Tuesday, February 02, 2016

Strategi memperkukuh perpaduan kaum di Malaysia








1.0 Pengenalan

Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai kumpulan etnik yang paling banyak di dunia. Malaysia mempunyai lebih daripada 70 kumpulan etnik dan sekiranya termasuk dengan subetnik, jumlah kumpulan melebihi 200 kumpulan. Di Malaysia, antara tiga etnik utama ialah Melayu, Cina dan India. Sejak zaman dahulu, Malaysia sudah mempunyai pelbagai etnik akibat kedatangan imigran Cina dan India ke negeri-negeri Melayu pada abad ke-19. Kedatangan orang Cina dan India adalah disebabkan oleh perkembangan perusahaan bijih timah dan getah. Namun begitu, etnik-etnik pada abad tersebut kurang berinteraksi kerana pihak British telah melaksanakan dasar pecah dan perintah. Dasar tersebut telah menyebabkan kebanyakan orang Melayu menetap di kawasan luar bandar dan bekerja sebagai petani atau nelayan, orang Cina menetap di kawasan bandar dan berniaga manakala orang India pula menetap di kawasan ladang-ladang dan bekerja sebagai buruh. Secara tidak langsung, keadaan ini telah mewujudkan perasaan tidak puas hati antara satu sama lain dan berlakulah peristiwa 13 Mei 1969.

Di negara yang mempunyai pelbagai etnik, perpaduan antara kaum amat penting untuk menjamin keamanan negara. Hal ini kerana setiap etnik mempunyai budaya yang berbeza dan sikap toleransi haruslah diamalkan oleh semua kumpulan etnik. Imej Malaysia telah dijaga di peringkat dunia kerana Malaysia tetap satu negara yang aman damai walaupun terdiri daripada kumpulan etnik yang banyak. Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (2011) perpaduan dan keharmonian yang dinikmati masyarakat berbilang kaum di Malaysia amat dicemburi banyak pihak luar. Oleh itu, setiap warga negara mempunyai tanggungjawab untuk terus memelihara keharmonian antara individu dan masyarakat yang berlainan etnik supaya keharmonian tersebut dapat dikekalkan.

Namun begitu, isu-isu antara kaum tetap wujud dan isu-isu tersebut telah mengancam keharmonian negara kita. Terdapat juga pihak-pihak yang sengaja membangkitkan isu-isu sensitif di media massa. Perkara ini kemungkinan besar akan mengubah fikiran rakyat Malaysia dan menyebabkan mereka percaya akan kandungan isu-isu tersebut. Sebaliknya, terdapat juga beberapa strategi perkukuhan kaum yang boleh dilaksanakan supaya hubungan antara kaum sentiasa erat. Oleh itu, satu kajian telah kami jalankan untuk membincang strategi-strategi perkukuhan kaum di Malaysia.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah menyusuri sejarah asal usul perkauman serta pemasalahan yang telah menjadi sejarah. Dengan itu, kita dapat mengenal pasti strategi kemajuan memperkukuhkan perpaduan yang telah dilakukan di Malaysia. Strategi yang sedemikan boleh diguna pakai sebagai rujukan. Selain daripada itu, turut dicadangkan langkah-langkah memperkukuhkan perpaduan yang boleh dilakukan agar boleh diguna pakai di Malaysia dan juga mendatangkan kesan yang mendalam.

1.2 Kaedah Kajian

Antara kaedah kajian untuk mendapat maklumat daripada masyarakat setempat adalah dengan menemu bual beberapa orang yang berlainan bangsa dan mengedarkan borang soal selidik yang berbentuk psikometrik. Selain itu, kami juga mensahihkan maklumat-maklumat daripada responden dengan mengkaji maklumat tersebut daripada internet.


2.0 Sorotan Literatur

Melalui sejarah kemasukkan imigran India atau kedatangan India ke Tanah Melayu sudah bermula sejak pembukaan Selat Melaka lagi melalui perdagangan kain dan peminjaman wang. Tetapi pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, pihak British mendapati India sebagai tempat mendapatkan buruh-buruh murah, patuh dan senang dikawal untuk bekerja di ladang-ladang getah milik mereka.

