Thursday, May 27, 2010

Guru panas baran

Hari ini Sekolah Kebangsaan Siputeh, Padang Sera, Kodiang, Kedah menjadi perhatian kerana kelibat seorang guru lelaki yang panas paran dan hilang sifat sabar telah menampar empat orang pelajar. Kesalahan pelajar? Masuk kelas ketika guru sedang mengajar setelah diarahkan berbuat begitu oleh guru wanita. Barangkali guru lelaki ini ada menyimpan dendam kepada guru wanita itu atau mungkin ada sebab-sebab lain.

Guru lelaki yang berusia 40-an menampar salah seorang pelajar sehingga pecah gegendang telinga kiri dan ia disahkan oleh doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) Hospital Tunku Fauziah, Kangar, Perlis.

Apa masalah guru lelaki ini? Pelajar-pelajar itu tidak pun menyentuh badannya, tidak pun mengejeknya, tidak pun menunjukkan isyarat lucah dan tidak pun mencuri wang gajinya. Kenapa dia begitu zalim kepada pelajar?

Sekarang ini bagaimana nasib pelajar tahun lima yang pecah gegendang telinga itu? Apakah dia dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajaran? Bagaimana keputusan peperiksaan UPSR tahun depan? Paling penting ialah bagaimana masa depan hidup pelajar itu setelah disahkan menghadapi masalah pendengaran?

Persepsi umum ialah tindakan guru lelaki ini sangat zalim dan melampau. Takkanlah tersalah masuk kelas ketika guru sedang mengajar perlu dibalas dengan memecahkan gegendang telinga pelajar yang berusia 11 tahun?

Sepatutnya guru tersebut wajar bertindak sebagai pendidik. Beliau boleh saja meminta pelajar-pelajar itu tunggu di luar sehingga habis masa mengajar. Tindakan menampar dan mendatangkan kecederaan bukanlah tindakan bijak seorang guru sebaliknya ‘aksi ganas di bilik darjah’.

Guru lelaki ini wajar dikenakan tindakan tatatertib kerana tidak bertanggungjawab dan mesti dirujuk ke Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Kementerian Pelajaran Malaysia supaya beliau mendapat bimbingan untuk mengawal sifat panas barannya. Pada masa yang sama dapat menyelamatkan pelajar-pelajar lain di sekolah berkenaan daripada ditampar pada masa depan dek kerana salah masuk kelas.

Di Kodiang, terdapat tiga buah sekolah yang sering bersaing dalam pencapaian akademik dan ko-kurikulum iaitu Sekolah Kebangsaan Kodiang, Sekolah Kebangsaan Tunku Bendahara dan Sekolah Kebangsaan Siputeh. Para pelajar sekolah-sekolah ini terdiri daripada anak-anak petani, pekebun dan penoreh getah yang berpendapatan kecil. Anak-anak ini dididik untuk menghormati guru sekolah dan tidak hairanlah jika ibu bapa menyerahkan sepenuhnya proses mendidik dan mengajar anak-anak mereka kepada guru sekolah. Pelajar-pelajar membesar dengan rasa hormat dan memandang tinggi guru sekolah mereka. Setiap kali sambutan Hari Guru, ibu bapa akan membekalkan anak-anak dengan kacang angin dan kuih-muih untuk menjamu guru mereka. Pelajar-pelajar ini bukannya ganas sebaliknya mendoakan kesejahteraan guru mereka di dunia dan akhirat. Doa ini sentiasa diminta setiap kali selepas solat lima waktu.

Justeru, tindakan guru lelaki di Sekolah Kebangsaan Siputeh ini adalah tindakan yang keterlaluan dan tidak patut diulangi lagi pada masa depan.

No comments:

Post a Comment