Tuesday, March 31, 2009

Cerita nikah kawin 3

Pada cuti hari minggu yang lalu, aku hadir satu majlis akad nikah kawan pada kawanku. Waktu itu aku bercuti di kampungnya. Jadi bila ada kenduri macam tu, dia pun pergi dan ajak aku sekali.

Aku pun ikut sama. Masa tu majlis akad nikah tu dijalankan di ruang tamu. Ramai orang aku tengok, sambil duduk bersila mengelilingi tok kadi dan pengantin lelaki. Dahsyat, pengantin tu duduk atas bantal macam raja. Aku jarang tengok majlis macam ni.

Jadi masa bersila tu, aku pun mengesot sikit-sikit untuk dengar apa yang tok kadi akan tanya. Rupanya macam-macam jugak tok kadi tanya. Tapi ada satu soalan yang menyebabkan aku malu besar!

Tok kadi tanya pasal satu hari berapa kali kena sembahyang, dengan lajunya mamat pengantin tu jawab ‘lima’. Tok kadi tanya lagi, bagi contoh-contoh najis kecil, dia pun jawap kencing baby yang kecik-kecik lagi. Tok kadi pun angguk la, jadi aku rasa jawapan tu ok la kot. Tok kadi tanya lagi contoh najis besar, mamat tu mula dah panik, jeling kiri, jeling kanan, mula tengok siling, aku rasa macam nak tolong je mamat pengantin tu? Bukannye susah, jawapannya anjing dengan babi je, tapi mamat tu dah mula berpeluh jantan keluar kat dahi? Tok kadi mula senyum? Aku sebut dalam hati moga-moga dia dengar ‘anjing dan babi’ tapi rupanya aku cakap dalam hati dia tak dengar.

Aku tak tahu apa yang jadi selepas itu kerana majlis jadi kecoh kerana ramai orang yang duduk di sekeliling majlis tu sambil minum air sirap, tersembur keluar minuman tu terkena baju ramai orang, aku pun sama, masa tu aku tengah minum sirap tu, tiba-tiba aku semburkan balik, dah kena member kat tepi, kecoh jadinya, aku pegang mata aku, penuh dengan air mata. Yang aku ingat masa tok kadi tanya tentang contoh najis besar kat pengantin tu keadaan senyap sunyi?

Tapi bila pengantin tu jawab ‘taik gajah’, suasana jadi hingar-bingar dengan gelak ketawa orang yang dah tak boleh tahan, nak control macam mana? Taik gajah? Besar betul... nak-nak bila gajah makan durian.

Ada pengantin Johor kena nikah kat kedah. Tok kadi sana pesan baca deras (kuat). Dua tiga kali kantoi. Rupanya orang Johor panggil deras ni laju, orang Kedah kata deras ni kuatkan suara.

Kalau agak-agak tok kadi atau imam ni jenis cenge dan banyak soal, masa majlis akad bawa sekali keris pengantin. Soalan pertama pengantin pegang hulu keris sambil jawab. Soalan kedua, tarik keluar keris (bersarung) letak depan imam atau tok kadi sambil jawab. Masuk soalan ketiga, tarik sikit keris dari sarung sambil jawab. Lagi soalan, cabut keris cacakkan depan tok imam sambil jawab....ha ha ha.

Sumber: yahoogroups

Monday, March 30, 2009

Cerita nikah kawin 2

Ada satu kes kawan abang saya pulak... pak imam tanya rukun nikah la, segala macam rukun sampaikan abang saya berpeluh, ni nak nikah ke nak kursus nak jadi imam... last sekali imam tu suruh azan, maka berkumandang la azan kat rumah pengantin perempuan. Lencun jugak la baju pengantin tu, lepas nikah, sarung cincin terus pengantin lelaki tu ajak abang saya balik... marah betol si pengantin...

Sumber: yahoogroups

Sunday, March 29, 2009

Cerita nikah kawin 1

Yup.. cam yang terjadi cam abang saya... bukan pasal tok imam atau soalan yang ditanya.. .tapi orang sekeliling yang tak faham masalah.Masalah abang saya, dia gagap... semasa dia hantar borang pada imam yang bertanggungjawab, dia dah bagitau imam tu masalah dia.. tok imam kata tak ada masalah, orang gagap pun ada caranya... maksudnya tidak la susah nak ucap lafaz akad tu.

Sampai masa nikah tu memang la tersangkut sikit masa abang saya ucap lafaz terima tu, pak imam ok, saksi pertama ok, pak sedara pengantin perempuan pulak kata tak ok. Imam tu siap cakap la, ‘pengantin lelaki ni ada masalah gagap dan dia dah maklumkan pada saya,’ tapi masih pak sedara pengantin perempuan tak mau terima... mintak jugak lagi... mujur la kali kedua tu lepas, berpeluh juga la abang saya nak menahan gagapnya tu... buatnya 3-4 kali lafaz masih gagap bukankah akan menyusahkan, sedangkan Islam ni mudah.

Saya penah dengar tazkirah sorang ustaz terkenal katanya boleh juga dilafaz seperti ‘aku terima’ atau ‘saya terima’ tu je... yang orang Melayu ni pulak suka sangat nak menyusahkan.. . nak jugak suruh jawab panjang berjela... pentingkan adat sedangkan adab dalam Islam tak mau jaga pulak...

Sumber: yahoogroups

Saturday, March 28, 2009

Ziarah ke rumah pelajar cemerlang SPM 2008

Kesempatan berada di Kota Bharu, Kelantan, telah memberi peluang kepada penyelidik untuk mencari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa bagi membuat kunjungan ziarah ke atas keluarga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal. Beliau mendapat 19A1 dan satu A2, ayahnya seorang nelayan dan ibunya, Mariani Omar bekerja sebagai pencuci di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Untuk ke rumah beliau, penyelidik berhenti di tiga tempat bagi mendapat petunjuk kedudukan rumahnya di kampung tersebut. Tempat pertama ialah sebuah gerai jualan bergerak di hadapan sebuah sekolah berhampiran Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, manakala tempat kedua dan ketiga ialah kedai runcit di tepi jalan. Akhirnya, kedudukan rumah Nik Nur Madihah dapat juga ditemui iaitu di sebelah sebuah sekolah rendah dan lorong masuk ke rumah itu mempunyai pondok telefon dan sebuah bengkel kecil-kecilan.

Ketika keluar dari kereta, penyelidik melihat sebuah rumah yang daif seperti yang dipaparkan dalam surat khabar. Keadaan bumbung rumah beratap zink karat dan berjuntaian betul-betul di hadapan beranda rumah. Di kiri dan kanan ada tiga buah rumah yang agak besar dan jauh beza keadaannya dengan rumah pelajar itu.


Sampai di hadapan rumah, penyelidik memberi salam dan beberapa minit kemudian pintu rumah dikuak dan salam dijawab. Bapanya, Nik Mohd Kamal keluar dan menjemput masuk. Semasa bersalam dengan beliau, penyelidik menghulurkan bungkusan buah mangga yang dibeli di pekan Pengkalan Chepa kerana seorang sahabat mengingatkan penyelidik untuk membawa buah tangan jika ke sana. Di samping buah, sekeping not berwarna biru diselitkan pada tangannya.

Keadaan ruang tamu rumah agak kelam, sempit dan dapat memuatkan empat hingga lima orang sahaja. Sebahagian ruang tamu dimuatkan juga sebuah almari pakaian, katil dan meja komputer. Terdapat juga sebuah televisyen untuk tontonan keluarga.

Bapanya mohon izin untuk sembahyang asar dan meminta Nik Nur Madihah untuk berbual-bual dengan penyelidik. Kali pertama melihat pelajar itu, terlintas di fikiran penyelidik yang beliau seorang pelajar dalam kategori ‘ulat buku' kerana di tangannya ada sebuah buku catatan kecil dan sebatang pen. Sambil membolak-balik halaman catatan, beliau sempat melemparkan senyum. Penyelidik bertanyakan khabar dan mengucapkan tahniah di atas kejayaannya dalam SPM 2008 yang lalu.

Perbualan penyelidik seterusnya dihadiri bersama oleh ibu dan bapanya yang menceritakan serba sedikit tentang keadaan rumah dan kehidupan mereka sekeluarga. Sebelum menjadi nelayan sepenuh masa lima tahun yang lalu, Nik Mohd Kamal bekerja sebagai kontraktor kecil-kecilan. Dia memilih untuk menjadi nelayan kerana pekerjaan itu menjadikannya lebih tenang dan puas hati di samping memberi rezeki yang halal.

Nik Nur Madihah mempunyai tiga orang adik. Dua daripadanya tinggal di asrama dan seorang lagi masih belajar di sekolah rendah berhampiran. Semua anak Nik Mohd Kamal dianugerahkan Allah SWT dengan akal yang pintar dan berjaya dalam pelajaran masing-masing. Nik Nur Madihah sendiri mengambil lapan subjek ketika di tingkatan lima dan berjaya pula. Pada pandangan penyelidik, beliau mempunyai kepintaran luar biasa kerana mempunyai keazaman yang tinggi untuk mencabar diri sebagai hadiah kepada kedua ibu bapa.

Rutin harian beliau ketika sekolah dahulu bermula jam 6.30 pagi dan berakhir jam 5 petang. Setiap hari berulang-alik dengan bas kerana bapanya perlu ke laut. Dia tidak tinggal di asrama kerana tidak ada wang untuk membayar yuran. Namun guru-guru sekolah memberi sumbangan RM200 sebulan untuk meringankan beban kewangannya.

Rahsia kejayaan Nik Nur Madihah terletak pada ibunya, Mariani Omar, seorang pencuci. Namun penyelidik tidak pula bertanya lebih lanjut apakah tips dan kaedah yang digunakan sehingga anak perempuannya itu berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan. Barangkali ada ramuan khusus kerana semasa penyelidik bertanya kepada Nik Mohd Kamal, beliau hanya berkata isterinya yang bertanggungjawab mendidik Nik Nur Madihah sehingga berjaya. Jadi, rahsia sebenar kejayaan itu berada di dalam tangan Mariani Omar, seorang ibu yang berjiwa besar. Salah satu maklumat yang diberitahu ialah Mariani membelikan sebuah meja lipat paras pinggang yang berharga RM30 untuk Nik Nur Madihah belajar di ruang tamu rumah mereka. Itu sahaja yang mampu dibeli sebagai dorongan untuk belajar.

Sedang rancak berbual, penyelidik dihidangkan secawan teh dan sepinggan roti kering. Pinggannya pun jenis lama. Dalam sepinggan roti, hanya sekeping yang dapat dimakan kerana banyak soalan yang hendak ditanya hingga tidak sempat hendak makan. Bagi penyelidik, kejayaan Nik Nur Madihah sangat mengagumkan kerana tidak ramai pelajar miskin Melayu yang meraih kecemerlangan akademik seperti itu. Apabila penyelidik memberitahu yang tesis master penyelidik berkaitan kajian ke atas orang miskin, wajah Nik Nur Madihah nampak berser-seri dan bertanya beberapa soalan berkaitan dapatan kajian berkenaan. Nampaknya soal kemiskinan berada dekat di hati beliau. Begitu juga dengan Nik Mohd Kamal. Beliau mencadangkan penyelidik membuat kajian mengenai kemiskinan di Kelantan supaya hasil kajian berkenaan dapat dimanfaatkan bersama.

Dari segi tawaran belajar, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Bank Negara Malaysia menjadi pilihannya namun belum lagi memilih yang mana satu. Besar kemungkinan pada Julai nanti beliau akan melanjutkan pelajaran di luar negara.

Sedang rancak berbual, seseorang menelefonnya dan perbualan berlangsung dalam bahasa Inggeris yang lancar. Wah, dia dapat menguasai bahasa itu dengan baik.