Oleh itu, pada tahun 1880-an, Hugh Low dan Frederick Weld mendapatkan permit daripada kerajaan British untuk mengimport buruh-buruh dari India. Kaum India terbahagi kepada beberapa suku etnik, antaranya terdiri daripada Tamil, Telugu, Malayali, Ceylon dan lain-lain. Kebanyakkan daripada mereka yang diambil bekerja di ladang-ladang terdiri daripada golongan Tamil. Jadual di bawah menunjukkan pengambilan atau pecahan suku kaum yang datang ke Tanah Melayu.

Melalui sejarah kedatangan Cina atau kemasukkan Cina ke Tanah Melayu bermula sejak awal abad ke-15, yang mana mereka menjalin hubungan perdagangan dan persahabatan ketika zaman Kerajaan Melayu Melaka lagi. Pada awal abad ke-19, penghijrahan orang Cina semakin pesat berikutan perkembangan perdagangan di Pulau Pinang dan Singapura. Pada tahun 1825-1862 berlakunya penghijrahan beramai-ramai di Johor ketika pemerintahan Temenggong Ibrahim sebagai buruh lada hitam dan gambir melalui Sistem Kangchu. Pada pertengahan abad-19, peningkatan imigran Cina berpunca daripada perkembangan kegiatan pelombongan bijih timah di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Pada akhir abad-19, pemerintah British telah memberikan galakan terhadap kemasukan imigran Cina ke Tanah Melayu kerana British memerlukan tenaga buruh yang ramai supaya dapat mengeluarkan bijih timah yang banyak untuk keperluan Revolusi Perindustrian di Britain. Kebanyakan imigran Cina yang tiba di Tanah Melayu berasal dari Selatan China iaitu dari wilayah Kwangtung, Kwangsi, Hainan dan Fukien. Mereka terdiri dari orang Hakka, Kantonis, Teochew, Hailam dan Hokkien.


3.0 Hasil Kajian

Dasar pemerintahan British yang telah membawa masuk buruh dari India dan Cina untuk memungut hasil semula jadi di Tanah Melayu dari 1786 hingga 1957 telah mengubah landskap komposisi di Tanah Melayu lantas menjadikan negara ini sebuah negara berbilang kaum. Namun, fakta ini telah menjadikan Malaysia merupakan sebuah negara yang unik yang mana rakyatnya terdiri daripada kaum dan etnik yang pelbagai. Malahan, kepelbagaian ini adalah kekuatan yang mewarnai corak negara ini. Tidak hairanlah Malaysia menjadi model sebuah masyarakat majmuk kepada masyarakat yang lain. Oleh itu, perpaduan dan intergrasi nasional adalah satu keperluan bagi menjamin rakyatnya hidup dalam suasana aman damai.

Perpaduan nasional umumnya merujuk kepada penyatuan berbagai-bagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial dan kebudayaan yang berbeza. Tunku Abdul Rahman telah berucap di Singapura pada 27 Mei 1961, satu persatuan ekonomi dan politik perlu diwujudkan di antara Sabah, Sarawak, Brunei, Persekutuan Tanah Melayu (PTM) dan Singapura. Usaha ke arah perpaduan dapat dilihat melalui penyatuan Sabah, Sarawak dengan negeri-negeri semenanjung dengan terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963 (Arkib Negara).

Selain itu, usaha tersebut juga boleh dilihat melalui usaha kerajaan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan meletakkan kumpulan etnik yang berlainan latar belakang di satu kawasan perumahan yang sama. Manakala konsep integrasi adalah lebih luas. Ia dikatakan satu proses yang abstrak, satu penyatuan yang sebati dan berpanjangan. Integrasi merupakan satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti.

Ekoran kejadian 13 Mei 1969, kerajaan mula menumpukan usaha-usaha dan strategi-strategi dari segi dasar sosial, ekonomi dan politik dalam ke arah mewujudkan integrasi nasional. Hasil daripada usaha-usaha kerajaan ini, rakyat Malaysia mula sedar akan kepentingan perpaduan dan integriti nasional. Ringkasnya, perpaduan dan integrasi nasional adalah matlamat asas bagi nagara Malaysia.

Konsep perpaduan sangat penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh dan bersatu padu. Secara tidak langsung, perpaduan dapat menjamin keselamatan negara, kestabilan ekonomi, politik dalam jangka masa panjang. Bagi memantapkan lagi perpaduan di kalangan rakyat pelbagai etnik dan kaum, kerajaan telah mewujudkan beberapa strategi melalui pendekatan ekonomi, politik dan pendidikan untuk mencapai matlamat-matlamat perpaduan.

Kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, sikap perpaduan kaum dan integrasi nasional seharusnya dipupuk seawal kanak-kanak lagi. Ibu bapa patut mengalakkan anak mereka bergaul serta berkomunikasi dengan jiran-jiran yang berlainan kaum. Sikap prejudis terhadap bangsa lain perlu dibuang ketika kanak-kanak ini masih dalam fasa mengenal perkara-perkara di sekeliling mereka. Ibu bapa juga boleh menjadi teladan yang baik dengan sering menziarahi rumah jiran terutamanya di hari perayaan kaum lain.

Rukun Negara bukan sahaja hanya ikrar rakyat Malaysia semata. Malah, Rukun Negara merupakan satu gerak dari kerajaan bagi menanamkan sifat kesetiaan, kesopanan dan kesusilaan dalam membentuk masyarakat majmuk. Tengku Anuar (1990) menyatakan Rukun Negara merupakan idealogi kebangsaan yang bertujuan menyatupadukan fikiran, pendapat dan perasaan rakyat tanpa mengira perbezaan yang berdasarkan asal keturunan, bahasa, agama dan budaya. Maka, pada 31 Ogos 1970, Rukun Negara yang menjadi panduan kesetiaan dan semangat patriotik telah diperkenalkan.

Rukun Negara berobjektifkan mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat dengan menghapuskan sifat kedaerahan dan perkauman. Rukun Negara juga bertujuan membentuk sebuah negara yang adil dan saksama tanpa mengira kaum dan agama di samping memelihara serta mengekalkan konsep demokrasi supaya rakyat Malaysia yang liberal dan progresif dalam menggunakan sains dan teknologi moden dapat dibentuk. Prinsip Rukun Negara jika ditelusi dan difahami dengan teliti dan mendalam boleh melahirkan masyarakat yang mengamalkan sikap toleransi serta tatasusila yang mulia.

Sukan juga memainkan peranan yang besar dalam pengukuhan kaum di Malaysia. Setiap kali pasukan Malaysia bertarung di peringkat antarabangsa, rakyat Malaysia pelbagai bangsa bersatu memberi sokongan kepada atlet negara yang berjuang di gelanggang sukan. Justeru, jelas sukan merupakan satu strategi yang dapat mengintegrasikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Sukan tidak pernah mengira latar belakang, agama, keturunan dan kepercayaan. Tiada halangan kepada pemain, penyokong mahupun pengurusan sukan.

Satu daripada cara mencapai perpaduan di antara kaum ialah menjaga budi bahasa serta akhlak dalam pergaulan. Perbezaan agama serta kepercayaan tidak mengurangkan kepentingan pemupukan budi bahasa. Adat istiadat adalah peraturan yang sentiasa dlpatuhi dan diamalkan dalam masyarakat Malaysia terutamanya pada hari perayaan.

Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini.

Terdapat pelbagai kempen yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk memupuk dan megukuhkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia. Antaranya ialah melaksanakan Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Tidak lupa juga Kempen Budi Bahasa Budaya Kita yang dilaksanakan agar dapat menggalakkan rakyat Malaysia supaya berbudi bahasa, menghormati adat resam dan kebudayaan kaum lain justeru mewujudkan kesefahaman dan perpaduan antara mereka.

Dalam artikel yang bertajuk “Antara langkah ke arah mewujudkan perpaduan di kalangan pelajar” bahawa sekolah merupakan satu pusat integrasi antara pelajar pelbagai kaum. Ia bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu malah ia juga menjadi alat memupuk perpaduan di kalangan pelajar. Aktivis sosial ‘integrasi di peringkat sekolah rendah adalah penting untuk perpaduan’. Untuk itu, pihak sekolah perlu mengambil pelbagai langkah agar perpaduan serta integrasi dapat dipupuk sejak dari bangku sekolah kepada pemimpin masa hadapan.

