Tuesday, May 04, 2010

IPT turut berperanan menjayakan MEB

Peranan institusi pengajian tinggi (IPT) kini tidak lagi hanya dilihat sebagai sebuah 'menara gading' yang hanya menumpukan kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta menumpukan usaha dalam pencarian ilmu kepada para pelajarnya. IPT kini seharusnya bergerak seiring dengan hasrat kerajaan melaksanakan dasar Model Ekonomi Baru (MEB) bagi menuju sebuah negara berpendapatan tinggi. IPT juga perlu menjadi pemangkin atau pelopor utama untuk menjayakan ekonomi yang berasaskan kepada pengetahuan melalui sistem inovasi negara.

Saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pengajian Tinggi dan MEB anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) supaya IPT di negara ini meningkatkan pengkomersialan kajian dan pembangunan (R&D) serta mewujudkan hubungan yang baik dengan pihak industri bagi membantu menjayakan MEB merupakan satu cabaran kepada semua IPT untuk melaksanakan dan merealisasikan hasrat murni kerajaan melalui MEB.

Selanjutnya, beliau berkata seperti mana di dalam laporan akhbar, usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan boleh ditingkatkan melalui daya keusahawanan dengan mewujudkan anak-anak syarikat universiti, selain pemindahan teknologi dan pelaburan pihak industri dalam projek R&D.

Tegasnya lagi, R&D yang dihasilkan oleh IPT mestilah berinovasi tinggi, mempunyai nilai kepada masyarakat dan boleh dikomersialkan. Ia bukanlah bertujuan sebagai penulisan ilmiah atau untuk dimasukkan ke dalam jurnal berimpak tinggi semata-mata. Beliau juga menyarankan supaya IPT berperanan melahirkan graduan berkualiti untuk memenuhi permintaan pasaran kerja.

Langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengiktiraf IPT yang memenuhi lapan kriteria yang ditetapkan untuk menjadi Universiti Penyelidikan (kuantiti dan kualiti penyelidik, kuantiti dan kualiti penyelidikan, kuantiti dan kualiti pasca siswazah, inovasi, khidmat profesional dan hadiah, rangkaian serta pautan dan kemudahan sokongan) serta menganjurkan ekspo-ekspo atau seminar berkaitan penyelidikan, kreativiti dan inovasi termasuk memberi pengiktirafan kepada para penyelidik dan IPT merupakan usaha serius pihak kerajaan khasnya KPT untuk menjadikan IPT sebagai pelopor sistem inovasi negara.

Tindakan proaktif pihak IPT seperti menubuhkan anak-anak syarikat universiti, mewujudkan pusat-pusat kecemerlangan universiti, mengadakan unit atau jabatan hubungan industri dan ada IPT yang mengambil kira elemen hasil penyelidikan sebagai salah satu daripada kriteria untuk kenaikan pangkat dapat menyuburkan lagi budaya R&D di kalangan staf IPT terutamanya golongan akademik.

Di samping itu, hubungan erat dan kerjasama yang baik antara pihak IPT dan industri melalui pemindahan teknologi dan pengetahuan dapat dimanfaatkan secara bersama melalui 'situasi menang-menang'. Kepakaran yang dimiliki oleh para penyelidik dapat digunakan untuk membantu pihak industri mencipta satu produk baru atau memberi elemen penambahbaikan kepada produk sedia ada dan pihak industri pula dapat menyalurkan dana atau sumber kewangan bagi membiayai R&D tersebut.

Hasil penyelidikan dalam bidang-bidang seperti biosains dan biotekonologi, teknologi maklumat dan komunikasi, sains fizikal dan kejuruteraan serta sains kesihatan dan bersekutu yang baik bukan sahaja dapat memberi faedah kepada masyarakat tetapi juga kepada negara apabila ia berjaya dikomersialkan.

Usaha yang bersungguh-sungguh oleh pihak IPT dengan sokongan kerajaan khasnya KPT dapat membantu pihak kerajaan mencapai matlamat dasar MEB untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. Ia akan dapat mengurangkan penggantungan negara kepada pelaburan modal asing (FDI) di dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Nadzir Awang Ahmad @ Said, Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan,
Universiti Teknologi Mara, Perlis


(Utusan Online, 4 Mei 2010)

No comments:

Post a Comment