Thursday, February 04, 2016

Rumah tradisional Melayu Melaka








1.0       Pengenalan

Rumah tradisional orang-orang Melayu Melaka pada kebiasaanya berteraskan bumbung atap yang panjang dan sesuatu yang menjadi tanda pengenalan bagi rumah Melayu Melaka adalah mempunyai tangga batu yang istimewa ianya unik berbanding dengan rumah tradisional orang Melayu di negeri-negeri lain. Keunikan tangga batu ini diperindahkan lagi dengan jubin pelbagai corak di samping ukiran-ukiran kayu pada tiang, pintu, tingkap dan papan gendeng. Keserian rumah tradisional Melayu Melaka ini ditambah lagi dengan lanskap laman yang biasanya dihiasi dengan pokok-pokok bunga khususnya bunga kertas yang diletak dalam pasu beralaskan batu bata dan disusun di sekitar bahagian hadapan rumah. Rumah tradisional orang Melayu Melaka ini jelas menunjukkan ketinggian kreativiti dan keprihatinan terhadap unsur alam sekitar telah diabadikan ke atas tempat kediaman, begitulah indah dan seninya orang-orang Melayu di Melaka.


2.0       Sorotan Literatur

Rumah tradisional Melayu yang asli di Melaka dikenali sebagai Rumah Melaka dan bentuk bumbungnya panjang. Pada bentuk bumbungnya juga terdapat unsur-unsur seni bina Bugis, Jambi, Riau dan Minangkabau dan tangga batunya yang bersalut jubin memperlihatkan pengaruh seni bina Cina.

Walaupun berbagai tafsiran diberi untuk pembinaan asasnya atau rumah tradisional Melayu, namun pembinaan asasnya atau strukturnya adalah sama. Sama ada jenis perabung panjang (Bumbung Panjang), Rumah Bujang, Rumah Tiang Dua Belas, Rumah Minangkabau, Rumah Limas, Rumah Baju Kurung, Rumah Bumbung Perak, Rumah Kutai, Rumah Serambi Melaka dan lain-lain lagi ciri-ciri asas dan elemen utamanya adalah sama iaitu mempunyai tiang berlapik batu, bumbung yang curam, berloteng, dapur di bahagian belakang, tangga di bahagian hadapan dan bahan binaan yang sama. 

Perbezaan yang ketara ialah pada bentuk bumbung, perabung dan jumlah tiang utamanya. Di Melaka terdapat dua jenis rumah tradisional iaitu jenis Rumah Serambi atau Rumah Melaka atau Rumah Bumbung Melayu dan jenis Rumah Perabung Limas atau Bumbung Limas. Rumah Melaka terdiri daripada tiga jenis, yang terkecil dinamakan Rumah Bujang iaitu struktur bangunannya terdiri daripada enam batang tiang utama. Jenis sederhana dinamakan Rumah Berbandung Dua, terdiri daripada dua belas batang tiang utama, manakala jenis yang terbesar dinamakan Rumah Berbandung Tiga terdiri daripada enam belas batang tiang utama. 

Rupa bentuk fizikal Rumah Melaka dapat diperjelaskan sama ada secara menegak ataupun melintang. Secara menegak bentuk Rumah Melaka dapat dibahagikan kepada tiga penggalan iaitu penggalan tiang, penggalan badan dan penggalan bumbung manakala secara melintang, terdiri daripada unit-unit komponen yang mengandungi unit ruang serambi dan anjung, ibu rumah dan rumah dapur. Antara ibu rumah dan dapur dipisahkan oleh selang atau pelantar. Penggalan tiang bermula daripada pangkal tiang hingga ke paras lantai. Kayu tiang dipilih daripada kayu jenis yang baik agar tidak mudah rosak oleh serangga. Biasanya tiang rumah dibuat daripada kayu kempas, cengal, merbau, damar laut dan lain-lain. Tiang dilapik dengan batu alas. Struktur penting pada penggalan tiang ialah kayu-kayu rasuk dan gelegar. Kayu rasuk dikenali sebagai rasuk panjang dan rasuk pendek. Kayu-kayu yang panjang dihubungkan dari tiang ke tiang melalui lubang-lubang pada tiang. Penggalan tiang juga mengandungi kayu-kayu gelegar disusun berbaris di atas rasuk panjang. Cara susunan adalah melintang atas rasuk pendek. Di atas rasuk pendek dan gelegar itulah disusun papan lantai. 