Perpaduan di peringkat sekolah dapat dicapai melalui mengadakan kokurikulum yang seragam untuk semua sekolah. Kokurikulum boleh dikatakan sebagai bidang pelajaran di sekolah. Menurut Mok Soon Sang, kokurikulum merangkumi pengalaman kehidupan nyata dan tidak nyata yang diplih, diorganisasi dan disusun oleh sarjana pendidikan dan pakar kokurikulum dengan secara teliti dan profesional, demi menjadikan pelbagai jenis aktiviti pembelajaran nyata dan tidak nyata seperti yang dijalankan dalam dan luar bilik darjah, dalam dan luar sekolah, untuk semua peringkat persekolahan.

Kokurikulum merupakan satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang terancang. Kepentingan pelaksanaan aktiviti ini setara dengan kepentingan pelaksanaan aktiviti di dalam bilik darjah kerana peranannya juga turut menjadi penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah keseluruhannya.

Aktiviti-aktiviti kokurikulum membantu pelajar untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari di dalam bilik darjah. Peranan utama kokurikulum ialah untuk memupuk dan mengeratkan hubungan dalam kalangan pelajar dan juga antara sekolah dengan masyarakat. Dengan ini perpaduan mula berpucuk dalam kalangan pelajar dan secara langsung menuju ke arah integrasi nasional.

3.1 Temu Bual

3.1.1   Kajian-kajian berkaitan tragedi persengkataan kaum yang pernah berlaku dan kesannya yang melibatkan masyarakat awam dan ahli politik di Malaysia

Rata-rata yang di temu ramah menyatakkan pada 13 Mei 1969 berlakunya tragedi persengkataan antara kaum yang dahsyat dan menjadi sejarah hitam setelah sekian lama Malaysia mencapai kemerdeka. Kejadian tersebut berpunca daripada kemenangan parti pembangkang DAP,. Tan Chee Khoon, di kawasan Batu, Selangor dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1969.

Menurut sumber Hwang, dalam Won (2003), Personalized Politics: The Malaysian State under Mahathir, parti pembangkang telah membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan dengan bahasa kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputra dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Justeru itu, ia telah menimbulkan perasaan perkauman dan syak wasangka.

Petikan ini juga telah disokong dari responden yang telah di temu ramah seperti dari Shikh Muhammad Nur Hisham yang berbunyi politik selalu menyelitkan perihal perkauman dan menyebabkan persengketaan antara kaum. Muhammad Shahreen berkata ahli politik mampu memberi pengaruh atau impak yang besar pada pemikiran masyarakat.

Atas kemenangan parti pembangkag tersebut, Tan Chee Khoon meminta kebenaran pihak polis untuk berarak di Selangor (perarakan tersebut hingga ke Jalan Campbell, Jalan Hale dan Kampung Baru). Tetapi setelah mendapat keizinan mengadakan perarakan tersebut, mereka telah bertindak di luar kewarasan manusia kerana di dengan sifat perkauman dari slogan parti pembangkang tersebut. Justeru, berlaku rusuhan yang melibatkan pertumpahan darah yang melibatkan tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, India dan Cina.

Menurut laporan Majlis Keselamatan Negara (9 Oktober 1969) bahawa peristiwa ini terjadi akibat peranan yang dimainkan oleh Parti Komunis Malaya dan kongsi-kongsi gelap Cina. Tunku Abdul Rahman juga telah menyalahkan komunis dan anasir-anasir kongsi gelap dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Fakta mengenai kesan 13 Mei 1969 tersebut ada diusulkan oleh beberapa responden. Responden pertama Ng Boon Seng iaitu berlakunya bunuh-membunuh dan tunjuk perasaan. Kedua Saravanan iaitu kaum lain memandang serong terhadap kaum lain dan muncul perasaan prejudis. Ketiga Shikh Muhammad Nur Hisham berkata ada perpecahan kaum antara masyarakat di Malaysia. Ini membuktikan kesan 13 Mei 1969 telah memberi impak yang besar ke generasi- generasi baru seperti yang dikatakan oleh responden Muhammad Shahreen iaitu kesan ini akan memudaratkan sesetangah perkauman dari zaman ke zaman dan ia boleh dibangkitkan semula sekiranya tidak ditangani.

