Tuesday, February 16, 2016

Kebaikan dan keburukan telefon pintar







1.0       Pengenalan

Teknologi maklumat (IT) boleh didefinisikan sebagai sebuah bentuk umum yang menggambarkan setiap teknologi yang membantu untuk menghasilkan, memanipulasi, menyimpan, mengkomunikasikan serta menyampaikan informasi (Willians dan Sawyer, 2003). Pada zaman modenisasi ini, perkembangan teknologi maklumat di dunia adalah semakin pesat, yang paling ketaranya adalah teknologi alat komunikasi seperti telefon. Hari ini, telefon telah mengganti apa-apa sahaja cara komunikasi secara realiti. Sebagai contoh, surat-menyurat telah digantikan dengan cara e-mel, SMS dan sebagainya, serta melalui telefon kita dapat berjumpa dengan saudara di luar negara dengan kaedah “video call”.

Sejak beberapa tahun ini, perkembangan yang pesat terhadap bidang Teknologi Maklumat (IT) di negara Malaysia dapat dilihat. Perkembangan teknologi yang pesat pada zaman kini telah membawa banyak perubahan kepada kehidupan masyarakat Malaysia, termasuklah dari aspek cara seseorang bersosial, cara berkomunikasi, serta cara kehidupan masyarakat. Malangnya, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi ini bukan sahaja membawa manfaat kepada masyarakat pada zaman kini tetapi juga mempengaruhi kehidupan masyarakat secara negatif. Dengan ini, satu kajian yang memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi telefon telah kita lakukan untuk memahami tentang perkembangan teknologi telefon dari dulu hingga kini dan perubahan yang dibawa olehnya kepada kehidupan masyarakat.

1.1       Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah memahami perkembangan teknologi maklumat dari zaman dahulu sehingga he hari ini dan mengetahui perubahan gaya hidup masyarakat akibat pengaruh perkembangan teknologi maklumat.


2.0       Sorotan Literatur

2.1       Perkembangan Komunikasi

Terdapat beberapa komunikasi yang telah dibentuk sejak dulu seperti kentongan, asap, burung merpati dan daun lontar.

Kentongan

Kentungan merupakan satu daripada alat komunikasi tradisional yang berasal dari lagenda Cheng Ho dari China yang mengadakan perjalanan dengan misi keagamaan. Pada masa itu, kentongan ditemukan oleh Cheng Ho sebagai alat komunikasi ritual keagamaan. Pada awalnya, kentongan digunakan sebagai alat pemberitahu kepada masyarakat bahawa sesuatu yang bahaya akan berlaku seperti adanya pencuri atau bencana alam.

Isyarat Asap

Isyarat Asap merupakan alat komunikasi jarak jauh yang pertama dan diciptakan pada zaman Yunani pada masa pemerintahan Raja Darius I (522-486 S.M.). Cara menggunakan isyarat asap pada masa itu adalah dengan menyuruh orang berdiri di tempat yang tinggi dan menyalakan api. Asap yang dikeluarkan daripada api tersebut akan menjadi suatu lambang pesanan kepada masyarakat pada zaman itu.

Merpati Pos

Cara komunikasi seperti ini berasal dari Parsi yang melatih burung merpadi dan digunakan oleh orang Romawi sebagai alat pengirim pesanan kepada pasukan tentera sejak lebih 2000 tahun yang lalu. Merpati pos pertama kali digunakan oleh seorang Sultan Nuruddin pada tahun 1146 untuk mengirimkan pesanan di sekitar kerajaannya. Cara komunikasi ini biasa digunakan demi tujuan menyampaikan pesanan urusan ketenteraan seperti dalam Perang Dunia Pertama pada tahun 1914-1918.

Daun Lontar

Pada zaman yang lebih maju, masyarakat telah bermula menggunakan bahasa dan tulisan sebagai alat komunikasi. Pada zaman dulu, alat yang digunakan untuk menulis surat adalah daun lontar. Alat ini telah digunakan untuk kegiatan surat-menyurat di Indonesia sejak kerajaan Kutai, Majapahit, Srivijaya dan Mataram.

