Kisah sebuah sekolah harian biasa di Rawang yang dikatakan menjadi lubuk menghasilkan pelajar yang terlibat dalam gengsterisme, peras ugut dan jenayah seksual mengesahkan betapa teruknya akhlak pelajar kita pada hari ini. Jenayah dalam kalangan pelajar tidak lagi menjadi asing kepada orang ramai kerana setiap hari media menyiarkan perilaku buruk pelajar sama ada kecil atau besar. Pelajar yang berada di tingkatan satu hingga lima di sekolah harian biasa khususnya di kawasan bandar sering kali terdedah kepada perlakuan ganas yang berterusan.
Pendedahan akhbar The Star ke atas sekolah berkenaan mencetuskan persepsi betapa sekolah seperti itu bukannya menjadi tempat terbaik untuk membentuk akhlak dan sahsiah pelajar sebaliknya menjadi tempat kepada bibit-bibit keganasan. Dengan gelaran ‘school of terror’, fokusnya adalah kepada keselamatan pelajar yang longgar, tadbir urus dan kawalan disiplin yang lemah, pihak ibu bapa dan guru yang tidak kisah dan peribadi pelajar yang semakin ganas.
Seorang pemimpin wanita dari sebuah pertubuhan bukan kerajaan pernah berkata sekolah harian tidak termasuk dalam senarai sekolah pilihan yang patut diutamakan oleh ibu bapa kerana ia tidak membantu pembentukan akhlak yang baik untuk anak-anak. Sebaliknya sekolah agama atau sekolah kerajaan yang beraliran agama adalah lebih praktikal dan berkesan.
Tanggapan seperti ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan malah ibu bapa yang mempunyai tahap kerisauan yang tinggi terhadap masa depan anak-anak mereka.
Peras ugut, bergaduh, rogol dan cabul adalah lumrah di sekolah harian walaupun terdapat satu dua kes yang berlaku di sekolah swasta atau persendirian. Pelajar-pelajar sekolah harian ini jauh berbeza.
Sekolah sebagai institusi pendidikan yang membentuk satu perjalanan hidup yang sangat panjang bagi seseorang pelajar. Dalam konteks negara, sekolah berperanan menyiapkan pelajar untuk bekerja selepas melalui fasa akademik tertentu. Sepanjang pengajian ini, anak-anak yang miskin mendapat peluang untuk mengubah nasib keluarga dan membaiki nasib malang kehidupan.
Sekolah juga berperanan sebagai tempat membentuk individu sosial yang boleh berhubung dengan orang lain mengikut budaya dan amalan bersama yang disepakati.
Malangnya apabila sekolah harian biasa tidak berfungsi sebagaimana yang dikehendaki masyarakat, muncul sekolah-sekolah pilihan yang dikendalikan oleh pihak swasta yang dapat memenuhi keperluan asal kewujudan sekolah. Hari ini ibu bapa lebih suka menghantar anak-anak ke sekolah agama atau aliran agama kerana merasai persekitaran di sekolah berkenaan lebih menjamin pembentukan akhlak yang soleh untuk anak-anak mereka.
Ada sekolah aliran agama ini yang tidak memiliki kemudahan pembelajaran sebaik sekolah harian namun tetap menjadi pilihan ibu bapa. Dalam jangka masa panjang, urusan kemasukan ke sekolah terpaksa dibuat dalam dua peringkat. Peringkat pertama, semua calon pelajar perlu menduduki peperiksaan kemasukan, peringkat kedua ialah temu duga. Kaedah ini menjamin pihak sekolah untuk mendapat pelajar yang berkualiti. Justeru, kawasan sekolah tidak perlu dipagar kerana pelajar tidak akan lari dari sekolah.
Sekolah ini juga bakal menjadi gudang melahirkan pemimpin-pemimpin masyarakat yang sedia bekerja untuk memajukan negara. Pelajar juga memiliki sahsiah yang terpuji, tidak menyusahkan orang lain dan memberi fokus kepada kejayaan dalam masyarakat. Mereka ini kelak akan menjadi model kepada pelajar cemerlang, membina keluarga bahagia dan disifatkan sebagai golongan yang membiakkan kebaikan demi kebaikan dalam masyarakat.
Antara instrumen untuk membina akhlak pelajar ialah solat berjemaah, kurikulum sepadu dan hubungan mesra guru dan pelajar. Pengaruh luar yang merosakkan peribadi pelajar dapat diatasi dengan mudah apabila pemikiran dan jiwa pelajar dapat dikawal oleh ibu bapa dan guru, bukannya internet dan mat rempit.
Kepelbagaian latar belakang menyukarkan pembentukan akhlak pelajar di sekolah harian lebih-lebih lagi bilangan pelajar yang ramai. Guru juga terpaksa memikul beban yang mengurangkan perhatian mereka terhadap sahsiah pelajar ini.
‘School of terror’ tidak wajar menjadi sebahagian daripada komuniti kerana implikasinya bukan setakat sebulan dua malah bertahun-tahun. Program intervensi untuk membaiki keadaan tenat di Rawang itu perlukan kerjasama daripada kerajaan sendiri di samping gandingan polis dan ibu bapa. Apa guna jika pelajar cemerlang tetapi akhlaknya merosot dan tidak menyumbang kepada kemajuan negara.
No comments:
Post a Comment