3.1.2 Kajian-kajian berkaitan pergaduhan perkauman dalam pentadbiran Malaysia

Merujuk pada sejarah Malaysia ketika penaklukan British sebelum merdeka. Pemerintah British telah memperkenalkan dasar pecah dan perintah yang mana tiap kaum-kaum utama (Melayu, India, Cina) diasingkan berasaskan geografi dan kegiatan ekonomi. Dengan dasar tersebut, penduduk asal Tanah Melayu iaitu orang-orang Melayu telah dipinggirkan daripada arus pemodenan. Justeru itu, kedatangan Jepun telah membuka mata orang Melayu untuk berfikir atas kepentingan untuk memajukan kaum Melayu. Pendekatan Jepun tersebut telah memberi gambaran bahawa meraka memberi keutamaan kepada orang Melayu dan menindas orang Cina telah memberi impak negatif dalam hubungan antara dua kumpulan etnik ini. Atas tindakan tersebut, kaum Cina mula melakukan keganasan bagi membalas dendam ketika tempoh “kosong” selepas kejatuhan pihak Jepun. Dalam tempoh “kosong”, banyak pertumpahan darah telah berlaku dan meletakkan Tanah Melayu diambang kemusnahan. Sejak kejadian itu, pemimpin tempatan dari pelbagai kaum mula mengorak langkah untuk menstabilkan kembali Tanah Melayu dan mula memerintah negara yang kini bergelar Malaysia.

Berikutan dangan sejarah Malaysia sebelum mencapai kemerekaan di atas dalam skop pergaduhan perkauman dalam pentadbiran, responden Ng Boon Seng telah mengusulkan pandangannya seperti sistem pentadbiran yang tidak sistematik boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum. Petikan responden Ng Boon Seng tersebut banyak tertumpu kepada dasar pecah dan perintah dari pihak British. Menurut Muhammad Shahreen pula, beliau mengusulkan bahawa sikap dan cara pemikiran bergantung kepada setiap individu tersebut itu sendiri iaitu petikan tersebut tertumpu pada golongan Cina yang mula melakukan keganasan bagi membalas dendam untuk kaumnya.

3.1.3   Kajian-kajian luar serta pandangan dan harapan responden mengenai memperkukuhkan perpaduan kaum di Malaysia mengenai isu 13 Mei 1969

Daripada sejarah hitam pada 1969 yang mana rakyat Malaysia bergolak sehingga pertumpahan darah telah memberi kesan yang mendalam pada kebanyakan generasi sekarang. Sehubungan dengan itu juga, kerajaan telah bangkit untuk menangani kejadian seperti tersebut berulang.

Merujuk pada blog Adam Jebat, pada 17 Mei 1969 selepas kejadian 13 Mei, kerajaan telah menubuhkan Majlis Gerakkan Negara (MAGERAN) di bawah Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien. MAGERAN mempunyai beberapa fungsi utama iaitu bertanggungjawab mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan sesebuah kaum kepada kaum lain. Pada 1 Januari 1972, Kementerian Perpaduan Negara telah ditubuhkan hasil gabungan Jabatan Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibah Negara yang mana Jabatan Perpaduan Negara bertujuan membantu kerajaan menggerakkan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan negara dengan lebih teratur dan teliti mengikut Rukun Negara (kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluruhan pelembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan). Manakala Pejabat Muhibah Negara bertujuan memulihkan kepercayaan sesebuah kaum dengan kaum yang lain, mengkaji dan menyelesaikan masalah dengan kerjasama pihak berkenaan yang berkaitan dengan kesulitan serta perselisihan faham antara kaum.

Responden Shikh Muhammad Nur Hisham juga mempunyai pandangan seperti tindakan Timbalan Perdana Menteri iaitu tidak memperbesarkan masalah antara kaum malah perlu bersikap profesional untuk mengatasi masalah. Ianya terbukti apabila Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu telah bertindak dengan menubuhkan MAGERAN untuk membasmi kesalahfahaman dan kesepaduan kaum.

Pada tahun 1970 hingga 1990, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah ditubuhkan dengan berobjektifkan serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan rakyat tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. DEB dirujuk sebagai tapak, panduan, falsafah, peraturan dan cara mencapai matlamat yang merujuk kepada usaha untuk mengubah masyarakat dan negara daripada keadan yang mundur kepada maju dalam pelbagai aspek kehidupan.

