Saturday, February 18, 2017

Konvoi berbasikal malam boleh diatasi







Kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian lapan orang penunggang basikal amat menyedihkan. Ia menjadi perhatian kerana masa kejadian adalah waktu dinihari yang sepatutnya semua mangsa berada di rumah bersama keluarga.

Apakah yang sebenarnya berlaku kepada keluarga mangsa-mangsa berkenaan?

Soalan ini patut diberi perhatian kerana ia ada sangkut-paut dengan tanggungjawab keluarga memastikan keselamatan anak-anak. Amat menyedihkan apabila keluarga sendiri kurang memberi perhatian terhadap gerak-geri anak-anak di luar rumah untuk bergaya dengan basikal pada malam hari.

Kemalangan jalan raya, kecederaan parah, langgar lari, penculikan atau ditawarkan sebagai ahli sindiket kongsi gelap adalah antara gejala membiarkan anak-anak tanpa pengawasan ibu bapa atau keluarga. Banyak kes yang melibatkan kecuaian ibu bapa berakhir dengan kematian atau kecederaan. Ada anak-anak hilang ketika ibu bapa leka membeli-belah dan ada anak-anak yang dilanggar lari apabila bermain di hadapan rumah tanpa pengawasan.

Menyelesaikan isu kanak-kanak berbasikal pada malam hari di jalan-jalan raya perlukan tindakan tiga penjuru. Pertama, ibu bapa sendiri yang menyedari tanggungjawab mereka memastikan anak-anak berada di rumah pada waktu malam. Mereka juga perlu bertegas dengan pelbagai alasan anak-anak yang mahu keluar rumah ini kerana memang menjadi kemahuan anak-anak untuk berseronok dengan rakan-rakan.

Kedua, pasukan polis wajar menjadikan kanak-kanak berbasikal di jalan raya sebagai sebahagian daripada tugas pemantauan supaya wujud kegerunan kepada mana-mana kanak-kanak untuk menjauhi aktiviti berbasikal seperti itu. Jika boleh, ibu bapa kanak-kanak yang terlibat dipanggil ke balai polis untuk diberi amaran.

Ketiga, masyarakat berperanan membantu kanak-kanak yang berbasikal malam ini menghentikan aktiviti mereka dan pulang ke rumah. Di kawasan taman perumahan hari ini terdapat Rukun Tetangga yang boleh memantau aktiviti itu di kawasan mereka.

Kita harus sedar bahawa kanak-kanak yang melilau dengan basikal pada sebelah malam sedang berhadapan dengan masalah. Lebih baik kita mengkaji masalah tersebut dan mengemukakan kaedah penyelesaian berbanding menyalahkan sesama sendiri. Kemalangan yang menyebabkan kehilangan nyawa ini wajar dijadikan iktibar supaya tidak ada kanak-kanak yang bakal menjadi mangsa. Langkah-langkah pembetulan dan kempen kesedaran tanggungjawab boleh menjadi program intervensi terbaik bagi mencegah aktiviti yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya ini.



Post a Comment