2.2       Sejarah Telefon Pintar

Telefon yang pertama di dunia dicipta oleh Alexender Graham Bell, pada tahun 1876. Telefon dial putar pertama dicipta oleh Almon Brown Strowger yang berasal dari Chicago pada 21 Disember 1891. Masa yang lebih panjang diperlukan untuk membuat panggilan menggunakan telefon seperti ini kerana pengguna perlu mendial nombor satu demi satu dengan meletakkan jari di nombor yang dihendaki dan memutar sehingga ke akhir putaran.

Selepas telefon dial putar diperkenalkan, teknologi telefon turut berkembang. Telefon tekan butang yang pertama diperkenalkan pada tahun 1963. Model telefon tekan butang yang pertama adalah “Western Eletric 1500”, dengan hanya 10 butang merangkumi nombor 0 hingga 9. Selepas itu, model ini telah diganti dengan model “Western Eletric 2500” yang diperkenalkan pada tahun 1968 dengan mempunyai 12 butang, dengan tambahan butang asterisk (*) dan butang hash (#). Pada masa itu, telefon dial putar masih digunakan oleh orang ramai sehingga ke tahun 1979.

Telefon tanpa wayar telah pertama kali dicipta oleh Teri Pall pada tahun 1965. Telefon jenis tersebut terdiri daripada unit utama yang bersambung dengan gagang mudah alih dengan gelombang radio yang rendah. Telefon jenis ini tidak dikeluarkan ke pasaran disebabkan oleh gelombang radio yang disambung akan mengganggu isyarat pesawat udara. Pada tahun 1968, beliau menjual hak ciptanya kepada pengilang untuk diubah suai. Dengan beberapa ubahsuaian dibuat, telefon tanpa wayar akhirnya diperkenalkan di pasaran pada tahun 1980-an.

Telefon bimbit juga dikenali sebagai telefon selular atau telefon tangan. Telefon bimbit pertama kali dicipta oleh John F. Mitchell dan Dr. Matrin Cooper dari Syarikat Motorola pada tahun 4 April 1973 dan boleh didapati secara komersial pada 21 September 1983. Telefon bimbit yang diperkenalkan pada masa itu adalah model Motorola DynaTAC 8000x, saiznya adalah sangat besar dan beratnya sebanyak 2.2 paun atau 1.0 kg.

Tidak dapat dinafikan bahawa teknologi telefon telah menjadi semakin maju dengan pantasnya dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan telefon bimbit yang telah berkembang pesat, menjadi semakin kecil saiznya dan semakin canggih fungsinya. Sistem pesanan ringkas (SMS) menjadi fungsi tambahan kepada telefon bimbit mulai 1980-an dan dimajukan oleh Friedhelm Hillebrand dan Bernard Ghillebaert pada tahun 1984.

Kad SIM yang pertama dibuat pada tahun 1991 oleh Giesecke & Devrient dari Munich. Kad SIM kemudian memainkan peranan yang amat penting kepada pengguna telefon dan mempunyai fungsi seperti identifikasi seseorang pelanggan. Setiap kad SIM mempunyai satu nombor unik dan diperuntukkan kepada HLR untuk mengenal pasti seseorang pelanggan. Dalam proses ini, satu respon yang unik akan dibentuk oleh setiap kad SIM. Respon ini akan kemudian dipadankan dengan respon daripada rangkaian sebagai seorang pelanggan yang sah atau tidak. Pelanggan tersebut akan dapat menggunakan servis hanya selepas proses ini. Kad SIM dapat menyimpan nombor telefon dan SMS. Pada masa kini, satu kad SIM dapat menyimpan sebanyak 400 nombor telefon dan 30 SMS.

