Oleh Shamsul Amri Baharuddin
Untuk sekian lama kerajaan dan rakyat Malaysia mengidamkan perpaduan. Ini berasaskan anggapan bahawa perpaduan masih belum wujud sepenuhnya di negara kita. Maka kefahaman kita mengenai perpaduan bukan berasaskan realiti tetapi harapan malah impian.
Namun, masyarakat Malaysia terus wujud tanpa konflik besar dan berterusan seperti di Sri Lanka, Yugoslavia atau Thailand sekarang. Malaysia dan rakyatnya terus wujud dalam suasana aman, tenteram dan sejahtera, meraih nikmat sebuah negara yang diklasifikasi Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) sebagai negara berpendapatan menengah.
Memang benar, sekali- sekala terjadi konflik terbuka seperti peristiwa 13 Mei 1969 dan Kampung Medan. Tetapi konflik terbuka bukan ciri masyarakat Malaysia. Ia tidak dominan dan tidak mencorakkan kehidupan kita di Malaysia. Yang dominan adalah suasana aman dan tenteram.
Namun, apa yang lebih kerap berlaku adalah konflik bersifat lisan atau bertikam lidah sesama kita. Ada ketika secara terbuka dan kebanyakan pada peringkat individu atau kelompok seperti sambil minum teh tarik di kedai mamak, pada majlis kenduri kendara, malah dalam internet dan blog.
Kandungan bertikam lidah ini berasaskan isu tertentu (issue-based), seperti soal pendapatan yang tidak cukup, harga barang mahal, peluang pendidikan serta pekerjaan terhad dan sebagainya.
Bertikam lidah adalah bentuk menyuarakan rasa tidak puas hati etnik (ethnic grievances). Namun apabila kita halusi kebanyakan isu itu didapati setiap etnik menyuarakan tidak puas hati mengenai perkara yang sama tetapi kerap bersalut kepentingan etnik. Maka bunyinya etnik, sebenarnya isu berkenaan bersifat isu sosial yang lebih umum. Kebanyakan isu itu seperti seperti tidak puas hati mengenai sistem pendidikan, agihan peluang ekonomi dan pekerjaan, bukan hanya mengesankan sesuatu kaum malah mempunyai kesan yang mendalam dan luas terhadap semua lapisan masyarakat.
Yang lebih menarik, penyuaraan isu itu berlaku dalam keadaan aman dan tenteram lagi sejahtera di Malaysia. Bukan di jalanan yang membabitkan tindakan membaling batu atau pihak berkuasa menyembur gas pemedih mata seperti di negara lain. Ia berlaku cukup demokratis bentuk dan suasana yang mengizinkan bertikam lidah mengenai isu ini berlaku. Namun kadang-kadang ada yang menyuarakannya dengan nada yang agak keras.
Kalau ini semua berlaku dalam keadaan aman, tenteram dan sejahtera, bagaimanakah kita hendak menyifatkan keadaan ini? Hendak dikatakan kita berpadu, kita masih idam-idamkan perpaduan. Kalau tidak perpaduan apakah pula kita hendak kategorikan keadaan aman, tenteram dan sejahtera ini?
Apa yang kita semua nikmati sekian lama adalah kesatuan sosial (social cohesion). Apakah maksud kesatuan sosial?
Biarpun kita belum mencapai perpaduan yang diimpikan namun kita sudah menjalin hubungan kerjasama antara kaum dan kelompok, berkongsi aktiviti budaya dan pinjam-meminjam unsur budaya masing-masing.
Jalinan hubungan yang cukup rapat terjelma dalam putaran ekonomi dan pasaran yang menyebabkan kita saling bergantung dengan kuat melalui kegiatan ekonomi seharian. Pembekal mungkin pedagang kaum Cina, India dan Melayu. Pekerja pula mungkin kaum India, Iban, Kadazan dan Cina juga. Justeru, kesatuan sosial di kalangan pelbagai kaum, kepentingan ekonomi, politik dan sosial senantiasa terjalin dan disulam oleh keperluan kehidupan seharian. Rakyat Malaysia tidak akan mengorbankan kesatuan sosial ini demi memastikan semua pihak ‘menang-menang.’
