Friday, February 12, 2016

Persiapan dalam hidup








Kalau kita hendak melihat keadaan malam pertama di alam barzakh nanti, cubalah kita pandang diri kita pada hari ini. Agak-agaknya kalau kita meninggal dunia pada malam ini, adakah kita dapat merasai suasana indah yang digambarkan oleh al-quran atau hadis (berdasarkan tafsiran para ulamak)? Jika tidak boleh, maknanya kita belum lagi mengukir keindahan amalan dalam kehidupan kita untuk bersiap menghadap Allah swt nanti.

Dalam hidup kita ini, janganlah sampai peringkat kita dimasukkan Allah swt dalam keadaan tidak bersiap sedia untuk menghadap-Nya.

Matilah pada saat dan ketika kita benar-benar bersedia. Sepanjang hidup kita sentiasa diajar supaya bersiap sepanjang masa. Lihatlah pakaian kita, cara tutur kata kita dan amalan-amalan perbuatan kita yang sepatutnya menggambarkan bagaimana keadaan selepas kita meninggal dunia. Rasulullah saw menyebut orang yang cerdik bukannya yang memiliki rumah besar, bukannya yang menjawat jawatan besar, bukannya yang memiliki wang yang banyak... tidak..., Rasulullah saw berkata orang yang cerdik adalah orang yang hidupnya mempersiapkan diri dan beramal dengan amalan untuk mengahdapi kematian nanti.

Daripada Abi Ya’la Syaddad bin Aus r.a daripada Rasulullah S.A.W sabdanya, “Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikutinya hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah SWT (untuk mendapat kebahagian dan pengampunan daripadanya tanpa beramal soleh). (Hadith riwayat Imam Al-Turmuzi)

Jika ada orang yang bertanya kepada kita kenapa sibuk dengan menderma ke sana sini, beritahu kepada mereka bahawa kita sibuk menderma kerana tidak mahu menyesal dengan derma-derma yang telah dilakukan itu. Jika ada orang yang bertanya lagi kenapa kita kelihatan kalut hendak solat berjemaah di masjid, katakan kepada mereka yang kita tidak mahu kalut seperti itu ketika menghadap Allah swt kelak.

Janganlah kita berbohong dengan kematian kerana kematian tidak pernah berbohong. Apabila kita cuba berbohong dengan kematian, ada dalam kalangan kita suka sangat berbohong dengan perbuatan padahal kita mengakui hakikat yang kematian akan datang. Menghadap Allah swt, biarlah kita mati dalam keadaan penuh kelazatan iman yang kita bina dengan diri kita sendiri supaya menjadi hamba Allah yang soleh sepanjang hidup kita.


Post a Comment