Bendul merupakan perhiasan pada bangunan. Ia merupakan kayu kerangka yang memberi ketahanan pada struktur bangunan. Bendul terdapat pada tepi keliling bangunan rumah. Bendul juga berfungi sebagai pemisah antara komponen atau unit rumah. Ia juga berfungsi sebagai penutup hujung lantai supaya nampak kemas. Penggalan tiang yang penting ialah tangga. Tangga bagi Rumah Melaka merupakan suatu perkara yang diambil perhatian. Tangga-tangga batunya yang bersalut jubin menunjukkkan kesan-kesan pengaruh seni bina Cina. 

Penggalan badan pula terdiri daripada ruang bumbung dan tiang. Penggalan badan adalah penting kerana keseluruhan struktur bangunan tertumpu kepada penggalan tersebut. Pada penggalan badan inilah terletaknya konsep rumah kerana di sinilah juga terletaknya ruang-ruang dan komponen-komponen untuk menampung berbagai-bagai fungsi. Untuk melindungi ruang daripada terdedah kepada berbagi anasir, penggalan badan diberi berdinding. Di Melaka, dinding papan dipasang menegak (teknik papan berlidah) atau melintang, susunan bertindih dipaku pada kayu kambi (jerejak). Rumah Serambi Melaka yang asli tidak diberi berdinding pada muka serambi ataupun pada anjung. Sebagai ganti dinding, di pasang kisi-kisi sebagai ganti pagaran selasar agar anak-anak tidak jatuh. Serambi dan anjung yang tidak berdinding itulah yang membezakan Rumah Melaka dengan rumah tradisional yang lain. 

Pintu dan tingkap menjadi sebahagian daripada dinding. Rumah Melaka menggunakan beberapa buah pintu iaitu pintu hadapan rumah, pintu di pelantar (selang) dan pintu di belakang rumah. Tingkap merupakan sebahagian dinding yang boleh dibuka katup dan berfungsi untuk pengedaran udara dan pencahayaan. Rumah Melaka mempunyai banyak tingkap yang dibuka ke arah luar. Jika tingkap memanjang ke lantai, di bawahnya dipasang kisi-kisi. Telah menjadi tradisi di Melaka kain-kain langsir perlu dipasang pada tingkap. Ukuran tingkap Rumah Melaka biasanya lebih kurang 80 sm x 120 sm manakala ukuran pintunya pula lebih kurang 90 sm x 190 sm. 

Rumah Melaka tergolong dalam jenis rumah Melayu bumbung panjang yang mana tulang perabungnya lurus mendatar dan letaknya memanjang rumah. Di muka tepi dindingnya dipasang tebar layar. Tutup bumbungnya adalah dari jenis lipat kajang. Kecuraman bumbungnya adalah sederhana iaitu antara 50 darjah hingga 60 darjah dan dinamakan tara. Di bawah tutup bumbung yang berlipat kajang tersembunyi ruang khas yang dinamakan loteng. Struktur bumbung terdiri daripada kayu alang, tunjak langit, kayu kasau, tulang perabung dan juga atap yang diperbuat daripada daun nipah atau rumbia. Kesan pengaruh luar yang datang kemudian terdapat Rumah Melaka yang menggunakan genting atau zink. 

Secara melintang pula dapat diperjelaskan tentang komponen Rumah Melaka. Komponen bangunan Rumah Melaka bergantung kepada jenis atau saiz rumah, samada kecil, sederhana ataupun jenis yang besar. Bagi jenis kecil, ruang serambi terdapat di tengah rumah dan ruang makan terletak dalam sebuah unit bangunan. Rumah jenis ini dinamakan Rumah Bujang. Rumah Bujang tidak mempunyai ruang anjung, ruang selang tangah atau pelantar. 

Bagi jenis yang sederhana dinamakan Berbandung Dua (Dua Sebandung) terdiri daripada dua unit bangunan iaitu ibu rumah dan dapur yang dipisahkan oleh selang atau pelantar dan mempunyai serambi serta beranjung. Biasanya pelantar Rumah Melaka yang asli tidak beratap tetapi berlantai dan berdinding. Ianya terdiri daripada dua belas batang tiang utama. Jenis Rumah Melaka yang terbesar dinamakan Berbandung Tiga (Tiga Sebandung) yang terdiri daripada komponen rumah ibu, rumah tengah dan rumah dapur. Unit-unit rumah dipisahkan oleh ruang selang atau pelantar. Jumlah tiang utama ialah enam belas batang, berserambi serta beranjung.


3.0       Metodologi
           
Kajian kami dilakukan dengan kaedah temu bual. Terdapat empat orang responden yang ditemu bual bagi melengkapkan kajian ini. Setiap responden dipilih daripada latar belakang, umur dan kategori yang berbeza. Empat responden tersebut dipilih dari kategori yang berbeza, tambahan soalan yang ditanyakan juga berlainan daripada setiap responden. Soalan adalah berdasarkan perspektif dan situasi tiap-tiap responden.