Memang didengar ada suara sumbang dari semasa ke semasa yang berbau perkauman dan sarat emosi. Kejadian ini menyebabkan ia sering mendebarkan dan memberi isyarat yang tidak tepat mengenai keadaan hubungan kaum di Malaysia. Orang luar melihat kejadian seperti ini sebagai tanda bahawa negara dan masyarakat tidak stabil.
Ada pemerhati luar menggunakan kejadian ini sebagai kayu ukur masa depan Malaysia. Yang paling ekstrim menganggap bahawa rusuhan kaum akan berlaku bila-bila masa. Salah faham ini merebak luas sehingga mendebarkan pelabur asing.
Bak kata pepatah ’sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.’ Pihak tidak bertanggung jawab membangkitkan isu perkauman inilah yang merosakkan imej baik Malaysia. Justeru, banyak pihak di luar negara meragukan bahawa kita aman, tenteram dan sejahtera.
Persepsi negatif terhadap Malaysia oleh golongan kecil tetapi berpengaruh ini, khususnya media massa antarabangsa akan bertambah keruh apabila ada antara pemimpin politik Malaysia yang membuat tohmahan terhadap negara sendiri di luar negeri demi hendak memenangi sokongan media massa antarabangsa dengan harapan meningkatkan kerisauan di kalangan rakyat di Malaysia lalu menentang kerajaan.
Ini taktik politik banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan pelbagai isu di Malaysia. Tidak dinafikan, banyak isu belum dapat diselesaikan biar pun kerajaan mencuba mencari pelbagai jalan penyelesaian sama ada ia isu lama mahupun yang baru.
Soal rasuah sering jadi isu. Soal hak asasi manusia yang terabai juga sering dibangkitkan. Soal kebebasan agama dan budaya serta soal komuniti minoriti yang terpinggir pun menjadi perhatian. Soal kemudahan infrastruktur di luar bandar turut dibangkitkan.
Soal ini dibesar-besarkan sehingga menenggelamkan fakta terpenting mengenai masyarakat Malaysia iaitu, wujudnya kesatuan sosial yang kukuh di kalangan rakyat.
Tidak dapat dinafikan, untuk melestarikan kesatuan sosial kita terpaksa berdepan pelbagai cabaran. Soal yang digembar-gemburkan itu sebahagian cabaran kepada kesatuan sosial yang dinikmati dan perlu dicari penyelesaian.
Cabaran terhadap kesatuan sosial ini tersimpul dan terhimpun dalam Indeks Kualiti Hidup (IKH) yang menjadi kayu pengukur kepada pembangunan ekonomi, politik, sosial dan budaya di Malaysia.
Ada 11 ciri IKH yang kita jadikan kayu pengukur iaitu, pendapatan dan agihannya, pekerjaan, pengangkutan dan komunikasi, kesihatan, pendidikan, perumahan, alam sekitar, kekeluargaan, pembabitan sosial, keselamatan awam dan budaya serta aktiviti santai.
Setiap ciri ini mengandungi cabaran yang lebih mendalam. Misalnya, dari segi pendapatan dan agihannya, di Malaysia masih wujud kemiskinan tegar, biarpun kita telah berjaya mengurangkannya hanya ke paras 5 peratus. Pelbagai projek untuk membanteras kemiskinan dirancang dan dilaksanakan. Namun masih menghadapi masalah kebocoran iaitu, kelompok sasaran masih tidak mendapat apa yang dijanjikan.
Mengurus dan menyelesaikan setiap cabaran ini adalah tugas yang tak pernah selesai. Apabila selesai yang lama, yang baru wujud. Suasana kesukaran ini rata-rata tidak menggoyahkan semangat kesatuan sosial rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia akan terus bertikam lidah. Namun jalinan erat kesatuan sosial di negara kita akan memastikan mereka tidak terjerumus ke kancah konflik. Kelestarian kesatuan sosial inilah yang perlu kita tatang seperti menatang minyak yang penuh.
Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin adalah Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik UKM
(Berita Harian, 19 Mei 2010)
No comments:
Post a Comment