Tuesday, May 04, 2010

Pendidikan seks wajar

Oleh DR. AZRIANI AB RAHMAN

Sebagai seorang doktor perubatan yang terlibat memberi ceramah pendidikan seks kepada pelajar-pelajar sekolah di negeri Kelantan, penulis ingin berkongsi pandangan dan pengalaman dengan pembaca tentang isu pendidikan seks yang sedang hangat dibahaskan sekarang.

Tujuan utama pendidikan seks adalah untuk menyedarkan remaja tentang implikasi hubungan seks sebelum berkahwin dan supaya mereka berkata 'TIDAK' kepada seks sebelum berkahwin. Kajian yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1997 membuktikan bahawa pendidikan seks telah melambatkan usia remaja untuk melakukan hubungan seks sekali gus menurunkan kadar perlakuan seks, kehamilan luar nikah di kalangan remaja, pengguguran bayi, selain meningkatkan penggunaan kondom. Kajian yang dilakukan oleh penulis bersama rakan penyelidik lain dari Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia pada 2007, melibatkan pelajar sekolah menengah di Kelantan, mendapati bahawa tahap pengetahuan mereka tentang seks dan kesihatan reproduktif terutama sekali tentang kehamilan dan penyakit jangkitan kelamin adalah amat tidak memuaskan. Misalnya, masih ramai pelajar beranggapan kehamilan boleh dicegah jika membasuh faraj selepas melakukan hubungan seks. Saya berpendapat fakta itu sedikit sebanyak menyokong keperluan pendidikan seks.

Tidak dinafikan elemen yang perlu diketengahkan dalam pendidikan seks (organ reproduktif, mengandung, masa depan yang gelap, tekanan mental, HIV dan penyakit kelamin) telah diterapkan di dalam subjek Biologi, Sains, Moral, Agama dan Pendidikan Kesihatan di sekolah walaupun tiada subjek khusus bernama Pendidikan Seks.

Persoalannya ialah sejauh manakah keberkesanan pendidikan seks tersebut? Jika usaha yang ada sekarang dilabelkan sebagai kurang berkesan, apakah faktor yang mendalanginya serta apakah langkah untuk mengatasi kekurangan yang ada?

Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng mengakui ketidakyakinan guru untuk mengajar pendidikan seks kerana kekurangan latihan dalam bidang tersebut. Sememangnya elemen seperti pencegahan kehamilan, komplikasi kehamilan remaja , pengguguran bayi, penyakit HIV dan penyakit jangkitan alat kelamin adalah topik perubatan yang semestinya agak sukar untuk disampaikan oleh mereka yang tidak terlatih dalam bidang perubatan dan kesihatan. Oleh itu, penulis sangat bersetuju dengan usaha memberi latihan khusus kepada guru terlibat oleh pakar yang mahir dalam bidang tersebut untuk meningkatkan tahap keyakinan dan kemahiran mereka. Teknik penyampaian berkesan dengan menggunakan alat bantuan mengajar tertentu seperti gambar juga perlu untuk membantu pelajar memahami dan menghayati perkara yang disampaikan. Kementerian Pendidikan disarankan agar bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang telah mempunyai modul khas dan telah biasa menjalankan program pendidikan seks dan reproduktif kepada remaja. Program yang telah sedia ada di sekolah seperti Kelab Kesihatan Sekolah dan Doktor Muda harus dimanfaatkan untuk mendapatkan khidmat kakitangan kesihatan bagi menyampaikan pendidikan seks di sekolah.

Selain itu, elemen pendidikan seks yang sedia ada harus disesuaikan dengan budaya dan agama kita. Jika di negara barat, mereka 'menghalalkan' hubungan seks tanpa nikah dan menekankan kepentingan penggunaan kaedah pencegahan seperti kondom, kita seharusnya meyakinkan remaja kita bahawa mereka patut berbangga jika memilih untuk tidak langsung melakukan hubungan seks sebagai kaedah mencegah kehamilan kerana hanya kaedah tersebut yang boleh memberi seratus peratus perlindungan daripada hamil, mendapat jangkitan HIV dan penyakit kelamin. Langkah pencegahan yang telah diajar oleh agama untuk mengawal nafsu agar tidak terangsang dan terdorong untuk berzina seperti tidak menonton bahan lucah, berpakaian sopan dan tidak berdua-duaan di tempat sunyi juga harus ditekankan sebagai elemen penting dalam pendidikan seks. Di samping itu, kesedaran tentang kepentingan memelihara maruah diri, menghargai masa remaja yang singkat dan penuh bermakna serta menerbitkan rasa hormat remaja lelaki terhadap gadis remaja juga memainkan peranan yang penting.

Apakah umur yang sesuai untuk remaja menerima pendidikan seks? Persekutuan Pertubuhan Perancang Keluarga Malaysia telah melaporkan pada tahun 2002, remaja Malaysia terlibat dengan hubungan seks seawal usia sembilan tahun termasuk menjadi mangsa rogol. Pendidikan seks tidak seharusnya hanya tertumpu kepada usaha untuk membanteras hubungan seks 'suka sama suka'. Meneliti buku teks Kementerian Pendidikan, pelajar sekolah di Malaysia telah didedahkan tentang anatomi tubuh badan seawal usia tujuh tahun (darjah satu). Unsur pendidikan seks boleh diterapkan di sini, misalnya dengan menerangkan tentang anggota badan yang sulit (private parts) tidak boleh disentuh oleh orang lain termasuk ahli keluarga sesuka hati.

Walaupun sebahagian besar masa remaja dihabiskan di sekolah, ibu bapa juga memainkan peranan yang amat penting. Di samping memantau tingkah laku anak-anak, ibu bapa juga disarankan untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan pendidikan seks. Paling penting, masyarakat harus sedar pendidikan seks jangan disalah tafsir sebagai mendidik anak tentang kaedah melakukan hubungan seks tetapi pendidikan seks menekankan kaedah agar mereka menjauhi hubungan seks sebelum berkahwin.

Penulis Ialah Pensyarah PerubatanJabatan Perubatan MasyarakatPusat Pengajian Sains PerubatanUniversiti Sains Malaysia

(Utusan Online, 4 Mei 2010)

No comments:

Post a Comment