Wednesday, May 19, 2010

Kelebihan negara multi etnik




Kepelbagaian budaya, adat resam, bangsa dan agama rakyat Malaysia merupakan asset yang sangat berharga. Di Malaysia, orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan serta kaum-kaum lain dapat hidup bersama, mengenali identiti rakan-rakan etnik yang berbeza dan belajar untuk bertoleransi sesama sendiri.

Orang Melayu mewakili rumpun nusantara, kepulauan Melayu yang dihuni oleh 300 juta orang merangkumi Indonesia, Borneo dan Filipina. Orang Cina mewakili tanah besar China dan tamadun berusia 5,000 tahun. Orang India mewakili benua India juga mewarisi tamadun berusia 5,000 tahun. Kedua-duanya Cina dan India datang ke Malaysia kerana faktor ekonomi sama ada dibawa masuk oleh British atau berhijrah kerana mencari peluang hidup yang lebih baik. Sebaik sahaja tiga kaum ini hidup dalam satu negara, komposisi berubah serta-merta.

Kini penduduk Malaysia berjumlah lebih 27 juta orang dan dijangka menghampiri 100 juta pada tahun 2100. Catatan di bawah menunjukkan nisbah penduduk di Persekutuan Tanah Melayu tahun 1950

(Sumber: K. J Ratnam. Communalism and the Political Process in Malaya: Kuala Lumpur, 1965, hal 64).
Etnik
Jumlah Penduduk
Jumlah Berstatus Warganegara

Bilangan%Bilangan%
Melayu2,579,91449.42,500,00076.3
Cina2,011,07238.5500,00015.3
India564,45410.8230,0007.0
Lain-lain71,1091.345,0001.4


Cabaran utama dalam mana-mana negara di dunia ialah bersatu memajukan pembangunan negara yang sama-sama didiami. Empat aspek pembangunan negara ialah politik, ekonomi, pendidikan dan sosial. Justeru, memajukan keempat-empat aspek ini menjadi cabaran dan masalah kepada pemimpin. Malaysia turut tidak terkecuali daripada menghadapi situasi ini.

Sejak merdeka, Malaysia telah berkembang menjadi sebuah negara yang memiliki daya tahan dan hubungan etnik yang lebih matang. Kestabilan politik berjaya membentuk suasana pembangunan negara yang sangat kondusif dan semua kaum berpeluang mengembangkan potensi dan keupayaan masing-masing.

Interaksi dan toleransi hubungan etnik ini merupakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk bekerja dengan syarikat-syarikat multinasional dan luar negara. Struktur hidup dan kepelbagaian budaya serta etnik masyarakat Malaysia memberi kelebihan dalam sumber manusia kerana lebih mudah menyesuaikan diri dengan budaya dan suasana pelbagai etnik di luar negara di samping memiliki kemahiran komunikasi yang baik. Masalah bahasa bukannya halangan.

No comments:

Post a Comment