliki stamina dan tenaga yang cukup banyak untuk bergerak ke seluruh padang, bingkas berlari, lasak dan sentiasa mengikut arahan jurulatih.
No comments:
Post a Comment