Telefon pintar secara umumnya dikenali sebagai telefon yang mempunyai fungsi setanding dengan sebuah komputer. Frasa “telefon pintar” ini hanya muncul selepas Syarikat Ericsson menyatakan produknya iaitu “GS 88 ‘Penelope’” sebagai telefon pintar pada tahun 1997.
Technologi touch screen diperkenalkan kepada telefon bimbit pada tahun 1993, telefon touch screen yang pertama diperkenalkan adalah IBM Simon. Teknologi ini kini turut digunakan dalam telefon pintar. Selepas telefon pintar diperkenalkan, GPS (Global Positioning System) telah ditambah kepada telefon pintar pada November 2004. Dengan ini telefon dapat digunakan sebagai alat untuk membantu kita mencari lokasi sesuatu tempat.

2.3       Kesan Positif dan Negatif Telefon Pintar

Telefon pintar pada zaman kini dapat melayari internet dengan sepuas-puasnya tanpa mengira di mana seseorang itu berada. Dengan adanya internet, telefon turut menjadi sebuah alat multimedia. Kita boleh berkongsi apa-apa sahaja dengan orang yang lain pada bila-bila masa. Fungsi ini boleh dibuktikan dengan restoran Sakae Sushi di Malaysia yang menggunakan iPad sebagai alat kepada pelanggan untuk menurunkan pesanan mereka.

Perubahan gaya hidup masyarakat terhadap perkembangan teknologi telefon pintar. Perubahan terhadap aspek pendidikan. Perubahan secara positif dapat dilihat dengan penggunaan internet telah menjadi sebahagian daripada kehidupan setiap murid demi mendapat informasi yang terkini pada bila-bila masa kita memerlukannya. Kegunaan telefon untuk tujuan internet telah semakin mengganti penggunaan internet talian tetap. Perkembangan teknologi telefon pintar, kelajuan tinggi internet mudah alih telah menjadi satu altenatif untuk membekalkan servis pendidikan. Dengan teknologi internet yang canggih, telefon juga boleh digunakan sebagai alat yang terbaik untuk tujuan pendidikan jarak jauh. Selain itu, telefon pintar juga dapat memudahkan murid bekerjasama dengan pensyarah mereka bahawa jika seseorang murid tidak hadir ke kuliah, murid tersebut masih dapat mengikut proses pembelajaran dengan telefon pintar.

2.3.1    Kesan Positif

Telefon pintar memainkan peranan yang penting dalam membantu kehidupan masyarakat, terutamanya warga emas. Fungsi telefon pintar seperti GPS, laman sesawang sosial dapat membantu golongan warga emas untuk berinteraksi dengan masyarakat. Walaupun pada masa yang sibuk dalam zaman sekarang, telefon pintar juga dapat membantu untuk mengekalkan hubungan yang baik antara penggunanya dengan keluarganya. Selain itu, telefon pintar juga dapat memainkan peranan sebagai wartawan untuk membekalkan informasi terkini kepada masyarakat. Akhirnya, fungsi-fungsi seperti merakam video, suara dan kamera sentiasa membolehkan kita merakamkan detik-detik kehidupan kita yang menarik dan berkongsi dengan rakan-rakan di sekeliling kita.

Satu daripada kebaikan yang dibawa melalui telefon pintar adalah dapat mengurangkan jurang komunikasi antara masyarakat, rakan-rakan dan sekeluarga. Dengan pelbagai aplikasi yang terdapat dalam telefon pintar seperti Whatsapp dan Wechat yang berasaskan rangkaian internet yang lebih luas dapat memberi ruangan yang lebih dalam komunikasi, dan dapat memupuk semangat sillaturrahim antara masyarakat bukan sahaja dalam negara, bahkan masyarakat di seluruh dunia.