Penyelidik dimaklumkan sebelum itu terdapat sebuah keluarga dari Selangor yang datang ke rumah berkenaan dan penyelidik bernasib baik kerana dapat bertemu dengan Nik Nur Madihah di celah-celah kesibukannya. Dalam sehari dua lagi mereka sekeluarga akan ke Perlis untuk menerima sumbangan daripada persatuan nelayan negeri itu. Sudah pasti kehadiran beliau di Perlis dapat meningkatkan semangat anak-anak Perlis khususnya yang miskin untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.

Setelah meluangkan masa hampir 45 minit, penyelidik meminta izin untuk beredar dan mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Pengalaman bersama pelajar cemerlang itu adalah detik yang bermakna dan wajar dikongsi dengan orang lain juga. Penyelidik mengucapkan terima kasih kepada Nik Nur Madihah sekeluarga kerana sudi menerima kunjungan berkenaan. Semoga Allah SWT akan membimbing dan memberi petunjuk kepada beliau sekeluarga di dunia dan akhirat.

Nik Nur Madihah telah membawa perubahan kepada keluarga melalui pendidikan yang cemerlang. Melihat kepada kejayaan itu, boleh dikatakan bahawa pendidikan adalah salah satu mekanisme paling berkesan untuk membantu mengatasi masalah kemiskinan dinegara kita. Walaupun proses pendidikan formal ini mengambil masa dan peruntukan perbelanjaan yang besar, bagi jangka masa panjang ia sangat membantu kerajaan mengatasi kemiskinan tegar. Justeru, disarankan pihak kerajaan menambah peruntukan dalam pendidikan negara dari semasa ke semasa di semua peringkat kerana pembinaan modal insan yang tulen bermula dari pendidikan.

Friday, March 27, 2009

Hentian rehat bas ekspres ke Kota Bharu

Setiap hari, pergerakan bas ekspres ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia dianggarkan berpuluh-puluh kali perjalanan. Di Lembah Klang, terdapat tiga tempat utama yang menjadi tumpuan iaitu Hentian Putra Kuala Lumpur, Kompleks Hentian Bas Kajang dan Shah Alam. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu mengambil masa enam hingga lapan jam bergantung pada kelajuan dan jenis bas yang digunakan.

Laluan utama ialah Lebuhraya Karak, Bentong, Raub dan Gua Musang. Perjalanan penyelidik bermula pada pukul 8.30 pagi dengan menaiki bas dua tingkat Sani Ekspres. Harga tiket yang mencecah RM42.00 termasuk surcaj 30 peratus agak tinggi kerana perkhidmatan yang disediakan masih tidak banyak berubah dan lebih kurang sama dengan sebelum dikenakan surcaj.

Keadaan bas syarikat ini diakui selesa kerana tempat duduk yang lebar, ruang kaki yang luas dan boleh dilaras serta ruang letak kepala yang kemas. Bagi perjalanan jauh dan melalui selekoh yang tajam, keselesaan menjadi faktor utama untuk penyelidik memilih bas ini. Jika faktor ini diletakkan di belakang keuntungan, pasti ramai penumpang yang memilih syarikat bas ekspres lain.

Perasaan penyelidik duduk di dalam bas dua tingkat sangat berbeza dengan bas biasa. Bahagian bawah tidak banyak tempat duduk, hanya sembilan tempat. Apabila bas bergerak, terasa kita hanya beberapa inci dari permukaan jalan. Jika terlanggar lubang kecil atau batu kerikil, gegarannya amat dirasa.

Bas dua tingkat juga tidak dapat bergerak laju kerana berat dan kestabilan. Apatah lagi jalan menghala ke Kota Bharu melalui Raub, Merapoh dan Gua Musang penuh dengan selekoh dan jalan berliku-liku. Pemanduan mesti berhati-hati demi keselamatan penumpang. Jika silap mengagak, mungkin berlaku nahas.

Hentian rehat yang dipilih oleh pemandu bas ekspres ialah Sani Cafe yang terletak di Merapoh. Biasanya syarikat bas ekspres ini mempunyai tempat rehat dan rawat masing-masing. Sebagai contoh, Ekspres Mutiara memiliki hentian rehat yang lebih luas dan lengkap dengan kemudahan asas. Pilihan makanan juga lebih banyak dan tempat duduk yang selesa. Ada layar televisyen yang besar untuk tontonan penumpang yang sedang makan dan minum.Terdapat sebuah gerai runcit yang kelihatan usang, kualiti barang kurang memuaskan dan harga yang lebih tinggi daripada biasa. Ada sesetengah bungkusan barang makanan yang sudah berdebu di atas rak-rak yang bersawang. Suasana ruang gerai juga suram. Bilik air dan tandas dikenakan caj 30 sen. Syarikat bas ekspres ini menggunakan tandas cangkung yang kelihatan bersih dan selesa kerana mengikut reka bentuk mangkuk tandas yang sering kedapatan digunakan di Selatan Thailand. Mangkuk tandas juga tidak berlumut atau berbau hapak kerana kerap dibersihkan.

Syarikat-syarikat bas ekspres yang lain turut mempunyai hentian rehat dan rawat sendiri seperti Sani Ekspres ini. Sani Cafe lengkap dengan surau dan bilik air. Selain caj 30 sen, bilangan tandas yang banyak dapat mengurangkan tempoh menunggu penumpang. Bilik mandi juga disediakan. Boleh dikatakan kemudahan yang disediakan agak selesa dengan kawasan yang lapang.

Hentian rehat di Merapoh sangat jauh tertinggal berbanding di Lebuhraya Utara-Selatan. Di sini, pengurusan dilakukan sendiri dan kualitinya bergantung kepada prihatinan dan kebijaksanaan mereka. Pengguna tidak ada pilihan untuk mendapat kemudahan yang selesa khususnya bilik air dan kemudahan surau. Sebagai contoh, salah sebuah sebuah hentian yang menjadi pilihan bas ekspres Transnasional menyediakan pilihan makanan yang terhad, harga minuman yang mahal, keadaan bilik air yang daif dan berbau hapak, namun caj masih 30 sen. Surau juga disediakan dengan ala kadar. Hentian ini dinilai sebagai tidak memuaskan dan Transnasional dicadangkan mencari hentian rehat lain yang lebih selesa.

Pada pandangan penyelidik, persamaan yang wujud di setiap hentian rehat bas ekspres ke Kota Bharu ialah harga makanan yang tinggi, tidak mementingkan kebersihan premis, suasana premis yang tidak ceria, infrastruktur bilik air dan surau yang menyedihkan, tandas berbau hapak, pintu tandas tidak ada kunci dan pengusaha kantin yang tidak mesra pelanggan.

Pengusaha bas ekspres wajar mengambil langkah menyediakan hentian utama yang lebih besar dan selesa sama seperti yang terdapat di semua hentian rehat dan rawat Lebuhraya Utara-Selatan. Tidak ada gunanya jika bas dua tiga tingkat tetapi kemudahan di hentian rehat sangat kurang. Peranan kerajaan juga sangat penting untuk mengenakan tekanan kepada pengusaha kantin supaya menjaga kebersihan dan kemudahan bilik air, tandas dan surau demi keselesaan pengguna. Mentaliti penumpang bas juga patut dididik supaya menilai perkhidmatan hentian rehat ini dengan serta-merta dan memilih syarikat bas yang lebih bertanggungjawab.

Thursday, March 26, 2009

Bekerja untuk kecemerlangan

oleh Norliah binti Kudus
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
norliah@utem.edu.my

Pertamanya penulis ingin berkongsi ilmu berkaitan bekerja untuk kecemerlangan diri, keluarga, organisasi dan negara. Bagi kita sebagai manusia perlu mensyukuri segala nikmat dan anugerah Ilahi yang amat memberikan makna dan pengajaran tertentu. Untuk mencapai sesuatu kejayaan manusia mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam kehidupan seharian.

Pepatah Melayu mengatakan “dimana ada kemahuan di situ ada jalan”, Pepatah Arab mengatakan “siapa berusaha, dia akan berjaya”. Malahan Nabi Muhammad SAW bersabda “sebaik-baik pekerjaan ialah kerja yang dilakukan oleh tangan seseorang itu sendiri,”. Malahan kalau kita perhatikan Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang insan dan pemimpin yang bekerja keras dan mencurahkan seluruh masa, tenaga dan pemikirannya untuk mencapai kejayaan dalam menyampaikan mesejnya untuk umat manusia seluruhnya.

Baginda tidak pernah berputus asa atau menyerah kalah kepada kemahuan musuhnya yang sentiasa berusaha untuk melemahkan semangatnya namun baginda menerima itu semua sebagai ujian hidup dengan kekuatan minda dan hati beliau berjaya mengatasi kesemua cabaran hidup ini. Begitu juga kita sebagai insan yang dipenuhi dengan ratusan malahan ribuan tanggungjawab untuk kita melayari bahtera kehidupan penuh mencabar ini...namun adakah kita telah bersedia ?

Apatah lagi kita kini sedang menghadapi keadaan ekonomi global yang merunsingkan ? Bolehkah kita berjaya dan meneruskan pekerjaan dengan cemerlang ? Mungkin ini adalah ujian daripada Allah kepada kita, kita seharusnya telah bersedia malahan kini sedang memikirkan untuk melakukan KAIZEN (penambahbaikan) yang mampu membangunkan diri dan minda yang cemerlang.

Seorang sarjana Barat iaitu W.A. Cohen dalam bukunya The Art of Leader menyatakan bahawa untuk mencapai kejayaan seseorang itu harus bersedia menanggung risiko, berinovasi, berinisiatif, mempunyai keazaman yang kental, bersikap positif yang berterusan dan sentiasa maju ke hadapan.

Kerja yang kita lakukan hari ini adalah adalah satu ibadat. Pesanan Allah SWT kepada manusia supaya sentiasa bekerja dan beramal, sudah cukup memberikan dorongan yang kuat untuk seseorang itu berusaha meningkatkan amalannya ke tahap yang paling tinggi supaya amalannya untuk menjadi cemerlang dan mendapat ganjaran yang setimpal malahan berlipat kali ganda.

Setiap kerja yang kita lakukan sebagai insan dan khalifah Allah yang telah diberikan amanah seharusnya dilakukan dengan cemerllang bukan hanya untuk mencari ganjaran dunia sebaliknya ganjaran akhirat. Mari kita satu visi dan misi peribadi dan syarikat kita agar menjadi satu, kita ingin mencari keredhaan dan keberkatan hidup daripada tuhan. Apapun kerja yang kita lakukan pada hari ini adalah kerana Allah.

Dengan kekuatan spiritual yang kuat adalah dalam diri akan membolehkan kita sentiasa menjadikan kerja sebagai satu ibadah terbaik. Kerja yang dilakukan adalah untuk mencapai tahap kesempurnaan dan cemerlang, sebenarnya telah cukup menjadikan seseorang insan itu sentiasa bersedia menghadapi dan mengatasi risiko, kepenatan dan pengorbanan yang banyak. Hal ini akan menjadikan insan yang sentiasa jkaya dengan sifat inovasi, inisiatif, azam yang tinggi, sikap positif dan sentiasa berada di hadapan dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Kita tidak boleh menjadikan seribu satu alasan sebagai penghalang kepada visi yang ingin kita capai. Justeru itu ayuh tanamkan dalam diri bahawa kita umat yang hebat dan sematkan dalam diri kita nilai jujur, bertanggungjawab, berpandangan jauh, adil, kerjasama, prihatin dan displin sebagai azimat kita meneruskan perjuangan hidup tidak kira walau apapun ujian yang mendatang.