Responden Ng Boon Seng juga memberi pandangan yang berkait dengan objektif Dasar Ekonomi Baru iaitu sekirannya negara mengekalkan perpadauan kaum, ia dapat meningkatkan kesejahteraan dan ekonomi negara yang mana pandangannya menumpukan pada ekonomi dan kesejahteraan untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum ini.

Selain itu, menurut pandangan Saravanan iaitu mengubah fikiran dan pandangan serta mentaliti diri kita. Muhammad Shahreen pula membendung anak-anak muda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir negatif. Dari pandangan dua responden ini, kita dapat menilai bahawa yang mendorong baik buruk pemikiran generasi baru adalah dari generasi lama iaitu ibu bapa, guru-guru mahupun masyarakat sekililing.
                                  

4.0 Kesimpulan               

Daripada kajian yang telah dijalankan ini terdapat beberapa langkah dalam memperkukuhkan perpaduan antara kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun telah menjadi sejarah peristiwa 13 Mei yang tidak pernah pudar dalam ingatan setiap generasi penduduk di Malaysia kita sebagai rakyat Malaysia masih lagi boleh bertegur sapa dan peristiwa itu adalah sebagai pengajaran kepada setiap penduduk di Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia kita berbangga dengan negara ini kerana terdapat pelbagai kaum dan perayaan tradisi. Hal ini merupakan salah satu punca menyebabkan keadaan negara menjadi aman dan harmoni sepanjang masa tanpa konflik yang terlalu besar dibangkitkan. Ini kerana merujuk kepada perayaan telah wujudnya ukhwah dan rasa perpaduan dalam naluri dan nurani setiap penduduk di negara ini. Tegasnya Malaysia merupakan negara yang aman dan tenteram walaupun terdiri daripada pelbagai kaum yang mana tanggapan masyarakat dunia sangat sukar dipadukan dan menyerap sebarang perbezaan baik agama, budaya dan kepercayaan.

Selain itu, perasaan hormat menghormati adalah sangat penting supaya tidak terjadinya salah faham antara penduduk yang ada di Malaysia ini. Kebanyakan masaalah yang pernah terjadi adalah puncanya daripada tidak menghormati perkara yang dianggap sensitif bagi sesetengah pihak daripada penduduk Malaysia. Nilai murni ini telah membuatkan negara kita yang besar ini dipenuhi dengan pelbagai etnik dan kaum menjadi aman dan harmoni.


Rujukan

Arkib Negara. Penubuhan Malaysia 16 September 1963.
http://www.arkib.gov.my/web/guest/penubuhan-malaysia-16-september-1963.

Chamil Wariya. (2007). Malaysia 50 Fakta Asas Kenengaraan. Kuala Lumpur: Media Global Matrix Sendirian Berhad.

Noor Hidayah Yusof. (2014). Langkah Dalam Mengukuhkan perpaduan Dalam Kalangan Rakyat Malaysia. http://www.1malaysia.com.my/affiliates/langkah-mengukuhkan- perpaduan-dalam-kalangan-rakyat-malaysia-0.

Rahmat Ghazali. (2014). Isu Perpaduan Kaum Di Malaysia. https://zanas.wordpress.com/isu-perpaduan-kaum-di-malaysia/

Rossa Calla. (2014). Langkah-langkah Untuk Mengekalkan Dan Memantapkan Perpaduan
Kaum Di Malaysia. http://www.panduanmalaysia.com/2014/07/langkah-langkah-untuk-mantapkan-perpaduan-kaum-malaysia.html.

Shogi Arumugam. (2010). Mencapai Perpaduan dan Integriti Nasional. http://www.scribd.com/doc/37252628/MENCAPAI-PERPADUAN-DAN-INTEGRASI-NASIONAL#scribd

Tengku Anuar. (1990). Pengetahuan Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur: Nurin   
          Enterprise.

Zahir Zainudin. 2015). Peranan Sukan Dalam Menyatu padukan Rakyat Malaysia.
http://zahirzainudin.blogspot.my/2015/08/peranan-sukan-dalam- 
menyatupadukan.html

http://studentsrepo.um.edu.my/997/3/BAB2.pdf
http://cikgustpm.blogspot.my/2013/09/migrasi-orang-cina-ke-tanah-melayu.html


MZ Zainudin, Abdul Mueezz, Ahmad Abbas, Muhammad Hafiq, Jackey, Muqarrabin



No comments:

Post a Comment