Bagi orang yang pernah dan sedang mengalami keadaan genting putus cinta, terasa dunia ini tidak berharga langsung kerana cinta lebih berharga. Jiwa raga rasa kosong, fikiran meracau dan seperti pepatah ‘makan tak lalu tidur tak lena’. Penangan putus cinta boleh sebabkan kualiti hidup merosot sebaliknya juga boleh menguatkan mental dan spiritual untuk mengharungi hidup.
Kisah putus cinta tidak terhad kepada golongan remaja. Duda dan janda juga mengalami keadaan yang sama. Bezanya ialah bagaimana mereka dapat kembali berfikir secara rasional dan menghadapi hidup seperti sedia kala.
Setiap hari, beribu-ribu orang menerima nasib yang sama- putus cinta. Sama ada lelaki atau perempuan mereka perlu bangkit daripada kekecewaan dan mengurus semula perjalanan harian. Pendek kata, putus cinta adalah lumrah dan jalan penyelesaiannya terletak di atas kemahuan diri sendiri.
Hidup kita ada dua pilihan iaitu bahagia atau merana. Putus cinta bukanlah penghujung kehidupan kerana banyak lagi kerja yang hendak dibuat. Lagi pun putus cinta adalah ujian ke atas tahap kematangan hidup supaya kita dapat naik ke satu aras kehidupan dengan lebih yakin.
Lihat saja orang-orang yang putus cinta, barangkali mereka adalah rakan-rakan kita. Apa yang mereka dapat? Mungkin ada yang telah menemui cinta sejati selepas berada dalam ke‘frust’an selama beberapa tahun. Mereka bahagia dan beranak-pinak. Rezeki juga melimpah-ruah dan hubungan kekeluargaan semakin akrab.
Melihat masa depan lebih penting daripada berasa ‘syok’ dengan keadaan sekarang. Akhir adalah lebih baik daripada awal kerana nilaian Allah swt ialah di penghujung hidup.
"Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya." (Ad-Dhuha ayat 4)
Ubat mujarab kepada putus cinta ialah melihat masa depan dengan optimis kerana jodoh yang terbaik adalah ditentukan oleh Allah swt, bukannya mengikut kata hati atau terikut dengan kata-kata yang mulus daripada rakan-rakan.
No comments:
Post a Comment