Hal ini akan menjadikan kita mempunyai motivasi yang kuat dan sifat berdaya maju yang seharusnya mengatasi segala kelemahan yang kita hadapi. Kita arus sedar bahawa hidup kita ini boleh disimbolkan sebagai “bunga sakura” yang cantik harum dipandang namun usianya tidak panjang.” Justeru itu kita sebagai insan harus menggunakan modal intelek yang kita punyai untuk menjana pembangunan dan kecemerlangan negara Malaysia. Maju kita, maju keluarga, maju negeri dan majulah negara.

Percayalah apabila minda telah menetapkan keputusan untuk melakukan sesuatu perkara ituu dengan cemerlang ia akan menjadi kenyataan. Hakikat ini menekankan akan kepentingan niat dalam pekerjaan yang manyamai sewaktu kita melakukan solat atau ibadat kepada Allah kita pastikan niat dahulu sebelum kita meneruskan ibadat.

Niat adalah pemangkin kepada usaha melakukan sesuatu pekerjaan. Pasanglah niat yang baik sebelum kita melangkah kaki ke pejabat agar segala urusan yang akan kita hadapi, akan kita hadapi dengan tenang dan sempurna. Bekerjalah dengan cemerlang dan terbaik kerana majikan pertama kita adalah Allah sebagai CEO yang akan menilai segala dilakukan.

Allah mencinta kita melakukan sesuatu perkara terutamanya pekerjaan dengan sempurna dan sebaik mungkin. Be Not Just Good But Today You Must Be Great. Hentikan perbuatan mahupun sikap yang tidak seharusnya kita lakukan dalam pekerjaan seperti chating, bergayut telefon, membaca majalah, melayari laman-laman yang sepatutnya kita lakukan dalam nilai waktu kita berada dalam waktu pekerjaan.

Ini kerana sekiranya keberkatan dan kesempurnaan itu tidak lahir daripada pekerjaan yang kita lakukan, maka tidak ada unsur sakinah atau ketenangan dalam hidup. Apabila hidup tidak tenang, fikiran dan hati akan menjadi kacau bilau. Hakikat ini yang menjadikan kita sentiasa tertekan atau stress dengan keadaan pekerjaan, persekitaran dan diri yang akhirnya akan memakan diri kita sendiri.

Dalam akhbar Utusan Malaysia pada Jumaat 20 Februari 2009 telah menyatakan bahawa lebih 270,000 rakyat Malaysia mengidapi skizofrenia iaitu sejenis sakit mental tanpa menyedarinya. Penyakit ini jika dibiarkan boleh menyebabkan kita melakukan perbuatan di luar kawalan diri seperti membunuh diri dan mengganas. Fenomena ini cukup menakutkan, namun realiti ini kita sentiasa temui dan dipaparkan di dada-dada akhbar. Adakah ini kesan tidak mendapat sakinah atau bahagia dalam pekerjaan ? Tepuk dada tanyalah iman ... dimanakah nilai kita ?

Hari ini ayuhlah kita ubah diri dengan ABC (Awareness Before Change): ubah diri kita hari ini agar kita tidak akan menyesal nanti. Bangunkan kecerdasan spiritual (SQ) dan satukan dengan IQ dan EQ secara holistik agar kita menjadi manusia yang rabbani.

Mudahan perkongsian pena ini mampu menjadi tasbih dalam membangunkan diri kita sebagai Insan Yang Super Great bukan hanya di sisi majikan dan organisasi tetapi di sisi Allah. KELMARIN sudah berlalu, HARI INI sedang berjalan, dan ESOK belum tiba. Maka gunakan kesempatan hari ini kerana kesempatan itu ialah Harta yang Terpendam. Bunga Sakura adalah lambang diri kita. SALAM PENA The Way ESQ 165.

Wednesday, March 25, 2009

Dobi layan diri

Ramai orang sibuk dengan kerja. Hidup sudah menjadi sebati dengan budaya segera termasuk menguruskan makan dan pakai pun hendakkan segera. Dobi layan diri semakin popular di negara kia, lebih-lebih lagi banyak kawasan perumahan dan kampus institusi pengajian tinggi dibuka. Bagaimanapun konsep ini telah lama popular di Eropah dan Jepun.

Kelebihan bisnes dobi layan diri ialah memudahkan pakaian dicuci. Dengan memasukkan wang 10 sen, 20 sen dan 30 sen, cucian pakaian dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat berbanding mencuci sendiri dengan tangan. Masa untuk mencuci juga sangat fleksibel: pagi, petang, siang atau malam mengikut keperluan sendiri. Caj juga murah.

Jika anda berminat dengan bisnes ini, di mana tempat yang paling sesuai?

Dua tempat yang menjadi tumpuan ialah kolej atau asrama penginapan pelajar IPT dan juga kawasan perumahan.

Bagi pelajar, dobi layan diri memudahkan hidup mereka untuk belajar kerana dapat menguruskan masa mencuci tanpa mengganggu pelajaran. Bagi yang malas mencuci, dobi layan diri adalah jalan penyelesaian yang sangat hebat!

Kolej kediaman yang menyediakan dobi seperti ini dapat memberi nilai tambah untuk perkhidmatan yang disediakan supaya pelajar dapat tinggal dengan selesa. Malahan pihak kolej tidak perlu menyediakan ruang yang luas untuk cucian tangan.

Di kawasan perumahan, semakin banyak rumah dibina, kepadatan penduduk turut bertambah, lebih-lebih jika banyak rumah pangsa dibangunkan. Bisnes anda tentulah meningkat secara mendadak.

Saturday, March 21, 2009

Strategi membasmi kemiskinan oleh Pemuda UMNO

Parti politik turut memainkan peranan dalam usaha pembasmian kemiskinan di Malaysia. Salah satu daripada pertubuhan tersebut ialah United Malay National Organisation (UMNO) yang digerakkan melalui Pergerakan Pemuda UMNO. Kajian mengenai usaha ini telah dikupas oleh Mohd Taib (1993) yang membuat perbandingan mengenai strategi pembasmian kemiskinan oleh kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta.

Jawatankuasa Khas Kemiskinan, Pergerakan Pemuda UMNO telah ditubuhkan pada April 1983 yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim dengan matlamat membangkitkan kesedaran, mencari penyelesaian berhubung dengan masalah kemiskinan dan mengambil langkah-langkah serta tindakan yang lebih berkesan bagi mengatasinya. Pendekatan yang dilaksanakan oleh Pemuda UMNO berbentuk kampung angkat.

Kampung-kampung yang paling miskin dikenal pasti berdasarkan purata pendapatan bulanan yang rendah dan di bawah paras garis kemiskinan. Penduduk kampung diberi peluang melalui agensi kerajaan untuk menjalankan aktiviti ekonomi bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka. Peranan Pemuda UMNO adalah sebagai perantara untuk mendapatkan bantuan seperti kewangan, modal dan jaringan kepada agensi-agensi yang berkaitan.

Biro Kemiskinan Pemuda UMNO ditubuhkan selepas itu bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kemiskinan setelah Mesyuarat Pertama Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 1986/1988 diadakan. Biro ini diuruskan oleh Yayasan Gerak Bakti Pemuda yang jelas bermotifkan politik iaitu mengukuhkan sokongan masyarakat Melayu terhadap UMNO atau Barisan Nasional.

Daripada 113 buah kampung angkat yang ada di dalam senarai ketika itu, dua buah kampung telah dipilih iaitu Kampung Blok H, Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor dan Kampung Sungai Buaya, Nibung Tebal, Pulau Pinang. Beberapa perkara telah dikenal pasti bagi menjayakan program ini seperti kemudahan asas serta latar belakang ekonomi dan politik responden. Projek yang dijalankan pada tahun 1986 dan 1987 itu telah membawa perubahan kepada responden yang terlibat dan projek ini telah diperluaskan ke seluruh negara oleh Pemuda UMNO. Penekanan diberikan kepada memperluaskan kempen perubahan sikap, penggunaan teknologi moden pertanian dan pengukuhan institusi pembangunan pertanian supaya petani dapat didedahkan kepada cara hidup baru yang bersesuaian dengan amalan pertanian moden (Mohd Taib, 1993).

Pencapaian strategi membasmi kemiskinan oleh Pemuda UMNO Malaysia bukanlah usaha yang bersifat berdikari sepenuhnya sebaliknya Pemuda UMNO bertindak sebagai “pembuka jalan” kepada ahli projek di kampung angkat berkaitan saluran dan cara-cara mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan. Secara tidak langsung agensi kerajaan yang terlibat dengan projek pembangunan masyarakat ini dapat mempelajari sesuatu yang sangat bernilai mengenai keperluan dan kaedah pembasmian kemiskinan oleh sebuah parti politik. Langkah Pemuda UMNO melaksanakan projek kampung angkat sebagai strategi membasmi kemiskinan adalah langkah awal bagi ahli projek untuk melangkah keluar daripada kemiskinan.

Thursday, March 19, 2009

Persediaan menghadapi VIVA

Pelajar di peringkat sarjana dan doktor falsafah memahami benar erti viva kerana di penghujung pengajian, mereka akan menempoh peringkat akhir halangan sebelum dianugerahkan ijazah. Berbeza dengan doktor falsafah, peringkat sarjana memberi dua pilihan bentuk pengajian iaitu sama ada bergraduat dengan tesis atau tanpa tesis. Kelebihan pengajian sarjana dengan tesis ialah pengetahuan dan pengalaman membuat penyelidikan.

Dalam proses itu, pelajar didedahkan dengan dua subjek yang sangat penting iaitu statistik dan kaedah penyelidikan (research methodology). Kedua-dua subjek ini menjadi asas kepada penganalisisan data dan pemilihan bentuk penyelidikan yang akan dilakukan. Pada masa yang sama, pelajar juga mendapat pengalaman saintifik membuat pernyataan masalah bagi kajian mereka.

Kita ambil contoh pernyataan masalah dalam kajian di bidang sosial. Biasanya ia muncul kerana ada rungutan dan rasa tidak puas hati yang disuarakan oleh subjek atau responden yang diambil dari keratan akhbar, rungutan klien, laporan-laporan awam dan juga pandangan pakar. Selain itu, pelajar didedahkan dengan kaedah membuat kerangka konseptual kajian yang tepat dan selari dengan objektif kajian.

Bagi pelajar yang melengkapkan pengajian sarjana tanpa tesis, mereka didedahkan dengan teori dan latihan ilmiah yang komprehensif. Cara ini menjadikan perbincangan dalam kumpulan sebagai aktiviti utama. Tanpa perbincangan, seseorang pelajar tidak dapat menjana idea-idea baru untuk tugasan yang diberikan.

Apakah VIVA?

Viva adalah peperiksaan yang dilakukan dalam bentuk perbincangan. Tiga atau empat orang penilai dalaman dan luaran akan memberi maklum balas dan pandangan mereka ke atas tesis yang disemak. Rungutan oleh pelajar ialah masa menunggu yang agak lama, ada yang terpaksa menunggu sehingga enam bulan kerana pelbagai alasan. Namun alasan yang paling kerap ialah pemeriksa sibuk walaupun pejabatnya hanya dua tiga ela dari fakulti pelajar.

Pengendalian viva tidaklah sukar seperti yang disangka kerana pengalaman pelajar adalah berbeza-beza. Ia berkaitan bagaimana kita mempersembahkan hasil kajian dan pemeriksa juga tidak tahu semuanya tentang hasil kajian yang dilakukan. Apa yang mereka mahu tahu ialah sama ada kita mempunyai pandangan yang tepat atau memahami konsep dalam subjek berkenaan.

Kenapa perlu VIVA?

