Berfikiran ragu-ragu akan gagal. Fikirkan kemenangan akan berjaya. Adakah dua ayat ini boleh mengubah hidup kita?
Mungkin ada dalam kalangan orang-orang muda hari ini tidak mengetahui dengan tepat bagaimana pasar malam Gadong berhampiran Pasar Gadong bermula. Seingat saya, individu yang mencadangkan kewujudan pasar malam Gadong memiliki fikiran kemenangan kerana ideanya telah membantu memperkenalkan Brunei kepada orang luar yang mahu berkunjung ke negara itu.
Sekitar tahun 1997 hingga 1998 yang lalu, terdapat tiga hingga empat buah gerai yang menjual buah-buahan, sayur, jagung bakar, mee goreng dan nasi katok berhampiran kawasan letak kereta di bawah jejambat utama Gadong-Menglait. Setiap petang ramai orang yang memberhentikan kereta untuk membeli juadah bagi dibawa pulang. Usahawan-usahawan yang sentiasa mencari peluang berniaga mula melihat potensi kawasan berkenaan dan lama-kelamaan ia menjadi besar dan tidak lagi dapat menampung pertambahan usahawan yang hendak berniaga di situ.
Lalu keputusan diambil untuk memindahkan peniaga-peniaga ini ke kawasan lebih luas di Pasar Gadong. Peringkat awal hanya dua tiga baris peniaga yang berani mencuba. Kemudiannya ia berkembang sehinggalah menarik ramai orang datang mencari makanan di situ. Ia juga menarik perhatian kerajaan Brunei untuk memperkemaskan kawasan pasar malam, memasang khemah yang lebih berkualiti, mengawal kebersihan dan menggalakkan minat peniaga kecil-kecilan untuk mengasah bakat dan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang berkaitan keusahawanan.
Jika dulu saya hanya mengambil masa 20 minit untuk meninjau barang-barang perniagaan yang ada, kini saya terpaksa memperlahan perjalanan kerana ramai yang datang ke situ dan ia mengambil masa hampir dua jam untuk melihat semua gerai yang ada.
No comments:
Post a Comment