1. Pemilik Rumah Warisan (Puan Rahimah Tompang)

Responden pertama merupakan tuan rumah kepada rumah Melayu Melaka tersebut. Soalan yang diajukan adalah berkenaan seperti bilakah rumah beliau dibina, apakah sejarahnya dan bagaimana cara beliau mengekalkan keunikan rumah tersebut.

2. Penjaga Muzium (Encik Affendi)

Responden kedua merupakan seorang penjaga muzium di Taman Mini Malaysia yang mana tempat tersebut merupakan salah satu lokasi kajian kami. Soalan yang diajukan kepada Encik Affendi adalah lebih berkaitan kepada bagaimana Mini Malaysia menjaga dan mengekalkan warisan rumah tradisional tersebut dan sedikit latar belakang rumah Tradisional Melayu Melaka.

3. Remaja (Nuridahwani)

Responden ketiga merupakan seorang remaja. Salah seorang responden dipililih dari kalangan remaja kerana ingin melihat dan mengkaji perspektif pandangan dan sedalam mana pengetahuan seorang remaja tentang rumah tradisional. Tambahan, soalan yang diajukan adalah berkaitan tentang pandangan dan pengetahuan remaja tersebut tentang rumah tradisional.

4. Pelancong (Madam Ashwina)

Responden terakhir merupakan seorang pelancong dari Pulau Mauritius. Soalan yang diajukan kepada beliau adalah labih berkaitan terhadap pandangan orang luar terhadap rumah tradisional yang mana tidak pernah dilihat oleh mereka sebelum  ini seperti apakah pandangan beliau terhadap rumah tradional Melaka dan adakah beliau ingin tinggal atau mempunyai sebuah rumah tradsional tersebut. 


4.0       Hasil Kajian

Kajian ini melibatkan temu ramah bersama empat responden antaranya pemilik rumah warisan Melayu Melaka, penjaga muzium di Mini Malaysia Melaka, remaja dan pelancong.


Rajah 1: Rumah Tradisional Melayu Melaka

Pembinaan rumah Melayu dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya ialah cuaca, sumber alam, budaya dan adat resam serta pengaruh asing. Faktor cuaca memainkan peranan dalam reka bentuk asas bangunan. Kekerapan hujan mengakibatkan reka bentuk atap yang lebih cerun dan bertiang untuk mengelakkan banjir. Kepanasan cuaca juga menyumbang kepada reka bentuk yang lebih terbuka seperti kehadiran tingkap yang banyak, berandah dan tiang itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah rumah. Selain itu, lubang angin di bahagian atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk keselesaan secara maksimum.

Sumber alam turut mempengaruhi pembinaan rumah Melayu Melaka. Bahan binaan ialah kayu, rotan, akar, buluh dan dedaun dari sumber hutan terdekat. Kayu menjadi tunjang kepada struktur bangunan, manakala rotan dan akar menjadi pengikat, kayu atau batang pinang menjadi lantai, buluh dan daun rumbia atau nipah menjadi dinding dan atap.

Budaya dan adat resam juga memainkan peranan yang besar dalam membentuk seni bina rumah Melayu. Misalnya kehadiran Islam telah mempengaruhi orientasi bangunan mengarah ke kiblat. Definisi ruang juga diatur dan diubah aras mengikut kegunaan adat resam bertandang, kenduri dan aktiviti keluarga.

Kehadiran penjajah Barat telah memberi alternatif baru kepada teknik seni bina Melayu. Sebagai contoh, zink dan atap genting telah mengambil alih atap rumbia dan kayu, bata dan simen telah mengambil tempat kayu sebagai tiang, tangga dan dinding manakala paku menggantikan pasak kayu dan akar sebagai penghubung atau pengikat. Pengaruh ini boleh dilihat secara positif dan negatif oleh umum iaitu pertembungan dua unsur iaitu praktikal dan seni.


Rajah 2: Tangga Rumah Tradisional Melayu Melaka
                                                                                                 

Tangga rumah tradisional Melayu Melaka sememangnya terkenal dengan ciri-ciri binaan yang unik. Pelbagai variasi tangga yang wujud hasil daripada sentuhan kerja tangan tukang-tukang rumah pada zaman tradisi dahulu. Tangga tersebut diperbut daripada batuan konkrit. Struktur tangga bercirikan seni bina dari China, dihiasi dengan jubin-jubin (tiles) yang pelbagai warna yang diimport dari Eropah seperti Holland dan Jepun. Tangga batu juga merupakan jubin status penghuninya suatu ketika dahulu.