Viva penting untuk pelajar dan kesannya amat menakjubkan. Mereka akan benar-benar memahami beberapa perkara dasar yang terdapat di dalam kajian. Walau bagaimanapun pelajar akan diberitahu tarikh viva yang dicadangkan termasuk tempat yang akan diadakan. Pemeriksa dalaman dan pengerusi akan datang tetapi pemeriksa luar terpulanglah kepadanya kerana tempat yang jauh atau ada urusan lain yang lebih penting dan dia hanya akan hantar laporan.

Seminggu sebelum viva, peringatan kedua akan dimaklumkan melalui telefon.

Bersedia untuk VIVA?

Tesis yang telah siap dihantar kepada pemeriksa wajar dibaca berulang kali supaya pelajar memahami kandungan hasil kajiannya. Fokus patut diberi kepada latar belakang masalah, pernyataan masalah, objektif kajian dan metodologi kajian kerana pemeriksa juga ingin memahami dengan mendalam kenapa kajian itu dilakukan dan bagaimana ia dijalankan.

Contohnya bahagian metodologi, kerangka konseptual kajian yang dikemukakan perlu ada perkaitan dengan penulisan bab kedua iaitu tinjauan literatur. Pemeriksa sangat cekap mencari kesilapan pelajar walaupun kecil. Daripada kecil, ia berkembang menjadi seolah-olah isu besar dan dikaitkan dengan tinjauan literatur dan analisis kajian.

Dari segi penampilan diri, pelajar tidak perlu jadi orang lain untuk memperkenalkan diri kerana tidak ada apa-apa yang hendak dirisaukan. Sebaiknya pakai pakaian yang kemas, digosok dan kasut berstoking. Personaliti yang baik sebegini akan meningkatkan keyakinan pelajar bagi mengurangkan tekanan.

Pastikan pelajar datang awal kerana dapat mengenal pasti bilik viva, menguji kesesuaian perisian komputer di samping menyesuaikan diri dengan suasana viva. Kehadiran yang awal banyak membantu pelajar mengatasi gemuruh. Jika menggunakan Windows Power Point 2007, pastikan pihak penganjur menyediakan perisian berkenaan kerana masih terdapat penganjur yang tidak menaik taraf perisian berkenaan di bilik viva.

Semasa VIVA

Apabila pengerusi dan pemeriksa menunjukkan muka, ambil kesempatan meraikan kehadiran mereka dengan mengucap salam dan berjabat tangan. Ucapan ‘Assalamu’alaikum’ sudah cukup sebagai pembuka kata di antara pelajar dengan mereka. Ambil masa untuk berdiri sehingga pengerusi meminta duduk dan tidak perlu panik yang keterlaluan.

Jadikan senyuman sebagai kubu paling kuat pada diri pelajar kerana pemeriksa boleh cam dengan mudah keadaan pelajar yang menggelabah dan hilang tumpuan.

Jika pelajar tidak tahu jawapan, jangan sekali-sekali menipu. Katakan saja tidak tahu dan pemeriksa akan memberi maklum balas mereka. Seorang profesor pernah berkata, ‘Angguk adalah jawapan paling hebat ketika pemeriksa menerangkan sesuatu perkara tentang kajian pelajar.’ Semasa viva, pemeriksa umpama raja kerana mereka menguasai keadaan ketika itu, pengerusi pula mengawal keadaan tersebut dan menjadi penentu kepada laporan viva selepas itu yang dikeluarkan dalam masa seminggu.

Elakkan bertengkar dengan pemeriksa kerana pelajar mungkin akan lebih sengsara apabila mereka mula menyerang balas. Matlamat hadir ke viva adalah untuk lulus sarjana atau doktor falsafah. Membiarkan pemeriksa memusnahkan usaha selama empat tahun adalah pengalaman yang menyakitkan pelajar.

Pemeriksa bukannya berperanan menggagalkan pelajar sebaliknya cuba membantu membaiki hasil kajian. Benarkan mereka membantu pelajar dengan kritikan-kritikan pedas yang membina supaya pelajar dapat berbangga dan merasa megah dengan tesis yang akan dikeluarkan kelak.

Sebelum sesi viva berakhir, pengerusi akan memaklumkan keputusan viva secara lisan dan umumnya adalah lulus. Perinciannya akan dikeluarkan selepas itu sama ada pelajar perlu melakukan perubahan yang kecil atau besar. Jika ada sebarang perubahan, ia perlu disiapkan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh viva berlangsung.
Ucap terima kasih kepada pengerusi dan pemeriksa selepas viva berakhir dan berjabat tangan.

Nama pelajar akan disahkan pada mesyuarat senat dalam tempoh dua bulan selepas pihak pengajur mengadakan mesyuarat mereka. Pada masa ini tidak ada apa-apa lagi yang hendak dirisaukan dan pelajar boleh merancang masa depannya.

Wednesday, March 18, 2009

Kedai dobi

Ramai orang yang berminat dengan bisnes kedai dobi kerana banyak daya tarikannya. Tetapi tidak tahu bagaimana hendak memulakannya. Tidak tahu cara yang sepatutnya dilakukan untuk membuka kedai dobi ini.

Banyak faktor yang perlu diambil kira bagi memulakan perniagaan dobi ini umpamanya lokasi. Sebaiknya di kawasan tumpuan atau laluan orang ramai, kepadatan penduduk tidak kurang dari 10,000, kelompok bumiputera tidak kurang daripada 50 peratus dan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada penduduknya berpendapatan sederhana dan tinggi.

Luas kedai pula ialah 20’ x 60’ atau ½ keluasan untuk menjalankan perniagaan cucian basah. Jumlah mesin yang diperlukan, jenis perkhidmatan yang ingin ditawarkan, pelanggan dan pemasaran.

Berapakah modal permulaan yang diperlukan dan cara pengurusan kedai dobi? Ia bergantung kepada kita. Ada yang membeli kedai dobi sedia ada dengan harga RM60,000 termasuk sewa kedai, barang-barang di dalam kedai dan pekerja. Pelanggan kedai dobi ini memang telah sedia ada.

Pengalaman mereka yang membuat bisnes kedai dobi ada macam-macam. Sesetengahnya menganggap keuntungan kedai dobi agak kecil sedangkan modal pulak besar. Untuk berjaya, perlukan banyak kesabaran dan strategi untuk meningkatkan keuntungan, selain terpaksa menghadapi kerenah pelanggan.

Jika anda memulakan operasi dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari, untung kasar ialah RM9,000. Kalau rajin dan perkhidmatan berkualiti, ia boleh mencecah RM12,000. Ada pengusaha bisnes kedai dobi mampu memiliki 6 cawangan kedai dobi dan dapat menikmati kerusi empuk Totoya Harrier.

Jadi, bisnes kedai dobi memang boleh memberikan pulangan yang lumayan kalau kita dapat memberi sepenuh komitmen dan membuat perancangan bagi meningkatkan jualan. Kemahiran komunikasi interpersonal merupakan syarat yang mesti ada di dalam semua pekerja kedai dobi supaya pelanggan tidak rasa diketepikan.

Kalau anda berjanji untuk menyiapkan cucian dalam masa tiga hari, pastikan anda menepati janji tersebut. Jika tidak, pelanggan anda akan lari dan mendapatkan khidmat daripada pesaing anda.

Sekarang ada bisnes dobi yang lebih menarik. Tak perlukan pekerja yang ramai. Namanya "a coin laundry business" iaitu mesin yang dimasukkan wang untuk mencuci. Dengan kaedah ini, anda tidak perlu risau lagi untuk memikirkan ruang yang luas atau sewa yang tinggi kerana mesin itu sendiri pun dapat menjimatkan kos bagi bisnes anda untuk jangka masa panjang.

Tuesday, March 17, 2009

Strategi membasmi kemiskinan oleh kerajaan







Kerajaan Malaysia sangat mengambil berat mengenai kemiskinan kerana masalah kemiskinan yang utama ialah di kawasan luar bandar yang melibatkan masyarakat Melayu. Dengan melihat struktur kerja dan tahap pendapatan kelompok ini yang rata-ratanya berkaitan dengan pertanian, mereka menerima pendapatan yang sedikit disebabkan polisi pihak British yang mengamalkan pendekatan “pecah dan perintah.” Kerajaan pernah memperkenalkan Revolusi Hijau bagi menambahkan pengeluaran beras berasaskan pengenalan penanaman padi dua kali setahun dengan menggunakan benih yang berhasil tinggi, bahan kimia, sistem pengairan dan alat jentera.

Istilah Revolusi Hijau merujuk kepada perubahan yang berkaitan pengetahuan teknologi pertanian makanan bijian baru yang mula diperkenalkan di negara-negara Dunia Ketiga pada tahun 1960-an. Para petani di kawasan Revolusi Hijau telah mendapat faedah daripada projek ini seperti di kawasan pengairan Muda di Kedah dan Perlis. Antara tahun 1965 dan 1975, pendapatan petani di kawasan ini telah meningkat sebanyak 2.4 kali ganda (Jomo, 1991).

Usaha kerajaan bagi membasmi kemiskinan secara besar-besaran dimulakan dengan Dasar Ekonomi Baru dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) yang menyatakan salah satu objektifnya ialah pembasmian kemiskinan. Matlamatnya ialah mengurangkan kadar kemiskinan daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 16.7 peratus pada tahun 1990 (Malaysia,1973:73).

Malaysia adalah antara beberapa buah negara membangun yang dikatakan telah berjaya mengurangkan kemiskinan. Sepanjang tempoh DEB, sejumlah RM329,000 juta telah diperuntukkan untuk pembasmian kemiskinan yang meliputi Rancangan Malaysia Kedua, Ketiga, Keempat dan Kelima. Perbelanjaan ini meliputi 73.1 peratus daripada perbelanjaan pembangunan kerajaan bagi tempoh berkenaan (Malaysia, 1989).

Proses pelaksanaan dasar dan strategi pembasmian kemiskinan lebih banyak melalui proses “atas-bawah” yang melibatkan perancangan dan pelaksanaan agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, kementerian-kementerian dan agensi-agensi di bawahnya, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Daerah (Chamhuri Siwar, 1995). Kerajaan menubuhkan beberapa agensi bagi menggerakkan usaha pembasmian kemiskinan seperti FELDA (Federal Land Development Authority), FELCRA (Federal Land Consolidation and Rehabilitation Authority) dan RISDA (Rubber Industry Smallholders Development Authority).

Di samping itu beberapa program khusus yang lebih terancang telah dilaksanakan oleh kerajaan dengan tumpuan kepada masyarakat luar bandar. Salah satu daripadanya Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diperkenalkan pada tahun 1989. PPRT telah diwujudkan khusus untuk membantu golongan miskin seramai 107,000 orang di seluruh negara (Mohd Taib Haji Dora, 2000). Sebanyak RM600 juta telah diperuntukkan bagi program ini dengan matlamat membantu keluarga termiskin di seluruh negara berdikari dan menjayakan diri dalam arus pembangunan negara. PPRT melibatkan enam buah kementerian yang dikoordinasi oleh Jabatan Perdana Menteri.

Kerajaan negeri turut membantu menjayakan projek-projek sosioekonomi PPRT melalui agensi negeri masing-masing seperti DARA, KEJORA, KESEDAR, KETENGAH, PERDA, KEDA dan JENGKA. Mohd Taib (2000) menjelaskan bahawa tiga agensi kerajaan yang aktif memberi bantuan ialah KEMAS (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Baitulmal (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan). Setiap agensi ini mempunyai kumpulan sasar masing-masing seperti Baitulmal yang memberi fokus kepada golongan fakir manakala KEMAS dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia memberi bantuan kepada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM300 sebulan sebagai sasaran.

Melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) 2006-2010, kerajaan bertekad mengurangkan kemiskinan daripada 5.7 peratus kepada 2.8 peratus pada tahun 2010. Sebanyak RM11.52 bilion diperuntukkan iaitu RM4.46 bilion untuk membasmi kemiskinan dan RM7.06 bilion lagi bagi menyusun semula masyarakat.

Kemiskinan tegar akan dikurangkan melalui peluasan program berpakej di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) seperti Program Peningkatan Ekonomi, Pogram Pembangunan Infrastruktur Asas dan Program Pembangunan Insan kepada kumpulan sasar bagi membangunkan modal insan dan bina upaya (Malaysia, 2006: 373).

Walaupun sukar menghapuskan kadar kemiskinan umum, pengurangan daripada 8.5 peratus (1999) kepada 5.7 peratus (2004) adalah sesuatu yang membanggakan. Matlamat mengurangkan kemiskinan tegar daripada 1.9 peratus pada 1999 kepada 1.2 peratus pada 2004 seterusnya kemiskinan tegar sifar akan menjadi kenyataan jika dilihat kepada peruntukan kewangan dan program yang dirancang oleh kerajaan. Tekad dan azam kerajaan untuk mencapai kadar kemiskinan 2.8 peratus selepas berakhirnya tempoh RMK-9 dilihat akan menjadi kenyataan.

Penambahan peruntukan bagi membasmi kemiskinan dalam jangka masa panjang mengikut jangka masa rancangan menterjemahkan usaha membasmi kemiskinan sentiasa menjadi perhatian istimewa pihak kerajaan.

Semasa membentangkan RMK-9 di Dewan Rakyat, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi menegaskan bahawa program pembasmian kemiskinan akan ditumpukan kepada usaha bina upaya dalam kalangan golongan miskin dengan menambah baik akses kepada pendidikan dan kemahiran, memupuk nilai positif serta membina keyakinan dan motivasi diri.

Saturday, March 14, 2009

Kemiskinan dari perspektif sains sosial







Kemiskinan bukan sekadar mempunyai pendapatan yang sedikit. Kemiskinan bermaksud tidak mempunyai cukup pendapatan untuk mengekalkan taraf hidup yang selayaknya dalam sesebuah komuniti (Kathleen Jones, 1958). Jika pendapatan yang diperoleh cukup untuk menampung kehidupan keluarga, tabiat buruk pencari pendapatan seperti suami yang berjudi akan turut menjejaskan kehidupan keluarga berkenaan apabila tiba di pertengahan bulan.

Oleh yang demikian, ahli sains sosial berpendapat kemiskinan bukan semata-mata agihan pendapatan, tetapi lebih kepada penghuraian sebab dan akibat kemiskinan yang dialami oleh sesuatu golongan masyarakat. Umpamanya kehidupan masyarakat di Pantai Timur lebih selesa dan mencukupi berbanding di Kuala Lumpur atau Johor Bahru walaupun mempunyai jumlah pendapatan yang sama.

Wujudnya kemiskinan di luar bandar ialah kerana masyarakatnya tidak tahu atau kurang mahir memasarkan barangan atau hasil pertanian kerana lemahnya nilai dan budaya mencari wang untuk menjadi kaya.

Tokoh-tokoh yang mengkaji perspektif sains sosial percaya bahawa kemiskinan terletak pada strata kelas dan nilai-nilai yang dipegang. Oscar Lewis (1959, 1966) mengenengahkan persoalan kemiskinan daripada perspektif nilai-nilai budaya masyarakat miskin tersebut. Lewis menyimpulkan budaya ini sebagai budaya miskin iaitu berada dalam kelas yang paling rendah dan mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri budaya yang tersendiri.

Ahli sosiologi, Martin Rein (1971) membahagikan kemiskinan kepada tiga sudut iaitu sara diri, ketidaksamaan dan akibat-akibatnya ke atas masyarakat. Ketiga-tiga faktor ini berkait antara satu sama lain yang akhirnya menjurus kepada pembahagian kelas di dalam masyarakat. Mahu ataupun tidak, akan wujud kesan-kesan sosial yang memberi implikasi kepada semua peringkat masyarakat.

Ungkapan “budaya miskin” dapat diringkaskan sebagai corak nilai dan tingkah laku golongan miskin yang sangat memberi pengaruh terhadap keluarga. Hyman Rodman (1971) percaya tingkah laku dan nilai yang terdapat dalam keluarga adalah komponen penting yang mempengaruhi budaya miskin. Kajian yang dilaksanakan di kalangan keluarga di beberapa buah negara turut menunjukkan persamaan seperti kewujudan vecindades di Mexico, perkampungan bandar di Trinidad dan Guyana, favelas di Brazil dan setinggan serta ghettos di Britain dan Amerika Syarikat.

Syed Husin Ali (1975) berhujah bahawa kemiskinan merupakan keadaan di mana (i) wujud kekurangan mendapatkan keperluan asasi iaitu makanan, perumahan, pakaian dan kemudahan-kemudahan sosial seperti air, elektrik, kesihatan dan pendidikan (ii) dari segi ekonomi, keadaan ini timbul disebabkan ketiadaan atau kekurangan kemampuan kerana tingkat pendapatan, pemilikan dan pekerjaan yang rendah (iii) dari segi sosial, golongan miskin berada di lapisan bawahan dalam sistem stratifikasi masyarakat.

Pendapatan, pemilikan dan pekerjaan adalah elemen yang berkait antara satu sama lain. Oleh yang demikian, golongan miskin adalah mereka yang berpendapatan rendah, tidak mempunyai harta dan menjalankan pekerjaan yang banyak melibatkan tenaga fizikal.

Mahathir Mohamad (1970) berpendapat kemiskinan dalam kalangan masyarakat khususnya Melayu disebabkan mereka tinggal di luar bandar, menjalankan ekonomi pertanian yang tidak produktif dan pegangan terhadap adat tradisional dan sistem nilai.

Kemiskinan adalah wajah kemanusiaan. Bagi mengurangkannya, banyak usaha yang perlu dikenal pasti. Terdapat kehilangan peluang dan tekanan untuk keluar daripada kemiskinan. Ada sesetengahnya berpendapat, budaya miskin tidak boleh dipisahkan daripada kemiskinan. Contohnya, masyarakat petani tradisional akan tetap berada dalam kelompok miskin jika kitaran kemiskinan itu tidak diubah. Kemiskinan yang dihadapi dipengaruhi oleh sikap-sikap tertentu seperti tidak peduli (apathy), mudah putus asa (defeatism), tidak ada harapan (hopelessness), bergantung kepada peluang atau takdir (reliance on chance) dan mudah berpuas hati (Khairudin Yusof, 1991).

Samuel Smiles (dalam Cootes, 1966) telah mempopularkan kepentingan sikap sebagai jalan keluar daripada masalah kemiskinan. Bukunya Self-Help (1859) dengan jelas menyatakan pendirian beliau iaitu:

“They who are the most persistent, and work in the truest spirit, will invariably be the most successful.”
Bekerja bersungguh-sungguh adalah kunci kepada kekayaan. Seorang pekerja yang tidak mempunyai pendidikan dan kurang mahir tetapi masih berupaya membaiki taraf hidup jika disemat dengan cita-cita dan bekerja kuat bermakna akan mendapat upah yang lebih banyak dan boleh digunakan bagi keperluan hidup yang lebih penting.

Perbincangan mengenai kemiskinan tidak pernah tergelincir daripada mengaitkan perspektif ekonomi dan sains sosial. Walaupun kedua-dua pendekatan ini memberi huraian yang berbeza mengikut kefahaman masing-masing, kedua-duanya adalah perlu kerana saling lengkap melengkapi.

Perspektif sains sosial melihat faktor individu, budaya, keluarga dan masyarakat sebagai punca wujudnya kemiskinan. Pendekatan yang digunakan oleh teori yang berkaitan dipecahkan kepada dua bahagian yang utama iaitu pendekatan individualistik dan budaya, dan kedua, pendekatan stratifikasi sosial masyarakat (Mohd Taib Haji Dora, 2002).

i) Pendekatan Individualistik dan Budaya

Pendekatan ini dipopularkan oleh Townsend (1974) yang menganggap kemiskinan berlaku kerana watak individu yang membuang masa dengan sia-sia, membazir dan mabuk. Peribadi ini dikaitkan dengan nilai moral yang rendah dan tidak serasi dengan pertumbuhan ekonomi selepas Revolusi Industri di Eropah. Keadaan ekonomi yang pesat dengan pengenalan pelbagai peralatan baru turut membawa nilai-nilai dan pegangan hidup yang baru kepada mereka.

Pendekatan individualistik dan budaya dapat dilihat melalui kajian oleh Oscar Lewis pada tahun 1959 yang memperkenalkan konsep “budaya miskin” di Amerika Syarikat. Kajian beliau mengenai kawasan sesak di Mexico City telah menemukan budaya yang dikaitkan dengan kemiskinan. Lewis menyifatkan budaya miskin sebagai kesan daripada penyesuaian dan reaksi kelompok miskin ke atas kehidupan mereka di bandar kerana keadaan sosioekonomi yang berlaku di sekitarnya. Antara ciri-ciri budaya miskin berkenaan ialah (1) kurang penglibatan dan lemah integrasi dalam institusi utama masyarakat, (2) tingkat organisasi yang rendah di peringkat komuniti tempatan iaitu mementingkan kelompok sendiri, (3) di peringkat individu, ada perasaan yang daif, kurang daya, sifat bergantung dan rendah harga diri, (4) di peringkat keluarga pula didapati lemah pengawalan terhadap kanak-kanak, kemahuan seks yang awal, perkahwinan yang bebas, mengabaikan isteri dan anak-anak, perhatian yang berlebihan kepada keluarga di sebelah ibu dan kurangnya masa untuk menyendiri (privacy).

Satu lagi pendekatan yang berkaitan dengan teori individualistik dan budaya ialah faktor kurang upaya. Rowntree (dalam Cootes, 1966) melihat dalam sesetengah keadaan, sebahagian daripada penyara keluarga tidak mampu lagi melaksanakan kerja ataupun telah meninggal dunia. Kurang upaya merujuk kepada sakit, terlalu tua ataupun uzur. Mereka ini tidak mempunyai sifat fizikal yang sempurna untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang produktif kepada ekonomi negara.

Faktor kurang upaya adalah penyumbang penting kepada kemiskinan. Mereka yang termasuk di dalam kelompok ini dikira tidak cekap dan bakal menghadapi masalah dalam kehidupan. Bagi pembuat dasar, faktor ini wajar diberi perhatian jika ingin melaksanakan program pembasmian kemiskinan pada masa hadapan.

ii) Pendekatan Stratifikasi Sosial

Pendekatan ini berbeza daripada pendekatan individualistik dan budaya kerana ia melihat kemiskinan adalah disebabkan perbezaan dalam strata masyarakat. Kelompok paling miskin berada di lapis bawah struktur sosial masyarakat. Walaupun pendekatan ini tidak sekuat pendekatan individualistik dan budaya, ia turut menarik perhatian para pengkaji untuk melihat kemiskinan daripada perspektif yang berlainan.

Empat proses yang membentuk dan mengekalkan stratifikasi sosial dalam masyarakat ialah (i) pembezaan (ii) pemeringkatan (iii) penilaian, dan (iv) ganjaran (Tumin, 1967). Pembezaan adalah proses bagi menentukan kedudukan atau status seseorang dalam masyarakat berdasarkan peranan yang dimainkan.

Status itu dinilai oleh masyarakat bagi mendapatkan ganjaran dalam bentuk harta, gaji, kuasa dan kepuasan jiwa. Umumnya yang berperanan dan berstatus biasanya akan mendapat ganjaran yang lebih. Oleh yang demikian wujudlah pembahagian masyarakat yang terpisah kepada kaya dan miskin.

