Barisan Pemuda MIC kembali dengan taktik menggertak apabila parti itu menuju ke arah konflik yang tidak berkesudahan. Mereka menggertak kepimpinan Barisan Nasional dengan harapan BN akan mengambil tindakan ke atas kelompok Gerakan Anti Samy (GAS) yang digerakkan oleh bekas ahli MIC yang dipecat. Menggertak untuk keluar parti menjadi pilihan pemimpin pelapis India itu bagi menyokong tindakan anak presiden MIC, S. Vella Pillai yang menyalahkan UMNO di atas kemelut parti itu.
GAS diilhamkan oleh V. Mugilan setelah tidak berpuas hati dengan janji-janji Datuk Seri Samy Vellu yang sudah beberapa kali menyatakan hasrat hendak mengundurkan diri.
Dalam BN, hanya MIC yang belum berubah kepimpinan tertinggi. Parti-parti komponen yang lain telah mula menyusun barisan kepimpinan muda yang lebih segar dan dinamik bagi menghadapi pilihan raya ke-13, merekrut ahli baru dan merangka strategi untuk mendapat dua per tiga kerusi parlimen.
Dalam jemaah kabinet Malaysia, hanya seorang wakil parti MIC yang dilantik menjadi menteri disebabkan kekalahan teruk dalam pilihan raya 2008. Prestasi MIC sangat mengecewakan. Di parlimen ada tida wakil MIC dan 11 wakil rakyat keturunan India masing-masing empat dari PKR dan tujuh dari DAP. Jumlah semuanya adalah 14 orang.
Populasi penduduk India di Malaysia adalah 1.86 juta orang (Buletin Perangkaan Malaysia, Jun 2006) tetapi dalam pilihan raya, tidak ada satu pun kawasan yang mempunyai majoriti pengundi India. Dalam BN, MIC sentiasa mendapat ihsan UMNO untuk menjadi calon seperti mana yang berlaku di Hulu Selangor baru-baru ini apabila petugas UMNO bermati-matian berkempen bagi memenangkan calon MIC, P. Kamalanathan.
Dalam mana-mana kempen pilihan raya, tanpa bantuan UMNO, calon MIC tidak akan menang selama-lamanya.
Hutang budi MIC ke atas BN terlalu banyak. Ia tidak dapat dibayar hanya dengan memenangi satu atau dua kerusi parlimen atau dewan undangan negeri. Sebaliknya MIC perlu membayar hutang-hutang ini dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi sekiranya mahu terus dibantu dan diberi ruang dalam kerajaan BN.
Justeru, tindakan pemimpin-pemimpin pelapis MIC yang diketuai oleh T. Mohan adalah tindakan yang cuba lari dari membayar hutang berkenaan. Pemimpin-pemimpin seperti ini wajar diberi perhatian agar tidak menjadi duri dalam daging apabila BN dalam keadaan tenat pada masa depan. Malahan jika perlu, golongan ini wajar disingkirkan segera supaya tidak ada lagi ancaman atau gertakan yang boleh menggugat kestabilan dan kekuatan BN.
Jika dibiarkan kelompok pelapis MIC ini menjadi pemimpin parti, dikhuatiri mereka akan mengadu-domba dan membuat pelbagai ancaman supaya komponen parti berpecah-belah dan menjadi lemah. Sebaik-baiknya pemimpin BN khususnya UMNO mula memikirkan bagaimana hendak membimbing pemimpin-pemimpin pelapis dalam MIC supaya patuh dan taat kepada prinsip setiakawan BN.
Pada 1 Jun 1965, Tun Sambanthan merangkap Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekom berkata,
‘Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti tinggi selanjutnya mendapat kemerdekaan dua tahun kemudian.
Dalam jangka masa itu kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu?
Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan?
Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon (Sri Lanka) dan juga tidak diterima di Burma. Dan lihat kepada saudara kita kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Dan apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka perolehi di semua wilayah tersebut?
Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu. Dan dalam pada itu apa yang sedang berlaku di Malaya?
Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata: Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka setiap peluang untuk menjadi warganegara. Dan seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu), ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara.
Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh jumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain dari bangsa Melayu? Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.’
(Sumber: Tan Sri Haji Khalid Awang Osman, Malaysia- An Anthology, Vintage Press, New York, tanpa tarikh, halaman 60)
No comments:
Post a Comment