Zuhud
Iaitu tidak mencintai harta benda duniawi, tidak terpikat kepada kebendaan.
Sifat zuhud adalah penyelamat daripada menjadi hamba dunia, hamba wang, hamba pangkat, hamba perempuan dan hamba seterusnya.
Sifat zuhud boleh menggalakkan seseorang berada di jalan yang lurus menuju keredhaan Allah swt.
Orang yang zuhud ialah orang yang mengenal hakikat kehidupan, hakikat dirinya, hakikat kebendaan dan tipu dayanya, hakikat tugas hidupnya, dari mana dia datang? Untuk apa dia di sini? Ke mana dia akan pergi? Apakah makanan jasmani dan apa pula makanan rohaninya? Siapakah musuh hidupnya yang sebenar dan bagaimana jalan selamat?
Tumpuan kasih dan cintanya hanya kepada Allah, keredhaan Allah menjadi ganjarannya. Oleh sebab itulah kecintaan kepada perkara-perkara duniawi tidak mendapat tempat di hatinya, dia mengambil dan menggunakan kebendaan sekadar perlu dan memandang kebendaan sebagai alat untuk keperluan bagi mencapai ganjaran pahala dari Allah swt.
Dia tidak memandangnya sebagai tujuan. Yang menjadi tujuannya ialah melaksanakan amanah yang terpikul di bawahnya. Amanah yang akan datang ditanya tentang penyempurnaannya iaitu amanah sebagai hamba Allah, orang yang diserah tugas dan urusannya.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,
"Zuhudlah pada keduniaan nescaya kamu dikasihi Allah, dan zuhudlah pada apa yang di tangan orang nescaya orang mengasihi kamu." (riwayat Tarmizi)
Tanda-tanda orang yang zuhud ialah:
- tidak gembira dengan apa yang ada dan tidak berdukacita atas kehilangan.
- sama sahaja di sisinya sama ada orang memujinya atau membencinya.
- merasa senang hati mengingati Allah dan merasakan manisnya melaksanakan ketaatan kepada Allah.
No comments:
Post a Comment