Thursday, March 12, 2009

Kemiskinan dari perspektif ekonomi







Ahli ekonomi melihat dua pendekatan bagi menghuraikan kemiskinan iaitu mutlak dan relatif. Penyelesaian bagi masalah kemiskinan pada akhirnya menjadi matlamat akhir dasar ekonomi. Para sarjana ekonomi lebih gemar memberi tafsiran dan mengukur kemiskinan berasaskan tafsiran statistik, berdasarkan satu atau beberapa petunjuk.

Kemiskinan mutlak ditafsir dengan menggunakan asas pengukuran yang dianggap standard bagi membolehkan perbandingan di antara tempat dan masa dilakukan (Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei, 1988).

Pendekatan ini telah lama diperkenalkan oleh Seebohm Rowntree (dalam Mohd Taib Haji Dora, 1997) yang telah mengkaji masalah kemiskinan di York, England. Beliau mendapati penduduk York seramai 20,302 hidup dalam kemiskinan tanpa cukup makanan, bahan bakar dan pakaian untuk mempastikan mereka berada dalam keadaan yang sihat. Ini bermakna sesebuah keluarga itu dikatakan hidup dalam kemiskinan sekiranya pendapatan ahli-ahli keluarga itu tidak mencukupi untuk mendapatkan keperluan-keperluan asasi seperti kecukupan kalori dan protein di dalam makanan, mempunyai pakaian, alas kaki dan keperluan-keperluan harian lain yang diperlukan untuk sekurang-kurangnya mengekalkan peringkat cukup hidup.

Beliau yakin bahawa pendapatan minimum tertentu boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk mempastikan isi rumah atau keluarga dapat keluar daripada masalah kemiskinan. Ternyata, fokus Rowntree ialah kepada kemiskinan mutlak.

Dapatan yang sama turut diperoleh oleh Charles Booth yang membuat kajian mengenai kemiskinan di London. Booth mendapati satu per tiga populasi London hidup dalam kemiskinan dengan memperolehpendapatan satu paun atau kurang dalam masa seminggu (dalam Cootes, 1966).

Konsep kemiskinan relatif berbeza daripada kemiskinan mutlak. Mengikut konsep ini, kemiskinan adalah keadaan kekurangan yang dirasai apabila dibandingkan dengan kebajikan yang diterima oleh orang lain. Namun begitu ini tidak semestinya bermakna bahawa ketidaksamaan pasti akan membawa kemiskinan kerana konsep kemiskinan ditentukan oleh satu sempadan normatif pada kesinambungan ketaksamaan yang menyebabkan timbulnya perasaan kekurangan berbanding hingga seolah-olah dapat membahagikan masyarakat itu kepada golongan miskin dan golongan kaya (Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei, 1988).

Konsep kemiskinan relatif telah ditaksirkan oleh Peter Townsend (1970) yang mengaitkan kemiskinan kepada orang perseorangan atau keluarga yang memiliki sumber, yang secara bandingannya amat berkurangan dengan sumber-sumber yang umumnya dimiliki oleh kebanyakan anggota masyarakat di dalam komuniti yang sama.

Kemiskinan relatif ditentukan dengan membandingkan purata pendapatan dan bahagian pendapatan dari pendapatan negara kasar antara berbagai-bagai kumpulan penduduk atau lain-lain bahagian. Melalui cara ini, golongan miskin akan menerima pendapatan purata yang paling rendah dari segi agihan pendapatan negara.

Oleh kerana kebanyakan negara membangunkan masyarakat masing-masing berorientasikan pertumbuhan ekonomi, definisi kemiskinan terarah kepada modal dan pembangunan infrastruktur. Namun begitu, pertumbuhan ekonomi yang dicapai tidak disertai dengan kemajuan bagi seluruh masyarakat yang tergolong dalam kelompok kemiskinan tetap berada dalam kemiskinan yang parah (Mulyanto Sumardi dan Hans Dieter-Evers, 1982).

Tuesday, March 10, 2009

Konsep kemiskinan







Terdapat berbagai-bagai dimensi bagi menjelaskan konsep kemiskinan (Chamhuri Siwar dan Mohd Haflah Piei, 1988). Isu-isu kemiskinan ini adalah hal sejagat masyarakat seluruh dunia. Keadaan hidup masyarakat di Malaysia berbeza dengan negara lain yang tentunya memberikan tafsiran yang berbeza terhadap konsep kemiskinan.

Apa yang boleh dilihat ialah idea tentang kemiskinan tidak hanya terbatas kepada kegagalan memenuhi keperluan material, tetapi juga keperluan psikologi dan politik. Oleh yang demikian, tidak ada satu takrif kemiskinan yang boleh diterima dan diguna pakai oleh semua negara pada setiap masa dan ketika tanpa mengambil kira struktur masyarakat dan tahap pembangunan di negara tersebut (Mohd Taib Dora, 2000).

Konsep kemiskinan adalah sensitif kepada kaedah pengukuran yang berbeza sama ada dari segi ekonomi, sosial ataupun politik yang boleh menghasilkan keputusan yang berbeza tentang insiden kemiskinan. Oleh itu perbincangan mengenai kemiskinan sentiasa diberikan perhatian oleh para pengkaji di dunia.

Walau bagaimanapun kemiskinan adalah refleksi keadaan sosioekonomi yang berlaku dalam masyarakat. Berbagai-bagai situasi yang melanda dan menguasai faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kemiskinan. Konsep kemiskinan ini sedikit sebanyak terbentuk oleh persekitaran ekonomi dan sosial serta matlamat umum masyarakat yang cuba dicapai melalui dasar anti kemiskinan. Perumahan, tahap pendidikan, pendapatan yang rendah, masalah sosial dan tidak ada pekerjaan adalah elemen yang sentiasa hadir dalam isu kemiskinan masyarakat.

Tidak ada definisi yang tepat mengenai kemiskinan menggambarkan wujudnya tafsiran yang berbeza-beza mengenai isu ini. Umpamanya tafsiran miskin di negara maju adalah berkaitan dengan golongan tertentu yang tidak mampu menampung kehidupan yang setara dengan golongan yang mempunyai tahap hidup dan pendapatan yang lebih tinggi.

Di negara sedang membangun pula, hal ini merujuk kepada keadaan yang lebih ekstrem seperti kelaparan, kebuluran, tidak ada tempat tinggal, menganggur dan mengemis. Bank Dunia mendefinisikan kemiskinan sebagai:


Poverty is hunger. Poverty is lack of shelter. Poverty is being sick and not being able to see a doctor. Poverty is not being able to go to school and not knowing how to read. Poverty is not having a job, is fear of the future, living one day at a time. Poverty is losing a child to illness brought about by unclean water. Poverty is powerlessness, lack of representation and freedom.


Tokoh tersohor yang memperkenalkan perspektif ekonomi ialah Seebohm Rowntree, anak seorang pengilang koko dan coklat di York, England. Hasil kajian beliau telah mengaitkan menjadi miskin atau berada dalam kemiskinan primer apabila keseluruhan pendapatan tidak dapat memenuhi keperluan minimum bagi mengekalkan kecekapan fizikal.

Penerima Hadiah Nobel Keamanan 2006, Profesor Muhamad Yunus, juga menjadikan perspektif ekonomi sebagai penyelesaian ke atas program pembasmian kemiskinan di Bangladesh. Penubuhan Bank Grameen adalah manifestasi kesungguhan beliau untuk membebaskan kelompok miskin dengan menggunakan pendekatan ekonomi (Jolis, 1996).

Daripada kajian di enam buah negara membangun (Brazil, India, Malaysia, Pakistan, Taiwan dan Thailand), Field (1980) telah mengenal pasti ciri-ciri umum mengenai kemiskinan iaitu: (1) kadar kemiskinan menurun dengan pendidikan, (2) kadar kemiskinan paling tinggi berlaku dalam keluarga pada peringkat umur penjana ekonomi keluarga iaitu 30 hingga 49 tahun, (3) kadar kemiskinan lebih tinggi di kalangan wanita yang menjadi ketua isi rumah kecuali di Thailand, (4) kemiskinan meningkat jika saiz keluarga semakin besar, (5) jika bilangan penjana ekonomi keluarga meningkat, kadar kemiskinan akan berkurangan, (6) kadar kemiskinan tertinggi dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri, (7) kadar kemiskinan tertinggi di setiap negara adalah dalam kalangan pekerja di sektor pertanian (8) kadar kemiskinan tertinggi dalam kalangan petani atau pekerja ladang, (9) kemiskinan meningkat di kawasan luar bandar dan kampung-kampung kecil, dan (10) golongan miskin mempunyai sedikit atau tidak ada tanah.

Asian Development Bank (ADB, 1992) merujuk kemiskinan yang dicirikan oleh pelbagai indikator mikro dan makro. Antara ciri-ciri kemiskinan tersebut ialah (1) tanah yang terhad atau tidak ada langsung, (2) penyesuaian terhadap teknik moden yang perlahan atau rendah, (3) keluarga yang besar dan kekurangan penjana pendapatan, (4) sumber manusia yang kecil, (5) tertumpu di kawasan yang tidak maju, dan (6) biasanya dalam kalangan kelompok minoriti.

Beberapa orang tokoh awal dalam kajian kemiskinan ini cuba memberikan tafsiran mengenai konsep kemiskinan bagi mengukur konsep masyarakat sejahtera. Charles Brooth (1889) contohnya ingin membuat ukuran mengenai kemiskinan mutlak dan relatif yang merujuk kepada kekurangan keperluan asasi bagi meneruskan kehidupan yang sihat secara fizikal, makan yang mencukupi untuk memberikan perlindungan fizikal dan berkesan. Andaian Booth ialah konsep kemiskinan boleh dilaksanakan kepada semua orang tanpa mengira umur (Giddens, 1995).

Seorang tokoh sosiologi Islam yang terkenal, Ibnu Khaldun (1332-1406) mengutarakan konsep kemiskinan dari segi perbezaan masyarakat badawah (luar bandar) dan masyarakat hadharah (bandar). Beliau berkata keadaan hidup di bandar berkembang pesat kerana adanya tuntutan kemewahan berbanding di luar bandar yang rata-ratanya terdiri daripada penduduk yang lemah dan daif kerana kemiskinan mereka. Keadaan ini berlaku kerana jerih payah mereka tidak cukup untuk membayar keperluan dan tidak dapat memberi lebihan yang dapat dikumpulkan sebagai keuntungan (Ibnu Khaldun, 1993).

Disebabkan bilangan penduduk dan perubahan kepada keperluan yang sentiasa berlaku, menjadi satu kemestian bagi agensi terlibat untuk mengetahui bagaimana keperluan tersebut boleh dipenuhi (Kathleen Jones, 1958). Nor Aini dan Chamhuri Siwar (2003) dalam kajian mereka mengenai kemiskinan mendapati keadaan kemiskinan boleh dirujuk sebagai fenomena apabila seseorang hanya mampu mempunyai harta benda yang sedikit atau menerima pendapatan benar yang kecil dan tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan asas hidup. Keperluan asas yang dimaksudkan merangkumi makanan, minuman, perlindungan, pakaian, kesihatan dan pendidikan.

Pendapat terdahulu juga tidak banyak bezanya seperti Martin Rein (1971), Townsend (1974), Mahar Mangahas (1979), Khairudin Yusof (1991), Mohd Taib Haji Dora (1993), Shireen Mardziah Hashim (1998) dan Charole Rakodi (2002) yang menyatakan keperluan asas ini adalah pelbagai disebabkan perbezaan keadaan fizikal, cuaca, pekerjaan dan pemakanan bagi sesebuah masyarakat dan negara.

