Penulis: Ben Simpfendorfer
Tahun: 2009
Muka Surat: 202
Penerbit: Palgrave Macmillan, UK.
Kebangkitan Timur telah bermula. Kuasa-kuasa Barat semakin cuak dengan perkembangan ekonomi China yang pesat dari setahun ke setahun. Keghairahan China membina kembali kemasyhuran empayarnya menyebabkan harga minyak naik dari $30 setong kepada $80 setong pada 2004. Minyak jugalah yang menyebabkan dunia Arab mengenali Yiwu, sebuah pekan kecil di China yang menjadi tempat pertemuan pemborong Arab dengan peniaga China. Di siti juga terdapat puluhan jurubahasa Arab berketurunan Cina.
Terdapat lapan bab yang setiap satunya antara 20 hingga 30 muka surat. Ia bermula dengan kisah dunia Arab yang kembali menggunakan ‘Jalan Sutera’ iaitu perdagangan darat Arab-China yang terkenal suatu masa dulu. Kehadiran peniaga Arab ke China meningkat setelah negara-negara Barat mencetuskan konflik dengan negara Iraq dan Afghanistan seterusnya membina persepsi negatif terhadap agama dan umat Islam melalui media yang dikuasai mereka.
Bab kedua menyentuh mengenai kehausan China ke atas minyak Arab. Justeru persaingan yang sangat sengit untuk mendapat bekalan minyak, China mula mengalih perhatian terhadap semua pengeluar minyak di Arab dan sering kali melakukan lawatan muhibah dan perdagangan. Lawatan peringkat pemimpin tertinggi semakin kerap dan Presiden Mubarak telah melakukan sembilan kali lawatan ke China sejak menjadi ketua negara Mesir.
Bab ketiga menghuraikan tauke-tauke Arab yang kaya-raya kerana kenaikan harga minyak mula menggunakan wang mereka untuk membina negara masing-masing. Contoh yang diberi ialah kota Dubai dan Abu Dhabi dimajukan sebagai pusat kewangan serantau. Dalam pada itu, pelabur-pelabur Arab juga meninjau negara-negara Islam yang merentang dari Timur Tengah hingga ke China. Dalam lingkaran ini terdapat negara Indonesia dan Malaysia yang memiliki umat Islam yang ramai. Kewujudan jaringan ini dirujuk penulis sebagai ‘Koridor Islam’ yang bakal menguntungkan umat Islam.
Bab keempat hingga enam berkisar tentang keinginan negara-negara Arab seperti Syria yang mahu mencontohi China dalam membangunkan negara. Keupayaan China membina ekonomi negara tanpa menjejaskan politik sangat menghairankan Syria. Kehadiran Al Jazeera di China juga memberi impak kepada hubungan Arab dan China serta Islam amnya. Ketika dunia Barat memberi persepsi buruk kepada Islam dan penganutnya, China mengambil pendekatan berbeza dengan menggalakkan pegawai, peniaga dan pelajar mempelajari bahasa Arab. Ia dilakukan dengan dua matlamat iaitu ekonomi dan politik. Kecenderungan peniaga Arab membeli produk keluaran China menguntungkan ekonomi negara itu dan pada masa yang sama China hendakkan hubungan lebih erat supaya Arab dapat membekalkan minyak untuk pembangunan negara itu.
Bab ketujuh adalah pandangan penulis terhadap bahasa Arab sebagai bahasa antarabangsa yang cuba dipelajari. Ketika Amerika Syarikat menyifatkan bahasa Arab sebagai ‘super hard’, China tidak menghadapi masalah kerana masyarakat China muslim sudah mahir bahasa tersebut. Penggunaan bahasa Arab telah membantu China mengukuhkan hubungan dengan Arab. Keadaan sebaliknya berlaku pada Amerika Syarikat.
Bab lapan berkaitan impak terhadap Barat apabila ekonomi dunia beralih ke Timur. Ia memberi cabaran baru kepada Barat dan mereka sedang melakukan apa sahaja untuk melindungi kepentingan sendiri sama ada sistem kewangan, perniagaan, media malah budaya masing-masing.
Buku ini sangat menarik bagi pembaca yang ingin mengetahui perkembangan negara-negara Arab dan kebangkitan China dalam ekonomi global. Huraiannya adalah bersahaja kerana penulis buku ini turut mengusai bahasa Arab dan China dengan baik, sekali gus lenggok bahasa dan tahap kefahamannya terhadap masyarakat Arab dan China membantu pembaca mendapat penjelasan yang lebih padat.
No comments:
Post a Comment