Dalam sebulan dua ini, akhbar dan media menyiarkan secara berterusan perilaku dan akhlak pelajar-pelajar di seluruh negara. Ada yang dirogol, ditembak dan ditangkap kerana berkelakuan sumbang di dalam kelas. Laman-laman web ghairah menyiarkan gambar-gambar yang ‘mengancam iman’ dimuat naik dengan mudah di internet dan boleh ditonton oleh sesiapa sahaja termasuk budak-budak sekolah. Sama ada di sekolah rendah atau menengah, ia serupa sahaja. Kejadian terkini ialah tiga orang pelajar sekolah rendah tahun tiga di Melaka disyaki melakukan aktiviti seksual dalam kelas.
Sebelum itu dilaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan dua dirogol oleh rakannya dalam kelas. Rakan-rakan pelajar itu membuat bulatan bagi melindungi perogolan berkenaan dan mereka tidak berasa bersalah. Apatah lagi perasaan malu dan jijik.
Banyak lagi kes yang menunjukkan moral pelajar sekolah semakin merosot dan merisaukan ibu bapa. Keadaan ‘pengetua mendapat cucu’ sudah menjadi perkara biasa. Serupa sahaja keadaan di sekolah bandar dan luar bandar.
Selain ibu bapa, pihak lain yang tertekan dan berasa malu adalah guru. Di sekolah, guru adalah insan yang paling rapat dengan pelajar, mengetahui keadaan keluarga, menilai prestasi akhlak dan kemajuan pelajaran pelajar. Tugas guru bukan sahaja mengajar malah membimbing. Bagi pelajar yang mendapat perhatian dan bimbingan guru, hidup mereka amat bertuah. Sebaliknya pelajar yang rosak akhlak dan melawan guru, nasib dan masa depan mereka bergantung kepada diri sendiri. Apabila nasihat dan tunjuk ajar sudah tidak dipedulikan, tidak ada siapa lagi yang akan bersimpati.
Kadangkala kita turut merasai kesedihan guru. Rintihan mereka adalah kegagalan sistem yang berlegar dalam masyarakat dan negara. Namun guru-guru tidak boleh berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa.
Berpegang teguh pada kebenaran, buang jauh-jauh nafsu. Berkorban dengan jiwa dan raga, mengharungi semua cabaran. Guru-guru di Malaysia tetap ada harapan untuk membaiki keadaan masyarakat. Selama matahari masih bersinar, selama itu guru-guru mesti berusaha dan berjuang ke arah membaiki akhlak dan perilaku pelajar.
Gunakan apa sahaja cara dan kaedah untuk membina akal yang sihat dan akhlak yang mulia. Pelajar mesti dibentuk.
Semasa berbual-bual dengan seorang pegawai pelajar dari sebuah kolej swasta, nampaknya ada sinar untuk mengubah akhlak pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara kita. Beliau mengambil contoh bagaimana sistem pembangunan pelajar yang betul dan bersifat tarbawi telah menghidupkan kembali hati seorang pelajar yang gelap dan hidup tanpa arah tuju yang jelas. Sistem ini mengubah pelajar berkenaan sehingga dapat menyempurnakan solat lima kali sehari dan berpuasa penuh pada bulan Ramadhan- sesuatu yang tidak pernah dilakukannya selama ini.
Satu hari pelajar ini berkata, ‘Alhamdulillah, inilah kali pertama saya dapat sempurnakan solat lima waktu dan tahun pertama berpuasa penuh Ramadhan’. Pelajar ini belajar di Kolej Teknologi Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan.
Guru-guru kita perlukan sistem untuk mengubah akhlak pelajar. Jika akhlak pelajar terus merosot menjadi kerisauan kita, bagaimana kita harus memulakan inisiatif membetulkannya?
Perkara utama dan pertama ialah menyelidiki diri pelajar itu sendiri. Soalan yang mesti ditanya ialah, 1) adakah kamu solat subuh hari ini, 2) adakah ibu bapa kamu bersolat, dan 3) adakah kamu sekeluarga makan bersama setiap hari?
Soalan pertama adalah untuk menilai status terkini pelajar berkenaan tentang hubungannya dengan pencipta. Pelajar yang bersolat adalah pelajar yang serius dengan hidup dan masa depannya. Dia memiliki fikiran yang cerdas dan pintar, mampu membuat keputusan yang tepat dan memiliki prinsip diri yang unggul. Pelajar yang bersolat memiliki pelindung dan perisai diri yang ‘super protected’ daripada pengaruh dan ajakan negatif yang merosakkan akal dan akhlak.
Sistem ini amat mudah. Tidak perlukan borang untuk diisi, tidak perlu dipantau oleh pengetua dan tidak payah mengabiskan wang peruntukan jabatan untuk persediaan kursus. Ia adalah sistem asas dalam membina akhlak pelajar kita.
Jalan di hadapan terbentang untuk guru-guru mendapat pahala, rahmat dan berkah Allah swt. Harapan masih ada, guru-guru adalah pembawa cahaya untuk pelajar-pelajar kita. Bangkitlah guru, laksanakan tanggungjawab kita untuk masa depan pelajar, keluarga, masyarakat dan negara.
Sistem sedia ada tidak mampu mengurangkan kerisauan ibu bapa. Dengan sejuta azam, marilah kita membangunakan negara kita, Malaysia.
No comments:
Post a Comment