Kemiskinan adalah berkonsepkan pengeluaran (Zainal Ariff Hussain, 2000). Kemiskinan disebabkan oleh perbezaan pendapatan berdasarkan faktor-faktor pengeluaran yang mempengaruhi antara satu sama lain. Kelompok tertentu menjadi miskin kerana kekurangan tenaga buruh, tanah dan modal. Anggapannya ialah jika tiga perkara ini dipenuhi, tidak ada golongan miskin. Oleh itu sekiranya diberi pekerjaan, tanah atau modal ataupun kombinasi ketiga-tiganya, tidak terdapat golongan miskin kerana pendekatan ini memberi tindak balas terhadap strategi dan program yang akan dilaksanakan.


Saturday, March 07, 2009

Sejarah kajian kemiskinan di Malaysia







Minat terhadap kajian kemiskinan di Malaysia dapat dijejak pada November 1923 apabila Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) menulis sebuah rencana bagi membalas dua buah rencana pengarang terbitan akhbar Inggeris Malay Mail yang bertajuk ‘A Civic Sense.' Ungku A. Aziz (1975) menyifatkan rencana Za’ba ini yang bertajuk ‘The Poverty of the Malays' difikirkan sangat berkualiti dan sebagai pengiktirafan, Malay Mail telah menerbitkannya sebagai lidah pengarang.

Dari segi konsep, Za’ba telah membezakan di antara kemiskinan ekonomi kebendaan dan kemiskinan bukan kebendaan seperti kemiskinan moral atau rohani. Pandangan Za’ba ini masih lagi dijadikan sebagai perbincangan oleh pengkaji tempatan selepas itu seperti mana Chamhuri Siwar (1988, 1995), Mohd Taib Haji Dora (1993, 2002, 2006) dan Abd. Rahim (2000). Disebabkan halangan dan sekatan daripada pihak British, kajian mengenai kemiskinan tidak begitu menonjol sekurang-kurangnya sehingga Malaya mendapat kemerdekaan.

Kajian-kajian secara sistematik mengenai kemiskinan hanya bermula pada tahun 1950-an yang diketuai oleh Ungku A. Aziz. Hasrat kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan khususnya kemiskinan tegar bermula dengan pelaksanaan DEB yang dibuat secara sistematik dan sepadu.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad begitu serius membincangkan soal kemiskinan orang Melayu khususnya seperti mana yang dinyatakan di dalam buku Dilema Melayu pada tahun 1970. Setelah 35 tahun ianya dilaksanakan, sebahagian besar matlamatnya telah tercapai (Nurizan Yahaya, 2006).

Program pembasmian kemiskinan di Malaysia dapat dibahagikan kepada peranan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta (Mohd Taib Haji Dora, 1993). Tumpuan program ini masih pada kelompok yang ketinggalan seperti golongan miskin dan berpendapatan rendah, petani, pekerja ladang, nelayan, setinggan ataupun golongan kurang upaya.

Friday, March 06, 2009

Nabi Zakaria AS sentiasa berdoa







‘(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut. Dia merayu dengan berkata: Ya Tuhanku! Sesungguhnya telah lemah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada-Mu.’ (Surah Maryam:3-4)

Nabi Zakaria AS adalah salah seorang daripada nabi dan rasul yang diceritakan dalam al-quran. Baginda diberi umur yang panjang hingga dapat merasai usia tua. Isterinya dianggap mandul kerana belum dapat melahirkan anak sebagai zuriat. Walaupun telah lanjut usia, baginda masih lagi tidak merasa hampa menadah tangan kepada Allah SWT dengan berhati-hati, penuh harapan dan suara yang perlahan. Di hadapan Tuhannya, Nabi Zakaria AS menceritakan keadaan dirinya yang lemah, badannya yang tidak lagi kuat, tulang-temulang yang semakin hilang kudrat dan uban yang melingkari rambutnya.

Keyakinan Nabi Zakaria AS dengan janji-janji Allah SWT memang sangat mengagumkan. Daripada ayat ini jelas kepada kita betapa baginda tidak ada niat berputus asa dan kecewa memohon doa daripada Tuhannya. Baginda sangat teringin mempunyai seorang anak. Namun isterinya tidak mampu menzahirkan hajatnya walaupun berbaga-bagai ikhtiar dilakukan.

Seorang nabi sentiasa diuji. Dalam kes ini, Nabi Zakaria AS diuji dengan seorang isteri yang mandul dan tidak dapat memberi zuriat. Namun sikap dan cara fikir baginda sangat berbeza. Dia sangat yakin dan utuh terhadap doa yang dimohon. Kerana itulah baginda terus-menerus berdoa tanpa rasa kecewa.

Iktibar kisah Nabi Zakaria AS kepada kita ialah jangan sekali-sekali berputus asa berdoa biarpun telah tua. Perasaan orang yang berkahwin tetapi tidak diberi anak sangat berbeza dengan pasangan yang mempunyai anak walaupun seorang. Timbul perasaan kecewa, marah dan cemburu.

Janji Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya ialah setiap doa yang dimohon insya Allah akan dikabulkan. Setiap masa adalah detik yang terbaik untuk menggantung harap kepada Allah SWT- Tuhan yang menjaga keselamatan dan kesejahteraan diri. Apabila naik kenderaan, kita ada doanya. Keluar rumah atau hendak makan, juga ada doanya. Malah masuk dan keluar tandas ada doa yang disyorkan. Justeru, berdoa akan memelihara diri dan menjamin setiap perkara akan dirahmati.



Wednesday, March 04, 2009

Terap model ESQ 165 dalam pengurusan

oleh Mahadi bin Abu Hassan [mahadi@utem.edu.my]
Pensyarah, Jabatan Pengajian Islam dan Kemanusiaan
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Baru-baru ini pada 18 Februari 2009, satu Wacana Ilmu yang bertemakan ‘ESQ Dalam Pengurusan’ telah dianjurkan oleh ESQ Leadership Center dengan kerjasama Academi UEM bertempat di Dewan Theaterete Akademi UEM Petaling Jaya. Program ini turut dihadiri seramai 180 orang peserta dan Alumni ESQ dari pelbagai organisasi korporat, agensi kerajaan, NGO dan institusi pengajian tinggi.

Penulis diundang sebagai moderator bagi mengendalikan Wacana Ilmu yang amat signifikan kini dengan menampilkan ahli-ahli panel yang terdiri daripada pengasas Model ESQ 165, Dr. Ary Ginanjar Agustian, Profesor Dato’ Dr. Sheikh Omar Abdul Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Siti Akmar Abu Samah dari Pusat Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pengurus Besar Kanan Akademik UEM, Azizan Hawa.

Menurut Dr. Ary Ginanjar, Model ESQ I65 ini mencakupi kekuatan intelek (IQ), kekuatan emosi (EQ) dan kekuatan spiritual (SQ) dengan menfokuskan tujuh nilai utama iaitu: Jujur, Tanggungjawab, Wawasan, Disiplin, Kerjasama, Adil dan Prihatin. Nilai-nilai luhur ini perlu diterapkan dalam pengurusan sesebuah organisasi.

Model ESQ 165 ini boleh dipraktikkan bagi mencapai matlamat dan visi individu serta organisasi di dalam membawa kejayaan. Dalam konsep pembangunan modal insan di sesebuah organisasi atau institusi, manusia itu merupakan unsur pentingnya. Dalam kata erti kata lain, manusia itulah yang hendak dibangunkan melalui prinsip hidup dan pembinaan karektor mulia yang mendasari dengan pancaran 1 Ihsan, 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam.

Bagi beliau, kemajuan dan pembangunan moden kini juga telah membawa manusia itu maju jauh ke hadapan dalam aspek meterial. Sebaliknya pada masa yang sama memundurkan manusia dari aspek kerohanian dan kemajuan ini telah mengikis nilai-nilai kerohanian sehingga mereka menjadi manusia yang kehilangan sifat-sifat yang terpuji. Sifat amanah, tawaduk, perikemanusiaan, saling hormat-menghormati, belas kasihan dan seumpamanya yang disenangi fitrah manusia telah digantikan dengan sikap biadap, khianat, rakus dan sifat-sifat keji yang lainnya.

Menurutnya lagi, sesebuah organisasi itu sememangnya memerlukan 6 M iaitu: Man, Material, Machine, Money, Method dan Market untuk berjaya. Penggunaan method atau strategi yang hebat dan berkesan akan memberikan impak yang signifikan di dalam kejayaan.

Era globalisasi dan modenisasi terus membentuk pengurusan bertambah kompleks dan semakin mencabar. Ramai tokoh pengurusan Barat seperti Peter F. Drucker, F.W Taylor, Henri Fayol dan lain-lain lagi yang menampilkan model pengurusan dan strategi perniagaan berpengaruh di dunia, kini tidak lagi berjaya menangani kegawatan dan konflik ekonomi Barat yang melanda masa kini.

Berbagai-bagai pendekatan telah dilaksanakan di setiap organisasi bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Sehubungan dengan itu sudah sampai masanya Islam sebagai agama yang mempunyai prinsip panduan hidup yang syumul dijadikan asas kepada manusia untuk menyelesaikan berbagai-bagai konflik dan krisis yang berlaku bagi mengembalikan semula kegemilangan tamadun ummah.

Di samping itu mampu melaksanakan tugas-tugas pembangunan serta membina peradaban dengan penuh bertanggungjawab. Secara umumnya membangunkan manusia melalui Model ESQ 165 ini juga menekankan kepada tiga usaha utama iaitu pertama melahirkan insan, pekerja dan warganegara yang beramanah. Kedua, pekerja yang mengamalkan sistem etika kerja yang baik. Ketiga, pekerja yang mempunyai kemahiran yang amat diperlukan dalam konteks dunia moden. Oleh itu, bagi melahirkan insan yang memenuhi ketiga-tiga aspek tersebut, maka beberapa pihak perlu memainkan peranan dalam bentuk membentuk dan membangunkan modal insan tersebut melalui ESQ Model 165.

Manakala Prof. Dr. Sheikh Omar berpendapat bahawa cabaran semasa di dalam membangunan sumber manusia dalam organisasi dan permasalahan ekonomi hari ini juga mengakibatkan dunia pengurusan muncul dengan penyusunan semula nilai, kepercayaan, struktur sosial, teknologi dan ekonomi. Justeru, pendekatan Model ESQ 165 ini amat sesuai dan signifikan untuk berhadapan dengan pelbagai krisis ekonomi dan cabaran.

Akibat kegawatan ekonomi dan konflik pengurusan hari ini juga mengakibatkan manusia akan mengalami tekanan atau stress. Model ESQ 165 ini juga boleh dipraktikkan dalam menghadapi pengurusan stress. Individu yang ada kekuatan dalaman akan sentiasa ingatkan bahawa Allah SWT sentiasa bersama makhluk-Nya. Allah akan memberikan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapinya dengan kekuatan emosi dan spiritual.

Bagi beliau juga, manusia itu juga perlu berubah dan perlu ada kekuatan dalam diri. Di samping itu individu perlulah menghilangkan segala prasangka negatif atau belenggu dalam pemikiran, gangguan dan kerosakan kehidupan dengan melakukan prinsip Zero Mind Process (ZMP) atau bimbingan suara hati melalui kesedaran diri manusia dan komitmen spiritual.

Prof. Madya Siti Akmar pula menjelaskan ESQ adalah satu penerokaan untuk mengenal diri dan memperkasakannya dengan lebih baik terhadap apa yang kita lakukan setiap hari sebagai makhluk yang mempunyai tanggungjawab masing-masing. Dengan mempraktikkan ESQ dalam aspek pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi, ianya akan memberikan satu kelainan apabila nilai-nilai kerohanian ini diterapkan.

