Friday, August 15, 2008

Memperkasa institusi pendidikan tinggi Melayu

Salah satu daripada institusi penting bagi mengubah hidup orang Melayu ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM). Kemajuan universiti ini telah memberi ruang dan peluang kepada masyarakat Melayu khususnya dari golongan menengah dan rendah. Dari Perlis hingga ke Sabah, UiTM menjadi agen perubahan terpenting sosiobudaya masyarakat ini.

Saranan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya UiTM menawarkan sepuluh peratus kouta kepada pelajar bukan Melayu disambut dengan bantahan keras daripada pelajar-pelajar universiti berkenaan. Perbarisan panjang yang diuruskan oleh majlis perwakilan pelajar menunjukkan mereka enggan menerima cadangan daripada Khalid.

Ramai alumni UiTM turut tidak berpuas hati dengan idea berkenaan. Pertubuhan bukan kerajaan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah membuat laporan polis kerana beranggapan cadangan tersebut adalah satu gerakan agresif untuk menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim pula mencadangkan menteri besar itu membina universiti sendiri untuk semua kaum kerana ideanya mengenai UiTM belum tentu mendapat sambutan. Ini kerana, bagi Dr. Khoo, pelajar-pelajar bukan Melayu kurang berminat untuk hidup bersama-sama pelajar Melayu yang ramai di UiTM kerana perbezaan budaya dan bahasa di samping perlu mengadaptasi diri mereka dengan suasana persekitaran yang baru. Justeru kouta sepuluh peratus berkenaan tidak perlu diteruskan.

Tan Sri Khalid membawa idea ini kerana pemikirannya yang lebih cenderung ke arah liberalisasi dalam pendidikan Malaysia dari perspektif peluang untuk belajar kepada semua rakyat Malaysia. Bagi beliau, institusi pendidikan seperti UiTM wajar mengambil pelajar-pelajar yang terdiri dari pelbagai latar belakang supaya wujud elemen keadilan dan kesaksamaan.

Di sini, elemen keupayaan individu diutamakan berbanding keperluan-keperluan lain seperti latar belakang ekonomi, taraf hidup dan kecemerlangan akademik. Ia juga membawa aspirasi bahawa Malaysia adalah untuk semua kaum dan bukannya milik Melayu sahaja.

Pemikiran liberal seperti ini dapat kita lihat di negara-negara Barat yang maju seperti Amerika Syarikat atau Kesatuan Eropah. Pemimpin negara-negara ini lebih yakin dengan sistem yang terbuka seperti itu kerana mereka memerlukan rakyat yang dapat mengekalkan momentum persaingan di peringkat global. Jika Malaysia ingin maju dan kekal dengan daya saing yang tinggi, Khalid yakin antara jalan penyelesaiannya ialah dengan menggalakkan persaingan secara terbuka.


Walau bagaimanapun adakah dengan memperkenalkan kaedah berkenaan akan dapat menjadikan pelajar-pelajar Melayu lebih cemerlang dan mampu berjaya dalam semua bidang? Belum tentu ia akan berlaku kerana masih banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.

Saranan Menteri Besar Selangor hanya akan menjadi kenyataan jika sistem pendidikan kita telah bersedia sepenuhnya dan setiap pelajar telah mendapat peluang yang sama. Tanpa ada persediaan ini, cadangan ini boleh dilupakan sahaja.

No comments:

Post a Comment