Seorang panglima perang Islam yang handal, Tariq bin Ziyad diabadikan namanya pada bukit Jabal Tariq yang dipanggil Gibraltar. Namun ada seorang lagi panglima perang Islam yang dikagumi oleh masyarakat Islam iaitu Salahuddin Al-Ayubi. Beliau terkenal kerana telah membebaskan Palestin dalam tiga perang Salib dan mengembalikan kekuatan dan maruah umat Islam.
Sallahuddin Al-Ayubi merupakan anak kepada seorang gabenor yang asal-usulnya berbangsa Kurdis. Sejak berusia 17 tahun, dia telah mula membabitkan diri dalam peperangan di Mesir, Syria dan Palestin. Kekuatan peribadi Salahuddin terletak pada akhlak yang mulia dan sangat mencintai jihad. Kehidupannya lebih berdisiplin dan memiliki semangat jihad yang meluap-luap untuk mengembalikan maruah umat Islam dan membebaskan Palestin.
Dalam kerja berpasukan, Salahuddin sentiasa mempastikan tenteranya dalam keadaan mantap, bersemangat tinggi dan mengingatkan mereka tentang jihad serta kemenangan Islam. Kesungguhan Salahuddin dalam mendidik bala tenteranya membolehkan mereka menang pertempuran kerana keupayaannya menyatukan hati dan fikiran tenteranya dari pelbagai bangsa dan negara seperti Mesir, Iraq, Syria, Kurdis dan Arab. Syura juga dijadikan instrumen penting untuk menentukan keputusan yang berkait dengan ketenteraan. Syura yang dibentuk bersifat telus kerana terdapat keputusan-keputusan Salahuddin yang dibatalkan.
Pembinaan peribadi setiap tenteranya amat dititikberatkan melalui contoh dan teladan. Dia suka solat berjemaah dan bangun tengah malam untuk bertahajjud, bertemu dengan pegawai-pegawai bawahannya untuk mendengar bacaan al-quran di samping membacakan hadis-hadis yang merangsang jiwa dan akal. Dia juga bertanya khabar dan mengambil tahu keadaan tentera-tentera Islam. Hubungan dengan pembantu-pembantunya juga diberi perhatian. Salahuddin mengutamakan keadilan dan mengabaikan kesilapan-ksilapan kecil yang dilakukan oleh mereka. Tetamu yang datang berjumpa pula akan dilayan dengan hormat dan pulang dengan membawa hadiah kesukaan mereka.
No comments:
Post a Comment