Selain mengurangkan jurang komunikasi, telefon pintar juga dapat mengurangkan beban kerja bagi golongan yang berkerjaya. Hal ini demikian kerana telefon pintar mempunyai pelbagai aplikasi yang membenarkan pengguna untuk mengakses e-mel dengan mudah dan dengan ini, pengguna dapat mengurangkan beban kerja mereka dengan menggunakan telefon pintar untuk menyelesaikan tugasan mereka berbanding dengan mengunakan komputer yang mengambil masa yang lebih lama.

Di samping itu, telefon pintar juga dapat mewujudkan masyarakat yang akan menghargai masa dengan lebih baik. Hal ini kerana aplikasi yang berteraskan hiburan seperti permainan akan dapat mengisi masa lapang pengguna dengan berfaedah. Kemungkinan ada pengguna yang mengatakan bahawa permainan adalah suatu aplikasi yang membazir masa, tetapi aplikasi permainan sebenarnya dapat menjana nilai kreativiti dan inovasi seseorang individu kerana aplikasi tersebut melibatkan kedua-dua belah otak untuk berfikir dan dengan ini akan melatih manusia supaya berfikir dengan lebih kreatif.

2.3.2    Kesan Negatif

Malangnya, penggunaan telefon pintar juga akan mempengaruhi masyarakat secara negatif. Satu daripada kesan negatif adalah penyebaran khabar angin secara besar-besaran. Sebahagian masyarakat telah menggunakan telefon pintar sebagai alat penyebar khabar angin. Hal ini akan berlaku apabila pernyataan yang telah dibesar-besarkan disebarkan melalui kiriman SMS atau e-mel. Hal ini akan menyebabkan mereka yang mudah percaya tanpa menyiasat kesahihan pernyataan akan menyebarkan pernyataan tersebut kepada orang lain.

Dengan kemudahan yang canggih, telefon pintar membolehkan seseorang murid untuk menghantar SMS, melayari laman sesawang sosial, bermain permainan dalam serta menonton rancangan televisyen. Hal ini akan mengakibatkan gangguan bukan sahaja kepada murid tersebut, tetapi juga mengganggu murid di sekitarnya. Selain itu, dengan kemudahan internet yang pantas juga membolehkan sesorang murid untuk meniru di dalam sesuatu peperiksaan dengan mencari jawapan di internet.

Dalam suatu kajian, sebanyak 10 juta pengguna di Amerika Syarikat menggunakan telefon pintar untuk mendapatkan informasi terhadap kesihatan dan kemudahan. Hari ini, terdapat banyak pengisian yang boleh diperoleh melalui telefon pintar untuk mendapatkan cadangan cara rawatan, perbandingan harga serta mengesahkan preskripsi. Pada masa yang akan datang, pelbagai aplikasi akan diperkenalkan dan akan membolehkan doktor untuk mengesan tahap kandungan glukosa dan tekanan darah seseorang pesakit pada bila-bila masa.

Selain itu, terdapat juga sebahagian besar ibu bapa membenarkan anak mereka menggunakan telefon pintar sejak mereka masih kecil lagi. Hal ini juga membawa beberapa kesan negatif kepada anak mereka seperti kanak-kanak akan menjadi semakin kurang berinteraksi secara sosial. Selain itu, penggunaan telefon pintar dalam masa yang terlalu panjang akan menjejaskan kemampuan kelihatan mereka. Penggunaan telefon pintar juga mengakibatkan kanak-kanak mempunyai kebiasaan untuk mendapat informasi bahagian demi bahagian dan bukannya secara keseluruhannya. Permainan dalam talian yang terdapat dalam telefon pintar akan menyebabkan kanak-kanak ketagih dengannya dan menyebabkan mereka mengunakan masa yang amat lama untuk menguna telefon pintar.

