Thursday, February 18, 2016

Tradisi perkahwinan masyarakat Melayu dan Cina di Malaysia








1.0       Pengenalan


Di negara Malaysia, terdapat pelbagai adat, tradisi dan pantang larang yang diamalkan oleh setiap kaum dalam perkahwinan. Bagi setiap individu, perkahwinan adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan sebagainya.

Adat perkahwinan masyarakat Melayu sangat unik. Masyarakat ini begitu berpegang teguh dengan adat resam dalam perkahwinan kerana dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Malahan, dalam setiap peringkat upacara perkahwinan itu akan dijalankan dengan begitu meriah dan penuh adat istiadat.
           
Selain masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga melihat perkahwinan sebagai peringkat hidup yang sangat penting. Perkahwinan dalam masyarakat ini merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi keluarga dan melaluinya keturunan dapat diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.

1.1       Objektif Kajian          


Objektif kajian ini ialah mengetahui amalan perkahwinan tradisional Melayu dan Cina, mengenal pasti cabaran-cabaran dalam amalan perkahwinan di era moden dan mengetahui persepsi pemuda Melayu dan Cina terhadap perkahwinan.


2.0       Sorotan Kajian

2.1       Perkahwinan Masyarakat Melayu


Masyarakat Melayu mempunyai kaedah khusus untuk menguruskan sesebuah perkahwinan. Peringkat-peringkat sehingga ke majlis perkahwinan dua mempelai menunjukkan kehalusan dan ketinggian budi masyarakat ini yang sentiasa dipelihara. Adat ini bermula dengan adat merisik, adat meminang, adat bertunang, adat berinai, akad nikah dan adat bersanding.

2.1.1       Adat Merisik

Ianya melibatkan pertemuan antara wakil keluarga lelaki dengan wakil keluarga perempuan. Tujuan adat ini dilakukan adalah memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Pada kebiasaanya satu rundingan akan diadakan di antara kedua belah pihak yang mana pihak lelaki akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan. Sekiranya ada persetujuan daripada pihak gadis maka satu tarikh peminangan akan ditetapkan.

2.1.2       Adat Meminang

Wakil daripada pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki untuk mewakili mereka meminang anak gadis yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak gadis tersebut diberi tempoh untuk memberi jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan berikutnya mereka akan berbincang tentang segala syarat berkaitan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Jika upacara melangsungkan perkahwinan ditangguhkan selama beberapa bulan, pihak lelaki biasanya akan menghantar tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Dari segi konsepnya, menghantar tanda adalah ditakrifkan sebagai “putus cakap”. Ini membawa maksud pinangan dari pihak lelaki dan syarat-syarat perkahwinan sudah pun diterima oleh pihak perempuan. Dalam masyarakat Melayu, terdapat dua cara ikatan pertunangan dilakukan seperti pertunangan antara dua keluarga yang rapat atau saudara tanpa cincin pertunangan atau persetujuan bertulis dari usia kecil atau bayi dan seterusnya petunangan dibuat secara wasiat bagi memenuhi permintaan arwah ibu atau bapa.

2.1.3       Adat Bertunang

Sempena majlis pertunangan, satu kenduri diadakan di rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada tepak sireh atau sireh junjung sebagai bingkisan utama, berupa sebentuk cincin beserta hantaran lain diberikan kepada pihak perempuan. Sementara hantaran dari pihak perempuan pula akan melebihi hantaran daripada pihak lelaki. Sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum berumah tangga, maka pihak lelaki juga harus memberikan sumbangan berupa hantaran yang akan ditetapkan oleh keluarga perempuan kerana dianggap peminangan tersebut sudah melangkah bendul.

2.1.4       Adat Berinai

Peringkat pertama dikenali sebagai berinai curi yang biasanya diadakan tiga malam sebelum hari pernikahan  untuk saudara mara terdekat sahaja. Peringkat kedua dikenali sebagai berinai kecil yang biasanya diadakan dua malam sebelum hari pernikahan untuk jiran, saudara mara dan sahabat handai sahaja. Peringkat ketiga dikenali sebagai berinai besar yang akan diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan perempuan.

2.1.5       Akad Nikah

Istiadat ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang telah dipersetujui oleh kedua belah pihak. Semasa upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya.

Pada hari berkenaan, pengantin lelaki akan mengenakan baju haji atau baju Melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan. Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi beserta dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis. Tok Imam atau Tok Kadi akan menyemak semua maklumat pengantin untuk ditandatangani oleh kedua-dua mempelai  dan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan persetujuannya akan pernikahan tersebut. Seterusnya Tok Kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumah tangga dari sudut agama.

2.1.6    Adat Bersanding          

Upacara menyambut menantu oleh kedua pihak akan disambut dengan meriah apabila pengantin diarak dengan pasukan kompang dan pancak silat. Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu atau tebus pelamin atau juga dikenali sebagai “dam”.