Jubin yang mempunyai pelbagai corak reka bentuk dan warna menghiasi tangga-tangga batu rumah tradisional Melayu Melaka. Penggunaan jubin yang berwarna-warni ini memberikan gambaran pertembungan budaya Melayu, China dan Eropah. Ia merupakan jubin utama seni bina rumah Melayu Melaka. Pengaplikasian jubin-jubin tersebut menambah seri pada wajah tangga hingga fungsi tangga sebagai ruang naik turun ke dalam rumah dijadikan sebagai tempat bersantai.


Rajah 3: Tingkap Tradisional Melayu Melaka


Tingkap merupakan salah satu elemen penting dalam penghasilan sebuah rumah. Rumah tradisional Melayu Melaka mempunyai pelbagai variasi mengikut cita rasa dan kepandaian tukang-tukang rumah. Kebanyakan tingkap adalah dari jenis yang bukaan ke luar dan mempunyai kayu kekisi di bawah tingkap untuk memberi aliran udara keluar dan masuk serta berfungsi sebagai palang keselamatan bagi anak-anak kecil. Selain itu, bahagian tingkap rumah tradisional ini juga mempunyai ukiran-ukiran dari jenis tebuk timbul yang mempunyai motif pelbagai jenis flora dan geometri.

 Hasil pemerhatian semasa lawatan ke Rumah Warisan Rahimah Tompang Pengkalan Batu didapati rumah ini telah berusia lebih daripada seratus tahun tetapi tetap mengekalkan keindahan seni bina Rumah Limas Melaka dengan ukiran dan seni taman yang sungguh indah. Rumah ini dijadikan sebagai salah satu lokasi kerana sejarah dan ciri-ciri unik tradisional rumah Melaka yang masih dikekalkan di rumah tersebut. Tambahan, rumah tersebut sangat dikenali orang ramai dan merupakan salah satu contoh rumah warisan yang popular di Melaka. Selain itu, pada setiap hari kawasan perkampungan Pengkalan Batu ini sentiasa bersedia untuk menerima kunjungan pelancong dari luar dan juga pengunjung tempatan. Seperti yang dikatakan oleh tuan rumah (Rahimah Tompang), rumah beliau sering dilawati pelancong setiap hari dan sekurang-kurangnya lima buah bas akan mengunjungi rumah warisan tersebut.

Kebanyakan mereka yang datang dari Eropah, Asia Timur dan Amerika Syarikat dapat menyaksikan sendiri cara hidup dan budaya masyarakat Melayu di negara ini. Melalui lawatan itu mereka lebih memahami dan mengetahui adat resam, kebudayaan dan kehidupan keluarga Melayu.


5.0       Kesimpulan

Rumah tradisional Melayu Melaka mempunyai banyak sejarah yang seperti  cara pembinaan, konsep, fungsi, reka bentuk, bahagian rumah dan bahan-bahan binaan yang digunakan. Rumah dan bentuk pembinaan rumah tradisional Melayu Melaka menggambarkan satu bentuk budaya bagi masyarakat yang mendiaminya. Rumah tradisional Melayu Melaka yang dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin merupakan daya tarikan dan ciri utama yang unik bagi rumah ini. Bentuk dan bahan yang digunakan bergantung kepada falsafah “Spirit of Times”. Setiap ruang di dalam rumah mempunyai simbolik dan maksud tersendiri atau falsafah yang ingin diketengahkan dan dikekalkan. 

Peranan agama Islam juga penting dalam pembentukan falsafah pembinaan rumah Melayu.
Rumah-rumah tradisional setiap negeri yang berbagai-bagai bentuk sering bergantung kepada kepercayaan agama dan masyarakat, adat, kepentingan atau sesebuah peristiwa. Seni bina Melayu yang tinggi nilai budaya ini perlulah dikekalkan sebagai rujukan dan panduan bagi generasi-generasi muda masa kini dan yang akan datang. Selain itu, ianya penting bagi setiap masyarakat Malaysia untuk menjaga dan mempertahankan warisan nenek moyang ini agar tidak hilang ditelan arus pemodenan dan seterusnya melambangkan identiti sesebuah negara.


Rujukan

Mahyudin Al Mudra. (2004). Rumah Melayu: Memangku Adat, Menjemput Zaman
http://rumahmelayumelaka.blogspot.my/
http://elya-iz.blogspot.my/
http://rumahwarisanrahimahtompangpgklnbatu.blogspot.my/#
http://shelookout.blogspot.my/p/usia-rumah-ini-lebih-100-tahun.html


MZ Zainudin, Nur Hanisah Jailani, Nur Husnazahirah Zakaria, Nur Nelisa Riduan, Umizatul Syahiirah Rajmal



Post a Comment