Ketagihan kepada telefon pintar merupakan impak major kepada kehidupan sosial. Satu penyelidikan menunjukkan sebanyak 33% daripada pengguna telefon pintar memeriksa e-mel dan SMS mereka sehingga lewat malam. Terdapat juga pengguna yang tidak dapat tidur dengan lenyap jika telefon pintar mereka tidak berada di bawah bantal mereka. Selain itu, salah satu daripada aplikasi telefon pintar membolehkan pengguna mengubahsuaikan kandungan asal untuk mengeluarkan satu versi mereka sendiri. Dengan ini banyak masalah mengenai kesahihan bahan akan ditimbulkan.

Selain itu, satu lagi penyelidikan menunjukkan terdapat organisasi yang mengharapkan pekerja mereka membalas e-mel yang berkenaan dengan segera mahupun selepas waktu pejabat. Dengan ini, pekerja akan berasa dipaksa untuk membalas e-mel yang rasmi berkenaan dengan pekerjaan mereka dan hal ini memberi tekanan yang lebih besar kepada para pekerja. Di samping itu, dengan adanya telefon pintar membolehkan pekerja membawa tugas yang belum siap balik ke rumah. Hal ini akan mengurangkan masa ibu bapa untuk berinteraksi dengan anak mereka.


3.0       Metodologi

Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif sebagai suatu penyelidikan yang menghasilkan dapatannya melalui suatu prosedur satistik atau pengiraan berdasarkan sebarang borang soal selidik atau ujian. Dalam kajian ini, borang soal selidik digunakan sebagai alat kajian dan telah diedarkan kepada pelajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Borang-borang tersebut kemudian dikumpul semula untuk analisis. Bagi menghasilkan laporan statistik kajian ini, pengisian Microsoft Excel telah digunakan untuk membentuk graf dan carta demi menunjukkan dapatan kajian dengan lebih jelas.

3.1       Sampel Kajian

Borang soal selidik disedarkan kepada 30 orang pelajar UTeM sebagai responden kajian. Mereka terdiri daripada pelajar di pelbagai fakulti.

3.2       Instrumen Kajian

Alat kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah borang soal selidik. Borang tersebut dibahagi kepada tiga bahagian, iaitu Bahagian A, B dan C. Bahagian A adalah untuk mendapat maklumat responden dari segi jantina, kumpulan umur dan jenis telefon yang kini digunakan oleh mereka. Bahagian B pula bertumpu kepada kefahaman responden tentang perkembangan teknologi telefon manakala Bahagian C adalah memberi tumpuan kepada perubahan gaya hidup masyarat akibat perkembangan teknologi telefon.


4.0       Hasil Kajian

Hasil kajian ini adalah berdasarkan maklumat yang dikumpul melalui borang soal selidik yang telah diedarkan kepada 30 responden. Borang soal selidik ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu  bahagian A, latar belakang responden, bahagian B, kefahaman perkembangan teknologi maklumat dari dulu hingga kini dan bahagian C, perubahan gaya hidup masyarakat berdasarkan perkembangan IT. Dalam bahagian B dan C, Skala Likert yang mempunyai lima tahap telah digunakan untuk memudahkan responden untuk menilai tahap mereka bersetuju dengan pernyataan yang dikemukakan. Skala Likert yang digunakan adalah seperti yang ditunjukkan pada rajah-rajah berikut.


Rajah 1: Bilangan responden mengikut jantina

Rajah 1 menunjukkan analisis responden berdasarkan jantina. Terdapat sebanyak 19 (63%) responden adalah perempuan dan 11 (37%) responden adalah lelaki.

Rajah 2: Bilangan responden mengikut kumpulan umur

Berdasarkan Rajah 2, terdapat 26 (87%) responden yang berumur di antara 15 hingga 25 tahun dan terdapat 4 (13%) responden sahaja yang berumur 26 hingga 35 tahun.

Rajah 3: Bilangan responden mengikut jenis telefon yang digunakan

Rajah 3 menunjukkan bilangan responden mengikut jenis telefon yang digunakan. Terdapat 5 responden (17%) kini menggunakan telefon bimbit yang biasa. Majoritinya iaitu sebanyak 24 responden (80%) sedang menggunakan telefon pintar dan terdapat seorang (3%) sahaja menggunakan telefon awam.