Bagi beliau, ‘kekuatan material dan juga fizikal tidak mampu menentukan kejayaan seseorang itu sekiranya ia tidak disertai dengan emosi serta spiritual yang mantap. Hari ini, kita lihat masalah yang berlaku kepada genarasi muda apa yang disebut sebagai krisis moral adalah berpunca daripada kelemahan dalaman kerana tidak ada kekuatan spiritual dan emosi.’

Membangunkan manusia melalui ESQ Model 165 juga bermaksud mempertingkatkan kualiti diri manusia sama ada dari aspek mental atau pemikiran, fizikal, atau jasmani, rohani atau keimanan dan emosi atau jiwanya. Ini kerana apabila manusia mempunyai kualiti diri dalam kesemua aspek tersebut, maka sudah tentunya manusia akan dapat menjalankan tugasnya sebagai pentadbir yang terbaik kepada alam ini.

Kemunduran manusia terutama generasi muda kini dari aspek rohani memberikan kesan besar kepada pembangunan modal insan. Tujuh elemen unggul kemahiran insaniah di IPT hari ini juga seharusnya menerapkan unsur-unsur ini agar keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat diadun secara holistik.

Beliau berharap semoga perkongsian latihan dan pengalaman spiritual ini dikongsikan sewajarnya juga dimanfaatkan bersama generasi muda Malaysia sebagai sumber motivasi dan penghayatan untuk membangunkan keupayaan modal intelek dan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang selaras dengan Wawasan 2020.

Menurut Azizan Hawa pula, ‘seminar dan latihan ini dapat memberikan manfaat yang penuh kepada pekerja sebagai sebagai insan dan eksekutif berpengetahuan (knowledge workers) dengan merealisasikan gabungan IQ, EQ, SQ. Setiap pekerja dalam sesebuah organisasi akan dapat menghayati dan mengamal laksanakannya sebagai amanah terhadap Tuhan, organisasi dan keluarga.’

Jelas beliau lagi, ‘dalam sesebuah organisasi, seorang pemimpin yang hebat akan mencipta visi dan menyampaikan misi itu dengan jelas, memiliki dengan penuh semangat dan mendorong visi itu tercapai. Dalam mencapai ‘the power of mission statement’ ini juga ialah perlunya kerja berpasukan atau jemaah (working together). Di samping itu mereka akan bersama-sama mengimplimentasikannya ke arah mencapai kejayaan misi dan visi sesebuah organisasi.’

Bagi penulis, cabaran pemodenan dan globalisasi kini sememangnya menuntut masyakarat Islam merujuk kembali kepada qudwah yang pernah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dan kita seharusnya mengadaptasikannya dalam kehidupan bagi menghadapi cabaran semasa ini. Rasulullah SAW telah meninggalkan khazanah besar dalam memahami erti sebenar pengurusan, pentadbiran, kepimpinan, bekerjasama, modal insan dan banyak lagi.

Justeru itu, ESQ Dalam Pengurusan memerlukan keupayaan merancang sesuatu urusan berpandukan sumber, proses dan matlamat yang diberkati dan dirahmati. Di mana matlamat akhirnya nanti akan menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Sebagaimana Firman Allah di dalam Surah al-Rad, ayat 2 yang bermaksud: ‘Allah jualah yang mengaturkan segala urusan (makhluknya), menjelaskan tanda-tanda kebesaranNya, mudah-mudahan kamu yakin akan menemui Tuhanmu.’

Penulis ingin juga berkongsi khabar gembira dan menyeru kepada rakan-rakan yang lain dari pelbagai latar belakang agama, kepercayaan, organisasi, intitusi, pemimpin dan sebagainya untuk sama-sama menyelami penerokaan (outer journey) atau kembara spiritual (inner journey) dalam seminar ESQ Leadership yang penuh teruja, asyik, menginsafkan dan menakjubkan ini. Subhanallah.

Banyak pengalaman yang dirasakan melalui kembara ilmu dalam training ESQ ini. Penulis tidak mampu menceritakannya. Pastinya yang sudah menyertainya akan merasakan sesuatu yang penuh bermakna dalam diri dan boleh diamal laksanakan dalam organisasi, keluarga dan negara.

Anda semua juga harus merasainya sendiri pengalaman training ESQ yang sungguh luar biasa, signifikan dan bermakna ini. Bersyukur dan menakjubkan melihat dan menghayati keagungan Maha Pencipta. Anda akan merasai satu kekuatan baru muncul dalam minda, hati dan jiwa. Insya Allah.

Tuesday, March 03, 2009

Pengaruh media terhadap perubahan sikap dan tingkah laku







Media massa menjadi elemen yang sangat mempengaruhi pembentukan nilai dan budaya masyarakat pada hari ini. Justeru itu, sukar memisahkan masyarakat dan media massa. Di Malaysia, media massa bermula dengan penerbitan akhbar pertama di Pulau Pinang pada tahun 1806 (Mansor Ahmad Saman dan Ahmad Sebi, 1996).

Media elektronik bermula dengan peti radio pertama yang diimport pada tahun 1921, seterusnya pada tahun 1923, siaran radio amatur telah dimulakan oleh Johore Wireless Society di Johor. British memulakan The Malayan Broadcasting Corporation pada tahun 1937 dan radio terus berkembang sebagai saluran informasi utama kerajaan.

Televisyen menjadi pilihan masyarakat Malaysia untuk mendapatkan pelbagai bentuk maklumat, hiburan dan perhubungan. Diperkenalkan pada tahun 1963, industri penyiaran menggunakan televisyen dan dipelbagaikan dengan perakam video, perakan cakera padat dan siarat satelit ASTRO yang dilancarkan pada tahun 1996 dengan 22 saluran televisyen dan 8 saluran radio (Mohamad Md. Yusuf, 1993).

Media massa berperanan besar bagi menggerakkan pembangunan di Malaysia. Justeru ia dianggap sebagai alat propaganda penting dalam usaha kerajaan melaksanakan social engineering di dalam masyarakat (Mohamad Md. Yusuf, 1993). Kepelbagaian fungsi media massa telah dimanfaatkan sepenuhnya sebagai penyebar maklumat dan pengetahuan, penggerak perubahan, menyemai nilai-nilai baru dan menjadi elemen pendidikan.

Salah satu peranan yang dapat dimainkan oleh media massa bagi pembangunan masyarakat ialah melaksanakan perubahan melalui proses perombakan sistem kemasyarakatan sesuatu masyarakat ke arah satu sistem yang lebih baik dan maju (Mohd Hamdan Adnan dan Zulkarimein Nasution, 1992).

Pengaruh televisyen khususnya dapat menghasilkan satu bentuk pola pemikiran, nilai dan budaya yang baru. Kajian oleh Cho dan Cho (dalam James Curran dan Michael Gurevitch, 1991) mengenai wanita Korea yang menetap di Amerika Syarikat dan menonton filem opera berkaitan keadaan sosial seorang wanita Korea di dalam keluarganya. Salah satu babak kontroversi dalam filem ini ialah reaksi seorang isteri setelah mengetahui hubungan sulit suaminya dan beliau memutuskan untuk menceraikan suaminya itu. Kajian Cho dan Cho ini memberikan impak yang kuat ke atas wanita Korea di Amerika Syarikat untuk bersedia dengan situasi berkenaan melalui pelbagai cara. Mesej yang diperoleh ialah wanita Korea harus memperkasa diri mereka bagi berhadapan dengan situasi dan konflik yang sukar dalam perkahwinan.

Media elektronik dan media cetak memberi kesan tertentu kepada khalayak dan masing-masing mempunyai kelebihan. Persamaan di antara kedua-duanya ialah menyampaikan mesej. Perubahan yang bakal berlaku turut menyebabkan perubahan pada sosialisasi yang melibatkan masyarakat dan individu (Ball-Rokeach dan Cantor, 1986). Ilmu pengetahuan, norma dan kemahiran yang disajikan melalui media massa merangkumi pelbagai topik.

Rancangan Bersamamu TV3 yang dilancarkan pada 19 Mei 2005 oleh YABhg. Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Timbalan Perdana Menteri telah menarik simpati masyarakat untuk membantu golongan miskin yang dipaparkan dalam rancangan tersebut. Begitu juga rancangan Oshin, drama klasik Jepun paling popular sepanjang zaman yang mengisahkan ketabahan seorang wanita bernama Oshin menempuh segala onak dan ranjau dalam mencapai kejayaan diulang siar di TV9 setelah 15 tahun yang lalu disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Walaupun media elektronik menyedari peranan mereka dalam menunaikan kewajipan sosial, masih belum diketahui sejauh mana kesan program-program berkenaan ke atas kelompok miskin. Walaupun usaha ini dilihat untuk membawa perubahan tetapi ia sukar dilaksanakan. Cabaran tunggal terbesar dalam melaksanakan perubahan ialah tingkah laku manusia (Kotter dan Cohen, 2002).

Kunci kepada perubahan tingkah laku ini ialah melihat dan merasai. Manusia lebih sensitif terhadap emosi yang merangsang perubahan, lebih-lebih lagi jika rancangan atau siaran tersebut menyentuh hati mereka.

Penekanan terhadap emosi semata-mata tidak dianggap sebagai satu pilihan kerana perubahan budaya dalam kelompok miskin melibatkan proses kesedaran diri. Tambahan pula, Bernard Taylor (1994) berpendapat perubahan budaya adalah satu proses dan bukannya produk, justeru itu ia perlu dicipta dan diberi daya gerakan kehadapan serta dinilai.

Kepentingan melihat perubahan budaya sebagai satu proses akan membantu kelompok miskin membentuk sikap dan kepercayaan mereka. Keadaan ini adalah refleksi daripada pengharapan masyarakat yang disalurkan melalui media dan komunikasi yang lebih bersifat positif daripada memperlihatkan tindakan negatif.

Monday, March 02, 2009

The fall of Soeharto

Penulis: Geoff Forrester dan R.J May (editor)
Tahun: 1999
Penerbit: Select Books Pte Ltd, Singapore.
Muka surat: 261

Presiden Soeharto telah menjadi topik penting di Asean. Beliau menjadi pentadbir Indonesia selama 32 tahun dan meletakkan jawatan pada 21 Mei 1998 di tengah-tengah tunjuk perasaan.

Bagaimana beliau disingkirkan daripada pejabat presiden selepas sebelas minggu dilantik menjadi peneraju negara itu pada 10 Mac? Apa faktor yang menyebabkannya tumbang? Siapa yang menjadi perancang utama? Apakah terdapat prospek untuk reformasi politik dan ekonomi selepas era Soeharto?

Buku ini membincangkan beberapa persoalan penting yang melingkungi sebab-musabab kejatuhan Soeharto. Ia termasuk perkembangan terkini ketika peristiwa dahsyat pada Mei 1998. Ia membincangkan peranan pelajar dan perancang utama di kalangan pemimpin utama negara itu yang menyumbang kepada kejatuhan Soeharto. Buku ini juga menganalisis punca-punca Soeharto dijatuhkan, mencadangkan beberapa pilihan untuk hala tuju masa depan di Indonesia dan melihat sepintas lalu implikasi peristiwa di Indonesia ke atas negara serantau.

Tulisan dalam buku ini disumbangkan oleh penganalisis politik dan ekonomi dari Indonesia, Australia dan sebagainya.

The Fall of Soeharto adalah hasil kerja keras untuk dijadikan sebagai bahan pengajaran sejarah di Indonesia dan Asia Tenggara. Ia juga boleh menjadi asas kepada rujukan pelajar pasca Soeharto.