Selepas itu barulah pengantin lelaki dibenarkan duduk bersebelahan dengan pengantin perempuan di atas pelamin yang dihiasi dengn indah. Kedua- dua pengantin akan menjamu selera bersama ahli keluarga pihak lelaki yang dipanggil makan beradap atau berdamai.
Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang dihias indah dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Para jemputan terutama dari wakil kedua mempelai akan dipersila untuk menepung tawar pasangan pengantin di atas pelamin. Justeru tidak hairanlah setiap majlis perkahwinan yang dilakukan secara penuh adat mengganggap pasangan pengantin sebagai raja  sehari oleh kebanyakan masyarakat Melayu lantaran tertib dan teraturnya pengurusan proses perkahwinan yang diamalkan sejak turun temurun.

2.2       Perkahwinan Masyarakat Cina


Masyarakat juga memiliki peringkat-peringkat perkahwinan mereka sendiri yang melambangkan budaya dan tradisi Cina.

2.2.1       Merisik

Adat merisik dilaksanakan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati. Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama, keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Sebahagian masyarakat Cina lebih suka mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran disertai dengan saudara mara lain. Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.

2.2. 2      Meminang

Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar-menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan. Setelah kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang dijalankan.

3.2. 3      Bertunang

Penetapan tarikh perkahwinan berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-Su. Tukang tilik akan membuat ramalan berdasarkan tahun kelahiran kedua pasangan untuk menentukan hari perkahwinan. Perkara ini sangat penting kerana kalau dijalankan pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan mengalami kegagalan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan. Kedua-dua bakal pengantin menyarung cincin  di jari manis kiri sehingga hari perkahwinan. Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di pejabat pendaftaran perkahwinan.

2.2.4       Majlis Perkahwinan

Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan, sekiranya terdapat kematian dalam kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun dalam seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning.  Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Dalam masyarakat Cina, upacara minum teh sangat penting dan masih diamalkan. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dan si suami dalam keluarga si suami serta si isteri di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki dan pihak perempuan. Ketika minum teh, orang yang berusia tua khususnya ibu bapa pasangan pengantin akan memberi angpau kepada pasangan pengantin sebagai berkat.

Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran sama ada di rumah, dewan atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa angpau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin sebagai berkat.

2.3      Cabaran Mengekalkan Amalan Perkahwinan Tradisi Melayu dan Cina dalam Era Moden  

Corak kehidupan yang sentiasa sibuk dan mengejar masa sedikit sebanyak mempengaruhi budaya kehidupan masyarakat pada masa ini terutama dalam mengubah sikap dan pemikiran kepada lebih moden dan ringkas. Hakikatnya, tidak semua perkahwinan masyarakat Melayu serta masyarakat Cina hari ini benar-benar mengamalkan adat dan budaya perkahwinan lama hanya semata-mata generasi baru era kini lebih bersifat moden dan ringkas.

Berdasarkan pendapat daripada responden kajian ini, didapati kehidupan dan pemikiran masyarakat kini sudah semakin maju dan seiring dengan kemodenan hidup pada masa kini. Mereka kini mengamalkan cara hidup yang lebih moden dan tidak mampu menyediakan tenaga serta masa yang lama untuk menguruskan upacara perkahwinan mengikut cara tradisional. Sebahagian responden juga berpendapat bahawa pakaian perkahwinan tradisi adalah pakaian yang ketinggalan zaman, mereka juga lebih cenderung untuk memilih perkahwinan cara moden berbanding perkahwinan secara tradisional. Walau bagaimanapun, setiap responden berpendapat bahawa tradisi perlulah dikekalkan dan diwarisi ke generasi baru. Budaya dan adat perkahwinan tradisi semakin terhakis dan banyak dipengaruhi unsur luar yang banyak menekankan soal moden dan ringkas sehingga mempengaruhi golongan anak muda pada masa kini.

Selain itu, generasi muda menerima pendedahan yang kurang tentang adat perkahwinan tradisi kaum masing-masing. Mahu tak mahu, keadaan ini telah membentukkan minda mereka bahawa mereka tidak perlu mengikut cara atau adat dalam upacara perkahwinan seperti pada zaman kuno kerana ianya adalah tidak penting. Akibat tidak ada sesiapa yang memberi tahu mereka tentang kepentingan mengekalkan adat-adat tersebut, golongan muda akan menganggap adat-adat tersebut sangat membazirkan masa ,kolot dan juga remeh.

Pengaruh Barat dalam kehidupan masyarakat kita juga merupakan salah satu cabaran yang kritikal dalam pengekalan adat perkahwinan tradisional Melayu mahupun Cina. Pengaruh ini lebih kepada cara berfikir yang dianggap moden iaitu berfikiran terbuka. Pemikiran yang terbuka contohnya masyarakat sudah kurang mempercayai tentang perkara-perkara yang digelar pantang larang, petua dan lain-lain dan sesetengah orang menganggapnya sebagai karut. Impak akibat pengaruhan ini boleh dilihat di majlis persandingan. Segelintir masyarakat kini lebih selesa memilih pakaian Barat kerana merasakan mengikut trend atau menganggap pakaian tradisional tidak praktikal untuk majlis persandingan tertentu. Tindakan itu menampakkan seolah-olah minda masyarakat generasi kini masih dijajah dan menganggap setiap yang datang daripada luar sesuai dengan budaya kita. Semakin lama semakin kuranglah masyarakat akan memilih pakaian tradisi ke majlis persandingan.