Rajah 4: Penggunaan telefon rumah pada zaman kini tidak sama seperti zaman dahulu

Rajah 4 menunjukkan pendapat responden terhadap pernyataan yang dikemukakan dalam soalan 1. Berdasarkan rajah di atas, tiada responden yang berkata tidak setuju dengan soalan 1, manakala minoritinya, iaitu hanya seorang (3%) sahaja sangat tidak setuju dan 3 responden (10%) tidak pasti dengan pernyataan ini. Di samping itu, majoritinya iaitu terdapat 11 responden (37%) setuju dan sebanyak 15 responden (50%) sangat setuju dengan pernyataan soalan 1.

Rajah 5: Telefon yang paling mahal merupakan telefon yang paling baik

Rajah 5 menunjukkan pendapat responden terhadap soalan 2. Berdasarkan rajah di atas, majoritinya tidak setuju dengan pernyataan ini iaitu sebanyak 4 responden (13%) menyatakan sangat tidak setuju dan sebanyak 12 (40%) responden tidak setuju. Terdapat juga 6 responden (20%) yang tidak pasti dengan soalan ini. Selain itu, sebanyak 7 responden (23%) telah setuju dan seorang (3%) yang sangat setuju dengan pernyataan soalan 2.

Rajah 6: Telefon SAMSUNG dibuat di Malaysia

Rajah 6 menunjukkan pendapat responden terhadap soalan 3. Menurut rajah tersebut, tiada responden yang berkata setuju dan sangat setuju terhadap pernyataan yang dikemukakan dalam soalan 3. Manakala terdapat 14 orang (37%) menyatakan sangat tidak setuju, 4 responden (13%) menyatakan tidak setuju dan sebanyak 12 responden menyatakan tidak pasti dengan soalan ini.

Rajah 7: Kebanyakan pengguna telefon pintar terdiri daripada warga emas

Rajah 7 menunjukkan pendapat responden terhadap soalan 4 dalam bahagian B. Mengikut graf tersebut, tidak ada responden yang menyatakan setuju dan hanya seorang (3%) yang menyatakan sangat setuju dengan pernyataan soalan ini. Selain itu, terdapat juga 5 responden (17%) menyatakan sangat tidak setuju, sebanyak 19 responden (63%) menyatakan tidak setuju dan 5 responden lagi (17%) menyatakan tidak pasti dengan pernyataan ini.

Rajah 8: APPLE merupakan jenama telefon yang terbaik di dunia

Rajah 8 menunjukkan pendapat responden terhadap soalan 5 dalam Bahagian B. Menurut rajahbar tersebut, terdapat minoriti sebanyak 2 responden (7%) sahaja yang menyatakan sangat tidak setuju. Selain itu, terdapat juga sebanyak 10 (33%) responden yang menyatakan tidak setuju, 8 responden menyatakan tidak pasti, 7 responden (23%) yang setuju dan 3 responden (10%) yang sangat setuju dengan pernyataan ini.

Rajah 9: Telefon merupakan sumber hiburan utama dalam kehidupan masyarakat

Rajah 9 di atas menunjukkan pendapat responden kepada soalan 1 dalam Bahagian C. Menurut rajah ini, terdapat 2 responden (7%) sahaja yang sangat tidak setuju. Selain itu, terdapat 6 (20%) responden yang menyatakan tidak setuju, 6 responden lagi (20%) menyatakan tidak pasti, 11 responden (37%) menyatakan setuju dan 5 responden lagi (17%) sangat setuju dengan pernyataan yang dikemukakan bagi soalan 1.

