Ketika menghadiri kursus di Langkawi baru-baru ini, saya berjalan keluar dari sebuah motel untuk melihat deretan kedai di sekitar pantai, saya terpandang sebuah papan tanda yang tertulis "urutan tradisional Thai" yang digantung di hadapan sebuah kedai.
Kelihatan dari jauh beberapa orang lelaki keluar dan masuk termasuk pelancong asing. Saya juga berhajat untuk melihat apakah perkhidmatan yang ditawarkan di situ.
Rupanya kedai ini menawarkan khidmat urut tradisonal Thai yang berbeza dengan urutan biasa. Di samping itu, ia juga menyediakan urutan refleksiologi titik tumpu pada kaki. Jika refleksiologi biasa menggunakan jari, urutan di sini menggunakan kayu khas untuk menekan titik tumpu di kaki.
Oleh kerana ingin mengetahui keenakan urutan tradisional ini, saya mengambil keputusan untuk merasainya sendiri. Mengurut badan setelah seharian berkursus amat melegakan tekanan, membetulkan aliran darah dan menyegarkan kembali anggota badan yang lemah.
Lokasi tempat ini sangat mudah untuk dijumpai kerana berada di tepi jalan di samping deretan kedai menjual pakaian, sewa motosikal dan kedai makan. Ketika meletakkan badan di atas pangkin, kita akan disambut dengan alunan muzik Thai yang lemah gemalai sambil diterangi dengan deretan lilin di dalam balang kaca yang bersusun cantik.
Muzik menenangkan perasaan. Ditambah lagi dengan urutan yang sesuai, pelanggan akan pasti berpuas hati. Apatah lagi di sini ahli terapi memang mendapat latihan khusus dari Thailand untuk memberikan pengalaman sebenar kepada pelanggan.
Caj rawatan tidaklah mahal, sekitar RM43 hingga RM73 sama ada separuh badan, seluruh badan atau refleksiologi sahaja.
No comments:
Post a Comment