2.4   Pandangan Golongan Muda Terhadap Perkahwinan dalam Era Moden

Golongan muda sekarang semakin melupakan tradisi perkahwinan lama dan lebih cenderung mengamalkan perkahwinan secara moden dan berlebih-lebihan. Perkahwinan secara moden sangat mudah dan hanya perlu mengeluarkan wang yang mencukupi untuk memastikan majlis perkahwinan dapat berjalan lancar.

Walau bagaimanapun, ada juga orang muda sama ada lelaki atau perempuan yang berpendapat bahawa amalan tradisi masyarakat harus diteruskan kerana ia merupakan identiti masyarakat yang harus dipertahan dan diperlihara keunikannya. Ia juga bertujuan untuk memastikan generasi akan datang dapat merasai kemeriahan dan mengetahui akan adat-adat perkahwinan masyarakat zaman dahulu. Seperti yang kita ketahui, masyarakat kini secara subjektifnya merupakan golongan yang terdiri daripada kelompok profesional dan berkerjaya.

Kebanyakan daripada mereka menyerahkan persiapan majlis perkahwinan sepenuhnya kepada pihak tertentu seperti penyediaan makanan dan kelengkapan perkahwinan. Ini disebabkan oleh faktor kekangan masa dan memerlukan tenaga kerja yang banyak untuk mengelolakannya.

Kedua, pengaruh dari budaya luar. Masyarakat kini terlalu obses dengan perkahwinan cara Barat seperti mengadakan malis perkahwinan secara besar-besaran di hotel dan juga di dewan terkenal. Mereka percaya bahawa dengan cara ini mereka dapat menjimatkan masa dan tenaga kerja untuk menjayakan majlis perkahwinan itu.

Terakhir, orang-orang muda sekarang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi. Mereka ingin melanjutkan pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi seperti sarjana atau doktor falsafah  dan mereka lebih menumpukan dalam mendapat rezeki dan untungan. Oleh itu, mereka tidak mahu berkahwin lebih awal.


3.0       Cadangan dan Kesimpulan

Sebagai langkah permulaan, ibu bapa perlu memberi pendedahan  tentang kepentingan mewariskan adat-adat perkahwinan tradisional terhadapa anak-anak sejak dari kecil. Peribahasa “bagaimana acuan, begitulah kuihnya” telah menjelaskan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Contohnya, semasa menyertai perkahwinan saudara yang berunsur tradisional, ibu bapa boleh mengambil kesempatan untuk memberitahu anak-anak bahawa keunikan dan kepentingan mengekalkan amalan perkahwinan tradisi pada masa depan.

Selain itu, pihak kerajaan juga memainkan peranan dalam usaha mengekalkan amalan dan adat-adat tradisional dalam upacara perkahwinan dengan mengadakan kempen-kempen atau ekspo yang berkenaan dari semasa ke semasa. Dalam kempen atau ekspo tersebut harus mempamerkan kepentingan mengekalkan adat-adat perkahwinan tradisional serta keunikannya. Seterusnya, media massa juga perlulah selalu menyiarkan program yang berkaitan dengan perkahwinan tradisional dan bukannya perkahwinan moden yang berunsur Barat pada zaman modenisasi ini.

Hasil kajian yang dilakukan oleh kita, mendapati bahawa terdapat tradisi perkahwinan Melayu dan Cina yang semakin dillupakan. Sekiranya adat perkahwinan ini terus dilupakan maka tradisi masyarakat di sesebuah negara turut terjejas. Berdasarkan hasil kajian, adat-adat perkahwinan masyarakat Melayu yang semakin dilupakan ialah adat merasi, berandam, mengasah gigi dan juga menepung tawar. Amalan ini tidak diamalkan lagi disebabkan oleh percanggahan pendapat dan ideologi dari segi hukum syarak dan agama. Namun, kajian mendapati bahawa amalan tradisional perkahwinan Cina masih tetap diamalkan tetapi telah dimodenkan dan disesuaikan untuk keselesaan sendiri.

Walau bagaimanapun, tradisi perkahwinan Melayu dan Cina harus dipelihara dan diamalkan selagi ia tidak melanggar hukum syarak. Ini bertujuan supaya generasi akan datang tidak akan lupa kepada adat dan asal usul bangsa sendiri.


Rujukan

Denyse Tessensohan. (1994). Adab sopan moden: panduan lengkap tentang adat resam, etiket dan adab sopan. Times Book International.
Norizan Abdul Muhid. Kembalikan perkahwinan tradisi. Utusan Online, 06/06/2009.
Roslah Othman. Perkahwinan: adat lama tetap gemilang. Utusan Online, 06/09/2001.
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/189-adat-dan-pakaian/1424-adat-perkahwinan.html


MZ Zainudin, Teh Zhi Khan, Oon Yi Shen, Tan Kim Wing, Muhammad Fakhruddin Shukri, Nazarul Azham Ibrahim


Post a Comment