Rajah 10: Telefon dapat memudahkan proses komunikasi antara individu

Rajah 10 menunjukkan pendapat responden terhadap soalan 2 dari Bahagian C. Berdasarkan rajah tersebut, tidak ada responden yang menyatakan sangat tidak setuju dan tidak setuju dengan pernyataan ini, manakala terdapat seorang (3%) menyatakan tidak pasti, 8 responden (27%) menyatakan setuju dan majoritinya iaitu sebanyak 21 responden (70%) sangat setuju dengan pernyataan soalan 2 dalam Bahagian C.

Rajah 11: Telefon dapat memberi akses kepada informasi terkini di dunia

Rajah 11 di atas menunjukkan pendapat responden terhadap soalan 3 dalam Bahagian C. Berdasarkan rajah ini tiada responden yang menyatakan sangat tidak setuju dengan soalan 3, manakala terdapat seorang (3%) tidak setuju dan 2 responden (7%) yang tidak pasti. Majoritinya, iaitu sebanyak 12 responden (40%) mengatakan setuju dan 15 responden (50%) mengatakan sangat setuju dengan pernyataan ini.

Rajah 12: Telefon dapat memudahkan proses navigasi sesuatu lokasi

Rajah 12 menunjukkan pendapat responden terhadap soalan 4 dalam Bahagian C. Terdapat seorang sahaja (3%) yang sangat tidak setuju dengan soalan 4 ini dan tiada responden yang tidak setuju, manakala 2 responden (7%) tidak pasti dengan pernyataan ini. Selain itu, sebanyak 12 responden (40%) mengatakan setuju dan 15 responden (50%) mengatakan sangat setuju dengan soalan 4 dalam bahagian ini.

Rajah 13: Telefon menyebabkan kanak-kanak kurang bersosial secara realiti

Rajah 13 menunjukkan pendapat responden terhadap soalan 5 dalam Bahagian C. Terdapat seorang sahaja (3%) berpendapat sangat tidak setuju dan seorang lagi (3%) berpendapat tidak setuju. Terdapat juga 3 responden responden (10%) yang tidak pasti dengan pernyataan ini. Selain itu, sebanyak 9 responden (30%) yang mengatakan setuju dan 16 responden lagi (53%) sangat setuju dengan pernyataan soalan 5 dalam bahagian ini.


5.0       Kesimpulan

Kesimpulannya, penggunaan telefon pintar adanya kebaikan dan keburukannya tergantung kepada cara penggunaan seseorang individu sendiri. Jika seseorang menggunakan telefon pintar itu dengan cara yang berdisiplin, maka beliau akan menerima manfaatnya dan jika telefon pintar disalahgunakan, maka orang itu akan terpengaruh dengan kesan negatif. Akhirnya, walaupun banyak kemudahannya, telefon pintar haruslah digunakan dengan matang.


Rujukan

Muhammad Sarwar & Tariq Rahim Soomro. (2013). Impact of Smartphone’s on Society, Department of Information Technology. Al Ain University of Science and Technology.
http://id.wikipedia.org/wiki/Kentongan
http://id.wikipedia.org/wiki/Merpati_pos#Sejarah
http://id.wikipedia.org/wiki/Sinyal_asap#Sejarah_dan_kegunaan
http://rudist.files.wordpress.com/2013/04/lks-tik-kelas-7-semester-1-bab-1.pdf
http://people.hofstra.edu/geotrans/eng/ch2en/conc2en/bellteleph.html
http://en.wikipedia.org/wiki/Rotary_dial
http://www.arctos.com/dial/
http://en.wikipedia.org/wiki/Push-button_telephone
http://en.wikipedia.org/wiki/SMS
http://en.wikipedia.org/wiki/Mobile_phone#History
http://www.mpf.org.in/pdf/technology/SIM_Card_Committee_Report.pdf
http://en.wikipedia.org/wiki/Touchscreen


MZ Zainudin, Wesley Starwood Philip @ Lee Wesley, Muhammad Syafiq Hisham, Juliues Anak Muris, Chuah Chun Khian, Fong Jia Kang, Mohamad Nazreen Sulaiman


Post a Comment